Followers

Monday, June 21, 2010

Arina : Bab 9

SEBUAH kereta mengekori kedua-duanya sejak dari Taman Seri Hartamas lagi. Apabila kereta yang dipandu oleh Arina keluar dari pintu pagar rumah itu, pemandu kereta berwarna hitam dan bercermin gelap itu tidak melepaskan peluang mengekorinya. Dan ternyata, kelajuan kereta yang dibawa gadis itu memudahkan mereka mengekori tanpa disedari.

“Jangan ikut dekat sangat. Gerero itu ada bersamanya…kita tak mahu kehadiran kita dikesan oleh lelaki gerero itu.” Larang salah seorang lelaki bertubuh besar dan memakai cermin mata hitam.

“Tuan yakin perempuan itu Arina?” Lelaki yang sedang memandu menoleh.

Boogak terdiam. Mengiya tidak, menidakkan juga tidak.

“Bukankah dia sudah mati?” Pertanyaan lelaki yang bertubuh kurus runcing itu menganggu perhatian Boogak. Dia menjeling. Tidak senang dengan kata-kata yang terbit dari bibir lelaki itu.

“Kita tak pernah nampak mayatnya bukan? Khabar angin itu tersebar di seluruh tempat. Aku yakin perempuan itu Arina. Kalau tidak, masakan Alwiz ada di sampingnya. Gerero itu tentu ada agenda tertentu.”

“Jadi apa patut kita buat?”

“Tuanku tentu mahukan semula Arina. Jika kita berjaya tangkap dia dan bawa dia kembali pada tuanku..aku yakin kita akan dikurniakan pangkat dan kekayaan.” Bisik Boogak seraya tersengih. Seronok membayangkan mereka mendapat imbalan yang berpadanan dengan harga seorang gadis yang menjadi buruan dua pihak.

Lelaki kurus itu ketawa sumbang. Lucu mendengar kata-kata ketuanya yang mabukkan kuasa. Kuasa apa yang akan mereka perolehi dari Kreuk yang menguasai hampir seluruh jajahan hitam itu? Mereka hanya seorang hamba yang terpaksa patuh pada arahan atau nyawa bakal menjadi taruhan. Hidup di bawah kuasa Kreuk jika silap percaturan, walau sesetia manapun pasti akan ada akibatnya. Bukan sedikit nyawa yang terpaksa dikorbankan untuk merealisasikan cita-cita lelaki itu..lebih-lebih lagi untuk seorang lelaki yang sanggup membunuh anak lelakinya sendiri demi seorang puteri Drutasia.

* * * *

KETIKA kereta yang dipandu Arina singgah di sebuah galeri seni, Alwiz terpinga-pinga tidak mengerti. Dia menjenguk ke arah papan tanda besar yang menghiasi hadapan bangunan bercat serba putih yang agak besar.

Melihat Arina turun dari keretanya, Alwiz jadi teragak-agak. Namun akhirnya dia turut mengekori gadis itu. Tapi belum sempat dia mahu memasuki bangunan di hadapannya, langkah Alwiz tiba-tiba terhenti. Dia menoleh.

Dari jauh dia melihat sebuah kereta hitam berhenti di seberang jalan. Dahi Alwiz berkerut. Ada sesuatu menyelinap di dalam lubuk hatinya. Dia bagaikan dapat menghidu bahaya yang datang. Tak mungkin! Hati Alwiz bagaikan enggan percaya. Tak mungkin mereka diekori sehingga ke mari! Ini bermakna mereka tentu sudah tahu mengenai Arina.

Alwiz tidak jadi melangkah ke arah bangunan tersebut. Kakinya diatur menuju ke arah kereta hitam yang tersadai di tepi jalan. Dia mengetapkan bibirnya. Pencoit di dalam sakunya segera diambil dan dihunus. Kilauan terang muncul dengan drastik. Pemegang pencoit itu segera mengeluarkan bilah pedang yang mengeluarkan aura berwarna merah diselangseli dengan cahaya putih bersinar-sinar.

