Followers

Wednesday, December 19, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 23


            GERAK-GERI wanita berusia awal 30an itu menimbulkan tanda tanya Kamila yang kebetulan mahu ke taska. Wanita berbangsa Cina yang nampak elegan dengan pakaian yang membalut tubuhnya yang langsing itu, kelihatan termangu-mangu di hadapan pintu pagar  taska.

            Menyedari kehadiran Kamila, wanita itu segera membuka kaca mata hitamnya.

“Ya, puan nak cari siapa?” Tegur Kamila dengan nada suara ramah.

            Wanita itu tidak terus menjawab. Sebaliknya dia memandang Kamila dari atas ke bawah sehinggakan Kamila mula merasa tidak senang. Siapa sebenarnya perempuan ni? Apa mahunya?

            “Saya mencari Danira. Dia ada di sini?” Soal wanita itu. Wajahnya dingin. Ton suaranya juga kedengaran tegas.

Kamila mengerutkan dahinya. Apa urusan wanita itu dengan Danira? Sudahlah datang ke mari tak diundang, airmuka wanita itu juga tidak sedap dipandang.

            “Awak ni siapa?” Soal Kamila dengan meninggalkan panggilan puan. Dia sudah tidak berminat mahu berlagak sopan terhadap wanita itu lagi. Meluat lagi ada dengan sikap wanita itu yang kelihatan sombong.

            Tanpa menjawab pertanyaannya, wanita itu segera mengeluarkan sekeping kad dari dalam tas tangannya. Kad tersebut segera dihulurkan ke arahnya. Mahu tak mahu, dia terpaksa menyambutnya.

            “Saya Evelyn Tan dari Firma Evy & Co. Saya datang atas permintaan seorang teman saya yang merupakan peguam bela kepada Cik Danira Quratul Adnan. Sekarang boleh saya tahu Danira di mana?” Sekali lagi wanita itu bertanya.

            “Danira tak ada sekarang. Kalau ada hal penting, awak boleh beritahu saya. Saya akan sampaikan pada Danira sendiri.” Balas Kamila serius.

            Evelyn tersenyum sinis. Wajah Kamila ditatap dengan pandangan acuh tak acuh. “Puan ni siapa?” Evelyn mengembalikan pertanyaan.

            “Saya pengetua di taska ni. Danira sekarang ini di bawah tanggungjawab saya. Apa saja hal berkaitan dia, beritahu saja pada saya.” Balas Kamila tidak mahu mengalah.     

“Begini sajalah Puan…”

            “Kamila. Nama saya Kamila.”

            “Begini sajalah Puan Kamila. Kalau Danira balik nanti, beritahu dia yang peguamnya Joshua Lee mahu bertemu dengannya. Minta dia hubungi nombor di kad saya itu secepat yang mungkin.” Ujar wanita itu seraya memakai kembali kaca mata hitamnya.

Kamila tidak bersuara. Matanya asyik memerhatikan tubuh ramping itu melenggang-lenggok di hadapannya, sebelum memasuki perut sebuah kereta Mercedez Benz yang diparkir di pinggir jalan.

Usai kereta itu meninggalkan kawasan perumahan itu, matanya kembali ke arah kad nama yang dipegangnya. Nama yang terpapar pada kad itu dibaca sepintas lalu. Joshua Lee? Menurut wanita itu, lelaki itu peguam bela Danira. Tapi apa halnya sampaikan menghantar wakil untuk mencari Danira di sini?

Kamila segera menyimpan kad tersebut baik-baik di dalam poket bajunya. Dia segera beredar  masuk ke dalam taska yang kosong pada setiap hujung minggu. Tanpa disedari Kamila, gerak gerinya menjadi intipan sebuah kenderaan berwarna biru metalik yang diparkir di seberang jalan.

*  *  *  *

Hari sudah beransur petang apabila Danira dihantar pulang dengan kereta Filman. Dia hendak keluar dari perut kereta namun suara Filman menghalang tindakannya. Perlahan-lahan dia berpaling.

Senyuman Filman bertemu di bibir. Pandangan mata lelaki itu menyorot tepat ke wajahnya.

“Terima kasih sebab temankan Melly hari ni. Belum pernah saya tengok dia gembira seperti ini.” Ujar Filman sejujurnya.

Danira hanya tersenyum. Matanya sempat melirik ke arah Melia yang tertidur kepenatan di tempat duduk belakang. Dia juga menyenangi galagat anak manis yang manja dan keletah itu.

“Danira, soal tadi, saya…”

“Encik Filman..” pintas Danira seraya mengalihkan pandangan ke arah lelaki itu. Filman terpisat-pisat. Dia sabar menanti Danira meneruskan kata-katanya.

“Boleh tak kalau kita lupakan sahaja hal tadi?” Pinta Danira sedikit resah.

Filman terdiam sejenak. “Maksud Danira, lupakan sahaja seperti tak ada apa-apa yang berlaku? Begitu?” Teka Filman.

