Followers

Monday, October 20, 2008

Vendetta 8

“Nenek…” panggil Kojie agak kuat. Dia melirik wanita itu dari cermin hadapan kereta. “Nenek tidur ke?” Tanya Kojie ingin tahu.
“Tak cu…nenek tak ngantuk. Malam-malam macam ni nenek memang tak boleh tidur.” Jawab nenek tua itu dengan suara sengau. Kojie mengerutkan dahinya. Tak boleh tidur? Setahunya orang yang sudah berusia agak lanjut mudah terlelap. Malah Mak Wan sendiri asal pukul 10 sudah masuk tidur. Berbeza dengannya yang terkontang-kanting menonton televisyen meskipun sudah pukul 1 atau 2 pagi.
“Agaknya nenek rindu sangat nak ke rumah anak nenek tu, sampai tak boleh tidur.” Ujar Kojie membuat kesimpulan sendiri.
“Mungkin agaknya.” Jawab orang tua itu.
“Dah dekat dah ni nek. Dalam setengah jam lagi kita akan sampai ke Gebeng.” Beritahu Kojie. Dia mengerling ke arah angka jam yang tertera pada skrin di hadapannya. Sudah masuk pukul 11 malam. Sepatutnya sejam tadi mereka sudah boleh sampai ke Kuantan, tapi kerana terlalu kerap berhenti, perjalanan mereka jadi tidak lancar.
Kojie mengerling ke arah Anabella yang diam sahaja sedari tadi. Wajah gadis itu tunduk ke bawah. Mulutnya terkumat kamit bagaikan membaca sesuatu. Dia hendak menegur tapi tidak jadi apabila teringatkan kata-kata Anabella yang agak karut marut sebentar tadi.
“Cu..” panggil nenek tua itu. Suaranya yang tadi halus semakin kasar pula kedengaran di telinga Kojie. Dia menyahut.
“Kenapa nek?”
“Boleh tak cucu suruh bini cucu tu berhenti. Nenek tak suka dengar.”
“Berhenti apa nek?” Kojie tercengang. Apa maksud kata-kata nenek itu.
“Berhenti membaca apa yang dia baca tu. Nenek cuma nak tumpang ke Gebeng, itu aje. Nenek bukan nak ganggu cucu.” Suara itu bagaikan merayu.
Kojie mengalihkan pandangan ke arah Anabella. Walaupun dia tidak faham apa sebenarnya maksud wanita itu, tapi pada sangkaannya gerak geri Anabella mengganggu nenek tua itu. Dia segera menyiku Anabella di sisinya.
“Bella…berhentilah. Nenek suruh kau berhenti tu.” Bisik Kojie perlahan.
Anabella langsung tidak memandang ke arah Kojie. Kepalanya yang dipanggung ke bawah sedari tadi tidak terangkat langsung.
“Bella…” Tekan Kojie.
“Gila kau nak suruh aku berhenti? Aku tengah takut ni tau tak?” Pintas Anabella dengan suara gementar. Dia cuba menguatkan bacaan ayat-ayat suci yang masih diingatnya. Semoga makhluk di belakang kereta itu akan berhenti menganggu mereka.
Bacaan ayat-ayat suci yang keluar dari mulut Anabella didengar oleh Kojie satu persatu. Dia tercengang. Rupa-rupanya mulut gadis itu terkumat kamit kerana sedang membaca ayat-ayat suci. Tapi kenapa? Namun belum sempat Kojie menyuarakan pertanyaan, suara nenek itu singgah lagi.
“Degilnya cucu ni, langsung tak kasihankan nenek.” Rintih suara itu dengan nada garau. Kojie tersentak. Suara keras dalam yang singgah di cuping telinganya, cukup untuk membuatkan dia berpaling. Tapi melihat wajah nenek itu mula berubah buruk dengan rambut mengerbang ala Sophea Loren zaman 70an dulu, dia terus ternganga. Serentak kakinya tanpa sedar menekan brek sehingga tayar kereta itu berkeriut.
Anabella sendiri nyaris-nyaris tersembam ke hadapan. Dia menoleh. Di lihatnya wajah Kojie pucat lesi. Nafas lelaki itu tercungap-cungap bagaikan baru berlari 100 meter di arena pecut. Anabella yang terkejut melihat keadaan Kojie mula menyedari sesuatu. Namun dia tidak berani bertanya terus terang, apatah lagi lembaga itu masih berada bersama mereka.
Dia mencuit lengan Kojie perlahan-lahan. Lelaki itu menoleh. Peluk renek mula membasahi dahi Kojie.