Langkahnya semakin laju. Semakin pantas! Matanya mengecil ke arah tetamu tidak diundang yang sudah dapat dihidu maksudnya. Bagaikan tahu kehadiran mereka disedari, kereta hitam itu tiba-tiba menderum laju meninggalkan kawasan galeri itu..

Alwiz termengah-mengah memandang ke arah kereta yang sudah jauh meninggalkannya. Dia mengguman geram. Perasaannya bergelora. Selepas dipastikan kereta itu tidak kembali, Alwiz berpaling semula ke arah bangunan galeri.

Matanya berpapasan dengan wajah Arina yang merenungnya di hadapan pintu galeri. Mata gadis itu beredar dari wajahnya ke arah pedang yang dipegangnya. Menyedari kealpaannya, Alwiz segera menarik hujung pencoit dan serta-merta bilah pedang itu memendek semula. Dia menyimpan senjata itu di dalam poket kot labuhnya lalu melangkah ke arah Arina yang masih memerhatikannya dengan wajah berkerut.

“Siapa yang kau nak temui di sini?” Tanya Alwiz ingin tahu. Wajahnya selamba seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Matanya sengaja dilarikan dari wajah Arina. Dia tahu gadis itu inginkan penjelasan, dan dia tidak suka menjadi orang yang menjelaskannya.

“Arin?” Seorang lelaki tiba-tiba muncul di muka pintu. Alwiz menoleh. Melihat seorang lelaki bermata sepet di tepi pintu, dia tergaman. Lelaki itu turut memandang ke arahnya.

“Kau tak beritahu aku pun, kau nak bawa teman hari ni?” Lelaki itu memandang ke arah Arina sebentar sebelum tersenyum ke arah Alwiz. Tangannya dihulurkan ke arah Alwiz yang teragak-agak mahu menyambutnya.

“Hai aku Vick, kawan Arina merangkap bussiness partner dia. And you are?”

“Alwiz. Alwiz Syah.” Balas Alwiz.

“Hmm..nice to meet you Mr. Alwiz..tak pernah nampak you kat sini. You pun peminat seni juga ke macam kami berdua?” Vick tersengih menjeling Arina yang hanya diam.

“Peminat seni?” Alwiz keliru. Dia tidak memahami maksud kata-kata lelaki berketurunan Cina itu.

Vick tiba-tiba ketawa. “You tak tahu ke, galeri ni I kongsi buka dengan Arina. I uruskan galeri ni dan dia akan cari pembekal-pembekal lukisan dan ukiran untuk galeri kami ni.” Canang Vick.

Alwiz memandang gadis di hadapannya. Mata Arina menyorot dingin ke wajahnya.

“You kerja kat mana Alwiz? Manalah tahu kalau you sudi, tolonglah rekomenkan galeri kami ni pada kawan-kawan you.” Pinta Vick tidak melepaskan peluang.

“Dia tak bekerja Vick.” Pintas Arina keras.

Vick dan Alwiz serentak memandang ke arah gadis itu.

“Dia penculik. Penculik kerjanya hanya mengambil kesempatan ke atas orang lain. Dia takkan tolong kita dengan galeri ni atau dengan apa cara sekalipun.” Herdik Arina seraya menjeling tajam ke arah Alwiz yang berkerut memerhatikannya.

Vick tergaman seketika. Namun beberapa saat kemudian, lelaki itu ketawa terbahak-bahak. Giliran Arina dan Alwiz pula mencerlung ke arah Vick yang tidak putus-putus ketawa.

“You must be joking, right Arin..” Vick tidak percaya. Sangkanya gadis itu sengaja mahu melawak.

Arina tiba-tiba mengeluh. Terasa hilang sabar dengan kerenah kedua-dua lelaki di hadapannya itu. Dia segera menghilang ke dalam galeri. Alwiz dan Vick ditinggalkannya begitu sahaja.

