Followers

Wednesday, October 29, 2008

Vendetta 9

Anabella menggeliat malas di atas katilnya. Bunyi burung-burung berkicauan menerpa nyaring ke dalam cuping telinganya. Dia membuka mata perlahan-lahan. Cahaya yang masuk dari celah tirai jendela yang sedikit terselak membuatkan matanya berkelip-kelip. Lama dia termenung di situ tidak berganjak. Melihat suasana bilik tidur yang berubah, membuatkan Anabella mula menyedari yang dia bukan berada di rumah. Tapi dia berada di dalam salah sebuah bilik di Geliga Beach Resort di Cherating.
Dia bingkas bangun dari tempat baring. Dirinya masih mamai dan ingat-ingat lupa bagaimana dia boleh tertidur di bilik itu. Lama kemudian barulah ingatan Anabella semakin pulih.
Wanita yang ditemuinya semalam sangat bermurah hati menempatkannya di sebuah chalet yang masih kosong. Yang malangnya Kojie, kerana ketiadaan bilik menyebabkan lelaki itu terpaksa menumpang tidur dengan salah seorang pekerja di resort itu.
Anabella tersenyum senang. Seronoknya…sebentar lagi dia bakal bertemu dengan Iqbal yang dirinduinya siang dan malam. Dia tahu yang Iqbal dan Mira turut menginap di resort yang sama. Lagipun Mira sendiri yang memberitahunya tempohari. Anabella tahu, Mira sengaja mencanang tempat itu kerana mahu membuatkan dia cemburu. Hehehe kau tentu tak sangka Mira yang aku dah ada kat sini. Lepas ni tentu mata kau terbuntang putih melihat aku sudah siap sedia mahu memperjuangkan cinta aku terhadap Iqbal, bisik Anabella.
Kalau diikutkan hatinya dari semalam lagi dia mahu bertemu dengan Iqbal, tapi entah mengapa dia rasa segan dengan Makcik Kamariah. Hendak bertanya Iqbal menginap di bilik berapa pun dia segan. Nanti apa kata wanita itu jika tahu dia datang ke mari semata-mata mahu bertemu dengan Iqbal, kekasih hati pujaannya.
Selepas mandi dan bersiap, dia menyarungkan blaus putih yang dipinjamkan Makcik Kamariah semalam. Kata wanita itu, blaus itu milik menantunya. Dalam segan silu, dia menerima juga pemberian itu. Apalagi bila mengenangkan dia datang ke Cherating sehelai sepinggang.
“Err, boleh saya tahu Iqbal Hadzri Ibrahim menginap di mana ya?” Tanya Anabella pada seorang petugas di kaunter.
Lelaki itu meneliti sebentar ke dalam skrin komputer yang terpasang. Sejurus kemudian dia tersenyum. “Encik Iqbal menginap di Bilik Teratai. Tapi sekarang dia dah keluar.” Balas petugas lelaki itu.
“Keluar?” Anabella tergaman.
“Katanya nak ke Kuantan bersama Cik Mira. Baru setengah jam tadi mereka bertolak.” Jawab lelaki muda itu lagi seraya tersenyum. Anabella mengeluh panjang. Terlepas hasratnya mahu bertemu dengan Iqbal. Rasa hampa menjengah ke dalam sudut hatinya.
“Err boleh saya tahu Cik Mira yang dimaksudkan tu tinggal di mana pula?” Entah kenapa tiba-tiba dia berminat ingin tahu.
“Cik Mira menginap di Bilik Mawar. Bersebelahan dengan Bilik Teratai.” Jelas lelaki itu. Anabella terpempan mendengarnya. Tinggal bersebelahan bilik Iqbal.? Perempuan ni memang nak cari nahas ni! Dalam banyak-banyak bilik, kenapa sebelah bilik Iqbal juga yang kau nak celah? Rungut Anabella tidak puas hati. Hatinya membekam sebaik teringatkan gelagat Mira yang manja-manja kucing di sekolah dahulu. Pantang lelaki itu lalu di hadapan kelas mereka, kepala Mira akan tertinjau-tinjau meskipun Cikgu Salamiah yang garang macam singa itu ada.