“Kan aku dah cakap tadi…” Anabella mengetapkan bibirnya. Kojie hanya mengangguk. Menyesal aku tak dengar cakap dia ni tadi. Mak aii aku bawa hantu rupanya!
* * * *
Sebaik keretanya berhenti di tepi sebuah kawasan hutan, lembaga menyerupai nenek tua itu turun dengan senyuman gembira. Lega kerana sampai juga ke rumahnya agaknya! Kojie dan Anabella tidak berani menegur lembaga itu. Kaki Kojie sudah bersiap sedia di hadapan pedal, bersedia untuk beredar dari situ. Tapi entah kenapa kakinya terasa berat bagaikan baru diikat dengan sebiji batu besar.
“Cucu berdua tak mahu singgah?” Pelawa lembaga itu sambil memandang ke arah Kojie. Kojie tersentak. Anabella hampir mahu pitam mendengarnya.
“Err..tak apalah nek, kami dah lambat ni. La…lain k….kkali…sajalah.” Jawab Kojie tergagap-gagap. Matanya masih ragu-ragu mahu memandang lembaga itu. Takut matanya tersapa wajah buruk yang berambut mengerbang itu.
“Tak apalah macam tu, apa boleh buat…orang tak sudi. Rumah nenek kat depan tu aje. Lain kali kalau lalu ke mari, singah-singgah la yer.” Tukas lembaga itu lagi.
“Cu….” Lembaga itu menjengah di tepi Anabella pula. Gadis itu terkejut besar. Mahu gugur jantungnya disergah begitu secara tiba-tiba. Kalau orang yang menyergah, tidaklah dia sampai terkejut beruk begini. Ini hannnntuuuu….
“Yaa….ya nek…” sahut Anabella tergagap-gagap. Dia memberanikan diri memandang lembaga itu. Tapi anehnya wajah buruk yang dilihatnya tadi kini berganti rupa nenek itu semula. Rambut mengerbang ‘stylo’ nenek itu juga sudah kemas berikat siap dengan cucuk sanggulnya sekali. Anabella terus terpaku memandang wajah nenek tua itu.
“Cu, tak payahlah susah-susah nak ke Cherating. Orang dekat dah ada, kenapa nak juga dicari orang yang jauh?” Ujar nenek tua itu seraya tersenyum sumbing. Anabella tergaman. Bagaimana lembaga itu tahu dia mahu ke Cherating? Terkulat-kulat dia memandang lembaga itu melangkah perlahan menuju ke kawasan hutan tebal di situ. Sepantas kilat lembaga itu menghilang di tengah kepekatan malam yang sedikit berkabus. Anabella dan Kojie masih terpaku di situ, tidak bersuara walau sepatah pun. Masing-masing masih belum hilang rasa terkejut dengan kejadian yang menimpa. Lagi-lagi buat kali pertama dalam hidup, kereta mereka dinaiki entiti halus.
“Kita nak gerak ke?” Soal Kojie tiba-tiba. Stereng kereta diramas kuat. Kakinya yang terasa berat tadi, masih belum mahu ringan juga. Dia mengerling ke arah Anabella.
“Takkan kita nak tunggu nenek tu muncul lagi. Lagi cepat kau boleh tinggalkan tempat ni lagi baik.” Balas Anabella tanpa memandangnya. Mata gadis itu asyik mengawasi kawasan pinggir hutan tempat mereka menurunkan lembaga itu. Begitulah permintaan lembaga itu tadi.
“Nenek takkan ganggu cucu berdua kalau cucu berdua sanggup hantarkan nenek pulang.” Begitulah permintaan lembaga itu. Mahu tak mahu Kojie terpaksa meneruskan misi mereka membawa hantu itu ke pinggir kawasan hutan itu meskipun mereka masing-masing sudah seram sejuk.
Setelah beredar agak jauh dari kawasan hutan itu dan masuk semula ke jalan besar, barulah Kojie dan Anabella sedikit lega. Anabella sudah mengurut-gurut dadanya yang terasa sesak. “Ha lain kali kalau ada lagi orang tua minta tumpang, apa kata kau tumpangkanlah sekali lagi.” Sindir Anabella. Entah mengapa dia rasa geram dengan tindakan Kojie yang tidak makan nasihat.