Di dalam pejabat, Arina asyik memeriksa bilangan kotak-kotak lukisan yang baru sampai dan mengkatalogkannya dalam komputer. Satu persatu lukisan-lukisan itu diambil lalu diperiksa dengan rapi untuk memastikan kualitinya terjamin sebelum boleh dijual.

Vick dan Alwiz tiba-tiba muncul. Arina acuh tak acuh memerhatikan kedua-duanya. Saat ini tumpuannya lebih ke arah lukisan-lukisan itu meskipun adakalanya ekor matanya mencari-cari wajah Alwiz ketika lelaki itu kelihatan kagum melihat lukisan-lukisan di dinding galerinya. Melihat Vick di belakang Alwiz, Arina berdehem beberapa ketika. Kedua-dua lelaki itu berpaling.

“Kenapa gelap sangat tempat ni Vick?” Tanya Arina.

“Oh ya lupa nak cakap dengan kau. Minggu lepas, berlaku ribut kuat kat sini. Lepas tu terus blackout. Aku minta orang TNB tengokkan, mereka kata mungkin ada litar pintas berlaku waktu tu, sebab ada kesan-kesan hangus pada litar elektrik. Mereka akan datang semua petang nanti untuk buat wiring baru.” Jelas Vick.

“Teruk sangat ke ribut tu?”

“Hui memang kuat sampai aku pun naik gerun. Jarang berlaku ribut kuat macam ni. Tapi kalau sesekali berlaku, habis mencacak semua bulu roma aku ni.” Vick separuh melawak.

“He Arin..semalam kau ada baca berita tak?” Tanya Vick tiba-tiba.

“Berita apa?”

“Skrol suci dewa kaum Mayan dicuri baru-baru ini.” Beritahu Vick. Arina tersentak. Pantas bebola matanya dihala ke arah Vick, menunggu lelaki itu terus menyambung ceritanya.

“Skrol tu dilarikan orang sewaktu mereka nak adakan pameran kesenian antarabangsa di Trade Centre Metro Manila. Kau tak dengar ke berita tu? Masa kecurian skrol tu kalau tak salah ketika kau masih berada di Manila.” Ujar Vick.

Arina terdiam. Mana dia nak fikir pasal skrol itu, kalau fikirannya hanya dipenuhi dengan wajah Chayi. Namun dia malas mahu bercerita pada Vick tentang apa sebenarnya yang berlaku di Filiphina ketika itu. Vick tidak perlu tahu apa-apa.

Tanpa disedari perbualan kedua-duanya sempat ditangkap oleh pendengaran Alwiz. Meskipun matanya asyik menyorot lukisan-lukisan di hadapannya, namun telinganya lebih tertarik mendengar kata-kata Vick tentang skrol yang dikatakan milik Kaum Mayan itu.

Dia sendiri tidak faham kenapa gulungan kertas buruk itu begitu berharga di tempat ini, sedangkan skrol itu hanya satu kod bermesej yang cuba disembunyikan oleh Bloomer untuk penjaga Kunci Orkid. Dan yang pasti skrol itu bukan berasal dari Mayan seperti yang disangka tetapi ianya milik Tanah Orkid Drutasia atau lebih tepat lagi kepunyaan Bloomer di Gunung Titan.

* * * *

FAHRIN TOH mundar mandir di hadapan sebuah bilik di pejabat Kedutaan Malaysia. Sejak tadi dia menanti pegawai-pegawai kedutaan itu untuk memberitahu perkembangan terbaru tentang anaknya yang hilang entah ke mana.

Pada mulanya dia langsung tidak mengambil serius tentang kehilangan Chayi. Sangkanya Chayi hanya cuba bergurau dengan mereka semua. Tapi masuk hari ini, sudah empat hari anak lelakinya itu menghilangkan diri. Dia benar-benar sudah buntu kepala memikirkannya.

