Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 29


            Dia tergaman memandang lauk pauk yang terhidang di atas meja. Kepalanya diangkat memandang Zafran. Anak muda itu tertawa. Lucu melihat wajah Duha Maisara yang kaget.

            “Kenapa? Duha tak suka makanan-makanan ni semua?”

            “Bukan, tapi buat apa abang membazir belanja Duha makan di restoran mewah macam ni. Kalau abang nak makan sedap-sedap, Duha pun boleh masakkan.”

            Zafran tertawa lagi mendengar kata-kata Duha Maisara. Dia merenung anak gadis itu tidak berkelip. “Duha, malam ni malam yang istimewa bagi abang. Jadi apa salahnya kita habiskan sedikit duit untuk meraikan hari yang istimewa ni”

            Mata Duha Maisara tidak berkelip memandang Zafran. Hari yang istimewa?

            “Maksud abang?”

            Zafran tersenyum. Dia merenung Duha Maisara yang kelihatan keliru. Perlahan-lahan wajah anak gadis itu dirapati. “Petang tadi, abang dibenarkan mengikut Doktor Helmi ke bilik bedah. Dia benarkan abang jalankan beberapa proses, bersama dua doktor lain. Nampaknya dia berpuas hati dengan prestasi abang. Harap-harap selepas ini impian abang untuk bergelar pakar bedah akan tercapai.” Ucap Zafran gembira.

            Duha Maisara turut tersenyum. Dia juga gembira kerana Zafran semakin dekat dengan impiannya. “Tahniah Duha ucapkan pada abang. Duha tahu suatu hari nanti abang akan berjaya.”

            “Tapi kejayaan abang ini pun sebab Duha yang banyak menyokong. Abang yang sepatutnya ucapkan terima kasih pada Duha.”

            Duha Maisara terdiam. Melihat raut wajah Zafran yang ceria, Duha Maisara tidak sampai hati mahu memberitahu Zafran tentang Bustaman. Asalnya dia setuju keluar dengan lelaki itu malam itu, semata-mata mahu menyatakan perkara  yang sebenarnya. Tapi kini semuanya jadi rosak begitu sahaja. Mana mungkin dia rosakkan kebahagiaan Zafran malam ini dengan memberitahu segala-galanya pada lelaki itu.

            “Duha makan dulu, abang nak ke restroom sekejap,” pinta lelaki itu seraya bangun. Dia hanya mengangguk tanpa banyak soal. Sepeninggalan Zafran, mata Duha Maisara tak sudah-sudah memerhatikan ke segenap ceruk restoran itu. Beberapa pasangan di meja sebelah tak putus-putus memerhatikannya sampai dia naik segan.

Menyedari renungan-renungan itu tak lepas dari wajahnya, Duha Maisara semakin malu. Dia melihat dirinya sendiri. Pakaian yang membalut tubuhnya agak simple dan lusuh, tidak seperti gadis-gadis lain di restoran itu yang nampak cantik dengan dress malam.

Segan sendirian lama-lama di situ, Duha Maisara bingkas bangun. Dia juga ingin beredar ke bilik air. Namun belum sempat dia melangkah, dua lelaki berpakaian kasual tiba-tiba memasuki restoran itu dari pintu utama. Dia tergaman. Kemunculan lelaki itu benar-benar membuatkan dia terkejut. Semalam tak putus-putus dia berdoa agar dipertemukan dengan lelaki itu sekali lagi. Tak sangka malam ini hasratnya tercapai.

Melihat lelaki itu beredar ke sebelah bersama temannya, Duha Maisara terburu-buru melangkah. Dia ingin bertemu lelaki itu. Biar malu sekalipun, dia sanggup menahannya, asalnya hutang ayahnya dapat diselesaikan dengan apa cara sekalipun. Tapi langkah Duha Maisara tersasar. Dia tidak nampak kelibat seorang pelayan yang sedang menghampirinya dari arah hadapan.

Pelayan itu tergaman. Duha Maisara sudah kaku di suatu sudut. Dalam beberapa saat, dia sudah menjadi tumpuan pengunjung restoran itu semula. Dia hanya mampu memerhatikan dulang berisi makanan yang dibawa oleh pelayan tadi tertumpah di atas lantai.

