Followers

Tuesday, July 19, 2011

Mitos Cinta Suria : Bab 45

            Nazrul meramas stereng keretanya sekuat hati. Perasaannya bercelaru. Sudah lama perasaan ini terpendam di lubuk hatinya, namun baru kali ini kata hatinya berupaya dilontar keluar di hadapan ibunya.
            Lima belas tahun. Dalam tempoh ini, hanya tuhan sahaja yang tahu betapa dia sudah lama cuba mengumpul keberanian diri untuk berhadapan dengan wanita itu. Lima belas tahun juga setiap kelukaannya dipendam sendiri. Dia memejamkan matanya. Kenangan lama terusik kembali. Sukarnya mahu memadamkan seraut wajah itu dari ingatan.
            “Abang, Naz nak main bola jugak. Naz nak ikut.” Pintanya pada si abang yang sedang bersiap-siap dengan jersi dan sepatu bola. Najmi mengerling ke arahnya seraya tersenyum.
            “Tak bolehlah Naz, abang dah janji dengan kawan-kawan abang kat padang tu. Lagipun mana ada kosong lagi. Semua dah cukup.”
            “Kalau macam tu, Naz tonton aje.”
            “Tak boleh.” Najmi tetap berdegil tidak mengizinkannya ikut serta. Dia lekas menarik muka masam. Tapi biasanya pergaduhan atau salah faham mereka hanya sekejap sahaja. Dia tidak betah merajuk lama-lama dengan Najmi. Lagi pula Najmi sentiasa pandai memujuknya. Dan di sekolah berasrama penuh itu, dia hanya berdua dengan Najmi. Mereka saling menjaga antara satu sama lain.
            “Kenapa nangis ni?” Najmi tiba-tiba muncul di sisinya di padang sekolah. Dia lekas-lekas menyapu airmata yang berlinang di pipi.
            “Isy budak lelaki menangis, tak malulah.” Ejek Najmi.
            “Mana ada Naz nangis.”
            “Tak ada? Habis airmata tu apa? Fasal?” Tanya Najmi ingin tahu.
            Dia terdiam. Berat hatinya mahu menyatakan apa yang terbuku di dada. “Naz…Naz teringatkan ayah.” Bisiknya perlahan. Najmi terkedu seketika.
            “Ibu tak mahu kita ingatkan ayah lagi. Naz lupa pesan ibu?” Najmi mengingatkan. Sejurus dia melihat Najmi termenung panjang. Dia tahu jauh di sudut hati, Najmi juga merindui ayah mereka yang hilang entah ke mana.
            “Kenapa ibu tak bagi kita jumpa ayah?” Dia bertanya kepada abangnya.
            “Entah, abang tak tahu. Pakcik Hadi kata ibu dan ayah akan bercerai.”
            “Bercerai tu apa bang?”
            Najmi hanya diam. Pertanyaannya berlalu sepi. Dia pula tidak lagi bertanya apabila dilihatnya abangnya juga berdiam diri. Mereka sama-sama memerhatikan matahari terbenam di ufuk timur tanpa sepatah suara.
            Suatu hari mereka dikunjungi seorang tetamu di sekolah. Dari luar pejabat pengetua, dia dan Najmi dapat mendengar perbualan seorang lelaki berjambang dan berkumis liar itu dengan pengetua sekolah mereka.
            “Maaf Encik Azri, saya tak boleh benarkan Encik Azri bawa mereka keluar dari kawasan sekolah ni. Ini permintaan dari Puan Yong sendiri.” Ujar wanita bercermin mata tebal itu.
            “Saya ayah mereka, saya ada hak untuk berjumpa anak-anak saya.” Lelaki itu tetap berkeras.
            “Tapi Puan Yong dah dapatkan perintah mahkamah untuk halang Encik Azri dari berjumpa Najmi dan Nazrul. Maaf, saya harus akur dengan arahan itu.” Pengetua menolak secara hormat.
            Dia dan Najmi saling berpandangan. Seketika kemudian, lelaki itu keluar dari bilik pengetua dengan raut wajah muram.
            “Ayah..” panggil Najmi. Lelaki itu menoleh. Melihat mereka dua beradik, lelaki itu tidak dapat menahan perasaan sebak. Tanpa berkata apa-apa, lelaki itu segera merangkul bahu Najmi. Dia terpinga-pinga memerhatikan adegan menyayat hati di hadapannya. Dari sisi Najmi, dia dapat melihat tangan ayahnya menyeluk lalu memasukkan sekeping kertas ke dalam poket seluar Najmi.
