Followers

Saturday, July 23, 2011

Kasihku Arina 2 : Bab 8

            Bunyi derap langkah sepatu memijak permukaan lantai mengalihkan perhatian Mikaela. Dia menoleh. Kelibat Kiega muncul di muka pintu, tercegat memerhatikannya. Mikaela tersenyum.
            “Kau buat aku terkejut. Apa hajat kau datang malam-malam begini?” Soal Mikaela ingin tahu.
            Kiega tidak menjawab. Matanya tertumpu pada sekujur tubuh yang terbaring dalam tiub kaca di tengah-tengah bilik. Beberapa peralatan mekanikal dilihat memenuhi sudut di bilik tersebut. Kiega mengeluarkan sesuatu dari saku baju. Sebilah pisau panjang yang berkilat-kilat digenggam utuh, menyebabkan Mikaela terperanjat besar.
            “Kiega, apa kau nak buat ni?” Mikaela cemas. Matanya bulat memerhatikan pisau di tangan Kiega. Apa yang nak dilakukan lelaki itu sebenarnya?
            Lelaki itu memandang sebentar ke arah Mikaela. Seketika pandangannya dilontar ke arah Alwiz Villaneuva yang masih belum sedarkan diri.  Pisau di tangannya dihunus seraya melangkah perlahan-lahan ke arah lelaki di dalam tiub besi itu.
            Mikaela tiba-tiba menghalang di hadapannya. “Jangan! Aku tak boleh benarkan kau bunuh dia!” Herdik Mikaela.
            “Jangan campur Mika. Urusan kau dah selesai. Aku dah tukar fikiran aku. Aku tak perlukan dia lagi untuk dapatkan apa yang aku mahu.”
            “Tidak! Kau dah berjanji dengan aku Kiega. Apakah kau dah lupa?” Mata Mikaela menatap dingin ke wajah Kiega yang kelihatan berang. Kiega menoleh tajam ke arah Mikaela.
            “Aku tak berjanji apa-apa dengan kau Mika.” Getus Kiega kasar.
            “Jangan nak berdalih. Kalau bukan sebab kau, aku takkan mengorbankan kerjaya aku. Kerana kau, aku curi hasil eksperimen aku sendiri selama bertahun-tahun di makmal United Silira. Sekarang kau nak bunuh lelaki ini dan musnahkan subjek aku yang paling sesuai? Tidak! Aku takkan benarkan. Sekurang-kurangnya tunggu sehingga eksperimen yang aku jalankan berjaya.” Getus Mikaela tegas.
            Kiega terdiam. Dia memandang lelaki di dalam tiub kaca itu dengan perasaan bergelora. Ada hutang lama yang harus dilangsaikannya dengan Alwiz Villaneuva.
            “Kalau kau teringin nak bunuh dia, sekurang-kurangnya dapatkan dulu Arina. Bukankah lebih baik kau bunuh lelaki ini di hadapan perempuan tu? Bukankah itu yang kau harapkan selama ini?” Provok Mikaela lagi.
            Kiega memandang gadis itu. Bibirnya diketap rapat.“Apa rancangan kau dengan Kristal Ais tu?” Soal Kiega, ingin tahu.
            Mikaela ketawa kecil. Dia merenung puas pada bahan berwarna putih berkilat yang terdapat di dalam kebuk di hadapannya. Bahan itu bergerak-gerak di dalam kebuk itu bagaikan bernyawa.
            “Kau tahu bagaimana Kristal Ais ditemui?” Tanya Mikaela tanpa menjawab pertanyaan Kiega. Lelaki itu menjongket bahunya. Ternyata Kiega tidak berminat mahu ikut meneka sebarangan.
            “Kononnya Kristal Ais bukan berasal dari tempat kita atau berasal dari mana-mana negara di dalam persekutuan. Pihak saintis di Silira berpendapat, ia dibawa oleh suatu entiti dari luar dimensi kita. Tak ada sesiapa pun yang boleh menjawabnya. Tapi ia muncul sejurus selepas apa yang berlaku di Drutasia. Sejurus selepas Awan Blommer dipulihkan. Pihak Majlis Drutasia yang membawanya ke Silira selepas itu.”
            “Aku tak faham.” Ujar Kiega dengan wajah serius.
            Mikaela ketawa kecil. “Aku rasa Kristal Ais adalah salah satu dari hasil ciptaan Bloomer.”
            Kiega mengeluh panjang. Dia langsung tidak berminat mahu ambil tahu tentang asal-usul Kristal Ais yang dimaksudkan oleh Mikaela. Kalau bukan kerana rancangan Aurora, dia tentu takkan melibatkan Mikaela dalam situasinya.