“Maaf, saya tak sengaja…” Ujar Duha Maisara serba salah. Sepantas kilat dia tunduk ke lantai. Terperanjat pelayan itu melihatnya mengutip kaca-kaca yang bertaburan.

“Tak apa cik, saya boleh kemaskan ini.” Larang pelayan itu serba salah.

“Maaf, saya benar-benar tak sengaja.” Duha Maisara seakan kalut. Ketika dia mahu mencapai sekeping kaca, tiba-tiba jarinya terguris hujung kaca yang agak tajam. Dia mendesis kesakitan. Serentak jarinya dilarikan ke bibirnya. Dia mengerutkan dahinya. Luka di jarinya terasa perit.

“Cik tak apa-apa?” Tanya pelayan itu lagi bimbang.

Duha Maisara menggelengkan kepala. Ketika itu juga sepasang kaki singgah di hadapan mukanya. Dia tercengang. Kepalanya didongakkan. Mata Duha Maisara bertembung dengan sepasang mata yang tak berkelip merenungnya. Dia! Hati Duha Maisara tiba-tiba terasa lega.

Lelaki itu tunduk di hadapannya. Jari Duha Maisara yang berdarah diraihnya. Lama matanya terpaku di situ sebelum dia mengeluarkan sehelai sapu tangan dari dalam poket seluar. Terpegun Duha Maisara melihat lincahnya tangan lelaki itu membalut luka di jarinya. Sekejap sahaja balutan itu diakhiri dengan ikatan kemas. Diam-diam Duha Maisara memandang lelaki itu. Wajah itu tampak serius memandangnya, bagaikan ingin melontarkan kemarahan.

“Apa kau buat kat sini?” Soal lelaki itu.

Duha Maisara terdiam. Dia tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicara. Apatah lagi jika dikelilingi oleh mata pengunjung-pengunjung lain yang memandang ke arahnya.

            “Saya…sa…” Tergagap-gagap Duha Maisara mahu bersuara. Melihat gerak geri gadis itu, Nashriq mengerutkan dahinya. Ada sesuatukah yang mahu diberitahu oleh Duha Maisara? Matanya tak putus-putus memandang gadis itu. Wajah itu nampak cemas.

            “Duha, Duha tak apa-apa?”

            Nashriq berpaling. Seorang lelaki bercermin mata meluru ke arah Duha Maisara dengan wajah bimbang. Duha Maisara menggelengkan kepala. Namun matanya masih mencari-cari wajah Nashriq.

            “Macamana boleh jadi macam ni?” Keluh Zafran kesal.

            “Duha tak sengaja langgar pelayan tu.” Ungkap Duha Maisara lembut.

            “Itulah, dah berapa kali abang pesan, jalan tu hati-hati. Duha bukan budak kecil lagi, nak dipimpin-pimpin,” leter Zafran. Duha Maisara tergaman. Dia memandang ke arah Nashriq. Mata lelaki itu masih memandangnya.

            Menyedari kelibat Nashriq berdiri di situ, Zafran tiba-tiba menoleh. Wajahnya berkerut memandang Nashriq. “Maaf, encik ni…?”

            “Err abang….dia yang tolong Duha tadi. Tapi Duha dah tak apa-apa. Kalau boleh Duha nak balik, Duha rasa tak sedap badan.” Sampuk Duha Maisara. Zafran dan Nashriq serentak memandangnya.

            “Duha tak sihat? Kita ke hospital?” ujar Zafran pantas.

            “Duha cuma sakit kepala, terasa nak balik. Kita balik?” Pintanya pada Zafran. Zafran hanya mengangguk lalu memimpin Duha Maisara berlalu dari situ. Nashriq hanya mampu memerhatikan dari arah belakang. Namun dia perasan, sebelum keluar mata Duha Maisara asyik tertumpu ke arahnya. Kenapa dengan dia agaknya. Sakitkah dia?

            “Naz?” Panggil Erman yang tercegat menjadi pemerhati sedari tadi. Nashriq bagaikan baru tersedar, terus melangkah menuju ke arah Erman.

            “Siapa tu?” Tanya Erman.

            “Gadis.” Jawab Nashriq ringkas. Erman tergelak besar mendengar jawapan itu.