Kojie diam sahaja. Sedikit pun kata-kata Anabella tidak dilawan. Lagipula dia sedar semua ini salahnya. Itulah kerana nak berbudi punya fasal, tak fasal-fasal budinya ditabur pada salah ‘benda’. Hehehhe..tapi kelakar juga bila difikirkan semula. Kojie tersenyum tanpa sedar. Mentang-mentanglah nenek tu dah tak ada, baru dia berani tergelak begini. Cubalah jika nenek itu ada, mahu gugur kepala lututnya dan masing-masing menikus sahaja seperti orang bisu.
“Kita ke Cherating lepas ni.” Putus Anabella agak tegas. Dia masih dengan keinginan asalnya mahu ke tempat itu. Kojie menoleh, sedikit geram.
“Yalah, aku nak bawalah ni. Bukan jauh sangat pun Cherating tu dari sini.” Gumam Kojie seraya mencebik. Anabella mengerling lelaki itu. Namun dia tidak bersuara lagi kali ini.
* * * *
Apabila kereta yang dipandu Kojie membelok ke sebuah resort dan berhenti di kawsan parking tersedia, Anabella terburu-buru keluar. Kojie hanya mampu menggelengkan kepala melihat gadis itu bergegas ke arah lobi resort. Huh, tak sabar-sabar! Bisik Kojie separuh mencebik. Sejurus menguncikan pintu, Kojie turut menuruti Anabella.
Di kaunter resort itu, tidak ada seorang pun kelihatan. Mungkin kerana jarum jam sudah menunjukkan waktu hampir 12.30 tengah malam. Anabella seperti orang sasau mencari-cari orang di kawasan sekitar.
Kojie hanya memandang selamba. Gerak geri gadis itu entah kenapa membuatkan dia tersenyum panjang. Tiba-tiba Anabella berpaling. Melihat senyuman yang terjuih di bibir lelaki itu, Anabella menjegilkan matanya. Kojie tetap sahaja tersenyum. Sedikit pun dia tidak peduli pada pandangan mata Anabella yang menikam tepat ke wajahnya. Saat itu wajah Anabella yang cemberut benar-benar menghiburkan hatinya.
“Kenapa kau ketawa?” Soal Anabella dengan wajah berang.
Kojie tergelak kecil seraya melangkah mendekati gadis itu. Dia memandang di sekelilingnya. Tidak ada seorang pun petugas di resort itu. Apa punya resort ni? Tak mungkin seorang pun tak ada, keluh Kojie.
“Mana semua orang ya?” Tanya Anabella cuak.
“Entah, semuanya tidur agaknya. Lagipun cuba kau tengok jam pukul berapa sekarang ni? Tak ada manusia normal yang akan merayau-rayau macam kita ni.” Balas Kojie seraya mengeluh. Dia membantingkan dirinya ke salah satu sofa yang berada di situ, melepas penat dan lelah kerana seharian memandu.
Anabella mula tidak keruan. “Kojie, kau pergilah cari pekerja-pekerja kat sini. Takkan kita nak duduk macam ni aje sepanjang malam.” Desak Anabella.
“Apasal aku pulak? Kau yang beria-ria nak datang sini, kaulah yang cari pekerja resort ni. Lagipun aku dah jadi driver sepanjang malam ni dah cukup bagus.” Getus Kojie seraya memejamkan matanya. Pura-pura tidur!
Anabella mengetapkan bibirnya. Terasa geram. Kerek punya mamat! Kalau bukan kerana kau tumpangkan hantu tu, takkan sampai lewat aku kat sini! Rungut Anabella di dalam hati. Kalau diikutkan hatinya yang panas, mahu rasanya dia meluku-luku kepala mamat tiga suku ni.
Mahu tak mahu Anabella terpaksa meliarkan matanya. Merenung setiap inci ruang di situ. Tiba-tiba mata Anabella terpandangkan sesuatu di atas kaunter di situ. Serta merta dia tersenyum lebar. Lorr…await aku tak nampak pulak tadi?
Dia segera melangkah ke arah kaunter berbentuk ‘table bar’ lalu sepantas kilat menekan punat loceng yang tertera di atas meja. Sekali menekan dia mendiamkan diri. Namun tidak ada tanda-tanda orang datang. Anabella mengeluh panjang. Dia mencuba lagi sambil mengerling ke arah Kojie yang sedang lena. Melihat lelaki itu nyenyak tidur dengan kaki bersilang, Anabella menggumam geram. Eiiii bengangnya aku dengan dia ni! Dia mengalihkan pandangan. Serentak matanya terperosok pada satu wajah yang tiba-tiba muncul di hadapannya. Serta-merta wajah Anabella berubah pucat. Peluh dingin memercik di dahinya. Jantungnya juga seolah ditarik keluar. Tak mungkin!