Biar bagaimana sekalipun gedik si Mira tu, Cikgu Salamiah tetap akan tersenyum lebar sehingga ke telinga sebaik ternampak anak gadis itu. Maklumlah ketika itu Mira cantik dan cerdik. Tidak seperti dia yang asyik didenda kerana gagal menyiapkan kerja sekolah yang diberi. Pantang Mira ada, tak habis-habis Cikgu Salamiah memujinya. Mira pandai, Mira cantik, Mira berkebolehana serba serbi. Dia pula? Bella, kenapa tak siapkan kerja sekolah? Bella, soalan senang taraf budak darjah satu ni pun tak boleh buat ke? Bella, pergi tolong Cikgu Hamidah bersihkan stor sukan. Pendek kata semua yang baik, beri pada Mira. Yang tak baik, tolak pada Anabella.
Dia mengguman geram sehingga terlupa pada petugas kaunter itu yang masih memandang ke arahnya dengan wajah berkerut. Lelaki itu tercengang melihat mimik wajah Anabella yang nampak aneh. Dia hendak menegur, tapi bimbang gadis di hadapannya akan melenting marah. Sudahnya petugas di kaunter itu hanya membiarkan Anabella membebel seorang diri hampir setengah jam di hadapan kaunter.
“Anabella?” Panggil suatu suara, mengejutkan gadis itu. Pantas kepalanya ditolehkan. Makcik Kamariah berdiri di satu penjuru sambil tersenyum memandang ke arahnya. Anabella lekas-lekas melonggarkan urat wajahnya yang menegang sebentar tadi. Dia mencuba sedaya upaya tersenyum ke arah wanita itu.
“Sudah sarapan?” Tanya wanita itu. Suaranya lembut penuh keibuan. Anabella masih belum membiasakan diri melihat wajah Makcik Kamariah yang sangat mirip dengan wajah nenek yang ditemuinya malam semalam. Namun begitu dia menggelengkan kepala pada pertanyaan Makcik Kamariah.
“Belum lagi? Dah dekat pukul berapa ni?” Mata wanita itu meninjau pada jam yang tergantung pada dinding di belakang kaunter. Hampir pukul 10 pagi.
“Kalau macam tu mari kita sarapan dulu di kafe. Teman kamu mana” Tanya Makcik Kamariah merujuk kepada Kojie. Anabella menggaru kepala tidak gatal. Dia sendiri hampir terlupa pada Kojie.
“Entahlah makcik, masih tidur barangkali.” Sahut Anabella. Namun dia mengikut jua Makcik Kamariah pergi bersarapan di kafeteria di resort tersebut. Sambil makan mereka berbual-bual. Makcik Kamariah lebih kerap bercerita berbanding Anabella yang lebih suka menjadi pendengar.
“Maaf sebab nenek makcik, kamu dan Kojie jadi takut.” Wanita itu mengungkit kembali peristiwa kelmarin.
“Dah beberapa kali juga makcik dengar nenek makcik tu menumpang kereta orang dari Temerloh ke Kuantan. Tapi ini kali pertama makcik dengar dari mulut orang yang terlibat.” Makcik Kamariah tergelak kecil. Entah apa yang melucukan wanita itu agaknya, gumam Anabella dengan dahi berkerut. Aku dan Kojie punyalah nak pitam tengok nenek tu, alih-alih Makcik Kamariah boleh gelak aje?
“Selalu ke nenek makcik tu tumpang kereta orang macam tu?” Anabella bersuara. Teringin juga dia mahu tahu cerita sebenar.
“Nak kata selalu tu taklah, tapi adalah beberapa kali dalam setahun.” Jawab wanita itu selamba. Anabella terkedu mendengarnya. Mak oii, macam rutin pulak dah. Ini dah boleh masuk rancangan Seekers ni, bisik hati kecil Anabella.