            “Jangan bimbang Kiega, sejurus selepas eksperimen aku siap. Aku akan tunjukkan pada kau apa yang boleh dibuat dengan Kristal Ais. Kau tentu akan takjub dengan hasilnya nanti. Lagipun ini cara terbaik untuk menghapuskan Akademi dan para gereronya.” Tukas Mikaela lagi.
            Kiega tidak berkata apa-apa. Bahan putih di hadapannya yang bergerak-gerak secara rawak seolah-olah mahu keluar dari kebuk itu direnung penuh perhatian. Dia tahu eksperimen yang dilakukan oleh Mikaela di Silira berkenaan bahan aneh itu, telah dihalang oleh pihak berkuasa Silira. Ini kerana ia telah menyebabkan kematian seorang pengawal di makmal Silira United beberapa minggu sebelum ini. Mikaela telah dihalang untuk meneruskan kajiannya. Peruntukan perbelanjaan untuk kajian yang dilakukan gadis itu juga telah ditarik balik. Malah bahan itu telah dihabakan dengan suhu yang amat panas dan dibawa ke Camelot. Mikaela sendiri ditugaskan oleh bekas majikannya untuk menyelia proses penyimpanan Kristal Ais di bangunan Artsis.
Meskipun bangunan Artsis dianggap galeri penyimpanan bahan-bahan sejarah, namun tidak ramai yang tahu bahawa galeri itu mempunyai ruang rahsia menyimpan bahan-bahan yang diklasifikasikan sebagai Red Code atau mempunyai unsur-unsur bahaya kepada dunia. Pihak Silira tidak berani memusnahkan unsur yang tidak diketahui dalam Kristal Ais kerana bimbang akan kesannya. Jadi cara terbaik ialah menyerahkan bahan itu kepada jagaan pihak Artsis.
Bagi Kiega sendiri, dia tidak pasti apakah sebenarnya eksperimen yang sedang dilakukan oleh Mikaela. Dia hanya nampak Mikaela menggunakan sebahagian kecil bahan itu pada Alwiz di Tasik Dracol, sehingga menyebabkan Alwiz tersungkur jatuh dan tidak sedarkan diri sehingga sekarang. Malah sebelum lelaki itu pengsan, dia sempat melihat perubahan pada tekstur kulit Alwiz yang kelihatan putih dan dingin. Anak mata lelaki itu juga turut bertukar putih. Seolah-olah seperti seluruh organ-organ penting lelaki itu sedang berubah menjadi ais.
“Boleh aku tanya sesuatu?” Soal Mikaela tiba-tiba.
Lamunan Kiega terhenti seketika. Dia menoleh memandang ke arah gadis di sampingnya. Wajahnya hambar seperti tidak mempunyai emosi.
“Apa yang akan kau lakukan jika kau menemui Arina Villaneuva?” Soal Mikaela ingin tahu. Kiega terdiam.
“Kau akan bunuh dia bukan?”
Kiega mendengus keras. “Itu bukan urusan kau Mika.”
Mikaela ketawa kecil. “Betul kata ayah. Hubungan kau dengan Arina tak mungkin boleh diputuskan begitu sahaja.”
Kiega terpempan. Kata-kata Mikaela membuatkan darahnya meruap. Dia benar-benar benci dengan apa yang dilakukan oleh Mikaela. Gadis itu sentiasa mencari peluang untuk membuat analisis psikologi terhadapnya. Dengan wajah serius, dia segera melangkah keluar dari makmal sementara Mikaela.
Di luar bilik, matanya terpandang kelibat Emma sedang tercegat di luar pintu makmal. Kiega merenung sejenak ke arah gadis yang berpakaian serba hitam yang hanya tunduk memandang ke bawah. Nafasnya dilontar kasar.
“Tidur awal malam ni. Kita ada tugas penting esok.” Ujar Kiega lalu melangkah melewati gadis itu.
“Kiega…” Panggil Emma sebelum sempat Kiega meneruskan langkah. Dia tercegat seperti patung
“Kenapa kau tak jawab pertanyaan Mika tadi?”
Kiega terdiam. Rupa-rupanya itu yang mahu ditanyakan gadis itu. Dia tersenyum sinis lalu membalikkan tubuhnya.
“Untuk apa? Supaya kau puas hati mendengarnya bila aku katakan aku akan hapuskan dia?” Soal Kiega.
Emma terdiam sejenak. “Kau akan bunuh dia bukan?” Soal Emma inginkan kepastian.
Kiega tidak menjawab. Dengan pantas dia meninggalkan Emma di situ tanpa menoleh lagi. Emma hanya memerhatikan lelaki itu dengan wajah sangsi. Dia benar-benar tidak mengerti dengan pendirian Kiega. Di hadapan Tuan Drake dan Aurora sendiri, lelaki itu bersumpah akan membalas dendam di atas kematian Raja Kreuk. Apakah Kiega boleh memaafkan Arina yang telah mengkhianati mereka semua dan membunuh datuknya sendiri?