“Boleh saya bantu cik?” Suara itu mendatar tapi nadanya sama. Senyuman itu juga sama. Anabella mengerdipkan matanya beberapa kali. Dia cuba memastikan apakah dia tidak silap pandang. Tapi makin lama dia pandang, dia semakin gementar. Anabella cepat-cepat menghampiri Kojie yang sedang tidur. Sambil matanya mengawasi wajah di hadapannya, dia menarik-narik baju kemeja Kojie.
“Kojie, bangunlah…..” bisik Anabella perlahan. Kojie mendengus bagaikan marah Anabella menganggu tidurnya.
“Kojie…..bangun! Bangunlah Kojie.” Desak Anabella. Kojie yang mula rimas dengan gangguan Anabella terus membuka matanya. Tapi melihat wajah yang sedang tersenyum memandangnya, Kojie tersentak. Bedebub! Dia tercampak dari sofa yang didudukinya. Aduh! Wajahnya berkerut tapi dengan cepat dia bingkas bangun. Matanya membulat memandang lurus ke hadapan. Oh tuhan! Takkan sekali lagi?
“Kenapa ni? Macam nampak hantu je?” Wanita itu menegur.
Kedua-duanya serentak mengangguk. Ahah, memang pun! Siapa pun pasti terkejut kalau nampak nenek tua yang mereka jumpa tadi, tiba-tiba muncul semula. Itupun dengan pakaian kebaya nyonya yang ketat dan sendat.
“Nek, tolonglah jangan ikut kami lagi. Kami kan dah hantar nenek balik.” Tak disangka-sangka Kojie menyembah sujud di hadapan wanita tua itu. Wanita itu tergaman dengan tindakan drastik Kojie.
“Kalau nenek nak kacau orang pun, kacaulah orang lain. Saya ni baik nek, jarang tinggal sembahyang.” Rayu Kojie bersungguh-sungguh. Anabella hampir tergelak kecil mendengar kata-kata Kojie. Heheheh kuat sembahyang konon. Nampak aje macho, tapi penakut rupanya! Anabella menutup mulutnya sambil sedaya upaya menahan gelak. Tapi melihat panahan mata wanita tua itu menuju ke arahnya, serta merta ketawa Anabella mati. Renungan wanita itu membuatkan dia kecut perut.
* * * *
Dua biji mug diletakkan di hadapan Kojie dan Anabella. Sepiring kek coklat basah juga dihidangkan bersama. Anabella dan Kojie meneguk liur. Kecur lidah masing-masing menatap potongan kek yang nampak sedap di dalam pinggan. Lagi pula perut masing-masing sudah berkeroncong berghazal menahan lapar.
“Hah tunggu apa lagi? Makanlah,” suruh wanita itu. Kojie yang mula-mula menghulurkan tangan, tapi dengan sepantas kilat ditepis oleh Anabella. Kojie tersentak. Dia memandang Anabella yang mengenyitkan mata seolah memberi isyarat.
“Apa?” Tanya Kojie tidak faham.
Anabella membeliakkan matanya besar-besar. Namun tindakannya hanya mengundang kebingungan pada diri Kojie. Dia mengaru kepala tidak gatal seraya mengangkat bahunya.
Anabella mengguman geram dengan sikap Kojie. Hish tak tahu serik mamat ni, keluh Anabella. Melihat wajah Kojie yang mencuka, Anabella segera mendekati Kojie.
“Kau dah pasti ke nenek ni bukan versi yang tadi? Entah-entah manalah tahu makanan yang dia bagi kat kita ni cacing ke, ulat ke…” Anabella berbisik perlahan. Dia hampir terjeluek. Hanya membayangkan sahaja sudah cukup membuatkan dia hampir mahu muntah.
Mendengar kata-kata Anabella, Kojie tidak jadi mengambil makanan. Dia hanya menelan liur sahaja. Keduanya ragu-ragu mahu menyentuh makanan yang dihidangkan. Wanita itu menjeling keduanya dengan wajah hairan. Apa sajalah dua orang ni, keluh wanita itu.