“Macamana nenek makcik tu boleh hilang?” Tanya Anabella lagi. Dia sendiri tidak berkesempatan mahu mendengar cerita dari mulut Makcik Kamariah semalam apabila tiba-tiba sahaja wanita itu berhenti mendadak lalu menyuruh mereka menyewa bilik di situ terlebih dahulu. Memang terror berniaga makcik seksi ni!
Makcik Kamariah tidak terus bercerita sebaliknya dia termenung panjang. Barangkali cuba mengingati peristiwa yang berlaku lebih 30 tahun lalu.
“Ada sesuatu yang berlaku dulu pada nenek makcik. Kalau betul kamu nak dengar, baik..makcik akan ceritakan.” Suara Makcik Kamariah terhenti seketika. Dia merenung wajah Anabella yang kusyuk mahu mendengar kata-katanya. Suasana jadi sepi seketika. Ada aura seram sejuk di sekeliling Anabella. Dia sabar menanti.
“Suatu waktu dulu, nenek makcik ni popular orangnya di kampung Tualang Tiga. Namanya Che Puteh tapi orang kampung menggelar dia Mak Telangkai.” Sambung Makcik Kamariah lagi.
“Mak Telangkai? Hahahah kelakar nya nama tu makcik.” Anabella ketawa terbahak-bahak. Lucu mendengar intro cerita Makcik Kamariah yang tak suspen langsung. Makcik Kamariah menjegilkan biji matanya ke arah Anabella, membuatkan ketawa Anabella terus melangkah fullstop. Jelingan wanita itu cukup membuatkan Anabella tidak lagi berani bersuara.
“Ada sebab orang panggil dia macam tu. Kononnya waktu tu, dia selalu menjadi telangkai untuk pasangan bertemu jodoh. Pendek kata, semua orang di kampung Tualang Tiga tu bertemu jodoh dengan pasangan masing-masing sebab dialah termasuklah makcik sendiri. Kiranya dia ni hebat dalam mencarikan jodoh orang.”
“Biar betul makcik.” Anabella melahirkan kekaguman.
“La memang betul lah. Apa kamu ingat makcik bohong?” Jerkah Makcik Kamariah.
“Semua yang kat kampung Tualang Tiga tu?” Tanya Anabella. Lucu juga dia apabila menyebut nama kampung Tualang Tiga. Macam kampung zaman cerita-cerita P.Ramlee dulu je. Hissh entah betul entah tidak cerita Makcik Kamariah ni. Banyak yang tak logik dari logik, detik hati Anabella. Namun dia tidak berani mempersoalkan kebenaran kata-kata wanita itu. Bimbang wanita itu naik muncung. Nanti tak fasal-fasal aku kena halau dari tempat ni!
“Dulu dia berguru dengan seorang pawang perempuan dari Siam. Memang sejak dari muda sehingga ke hayatnya dia memang suka menuntut ilmu. Semua ilmu dia belajar. Ilmu silat, ilmu ghaib, ilmu pengasih, ilmu menundukkan hati suami, ilmu masak lontong dengan ilmu hisab pun dia belajar. Pendek kata nenek makcik ni pandai serba serbi. Kira terpelajar la pada zaman dulu. Tak payah masuk sekolah melayu pun dia pandai. Kadang-kadang dia pergi bertapa kat Gunung Nuang untuk menguatkan ilmunya.”
“Macam tu sekali?” Anabella ternganga mendengarnya.
“Setelah dia dah terror, dia mengubat orang-orang kampung secara kecil-kecilan. Tapi dia buat kerja ni sekejap sahaja sebab dia bosan duduk setempat aje di rumah. Nenek makcik ni adventure orangnya. Dia suka berjalan dan mengembara ke sana ke mari. Dalam dia mengembara itulah dia bertemu dengan seorang guru yang pandai menilik dan membuat ramalan berdasarkan wajah seseorang. Dengan guru inilah dia belajar membaca nasib seseorang melalui wajah.”