            Setelah tubuh Najmi dilepaskan, mata lelaki itu merayap pula ke arahnya. Seperti Najmi, dia juga diperlakukan begitu. Dipeluk rapat seolah-olah mereka sudah tidak ada peluang untuk bertemu kembali.
            Setelah itu ayahnya pergi begitu sahaja. Dia dan Najmi menghantar pemergian lelaki itu dengan cucuran air mata. Dia menoleh memandang ke arah abangnya. Najmi kelihatan tenang. Di tangannya terdapat segumpal kertas putih. Dia hanya mampu memerhatikan gerak geri abangnya. Bila ditanya, Najmi hanya menyahut acuh tak acuh. Dan sejak hari itu, dia tahu ada sesuatu yang cuba Najmi sembunyikan dari pengetahuannya. Sesuatu yang benar-benar rahsia sehinggakan hubungan persaudaraan mereka tidak mampu membuatkan Najmi berkongsi dengannya.
            “Abang nak ke mana?” Dia menyoal apabila dilihatnya Najmi bersiap-siap. Anak muda itu acuh tak acuh memandangnya.
            “Abang nak keluar sekejap.” Jawab Najmi.
            “Tapi warden tak bagi kita keluar. Sekarang kan masa prep.”
            Najmi tersenyum nakal. “Abang nak pergi jumpa ayah.” Jawab anak muda itu. Dia tergaman. Kata-kata Najmi ditelan dengan perasaan berbaur.
            “Boleh Naz ikut?”
            Najmi terdiam. Bebola mata Najmi melontar pandangan ke arahnya. Dia masih menanti Najmi membuat keputusan. Namun penantiannya berakhir dengan kekecewaan tatkala abangnya itu menggelengkan kepala.
            “Tak boleh Naz, ayah suruh abang datang seorang. Lagipun bahaya kalau kita berdua ditangkap. Abang tak mahu Naz kena hukum dengan ibu.” Ujar Najmi.
            Dan malam itu adalah satu malam yang terasa panjang baginya. Dia menanti Najmi pulang sehingga ke pagi. Tapi penantiannya menjadi berjam-jam lamanya dan seterusnya sehingga berhari-hari. Najmi tidak pulang-pulang membuatkan seisi sekolah kecoh. Dan berita itu sampai ke pengetahuan ibunya.
            “Beritahu pada ibu, Naz tahu mana Najmi pergi kan?” Wanita itu menyoal. Biarpun suara yang terlontar dari bibir ibunya kedengaran lembut, namun nadanya tegas dan keras. Perlahan-lahan dia menganggukkan kepala. Meskipun Najmi berpesan agar dia tidak memberitahu sesiapa pun mengenai pemergiannya, namun demi abangnya dia terpaksa membuka mulut.
Wajah ibunya pucat lesi apabila dia memberitahu tentang Najmi yang bertemu ayah mereka di luar. Malam itu juga, ibunya membawa dia keluar dari sekolah berasrama itu. Dan sejak dari itu, Najmi terus ghaib dari kehidupan mereka. Hilang entah ke mana. Beberapa hari kemudian, ibunya memberitahu tentang Najmi yang dikatakan  lemas di sebatang anak sungai yang deras airnya. Kata hatinya pula, Najmi menjadi korban untuk dosa yang telah dilakukan oleh keluarganya selama ini.

6 comments:

Unknown said...

Huhuhu
dah lama x baca citer ni,
so dah sdikit lupa

Meera said...

Cerita ni bnyak sangat teka-teki nya lah..
X faham ni!!

Anonymous said...

Cepat2 sambung ok

Anonymous said...

best lah cite ni..
buat saya berfikir apa seterusnya..
cepatlah sambung...

pipvz devil said...

dh lme tnggu smbungan cite ni..rndu nk bce cite ni..hrp2 lps ni da n3 strusnye..cite ni pnuh ngan mstri i like maa...

Mazni Aznita said...

cerita ni kena baca dr mula barulah terjawab segala teka teki..sy agak cerita ni akan publish awal tahun depan..insya allah

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!