Sekalipun Kiega tidak sanggup membunuh kau, tapi aku akan memburu kau Arina. Aku akan balas semua yang telah kau lakukan pada aku! Getus Emma sambil meraba sebahagian pipinya yang cacat dengan kesan lecur. Parut di mukanya adalah bukti bahawa dendamnya pada Arina harus segera dilangsaikan.
*  *  *  *
Keiga menghempaskan tubuhnya di atas katil di biliknya. Kepalanya didongak ke arah siling bilik. Siling berwarna putih kapur itu seolah menayangkan semua fragmen-fragmen peristiwa yang telah berlaku dua tahun yang lalu. Imbasan-imbasan itu saling bertingkah dengan kata-kata Emma sebentar tadi.
“Kau akan bunuh dia bukan?”
“Mulai saat ini, Arina bukan lagi sebahagian dari anggota Lembah Hitam. Dia adalah musuh kita. Dia yang telah membunuh Tuanku Kreuk dan mengkhianati orang-orang kita di Drutasia. Kita harus mencari jalan untuk menghapuskan Arina dan para gerero di Akademi Drutasia dan sekaligus mengembalikan kekuasaan kita terhadap Lembah Hitam. Legasi Tuanku Kreuk harus diteruskan oleh Putera Kiega.” Kata-kata Aurora disambut oleh pekik sorai saki baki tentera-tentera Lembah Hitam yang terselamat ketika serangan besar-besaran di Drutasia beberapa tahun yang lalu. Kesemua mereka berkumpul di sebuah gudang lama yang ditinggalkan di pinggir Camelot.
Aurora memandang ke arahnya. Wanita itu segera tunduk sujud ke arahnya. Gerak-geri Aurora diikuti oleh semua tentera-tentera Lembah Hitam yang masih tinggal. Dia terpanar. Dalam keadaan dirinya yang masih belum pulih sepenuhnya, dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya.
Matanya menjeling ke arah Tuan Drake yang tercegat di suatu sudut. Matanya mengisyaratkan sesuatu pada Tuan Drake, mengharapkan bantuan pada ketika ini. Namun  lelaki itu tiba-tiba turut tunduk ke arahnya, membuatkan dia tergaman.
“Tuan Drake…”
Lelaki itu mengangkat wajahnya sedikit. “Mulai saat ini, Putera Kiega adalah pemerintah Lembah Hitam yang baru. Tuanku akan menggantikan tempat datuk tuanku Raja Kreuk. Dan kami semua telah bersumpah untuk tetap taat dan setia pada pemerintahan baru Lembah Hitam.” Ujar Tuan Drake.
“Tapi Tuan Drake…” Dia ingin membantah. Namun kata-kata Aurora seterusnya membuatkan dia terpegun.
“Sebelum kekuasaan Lembah Hitam dipulihkan, tuanku harus menjalankan tugas pertama tuanku iaitu membunuh Arina Villaneuva. Seorang pengkhianat tidak pernah dibiarkan hidup oleh kerajaan kita. Itu peraturan organisasi kita yang harus dipatuhi oleh semua orang.” Tegas Aurora.
Kiega memejamkan matanya. Kelopak matanya bertaut erat. Namun bayangan wajah Arina muncul di fikirannya. Gadis itu tersenyum memandangnya. Dia ingin mencapai gadis itu, namun bayangan wajah Arina semakin jauh. Dia kecewa.
Hampir setahun lamanya baru dia pulih dari kecederaan. Tikaman Arina yang tepat ke perutnya sewaktu di istana Raja Eloran dua tahun yang lalu, bukan sahaja mencederakan dirinya, malah turut mematahkan hatinya. Dia nyaris mati. Dia malah koma selama berbulan-bulan lamanya. Setelah dia sedar dari koma, tidurnya hanya diganggu bayangan Arina. Bibirnya kerap meracau, menyebut nama gadis itu. Ternyata apa yang berlaku sangat memberi tamparan buat dirinya. Dia nyaris-nyaris hilang kewarasan diri, kalau bukan kerana Tuan Drake memulihkan dirinya. Membawanya kembali ke dunia yang seakan sepi dirasakannya.
Arina! Dia benar-benar tidak menyangka akan dikalahkan oleh emosinya terhadap gadis itu. Perasaan hanya melemahkan diri seseorang! Itu yang datuknya katakan dahulu. Mulanya dia tidak pernah memahami kata-kata lelaki itu. Kini segalanya menjadi semakin jelas di fikirannya.

1 comment:

Diyoung said...

salam.. kak mane lagi bab2 lain? knpe kasihku arina 2 tak publish je.. T_T..

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!