“Bila dia dah balik ke kampung, dia menilik ramai nasib orang-orang kampung di Tualang Tiga dan mempertemukan mereka dengan jodoh yang sesuai. Mana-mana yang dicarikan jodohnya pasti akan gembira dengan pilihan tersebut dan hidup bahagia sehingga kini.” Cerita Makcik Kamariah.
“Habis macamana nenek makcik tu boleh jadi hantu?” Soal Anabella ingin tahu. Seram sejuk dia bila teringatkan peristiwa dia bertemu dengan nenek itu.
Makcik Kamariah terdiam sejenak. Dia menggelengkan kepalanya. “Makcik pun tak pasti bagaimana. Tapi menurut ibu makcik dulu, suatu hari tu nenek makcik menghilangkan diri macam tu je. Tak ada seorang pun tahu ke mana dia pergi atau apa dah jadi dengan dia sehinggalah sekarang ini.” Ujar Makcik Kamariah mengakhiri ceritanya.
Anabella terasa mahu ketawa. Cerita tentang salasilah nenek itu punyalah panjang berkajang-kajang. Tapi jawapan untuk pertanyaannya hanya segaris. ‘Tak tahu’. Bukankah lebih baik kalau Makcik Kamariah bilang ini semua sejak awal-awal lagi. Tidak perlulah dia asyik mendengar kisah nenek Puteh yang menjadi telangkai di Kampung Tualang Tiga.
* * * *
Kojie meneliti dirinya di hadapan cermin. Baju yang dipakainya nampak besar gedabak seperti sarung guni. Itulah nasibnya kalau sebilik dengan lelaki bersaiz double XL. Sudahlah dia hampir terjatuh ditolak oleh tubuh Sani yang mendominasikan lebih dari separuh katil bersaiz king di bilik itu. Kini dia terpaksa pula memakai pakaian lelaki itu yang hampir dua kali ganda saiz tubuhnya. Malang..malang…
Hampir setiap mata terjojol melihatnya apabila dia berjalan keluar di khalayak ramai. Sesetengah daripada mereka ketawa besar melihat baju labuh Kojie yang hampir menutup kepala lutut. Kojie cepat-cepat melangkah menuju ke bilik Anabella. Dia mengetuk daun pintu bertalu-talu, namun tidak ada jawapan balas. Dia menarik nafas panjang. Aduh mana pulak dia ni pergi?
Puas berfikir di hadapan pintu rumah itu, Kojie tiba-tiba teringatkan Iqbal. Pasti Anabella sedang mencari lelaki itu, fikir Kojie. Dia segera melangkah ke suatu arah. Dia yakin pasti Anabella ada di situ.
“Tumpang tanya, saya nak tahu kat mana lelaki bernama Iqbal tinggal.” Tanya Kojie pada petugas lelaki yang masih setia di kaunter hadapan resort. Lelaki itu tidak terus menjawab, sebaliknya asyik memandangnya yang tak sudah-sudah membetulkan baju yang dipakainya.
“Awak dengar tak saya tanya ni?” Ulang Kojie separuh marah apabila dilihatnya lelaki itu terdiam kaku bagaikan terkena karan elektrik.
”Err maaf encik. Encik Iqbal menginap di bilik Teratai.” Jawab lelaki itu terkumat kamit. Terkejut menerima sergahan Kojie yang tiba-tiba.
“Ha ada mulut pun. Ingatkan bisu tadi,” rungut Kojie. Dia melangkah dari situ tapi beberapa saat kemudian, kakinya berpatah balik. “Err…bilik Teratai tu kat sebelah mana?” Soal Kojie sambil menggaru-garu kepala tidak gatal.
“Sebelah taman berhadapan pantai.” Jawab lelaki itu sedikit gugup.
“Ok thanks. Oh ya..kat sini ada tak kedai-kedai terdekat yang jual baju atau t-shirt?” Dia baru teringat tentang pakaian yang dipakainya. Lagi lama dia memakai baju itu, mahu pengsan dia menjadi santapan dan sindiran orang-orang di resort itu.