“Hai tak sudi ke nak sentuh makanan yang makcik buat ni?” Kata-kata wanita itu bagaikan berjauh hati. Kojie dan Anabella saling berpandangan. Makcik? Takkan mentang-mentang dah tukar cara dressing, tiba-tiba sahaja panggilan nenek dah bertukar jadi makcik pula! Begitulah corak pemikiran Kojie dan Anabella ketika itu.
“Err nek, kenapa nenek ikut kami? Nenek sesat lagi ke?” Anabella memberanikan diri bertanya. Manalah tahu kalau-kalau nenek itu mahu mereka menghantarnya pulang sekali lagi. Kalau begitulah hasrat nenek itu, Anabella sudah berkira-kira mahu membiarkan Kojie seorang diri sahaja menghantar nenek itu pulang. Lagipun lelaki itu yang mula-mula mencari masalah.
“Nenek? Hihihihihi.” Wanita itu ketawa besar sambil memegang perutnya. Anabella memandang ke arah Kojie. Salah ke pertanyaan aku ni? Dia bingung.
“Kamu berdua ni kenapa? Umur makcik ni baru je nak masuk 50 tahun. Cucu baru seorang. Tua sangat ke makcik ni?” Dia mengilai-gilai lalu ketawa besar. Kojie dan Anabella saling berpandangan. Hairan mendengar kata-kata wanita itu yang dirasakan agak aneh. Ada cucu? Cucu hantukah? Kojie termangu-mangu. Dia menatap wanita itu dalam-dalam. Sememangnya wanita itu nampak lebih muda dari nenek yang mereka temui tadi. Tapi wajah kedua-duanya memang mirip. Itulah sebabnya dia dan Anabella terkejut besar.
“Nama makcik Kamariah. Resort ni anak makcik yang punya.” Wanita itu memperkenalkan diri.
“Makcik Kamariah?” Kojie masih ragu-ragu.
“Ya, Kamariah Binti Abu. No I/C makcik kamu tak nak tengok sekali ke?” Ujar wanita itu bagaikan menyindir kedua-dua anak muda berperangai aneh di hadapannya. Sudahlah datang pagi-pagi buta, entah apa mereka mahu agaknya!
Kojie hanya tersengih mendengar kata-kata Makcik Kamariah. Dia melemparkan pandang ke arah Anabella yang turut bingung.
“Sebenarnya makcik, tadi kami jumpa dengan seseorang, iras betul dengan wajah makcik. Sebab tu kami terkejut bila terserempak dengan makcik.” Jelas Anabella agak ragu-ragu. Separuh hatinya masih belum percaya yang wanita itu manusia biasa. Diam-diam dia melirik ke arah wanita itu.
Seperti yang diduga Makcik Kamariah nampak terkejut mendengar penjelasan Anabella. Dia memandang kedua anak muda itu silih berganti. Wajahnya nampak keliru.
“Kamu jumpa orang yang seiras dengan makcik?” Dia bertanya.
Serentak Kojie dan Anabella mengangguk.
“Tua?”
Sekali lagi kedua-duanya mengiyakan. Suasana jadi semakin suspen apabila Makcik Kamariah tiba-tiba terdiam begitu sahaja bagaikan sedang memikirkan sesuatu. Anabella sendiri sudah tidak sabar ingin tahu siapakah sebenarnya nenek yang mereka jumpa tempohari. Entah kenapa dia yakin nenek tua itu ada kaitan dengan Makcik Kamariah yang berada di hadapannya kini.
Kerana perasan dengan tingkah Kojie yang tidak banyak berbicara, memaksa Anabella mengalihkan pandangannya. Melihat Kojie diam-diam sedang enak menikmati kek coklat buatan tangan Makcik Kamariah, Anabella menjegilkan biji matanya. Bertuah punya budak! Kita sedang sibuk memikirkan misteri nenek tua itu, alih-alih dia sedap aje menyumbat mulut sendiri, rungut Anabella di dalam hati.
Namun apabila melihat Kojie nampak berselera menyentuh kek coklat itu, tiba-tiba sahaja selera Anabella turut bangkit. Sepantas kilat dia mencapai sekeping kek coklat lalu disua ke mulutnya. Hmmm..nyum..nyum sedapnya. Lepas sepotong…sepotong lagi kek coklat dicapai, sehingga akhirnya hanya tinggal sepotong.
