Followers

Monday, December 6, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 42

Promo DDH akan diletakkan sehingga Chapter 45, bersamaan 350 dari 791 ms..bab di blog dan buku adalah berbeza sama sekali..

IRINA seperti tidak menang tangan hari itu. Sekejap dia mengawasi pekerja-pekerja yang menguruskan hiasan di pentas, selepas itu dia menyusuri pula deretan meja-meja yang terhias indah. Segala-galanya mahu dipastikan sempurna. Agar majlis malam itu dikenang sebagai satu saat yang indah dalam ingatan tetamu yang hadir.

Dia tidak kisah terpaksa turun padang, walaupun sebenarnya dia tidak perlu bersusah payah. Cukuplah sekadar memberi arahan dan mengawasi persiapan akhir dari jauh. Namun begitu, dia lebih suka menguruskan sendiri kerja-kerja itu.

Sesekali dia memandang ke arah Aliya yang sibuk menyusun bunga-bunga segar dari Aneka Flora yang sampai sekitar pukul dua petang tadi. Kasihan juga dia melihat Aliya yang terperuk di situ sejak awal pagi lagi. Tentu anak gadis itu kepenatan. Tapi apabila mereka bertembung pandang, Aliya sempat mengukir senyuman padanya. Sedikit pun riak wajah gadis itu tidak menunjukkan keletihan.

Landskap air terjun seperti yang dicadangkan oleh Aliya kini megah berdiri di tengah-tangah laluan untuk tetamu. Hampir dua hari juga baru dekorasi itu siap sepenuhnya.

“Boleh tahan juga ya,” puji Irina sangat berpuas hati dengan persiapan yang diatur. Aliya hanya mengangguk. Sebenarnya dia juga gembira dengan hasilnya. Tak sia-sia dia bertungkus lumus selama beberapa hari untuk membantu Irina. Dewan utama di hotel yang dulunya hanya nampak mewah kini bertukar lebih kreatif dan menarik. Pihak kakitangan hotel juga banyak membantu mereka.

Irina memandang pergelangan tangannya. Jam sudah menunjukkan pukul lima petang, bermakna masih ada tiga jam sahaja lagi sebelum majlis bermula. Dia melemparkan pandangan ke arah Aliya. Dilihatnya anak gadis itu sedang bercakap-cakap dengan salah seorang pekerja di situ.

“Aliya, kakak dah tempah satu bilik kat atas. Kalau Aliya penat, naiklah berehat dulu.” Ujar Irina.

“Tak apalah Cik Irina, sikit saja lagi.”

“Aliya ni, kan kakak dah pesan jangan panggil kakak Cik Irina lagi. Panggil Kak Rina cukuplah.” Suruh Irina.

Aliya terdiam. Kata-kata Irina membuatkan dia jadi segan. Gadis itu orang atasannya, jadi wajarkah dia menggelar Irina sebagai kakak?

“Sebenarnya kakak ada hal nak diuruskan di pejabat. Tapi kakak tak yakin nak tinggalkan tempat ni pada mereka. Boleh tak kalau Aliya tolong tengok-tengokkan tempat ni sampai kakak balik?” Pinta gadis itu.

“Tak apalah, Cik Irina pergilah. Saya akan tunggu kat sini sampai majlis tu mula nanti.” Sampuk Aliya.

Irina tersenyum.Tenang sedikit hatinya mendengar kata-kata gadis itu. Tiba-tiba Irina teringatkan sesuatu.

“Apa kata kalau kakak minta Haikal tolong ambilkan pakaian Aliya yang kita beli tempohari? Ada dekat rumah kan? Jadi Aliya tak payah terkejar-kejar nak balik tukar pakaian, boleh salin kat atas aje.” Cadang Irina sambil tersenyum.

Aliya terpisat-pisat. Dia teringatkan pakaian yang dipilih oleh Hazril tempohari masih belum dibuka dari dalam beg kertas. Entah di mana pakaian itu dilemparkannya tempohari?

“Macam ni, kakak call Haikal minta dia ke rumah sewa Aliya kejap lagi. Aliya pulak cuba call teman serumah, suruh dia serahkan baju tu pada Haikal, boleh?” Pinta Irina sebelum bergegas pergi meninggalkan Aliya yang terpinga-pinga.