*  *  *  *

            Selepas makan malam, Nashriq kembali ke pejabat meneruskan kerja-kerjanya yang masih terbengkalai. Namun belum separuh fail-fail itu disiapkan, fikirannya sudah jauh menerawang teringatkan Duha Maisara. Entah kenapa wajah gadis itu seperti membendung masalah. Sejak di restoran tadi dia menyedari sesuatu. Bibir Duha Maisara bagaikan ingin mengucapkan sesuatu padanya.

            Tak senang duduk Nashriq dibuatnya. Dia cuba melupakan bayang Duha Maisara buat seketika.  Namun semakin dicuba, semakin dia tidak dapat melupakan wajah sedih yang menangis di taman kecil itu. Nashriq menghela nafas panjang. Pen di tangannya diletakkan. Dia bingkas bangun seraya mencapai kot yang tergantung di kepala kerusi.

            “Naz, nak ke mana ni?” Tegur Erman sebaik dilihatnya anak muda itu bergegas keluar. Namun Nashriq tidak menjawab. Kelibat anak muda itu menghilang pantas sebelum sempat Erman menahan.

            Nashriq memandu laju ke arah Blue Ocean. Entah kenapa dia seperti dapat merasakan yang Duha Maisara berada di Blue Ocean. Lagipun dia sudah menghafal jadual persembahan gadis itu di kelab itu. Setengah jam memandu, akhirnya dia sampai ke Blue Ocean.

*  *  *  *

            “Duha, ayah kau nak jumpa di bilik Mawar.” Bisik salah seorang pelayan sebaik sahaja Duha Maisara turun dari pentas. Mendengar kata-kata itu, Duha Maisara segera melangkah perlahan-lahan ke sebuah bilik. Dia menolak daun pintu.

            Bustaman mengangkat kepalanya sebaik melihat Duha Maisara melangkah masuk. Terkejut Duha Maisara melihat wajah ayahnya yang lebam-lebam.

            “Ayah? Kenapa dengan muka ayah ni?” Soal Duha Maisara bertubi-tubi. Cemas melihat kesan-kesan luka di wajah itu. Apakah lelaki itu dipukul orang?

            “Duha, kamu ada bawa duit tu?” Soal Bustaman cemas.

            Duha Maisara tergaman. Dia tunduk. Tak sanggup bertentang mata dengan lelaki itu.

            “Duha, aku tanya kamu bawa ke tidak duit tu?’ Suara Bustaman mulai meninggi.

            “Maaf ayah, Duha dah cuba sedaya upaya Duha. Tapi Duha cuma berjaya kumpul sepuluh ribu sahaja.” Ujarnya serba salah. Bustaman tergaman. Sesekali dengusannya terdengar kasar.

            “Kamu memang suka tengok ayah mati kan Duha?” Tuduh Bustaman.

            “Tak ayah. Duha tak pernah berniat macam tu. Mungkin kalau ayah bagi Duha sedikit masa, Duha boleh dapatkan duit tu.” Sahut Duha Maisara.

            “Masa? Kalau masa tu ada, dah lama aku bagi kamu Duha.” Bustaman bersuara cemas. Dia termenung panjang. Ugutan Black jelas terdengar di telinganya. Lama mata Bustaman mencuri pandang ke wajah Duha Maisara. Sanggupkah kau serahkan anak itu pada Black, sedangkan selama ini dia yang sering menemani kamu? Sanggupkah kau? Tidak! Bustaman menggelengkan kepala berkali-kali. Dia segera membuang rancangan buruk yang  bermain di kepalanya. Sejahat-jahat dia, dia tidak sanggup merosakkan gadis itu. Meskipun Duha Maisara bukan darah dagingnya, tapi gadis itu sudah lama di rumahnya. Setiap masa gadis itu memanggilnya ayah, mana mungkin dia serahkan Duha Maisara begitu saja pada Black.

            “Ayah, kenapa ni?” Tanya Duha Maisara resah.

            Mata Bustaman tiba-tiba mencerlung tajam ke arah Duha Maisara. Dia memegang bahu gadis itu erat. “Duha, dengar cakap aku. Kamu kena pergi dari sini segera. Lari sejauh yang boleh. Jangan balik ke rumah kita atau balik ke apartment Zafran. Pergi dan jangan kembali lagi.” Ucap Bustaman tiba-tiba.

