Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 20


            Duha Maisara menarik nafas panjang. Dia cuba bertenang. Beberapa surah suci yang diingatnya dibacanya. Tak putus-putus dia berdoa agar tuhan melindunginya dari sebarang bahaya.

            Lama dia berteleku di luar pintu bilik. Tombol pintu bilik itu hanya dipandang sepi. Dia ragu-ragu mahu membuka pintu bilik itu. Namun mengenangkan situasi Mami Jun mungkin akan jadi sukar kerananya, dia memaksa dirinya bertenang. Nafasnya ditarik panjang-panjang, bersama tombol pintu yang sudah dipulas.

            Berkeriut bunyi pintu ditolak dari luar. Namun tumpuan Duha Maisara cepat terarah ke arah sesusuk tubuh yang sedang duduk di atas sofa, mengadap ke arah skrin tv besar. Apabila lelaki itu menoleh, darah Duha Maisara menyirap. Nafasnya seperti hendak terhenti. Dia lagi? Apa dia mahu?

            Duha Maisara melangkah masuk perlahan-lahan, menuju ke arah lelaki itu. Setiap aturan kakinya terasa dintai oleh sepasang mata lelaki itu. Dia rasa kekok. Apatah lagi apabila teringat peristiwa dia didakap lelaki itu di bilik yang sama. Malunya masih tebal di mukanya.

            “Encik nak jumpa saya?” Tanya Duha Maisara perlahan. Dia tunduk, tidak berani memandang lelaki itu.

            “Kau rasa ada orang lain di sini selain aku?” Soal lelaki itu tenang. Duha Maisara tercengang. Terasa malu kerana bertanya soalan bodoh. Padanlah dengan jawapan yang aku perolehi, desis hatinya.

            “Duduk.” Suruh lelaki itu. Seperti orang bodoh, Duha Maisara mengikut.

            “Apahal encik nak jumpa dengan saya?” Dia terus bertanya, ingin tahu. Lelaki itu mengangkat mukanya menatap ke arahnya. Tajam renungan itu singgah di wajahnya. Duha Maisara terkedu. Pandangan itu terasa menjalar ke lubuk hatinya.

            “Boleh kau beritahu aku berapa bayaran pelayan-pelayan di kelab malam ni dapat untuk semalam?” Soal lelaki itu tiba-tiba.

            Dia hanya diam. Dia bukannya ambil tahu tentang soal bayaran orang lain.

            “Bagaimana dengan seorang penyanyi? Berapa yang kau dapat untuk semalam?”

            Duha Maisara terkejut. Bulat matanya memandang lelaki itu yang nampak selamba. Apa maksudnya bertanya begitu?

            “Kalau tak silap aku lebih kurang RM300 untuk dua buah lagu, dan selang semalam kau akan menyanyi di sini kan?” Lelaki itu tergelak kecil. Darah Duha Maisara sudah naik ke muka. Lelaki itu seolah sudah maklum dengan tugasnya.

            “Tak perlu kau nak tunjukkan airmuka terkejut. Bos kau dah beritahu aku segala-galanya. Bagaimana kalau aku bayar kau RM1000 setiap malam untuk menemani aku? Kau mahu?” Bibir itu tersenyum, sedang Duha Maisara pula mengetapkan bibirnya. Dia bingkas bangun dari sofa. Wajahnya merah padam. Entah kenapa kata-kata lelaki itu menyakitkan hatinya. Dia sudah tidak tahan mendengarnya. Betul seperti apa yang disangkanya, lelaki yang pernah menolongnya itu sama sahaja seperti lelaki-lelaki lain yang dikenalinya. Semuanya mahu mengambil kesempatan.

            “Encik, sudah saya katakan yang saya bukan pelacur. Tawarkan sahaja RM1000 encik tu pada orang lain. Saya tak berminat.” Ujar Duha Maisara seraya beredar ke arah pintu.

            “Cik Duha Maisara…” Panggil lelaki itu. Duha Maisara tergaman. Langkahnya terhenti. Lancar lelaki itu menyebut namanya membuatkan dia dipalit rasa hairan.

            “Sekali kau melangkah keluar dari bilik ini, kau mungkin akan menyusahkan kawan-kawan kau di luar sana.” Kata-kata lelaki itu mengejutkannya. Duha Maisara menoleh. Apa maksud lelaki itu? Tiba-tiba dia teringat wajah Mami Jun yang kelihatan gusar. Tentu ada sesuatu yang berlaku, jika tidak Mami Jun takkan bersikap begitu.