* * * *

“Aliya, bongkah ais yang kita tempah tu dah sampai. Dia orang tanya kat mana nak letak,”Azureen, gadis lembah lembut dari Penang itu bertanya padanya.

“Hari tu bukan Cik Irina dah bincang dengan pengurus hotel ni? Mereka ada bilik khas untuk letak ais tu. Zue, cuba awak cari Encik Azuddin di bilik pengurus.” Suruh Aliya.

Tanpa banyak soal, Azureen segera berlalu meninggalkannya. Aliya masih memerhatikan setiap sudut di ruang itu. Dia masih mahu mencari-cari, apakah yang masih kurang dengan persiapan mereka kali ini.

Kepercayaan yang diberikan oleh Irina sedikit sebanyak membuatkan dia rasa tertekan. Dia bimbang jika dia tidak mampu melaksanakan tanggungjawab itu dengan baik, dan membuatkan Irina merasa hampa dengannya. Kerana itu dia lebih rela berpenat lelah demi memastikan segala-galanya berjalan lancar hari itu.

“Cik Aliya, ada orang kat luar sana nak jumpa Cik Irina.” Beritahu salah seorang pekerja ketika dia duduk melepas lelah di sebuah kerusi panjang.

“Nak jumpa Cik Irina? Tapi Ck Irina dah balik ke pejabat. Awak kenal siapa?”

Pekerja itu sekadar mengelengkan kepala.

“Tak apalah, nanti saya tengok sendiri. Dia tunggu kat mana?”

“Ada kat lobi.”

Aliya segera melangkah deras menuju ke arah kawasan lobi di hotel itu. Dari jauh dia terpandang sesusuk tubuh lelaki sedang berdiri membelakanginya. Hatinya tertanya-tanya sendiri, siapa gerangannya yang mahu bertemu dengan Irina? Penting sangatkah?

“Encik...” Aliya menegur perlahan.

“Ehem!” Kali ini dia berdehem agak kuat apabila dilihatnya kata-katanya seperti tidak didengari lelaki itu. Apabila lelaki itu menoleh ke arahnya, degupan jantung Aliya seolah terhenti. Masa seolah berhenti berputar. Lelaki itu juga dilihatnya terkejut melihatnya di situ.

* * * *

Suasana muram berlanjutan buat beberapa ketika. Dia hanya mampu memandang lelaki itu tanpa sebarang bicara. Entah apa yang patut dikatakannya? Bertanya khabarkah? Atau bertanyakan bagaimana hari-hari yang dilalui lelaki itu selama ini?

Doktor Badrul ikut terdiam, membisu seribu bahasa sedangkan dialah yang mengajak gadis itu ke situ. Suasana kafeteria yang agak muram petang-petang begitu seolah-olah meraikan suasana hambar di antara mereka.

“Your coffee sir.” Seorang pelayan menghampiri meja mereka membawakan dua cawan kopi latte yang panas pekat. Doktor Badrul menolak secawan kopi ke arah Aliya.

“Minumlah,” dia bersuara sebelum mula menghirup kopinya sendiri.

“Cik Irina masih di pejabat. Tapi kalau doktor urgent nak jumpa dia, saya akan call dia di pejabat.” Ujar Aliya. Entah mengapa, dia benar-benar merasa kekok dan serba salah berhadapan dengan lelaki itu. Aneh juga mengapa dia berperasaan begitu sedangkan sudah lama dia merindui lelaki itu. Namun bila sudah bertemu, tak disangkanya segala-galanya menjadi cukup sukar untuk dihadapi.

“Tak mengapalah. Kebetulan pakcik ada urusan di sini tadi, jadi saja datang tengok-tengok. Ingatkan Rina ada kat sini.” Ujar Doktor Badrul.

“Pakcik tak sangka Aliya pun terlibat dengan majlis ni.” Sambung lelaki itu lagi.

“Saya hanya bantu mana-mana yang patut.” Ujar Aliya muram.

“Aliya selalu jumpa Haikal?” Soal Doktor Badrul. Entah mengapa soalan itu pula yang ditanyakannya. Tapi dia perlu tahu sejauh mana rapatnya perhubungan antara Haikal dan Aliya. Sudah agak lama dia tidak mendengar Haikal bercerita mengenai gadis itu kepadanya. Kini tiba-tiba sahaja dia dapat tahu, Aliya dan Irina rupa-rupanya turut saling mengenali antara satu sama lain.