“Kat kedai cenderamata kami ada jual baju t-shirt. Kedai tu kat sebelah kafeteria, sebelah sana.” Tunjuk petugas itu dengan nada sopan. Kojie hanya mengangguk lalu segera melangkah deras ke arah yang dimaksudkan.
Namun belum sempat dia mahu memasuki kedai cenderamata, matanya terpandang kelibat Anabella sedang berbual-bual dengan Makcik Kamariah, wanita yang mereka temui semalam. Wanita itu dilihatnya meninggalkan Anabella sendirian yang sedang asyik menikmati makanan dan minumannya.
Tiba-tiba perut Kojie berkeroncong semula. Sejak dia kalah perang merebut kek dengan Anabella, hampir sepanjang malam semalam dia menahan lapar. Sudahlah bilik yang ditumpanginya itu sejuk semacam sahaja. Kata Sani, aircond di bilik tersebut rosak. Tapi yang anehnya dia melihat Sani tidur selamba sahaja bagaikan tidak merasa apa-apa. Sedangkan dia hampir bengkok tubuh badan menahan sejuk. Mujurlah bangun pagi tadi, dia hidup lagi. Jika tidak alamat mati kejunglah dia kerana kesejukan.
Anabella tergaman melihat Kojie tiba-tiba muncul tanpa memberi salam. Lelaki itu terus menempati mejanya seraya menarik pinggan nasi goreng yang masih banyak berbaki di hadapannya. Melihat Kojie bersungguh-sungguh makan nasi gorengnya, Anabella cuba menarik pinggannya kembali. Tetapi Kojie lebih pantas bertindak. Pinggan itu dibawa lari agak jauh dari Anabella.
“Kau ni apasal? Kalau nak makan tu, pesanlah sendiri. Ini main rampas-rampas ni apahal?” Marah Anabella. Namun lelaki itu selamba sahaja menikmati makanannya. Tak cukup dengan itu, Kojie mencapai gelas teh tariknya lalu dihirup penuh nikmat. Sempat dia sendawa dua tiga kali setelah menghabiskan kesemuanya dalam tempoh tak kurang dari 2 minit setengah.
“Ah leganya boleh makan. Aku punyalah lapar sampai tak larat nak jalan.” Ujar Kojie seraya mengurut dadanya. Anabella mencerlung lelaki itu dengan biji mata hampir timbul.
“Habis siapa nak bayar makanan yang kau habiskan tu?”
“Ala kau ingat aku tak ada duit ke?” Balas Kojie pula.
Anabella mengeluh panjang. Lain yang dimaksudkan, lain pula yang difahamkan oleh lelaki itu.
“Macamana? Dah jumpa lelaki idaman kau tu?” Tiba-tiba Kojie menyoal. Anabella terdiam. Ini yang dia malas nak bercakap ni. Sudahnya dia hanya menggelengkan kepala sebagai menjawab pertanyaan Kojie.
“Tak jumpa? Kau biar betul…aku temankan kau dari Kuala Lumpur tapi tak ada hasil? Betul ke lelaki tu ada kat sini?” Soal Kojie bertubi-tubi. Dia tidak puas hati selagi tidak mendapat penjelasan dari Anabella.
“Dia ada kat sini.” Ujar Anabella selamba.
Kojie terdiam. Ada? Habis kenapa dia menggelengkan kepala tadi? Dahinya berkerut memandang anak gadis itu.
“Dia ada tapi dah keluar pergi Kuantan. Mungkin petang nanti baru balik.” Jelas Anabella dengan suara lemah. Kojie terdiam. Pulak dah!
“Habis kita nak buat apa sekarang ni?”
“Buat apa lagi? Tentulah tunggu sampai dia balik.”
Kojie mengeluh. Huhh menyesalnya aku buat kerja bodoh ni ikut minah ni sampai ke mari. Sudahlah macam-macam hal yang jadi. Sekarang apa pula? Kojie terdiam seketika seperti memikirkan sesuatu. Beberapa ketika kemudian, dia bingkas bangun dari kerusi. Anabella terpinga-pinga memandang lelaki itu.