            “Apa awak nak sebenarnya?” Soal Duha Maisara resah. Hilang sudah panggilan ‘encik’ yang dibiasakan kepada lelaki itu.

            Lelaki itu melangkah ke arahnya. Semakin hampir. Namun sepasang mata itu masih menikam ke wajah Duha Maisara.

            “Aku cuma nak kau temankan aku, bila –bila masa aku perlukan kau.”

            “Saya rasa awak tak faham. Saya cuma penyanyi di sini, saya bukan GRO.” Tegas Duha Maisara. Lelaki itu mendekatkan wajahnya. Duha Maisara tergaman.

            “Kau sangka aku teringin nak buat benda tak senonoh dengan kau, begitu? Cik Duha, aku cuma minta kau temankan aku, itu saja. Temankan aku minum, temankan aku bila mood aku tak baik. Kalau kau tak suka, kau tak perlu berbual-bual dengan aku. Aku tak peduli samaada kau mahu bercakap atau tidak. Kalau aku teringin nak buat sesuatu, aku takkan pilih kau.” Ujar lelaki itu sinis.

            Duha Maisara tergaman dengan kata-kata lelaki itu. Entah kenapa dia malu sendiri. Tapi sikap lelaki itu kedengaran aneh. Betul ke dia takkan apa-apakan aku, hanya menemaninya saja? Tapi tawaran RM1000 itu agak lumayan, mungkin dengan wang itu, aku boleh tolong ayah melangsaikan hutangnya, fikir Duha Maisara.

*  *  *  *

            Lama matanya menjunam ke arah wang kertas berjumlah RM1000 yang diperolehinya tadi. Dia mula ragu-ragu, apakah tindakannya tepat? Tapi kalau difikirkan, tak salah dia menerima wang itu. Lagipun syarat lelaki itu hanya menyuruh dia menemani nya, bukannya melakukan sesuatu yang lain.

            RM1000 untuk setiap kali menemani lelaki itu. Bagaimana kalau seratus kali? Mahukah dia memberikan aku RM100,000? Hanya orang gila sahaja yang memberi wang sekadar untuk menemaninya duduk termenung.

            Memikirkan lelaki itu, hati Duha Maisara dipenuhi tandatanya. Sepanjang malam lelaki itu diam sahaja sambil menonton televisyen di bilik VIP itu. Sepatah suara tidak keluar dari mulutnya. Sesekali lelaki itu menghirup air oren yang dibawa oleh pelayan. Sedikit sebanyak hati Duha Maisara lega kerana lelaki itu tidak memesan arak. Jika tidak, bimbang juga dia jika lelaki itu mabuk-mabuk.

            Dalam diam-diam dia tak mampu melarikan matanya dari merenung lelaki itu. Meksipun airmuka lelaki itu dingin, entah kenapa dia tidak rasa lelaki itu berniat jahat terhadapnya. Malah lelaki itu sudah dua kali membantunya. Pertama kali di balai polis dan kali kedua ketika dia diburu musuh-musuh ayahnya. Mengenangkan kejadian di balai polis tempohari, Duha Maisara baru teringat yang dia masih menyimpan kot lelaki itu di rumahnya. Entah bila baru dia dapat memulangkan kot itu agaknya.

            Bagaimanapun wajah itu membuatkan hatinya merasakan sesuatu perasan aneh mula bersarang di jiwanya. Dia sendiri tidak tahu kenapa dan bila ianya bermula. Namun kali pertama menatap wajah itu lagi, hatinya seakan bergolak. Satu perasaan yang tak mampu dilakar dengan kata-kata.

            “Apa yang dimenungkan tu?” Tegur Zafran tiba-tiba muncul. Duha Maisara terkejut. Cepat-cepat dia menyimpan not-not yang dipegangnya. Dia tidak mahu Zafran tahu apa yang berlaku.

            “Duha ingatkan abang tak balik hari ni. Bila abang sampai?” Tanya Duha Maisara. Dia memang maklum dengan Zafran yang sentiasa sibuk di hospital. Jarang-jarang dia bermalam di rumah. Namun adakala Duha Maisara dapat merasakan yang Zafran sengaja bermalam di hospital. Sejak dia menumpang di rumah itu, hanya sekali Zafran bermalam. Selepas itu masanya banyak dihabiskan di hospital. Jika dia balik pun pada sebelah petang. Lewat tengah malam, Zafran akan keluar semula.