“Tak selalu, kadang-kadang saja. Kenapa?”

“Tak, saja pakcik tanya.”

Aliya mengerling jam tangannya. Dia tidak boleh lama-lama di situ kerana masih ada banyak kerja yang harus dilakukannya. Dia bingkas bangun dari kerusi yang didudukinya.

“Maaf, saya minta diri dulu. Masih ada banyak kerja di dalam tu.” Dia mohon berlalu. Namun apabila dia mula menyusun langkah, terdengar suara lelaki itu menahan.

“Aliya, tunggu sekejap.” Pinta Doktor Badrul.

Aliya berpaling. Dilihatnya lelaki itu berdiri menghadap ke arahnya dengan wajah gelisah.

“Boleh Aliya maafkan pakcik?” Suara itu bergetar. Hiba kedengaran!

Aliya tersentak. Dia memandang lelaki itu. Kata-kata Doktor Badrul benar-benar mengejutkannya.

“Untuk apa?”

“Untuk segala-segalanya yang pakcik gagal tunaikan pada Aliya. Pakcik tahu Aliya masih ingatkan pakcik kan?” Pertanyaan Doktor Badrul berniat inginkan kepastian. Renungan dan tatapan mata gadis itu padanya seperti membenarkan apa yang difikirkannya.

Aliya tunduk. Kata-kata Doktor Badrul membuatkan dia rasa sebak. Dia memandang lelaki itu. Dilihatnya tubir mata lelaki itu turur digenangi air. Masing-masing diselubungi kesedihan.

“Boleh doktor jawab pertanyaan saya?”

Doktor Badrul menatap anak gadis itu dalam-dalam.

“Betul ke doktor ni daddy saya?” Aliya bertanya dengan nada terputus-putus. Hatinya benar-benar ingin tahu hakikat yang satu itu.

Doktor Badrul terdiam. Soalan gadis itu membuatkan dia kelu. Selama ini terlalu banyak rahsia yang mereka simpan, sehingga sukar untuk dileraikan satu-persatu di hadapan gadis itu. Jadi bagaimana harus dia memberitahu gadis itu perkara sebenarnya?

“Here you are. Eh papa pun ada?” Tiba-tiba sahaja Haikal muncul di situ. Aliya cepat-cepat menyeka sisa-sisa air jernih di pelupuk matanya. Dia terkejut melihat kehadiran Haikal di situ. Begitu juga dengan Doktor Badrul.

“Apa Boy buat kat sini?” Doktor Badrul sedikit gugup. Bimbang perbualan itu sempat didengari Haikal.

“Tadi Kak Rina suruh Boy bawakan pakaian Aliya, dia bimbang Aliya tak sempat balik. Papa pula buat apa kat sini?” Tanya Haikal sambil menghulurkan sebuah beg plastik ke arah Aliya.

“Papa jumpa Uncle Akhbar kamu di sini. Kebetulan dah ada kat sini, papa singgah cari kakak kamu.” Jelas Doktor Badrul seraya mengerling ke arah Aliya yang terkaku di hadapannya.

“Rasanya Kak Rina masih di pejabat. Katanya ada urusan nak diselesaikan di pejabat. Emm, tak sangka ingatan papa ni baik juga. Papa masih ingat Aliya rupanya.” Ujar Haikal lalu tergelak kecil.

Doktor Badrul terdiam mendengar kata-kata anaknya. “Tak apalah, papa pun tak boleh lama kat sini. Lepas ni papa nak balik ke hospital.”

“Eh kita balik sekalilah, Boy hantarkan. Papa pun tak bawa kereta hari ni kan.” Ujar Haikal. Dia memandang ke arah Aliya sejenak sambil tersenyum.

“Aliya, kita jumpa malam ni ya.” Ujarnya seolah berjanji dengan gadis itu.

“Thanks Haikal sebab susah payah bawa baju ni untuk saya.” Ucap Aliya. Dia memandang pula ke arah lelaki separuh umur di sisi Haikal. Doktor Badrul asyik memandangnya, namun lelaki itu tidak berkata apa-apa.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!