“Kau nak ke mana ni?” Tanya Anabella sedikit bimbang. Dia risau Kojie akan mengambil keputusan meninggalkan dirinya sendirian di situ. Sudahlah kunci keretanya berada di tangan Kojie. Tentu bala jadinya kalau lelaki itu terus ambil keputusan pulang ke Kuala Lumpur.
“Kau ingat aku ni tak ada kerja lain sampai nak turut serta tunggu balak kau yang entah pulang atau tidak? Maaflah Cik Bella, aku ada urusan yang lebih mustahak dari ini.” Balas Kojie. Anabella tersentak. Sah, Kojie nak tinggalkan dia sendirian.
“Kojie, please janganlah pergi. Temankanlah aku kat sini sampai aku jumpa Iqbal. Pleaseee….” Rayu Anabella dengan muka tebal. Suara yang kasar garau tadi sengaja dilembutkan iras-iras suara Dolly kucing milik Nora yang ada di rumah sewanya. Kali ini dia cuba menggunakan pendekatan psikologi untuk memujuk Kojie agar tidak meninggalkan dia sendirian.
Mendengar suara Anabella yang mendayu-dayu lembut, Kojie tidak jadi mengatur langkah. Dia terpempan melihat gerak geri Anabella yang tak ubah seperti anak ikan yang meliuk-liuk dalam air. Mak oii lembutnya suara….macam tertelan lidah pun ada. Semalam kus semangat menengking herdik aku sesedap rasa. Hari ni punyalah lembik macam butter terlebih lemak. Mimpi apa anak dara ni semalam?
“Kojie please jangan pergi.”
“Kalau aku tak pergi, hidup aku terseksa jiwa raga kat sini.” Kojie berdegil.
“Habis kalau kau pergi, aku macamana?”
“Macamana apa? Kau duduklah kat sini sorang-sorang. Makcik Kamariah tu boleh temankan kau kalau kekasih kau tu balik nanti.” Balas Kojie lagi.
“Sampai hati kau Kojie.” Suara Anabella bertukar sebak. Airmatanya sudah hampir berlinang mendengar kata-kata Kojie. Melihat reaksi Anabella, Kojie jadi tercengang. Ni apahal pulak minah ni? Main-main emo segala!
“Kalau kau sedih sangat aku pergi seorang, apa kata kau ikut aku sekali.” Usul Kojie. Anabella tersentak. Dia memandang Kojie dengan wajah tajam.
“Kau nak suruh aku lupakan Iqbal dan ikut kau balik ke Kuala Lumpur? No way! Aku takkan lepaskan Iqbal macam tu aje pada si Tumirah Kuncup tu.” Balas Anabella dengan hati mendidih. Kojie yang mendengar kata-kata Anabella terpegun. Barulah dia faham kedudukan sebenar. Sekejap sahaja, suasana meja itu itu diselubungi gelak ketawa. Kojie ketawa terbahak-bahak sambil memegang perut. Melihat lelaki itu, Anabella tercengang. Dahinya berkerut seribu.
“Cik Bella, siapa kata aku nak balik ke Kuala Lumpur? Aku cuma nak keluar jalan-jalan pergi kedai di luar tu beli pakaian dan barang-barang keperluan lain.” Jelas Kojie bersama sisa ketawa yang sukar dipadam.
Anabella terpinga-pinga. Lorr kes salah fahamlah ni! Dia menggaru kepala tidak gatal. Mati-mati hidup dia ingatkan Kojie mahu meninggalkannya dan pulang ke Kuala Lumpur tanpanya. Tiba-tiba sahaja dia merasa lega. Sekurang-kurangnya lelaki itu tidak ada niat untuk meninggalkannya.
“Thanks Kojie.” Ujar Anabella tiba-tiba. Lembut dan tenang. Kojie terpaku. Matanya bertemu pandang dengan sepasang mata Anabella yang bulat bersinar.
“Kenapa berterima kasih dengan aku?”