Anabella memandang Kojie. Lelaki itu turut memandangnya dengan mulut sememeh dengan krim coklat. Tapi mata Kojie tajam mengawasi gerak geri Anabella. Anak mata Anabella juga sekejap-sekejap ditala pada wajah Kojie, sekejap-sekejap pula pada potongan kek terakhir di pinggan Pyrex milik Makcik Kamariah. Mata keduanya meliar mengawasi antara satu sama lain. Kerut yang muncul di wajah keduanya bagaikan memberi petanda, jangan ada sesiapa yang berani merampas potongan kek coklat terakhir yang sungguh sedap itu.
Kojie sudah mengetapkan bibirnya. Jari-jemarinya bergerak-gerak tanda sudah bersedia. Jikalau gadis itu main kasar, dia juga akan main kasar. Siapa kata dia akan mengalah semata-mata kerana Anabella seorang perempuan? Takkan sesekal! Teguh pendirian Kojie kali ini.
Namun tiba-tiba mata Kojie tercengang melihat wajah Anabella yang tiba-tiba terkejut bagaikan terpandang sesuatu di belakangnya. Telunjuk gadis itu terketar-ketar diangkat di hadapannya. Kojie mula tidak sedap hati. Alamak, nih yang tak best ni! Aduh, ingin rasanya dia berpaling tapi perasaan bimbang lebih menguasai diri. Bukankah Mak Wan sering berpesan padanya, ‘Kojie….ingat! Walau apa-apa pun yang berlaku…jangan sesekali kamu pandang belakang.’
Walaupun mirip dengan tagline yang digunapakai oleh Khatijah Tan dalam filem ‘Jangan Pandang Belakang’. Tapi yang sebenarnya filem itu yang meniru tagline yang sudah berkurun digunakan oleh Mak Wan kesayangannya. Begitulah selalunya pesan Mak Wan setiap kali menghantar pemergiannya ke surau berhampiran untuk sembahyang berjemaah.
Dan kerana ini jugalah yang membuatkan kepala lutut Kojie bertambah gementar. Nafasnya juga mula tidak keruan. Sememangnya dunia ini bukan dihuni oleh makhluk yang bernama manusia sahaja. Ada banyak makhluk Allah yang lain samaada yang nyata atau tidak nyata. Tidak! Aku tidak boleh jadi penakut. Aku kena ingat yang Allah lebih besar dari mana-mana makhluk yang terdapat di dalam dunia ini. Tiba-tiba muncul setipis keberanian dalam diri Kojie.
Berbekalkan sedikit keberanian inilah, Kojie memaksa diri berpaling perlahan-lahan. Tapi melihat gelap pekat malam yang kosong dan hambar, Kojie tergaman. Aikk dah lari ke? “Bella, apa yang kau….” Dia berpaling. Tapi melihat wajah Anabella tersenyum-senyum memandangnya, darah Kojie menyirap. Serentak matanya berlari ke arah pinggan berisi kek yang kini licin kosong. Arghhhh…tidakkkk! Hati Kojie menjerit nyaring di dalam. Kenapalah aku ni mudah sangat ditipu dia? Rungut Kojie separuh geram. Sengihan Anabella ditatap dengan pandangan tajam. Gadis itu mencebik dengan wajah sinis. Hati Kojie semakin bertambah jengkel.
“Makcik kenal siapa yang kamu jumpa dalam perjalanan tadi.” Ujar Makcik Kamariah tiba-tiba. Serentak perang dingin antara Kojie dan Anabella terhenti begitu sahaja. Kedua-duanya terpaku memandang wanita itu.
“Dia nenek kepada makcik. Namanya Che Putih. Tapi dia hilang hampir empat puluh tahun yang lalu. Sampai sekarang tak ada siapa pun yang tahu mana dia pergi atau apa sudah jadi dengannya. Kata mak makcik dulu, muka makcik dengan nenek makcik tu memang saling tak tumpah.” Ujar Makcik Kamariah membuatkan Kojie dan Anabella ternganga. Jadi betullah nenek tua tu hantu?

3 comments:

bidadari cinta said...

wah..ini cite hantu ker???seram plak..

misz nana said...

serius seram part dorang bawak nenek tua tu..
meremang bulu roma!

sy sebenarnya kesian kat kojie..
asyik kena main ngan bella je..
geram gak kat bella tu!
eeeiii..

keSENGALan teserlah.. said...

eeeeiii..
seramnyeee..
nek bulu roma nieh..
seyes..
da la bce tgh mlm nieh..
hadoyy..
btw,,klaka si kojie nieh..
penakut...bella lx plak..

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!