Chief Inspector Abdul Kamal dari Interpol yang ditugaskan untuk membantunya sehingga kini masih belum memberi apa-apa maklumat terperinci tentang kehilangan anaknya. Lelaki itu hanya tahu meminta dia bersabar dan terus bersabar. Tapi sampai bila?

“Encik Fahrin..” Panggil suatu suara. Fahrin Toh menoleh. Lelaki tinggi lampai dan bertubuh sasa itu melangkah ke arahnya. Di tangan lelaki itu terdapat sebuah fail sederhana besar. Dia bingkas bangun dari kerusi yang didudukinya. Menanti sehingga lelaki itu rapat sebelum bersuara.

“Macamana Tuan Kamal? Ada apa-apa maklumat?” Tanya Fahrin Toh sudah tidak sabar. Abdul Kamal tidak bersuara. Mata lelaki itu merenung jauh ke wajah Fahrin Toh. Dia menempati salah sebuah kerusi di situ. Melihat reaksi lelaki itu, mahu tak mahu Fahrin Toh juga turut duduk. Namun jiwanya bergelumang resah menanti buah bicara yang bakal disampaikan oleh lelaki itu.

Abdul Kamal membuka fail di tangannya lalu mengeluarkan sekeping gambar bersaiz 8R. Gambar itu dihulurkan ke arah Fahrin Toh yang kelihatan bingung.

“Apa ni Tuan Kamal?” Soal Fahrin Toh. Matanya menyorot gambar di hadapannya tanpa mengerti apa-apa.

“Saya nak Encik Fahrin tengok gambar tu betul-betul.” Suruh lelaki itu. Memaksa dalam lembut. Mahu tak mahu, anak mata Fahrin Toh melihat gambar itu sekali lagi. Tiada apa-apa yang istimewa di matanya terhadap sebuah gulungan kertas berikat tali di dalam gambar tersebut.

“Saya tak faham Tuan Kamal. Apa yang sepatutnya saya lihat?”

“Itu skrol suci milik Kaum Mayan yang dicuri dari peti besi di Trade Center Manila minggu lalu. Ia kepunyaan seorang ahli perniagaan yang diserahkan kepada jagaan pihak TCMM sempena Pameran Kesenian Antarabangsa yang berlangsung selama seminggu di sini mulai 2 April yang lalu. Skrol itu bernilai hampir jutaan dollar US dan perlu dipulangkan kepada pemiliknya.” Jelas Abdul Kamal.

Mata Fahrin Toh berlari ke sekitar wajah lelaki dari Interpol itu. Dahinya berkerut seribu. “Saya tak faham apa kena mengena skrol ni dengan kehilangan anak saya?” Soalnya, benar-benar hairan.

Abdul Kamal tidak menjawab, sebaliknya menyerahkan beberapa keping gambar lain. Fahrin Toh segera melirik ke arah gambar tersebut. Melihat wajah Chayi dan Arina terpampang di salah satu kepingan gambar, dia terkesima.

“Kami dapatkan gambar-gambar ini melalui CCTV yang terdapat di ruang legar Greenhills di Makati. Kalau Encik Fahrin perasan, dalam gambar tersebut bukan hanya ada anak-anak Encik Fahrin..tapi juga wajah beberapa orang yang tak dikenali. Saya syak Chayi dan Arina diekori lelaki-lelaki dalam gambar itu sebelum Chayi diculik.” Jelas Abdul Kamal.

Fahrin Toh tergaman. Lemah longlai tubuhnya mendengar penerangan lelaki itu. Apatah lagi apabila dia mendengar bahawa satu-satunya anak lelakinya diculik. Tapi kenapa?

“Siapa lelaki-lelaki ni?” Matanya terus meratah beberapa wajah-wajah tak dikenali di dalam gambar. Jelas tertera kedua lelaki itu begitu asyik memandang ke arah Chayi dan Arina yang sedang membeli barang-barang di sebuah kiosk. Salah seorang lelaki itu tidak jelas wajahnya kerana dilindungi oleh cap yang dipakainya.