            Duha Maisara tersentak. Kata-kata lelaki itu membuatkan darahnya menyirap. Apa maksud lelaki itu. Dia harus pergi ke mana?

            “Ayah, Duha tak faham.”

            “Tak perlu kamu faham, aku cuma mahu kamu pergi. Pergi sejauh yang boleh.”

            “Tak mahu. Ayah tak boleh paksa Duha pergi. Duha dah tak ada sesiapa lagi selain ayah dengan abang Zafran. Duha sayangkan ayah.” Bisik Duha Maisara. Bustaman tergaman. Airmata gadis itu membuatkan dia serba-salah. Duha, maafkan ayah! Ayah bersalah pada kamu.

            Bustaman mengetapkan bibirnya. Sepantas kilat dia bangun lalu menarik tangan Duha Maisara ke muka pintu. “Kamu tak faham bahasa ke? Aku kata pergi…pergi!” Herdik Bustaman. Tangisan Duha Maisara semakin kuat. Hatinya turut sayu, tapi demi gadis itu dia terpaksa bertindak kejam. Jika tidak, Zafran pasti akan menyalahkannya.

            “Kenapa ayah buat Duha macam ni. Duha janji dengan ayah yang Duha akan cari duit tu. Tapi ayah jangan halau Duha pergi. Duha tak boleh ke mana-mana lagi,” Tangis Duha Maisara. Bustaman membuka pintu seluas-luasnya. Tubuh Duha Maisara ditolak kasar.

            Tubuh Duha Maisara melayang lalu tersembam ke dada seseorang. Dia mengangkat mukanya. Terkejut. Matanya bertemu dengan sepasang mata yang merenung tajam ke arahnya. Entah kenapa hatinya bergetaran. Renungan lelaki itu menyapa matanya yang masih basah.

            “Pergi Duha, aku kata pergi sekarang juga.” Jerit Bustaman bagaikan hilang akal. Duha Maisara memandang ayahnya. Dia tidak faham kenapa lelaki itu mendera perasaannya begitu.

            Bunyi derap sepatu kedengaran semakin hampir. Mami Jun muncul dengan wajah resah. “Bustaman, orang-orang Black ada di Blue Ocean sekarang. Mereka mencari Duha.” Beritahu Mami Jun.

            Duha Maisara tersentak. Dia memandang ayahnya. “Kenapa mereka mencari Duha ayah? Kenapa?” Soalnya bertalu-talu. Dia inginkan penjelasan, inginkan kepastian.

            “Sebab kata Black, kalau aku tak dapat langsaikan hutang malam ni, mereka akan ambil kamu Duha. Sebab tu aku suruh kamu pergi, sembunyi buat sementara waktu. Jangan balik ke rumah Zafran dan jangan jumpa Zafran. Mereka tak kenal Zafran, mereka cuma cam kamu seorang.” Jelas Bustaman serba-salah.

            Lidah Duha Maisara kelu mendengar penjelasan Bustaman. Tubuhnya tiba-tiba lemah. Dia hampir terjatuh, jika sahaja tidak disambut oleh tangan lelaki di sampingnya.

            “Dah tak ada masa, Duha kena pergi sekarang. Encik, tolong bawa Duha pergi dari sini,” pinta Mami Jun. Nashriq tergaman. Namun melihat situasi kalut yang berlaku di hadapannya, dia segera mengheret gadis itu keluar dari situ.

            “Ikut pintu belakang.” Suruh Mami Jun sambil menunjukkan ke suatu arah. Bustaman hanya mampu memerhatikan Duha Maisara dibawa pergi oleh lelaki yang tak dikenalinya.

            “Kau pun kena pergi Bustaman. Jangan buat kecoh di tempat ni, nanti kalau bos tahu, teruk kau kena.” Ujar Mami Jun. Bustaman mengangguk. Dia segera bergegas ke suatu arah. Mami Jun menarik nafas berat. Dia sebenarnya risaukan keadaan Duha Maisara. Harap-harap lelaki itu mampu melindungi Duha, bisik Mami Jun.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!