“Sebab kau tak tinggalkan aku macam tu aje. Aku happy sangat.” Anabella tersenyum menyerlahkan sepasang gigi yang putih bersih. Terpegun sejenak Kojie melihatnya. Tiba-tiba sahaja kepala Kojie jadi pusing. Await dengan aku ni? Takkan baru sekali awek tu senyum, hati kau dah tergugat? Kojie, perempuan tu Anabella yang berhutang keliling pinggang dengan bank, bukannya Hezra yang anggun lagi cantik yang kau dambakan sejak di alam kampus. Cubalah beringat sikit dan bilang dalam hati kau sudah berapa kali dia mempermainkan kau? Suara hatinya bagaikan memperingatkannya.
“Dahlah tu, aku nak pergi kedai dulu. Kau nak pesan apa-apa.”
“Aku ikut?” Anabella tersenyum lagi.
Kojie terdiam. Nak ikut? Hmmm..bolehlah asalkan kau jangan senyum lagi. Please..jangan senyum! Doa Kojie berulangkali dalam hatinya.
Anabella segera mengekori Kojie. Namun diam-diam dia memerhatikan pakaian lelaki itu dari arah belakang. Baru dia perasan dengan gaya baju Kojie yang besar seperti sarung nangka. Eiii mana dia dapat baju buruk tu? Tanpa dapat ditahan, Anabella ketawa berdekah-dekah. Kojie yang perasan gadis itu sedang mengetawakannya berpura-pura acuh tak acuh. Dia tahu pastinya Anabella sedang mengejek pakaian yang membalut tubuhnya ketika itu.
* * * *
“Betul ke apa yang Makcik Kamariah cerita tu?” Tanya Kojie sambil memandu. Dia asyik mendengar cerita dari mulut Anabella yang menyampaikan semula kisah nenek wanita itu yang digelar Mak Telangkai. Seperti Anabella, Kojie juga tergelak besar mendengar nama Mak Telangkai.
“Habis takkan dia saja-saja nak reka cerita. Kata Makcik Kamariah, tak ada seorang pun tahu apa sebenarnya yang dah jadi dengan nenek tu. Dia hilang macam tu aje.” Ujar Anabella.
“Kalau hilang, takkan kita boleh jumpa.” Kojie tersengih-sengih. Anabella mengerling dengan ekor mata. Mentang-mentang hari siang, bolehlah kau cakap besar ya Kojie! Cuba kalau malam, rasanya dia yang akan cabut lari dulu kalau jumpa dengan nenek tu. Anabella tersengih.
“So kita nak shopping kat mana ni?” Tanya Anabella mengubah tajuk perbualan. Seperti Kojie, dia juga ingin membeli pakaian baru sebagai persalinan dan bekal beberapa hari mereka berada di situ.
“Kita ke Kuantan nak? Lagipun bukan jauh sangat pun Cherating dengan Kuantan.” Usul Kojie memberi cadangan. Anabella terdiam. Fikirannya melayang. Entah apa Iqbal dan Mira buat di Kuantan bersama-sama? Pergi bershopping juga ke atau sekadar mengambil kesempatan berdua-duaan? Dia mendengus keras. Semakin difikirkan semakin bertebar rasa cemburunya. Tanpa sedar dia mengenggam pemegang pintu di sebelahnya agak kuat. Kuk! Anabella tersentak. Kojie yang sedang memandu segera berpaling. Dia juga terkejut dengan bunyi yang muncul tiba-tiba. Anabella memandang ke arah Kojie seraya tersengih menahan malu.
Melihat pemegang pintu yang sudah berada di tangan Anabella, Kojie tercengang. Kuatnya dia sampai tercabut pemegang pintu tu!
“Okey, aku tak mahu tahu macamana pemegang pintu tu boleh tercabut.” Cepat-cepat Kojie memintas apabila dilihatnya Anabella menggerakkan bibirnya bagaikan ingin menjelaskannya. Anabella menarik nafas panjang. Disebabkan Mira dan Iqbal, tak fasal-fasal keretanya mengalami Syndrome Down pula.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!