“Untuk pertanyaan Encik Fahrin yang itu, kami tak mampu menjawabnya. Apatah lagi kami gagal mengesan identiti lelaki-lelaki yang muncul di dalam gambar. Tak ada rekod tentang mereka semua meskipun kita berjaya memperolehi gambar mereka. Pihak Interpol sedang cuba memadankan wajah mereka dengan data pengkalan penjenayah-penjenayah antarabangsa di rantau asia ni.”

“Tapi apa kaitannya kehilangan anak saya dengan skrol Kaum Mayan tu?”

Satu lagi persoalan yang menimbulkan tanda tanya. Fahrin Toh benar-benar ingin tahu jawapannya.

“Kejadian kecurian yang berlaku di TCMM berlaku beberapa jam selepas kehilangan Chayi dari pusat beli belah itu. Setiap anggota polis Filiphina membuat gerakan buruan dalam tempoh 24 jam selepas kejadian tersebut. Melalui satelit, mereka berjaya mengekori sebuah van yang dipercayai pencuri-pencuri yang terlibat di dalam kejadian di TCMM. Tapi sebelum sempat tangkapan dibuat, lelaki-lelaki itu hilang begitu sahaja tanpa jejak. Yang kami temui hanyalah gambar wajah Chayi dan Arina di dalam dashbox di tempat duduk pemandu van itu.” Jelas Abdul Kamal satu persatu.

“Maksud Tuan Kamal..anak saya diculik lelaki yang sama yang merompak TCMM?” Fahrin semakin bingung.

“Pihak polis Filiphina dah ambil keterangan setiap pengawal keselamatan di TCMM. Lakaran suspek telah pun dibuat. Tidak syak lagi, salah sebuah lakaran menyerupai salah seorang lelaki yang mengekori anak-anak Encik Fahrin di pusat beli belah tempohari.”

Lelaki itu menghulurkan beberapa keping lakaran yang dikeluarkan oleh pihak polis. Lakaran itu menunjukkan wajah seorang lelaki. Sebelah telinga lelaki itu bertindik. Fahrin Toh meneliti lakaran di tangannya dengan wajah bingung. Namun dia tidak pasti, apakah wajah lelaki di dalam lakaran itu benar-benar lelaki yang sama mengekori anak-anaknya di pusat beli belah itu.

Setelah itu, Fahrin Toh meneliti lakaran kedua pula. Melihat gambar lelaki yang sebahagian wajahnya bertutup, dahinya terus berkerut.

“Siapa ni?” Dia tidak mampu menyembunyikan rasa hairannya.

Abdul Kamal menjengah.

“Kami pun tak tahu siapa dia. Lelaki itu mempunyai skill pertahanan diri yang amat ampuh dan sukar dikalahkan. Hampir dua puluh pengawai keselamatan yang berada di situ ketika itu dikalahkannya dengan begitu mudah. Kami syaki, lelaki itu rakan subahat kepada lelaki yang seorang lagi. Tapi wajahnya tidak jelas kerana dilindungi oleh kain penutup muka yang dipakainya. Jadi sukar kami nak hasilkan lakaran wajah penuhnya.” Jelas Abdul Kamal.

“Tapi saya tak faham, Chayi dah hilang hampir seminggu. Kalau betullah Chayi diculik, apa tujuannya? Wang tebusan? Kalau orang-orang yang menculik anak saya mahukan wang tebusan, bukankah awal-awal lagi mereka boleh hubungi saya dan minta diserahkan wang tersebut bukan.” Ujar Fahrin Toh. Dia berasa aneh dengan motif orang-orang yang dikatakan menculik Chayi. Untuk apa lagi anaknya diculik jika bukan kerana wang?

“Itulah yang kami sedang fikirkan sekarang ini. Kalau wang tebusan tujuannya, kenapa sampai sekarang Encik Fahrin tidak menerima apa-apa panggilan bukan?”