            Sedikit sebanyak Duha Maisara rasa lega. Sekurang-kurangnya Zafran tidak akan tahu ke mana dia menghilangkan dirinya setiap dua malam. Sampai sekarang Zafran tidak tahu tentang kerjanya di Blue Ocean.

Lagipun dengan adanya Zafran di rumah itu bersamanya, dia akan merasa kekok. Bimbang juga ada. Meskipun jiran-jiran Zafran sudah mengenalinya sebagai adik Zafran, hakikatnya hanya dia dan Zafran yang tahu.

            “Abang beli makanan untuk Duha, jom kita makan,” ajak Zafran seraya menarik tangan gadis itu. Duha Maisara segera mengekori Zafran ke ruang makan. Terkejut dia melihat makanan dan kek yang memenuhi meja makan. Dia memandang Zafran, tidak mengerti. Lelaki itu tergelak.

            “Duha lupa tarikh hari ini?” Tanya Zafran lembut.

            Dia menggeleng. Memang dia tidak tahu apa maksud makanan yang memenuhi meja itu. Bukan harijadinya juga, mungkinkah harijadi lelaki itu? Tapi seingatnya harijadi lelaki itu disambut pada setiap April. Jadi tarikh keramat apakah yang sedang mereka raikan sekarang?

            “Duha ni teruklah, benda macam tu pun boleh lupa.” Zafran tergelak besar. Duha Maisara juga tertawa. Dia memang pelupa soal mengingat tarikh. Sejak dulu dia begitu.

            Zafran menarik tangan gadis itu ke dadanya. Duha Maisara terkejut, namun dia hanya membiarkan. Mata Zafran kelihatan romantis memandangnya. “Hari ni, adalah tarikh pertemuan kita yang pertama. Tarikh di mana Duha, abang dan ayah bertemu. Saat itu adalah saat yang paling istimewa bagi diri abang. Saat yang harus kita raikan setiap tahun.” Bisik Zafran.

            Duha Maisara terdiam. Dia masih ingat setiap inci pertemuannya dengan Zafran. Siapa sangka sudah berbelas tahun masa berlalu. Kini mereka sama-sama dewasa. Sama-sama menjaga antara satu sama lain.

            Memandang Zafran, entah kenapa hati Duha Maisara jadi sebak. Jauh di sudut hati, dia juga sayangkan Zafran. Sejak kecil mereka bersama, mana mungkin dia tidak menyimpan apa-apa perasaan terhadap lelaki itu. Tapi perasaan yang wujud di hatinya tetap tak boleh disamakan dengan perasaannya yang dulu. Semua kelukaan yang pernah dirasakan dulu seolah membataskan perasaannya pada Zafran.

            “Duha? Kenapa Duha menangis?” Wajah Zafran kelihatan bimbang. Terkejut dia melihat mata gadis itu bergenang. Duha Maisara cepat-cepat mengesat airmata yang mengalir di pipinya. Dia tidak mahu Zafran melihat tangisan dalam hatinya.

            Tangan Zafran pantas memegang dagu Duha Maisara. Dia terpegun. Mata yang selalu bersinar itu benar-benar menitiskan airmata. Tapi kenapa? Kerana akukah Duha Maisara menangis?

            “Duha menangis sebab abang?” Zafran serba-salah. Tangannya dijatuhkan.

            Duha Maisara menggeleng. Dia mengesat airmata di hujung pelupuk mata. Perlahan-lahan dia memandang Zafran. “Bukan sebab abang. Duha menangis sebab gembira dipertemukan dengan abang. Kalau bukan sebab abang, entah di mana tempat Duha sekarang.” Keluh anak gadis itu.

            “Duha rindukan mak ayah Duha?” Duga Zafran.

            Anak gadis itu mengangguk. Itu juga salah satu sebabnya.

            “Betul sampai sekarang pun Duha tak ingat siapa mereka atau di mana mereka berada?” Tanya Zafran. Kasihan dia melihat Duha Maisara yang membesar tanpa keluarga.

            Gadis itu menggelengkan kepala. Hatinya terharu, terasa rindu, namun kerinduan itu cepat-cepat dihapuskan. Sekarang, hanya Zafran dan ayahnya Bustaman merupakan keluarga yang ada di hatinya. Dan mungkin dia takkan mendapat keluarga lain sebaik dia bersyukur dipertemukan dengan Zafran. Sekurang-kurangnya Zafran sentiasa di sampingnya, memujuk dan menjaganya sama seperti dulu.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!