Fahrin Toh mengangguk.

“Encik Fahrin benar-benar tidak kenal siapa lelaki-lelaki ni?”

Dia menggelengkan kepala. Dia yakin seratus peratus.

“Mungkin ada sesuatu yang mereka mahukan dari Encik Fahrin.”

Dia mengeluh panjang. Apa lagi yang dimilikinya selain dari wang yang tak pernah susut. Jika bukan duit yang dimahukan oleh penculik-penculik Chayi, maka sudah tidak ada apa yang boleh diserahkannya lagi!

“Atau dendam barangkali?” Abdul Kamal menduga lagi.

Fahrin Toh terdiam. Mungkin juga itu salah satu sebabnya. Dia seorang ahli perniagaan yang berjaya. Sudah pasti ada saja orang yang dengki dan iri hati di atas kejayaannya. Tapi takkan sehingga sampai sanggup menculik anaknya? Entahlah..bingung dia mahu memikirkannya.

Setelah hampir satu jam berbincang, Fahrin Toh bersedia untuk meninggalkan kawasan kedutaan sambil diiringi oleh Abdul Kamal. Di luar pintu, dia berpapasan dengan kelibat seorang lelaki yang kebetulan mahu masuk. Lelaki itu diiringi oleh seorang lelaki muda seolah-olah pengawal keselamatannya.

“Tuan Eye. Bila sampai?’ Tegur Abdul Kamal pada lelaki separuh umur yang kelihatan masih tampan.

Lelaki itu tersenyum memandang ke arah Abdul Kamal.

“Baru sebentar tadi. Ada apa-apa khabar tentang skrol tu?” Lelaki itu melontarkan pertanyaan. Fahrin Toh yang mendengar tergaman. Skrol?

“Belum ada apa-apa lagi Tuan Eye..kami masih menyiasat. Tapi lakaran gambar-gambar suspek sudah kami perolehi. Itu sebabnya kami minta Tuan Eye ke mari untuk mengecam suspek-suspek itu.” Balas Abdul Kamal.

Lelaki itu mengangguk tanda faham. Bebola matanya sudah tidak berminat lagi pada wajah Abdul Kamal. Sebaliknya anak matanya asyik bergerak-gerak memandang ke arah Fahrin Toh yang tercegat bagaikan patung di sisi pegawai polis itu.

Bagaikan memahami sesuatu, Abdul Kamal menelan liur lalu menyambung kata-katanya. “Perkenalkan Tuan Eye, ini Encik Fahrin Toh, salah seorang ahli perniagaan dari Malaysia yang memiliki kepentingan di Metro Manila. Dia ke mari kerana kes penculikan anaknya beberapa hari yang lalu. Sama waktu dengan kes kehilangan skrol milik Tuan Eye.”

Fahrin Toh tercengang. Jadi skrol yang dikatakan hilang itu milik lelaki di hadapannya?

“Encik Fahrin, ini Tuan Noel Barnardo atau lebih dikenali di sini sebagai The Eye, salah seorang pengumpul barang-barang antik yang cukup terkenal di sini. Skrol suci Kaum Mayan itu adalah milik Tuan Eye.” Jelas Abdul Kamal.

Kedua-duanya saling bertatapan semula. Lebih tepat lagi saling merenung antara satu sama lain. Mata Fahrin Toh meneliti raut wajah di hadapannya dengan teliti. Entah kenapa ada sesuatu yang tidak menyenangkan pada wajah lelaki itu yang merenungnya tidak berkelip. Di sebelah atas pelipis kiri lelaki itu, mata Fahrin Toh mengesan parut panjang menjalar dari pelipis sehingga ke tulang pipinya. Namun parut itu langsung tidak menjejaskan ketampanan lelaki itu. Tidak sedikit pun! Namun bukan parut lelaki itu yang membuatkan dia tidak mampu melarikan matanya, tapi ada sesuatu yang lain. Yang tak mampu dijelaskan dengan kata-kata.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!