Danira terus tunduk. Sepanjang perjalanan tadi, dia menyesali dirinya sendiri kerana menunjukkan di hadapan Filman apa yang dirasainya saat ini. Untuk sejenak, pengakuan Filman membuatkan dia hampir terlupa siapa dirinya di hadapan lelaki itu.

“Danira kata, Danira sukakan saya.” Filman cuba mengingatkan gadis itu.

“Sa..saya sukakan Encik Filman bukan atas sebab lain, tapi se..sebab Melly.” Tergagap-gagap dia mahu menghabiskan kata-katanya. Ya ALLAH! Kenapa saat yang sukar ini kembali lagi?

“Sebab Melly?” Filman mengerutkan dahinya.

Danira mengetap bibir. Kepalanya diangguk. “Encik Filman ayah kepada anak di taska tempat saya bekerja. Saya tak boleh melepasi batas itu, lagipun saya bukan jenis gadis yang sesuai dengan Encik Filman. Maafkan saya.” Danira keluar dari kereta lalu bergegas ke muka pintu.

Filman terpaku. Kelibat gadis itu dipandang sehingga menghilang ke dalam. Dadanya bergetar kali ini. Apakah itu petanda Danira menolaknya? Setelah dia menyerahkan hatinya buat gadis itu dan kini dia terpaksa berhadapan dengan kekecewaaan buat kali kedua. Kenapa nasibnya begitu malang? Kerut muram mula berganti di wajahnya, menunjukkan sekeping hatinya yang terluka malam ini.

*  *  *  *

            Dia mengintai di sebalik tirai, memerhatikan ke arah kereta Filman yang belum beredar. Beberapa minit kemudian, kereta lelaki itu mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan Sissy Kindergarden. Danira menarik nafas panjang. Gelodak resahnya tidak mahu hilang, berbaur dengan penyesalan yang tak berpenghujung. Dia tahu kata-katanya mengecewakan lelaki itu. Malah dia melihat raut wajah Filman berubah sejurus dia melafazkan kata-katanya.

            Bukan niatnya mahu mengecewakan lelaki itu. Tidak pernah terlintas pun! Hanya setiap kali apabila dia terfikirkan situasi dirinya, dia tidak nampak di mana rasionalnya dia duduk di sisi Filman.

            “Filman tu baik orangnya Nira. Masih muda, tampan dan berpendidikan tinggi pulak tu. Sayangnya dia menduda terlalu awal.” Cerita Kamila beberapa hari yang lalu masih jelas di fikirannya.

            “Kenapa dia bercerai dengan isterinya Kak Mila?” Soalnya ingin tahu. Dia pernah mendengar Siti bercerita tentang lelaki itu, tapi hujung pangkal kisah lelaki itu dia langsung tidak faham. Sememangnya dia benar-benar ingin tahu, perempuan manakah yang sanggup menolak lelaki sebaik Filman yang memiliki segala-galanya.

            “Bekas isteri Filman tu orangnya agak moden. Kalau tak salah kakak, dia pereka fesyen terkenal. Sebab mereka bercerai, kakak pun kurang pasti. Yang kakak tahu, bekas isteri Filman tu tinggalkan dia dan Melly masa umur budak tu dua bulan lagi.” Keluh Kamila.

            “Masya Allah, kenapa jadi macam tu kak? Kasihan Melly, kecil-kecil lagi dia dah ditinggalkan ibunya.” Dia benar-benar terkejut mendengar cerita Kamila. Tiba-tiba mengalir rasa simpatinya pada Filman.

            “Orang ni Nira, kalau dia dah tak suka, anak pun dia sanggup tinggal. Kasihan Filman tu kakak tengok. Ke hulu ke hilir menjaga Melly yang masih kecil. Lepas umur Melly 4 tahun, baru Filman bawa budak tu datang ke mari. Bukan tak ada orang boleh mengasuh Melly di rumahnya tu, tapi dia nak Melly membesar macam anak-anak orang lain. Sebenarnya tujuan dia bawa Melly ke taska ni sebab nak suruh Melly tu berkawan. Tidaklah budak tu keseorangan saja di rumah.” Jelas Kamila yang bagaikan tahu segala-galanya tentang lelaki itu.

Seterusnya dia hanya menjadi pendengar setia. Setiap kali Kamila menyebut nama Filman di hadapannya, entah kenapa bagaikan ada renjatan arus elektrik yang mengalir ke dasar hatinya. Ternyata, sepanjang malam itu dia menjadi pemuja Filman di bawah naungan celoteh Kamila yang tidak henti-henti. Dia tahu semua cerita Kamila tentang lelaki itu semuanya benar. Dia juga tahu Filman seorang lelaki dan ayah yang baik. Hanya dia yang tidak layak untuk lelaki sebaik itu. Taraf mereka berdua benar-benar jauh berbeza. Itu kenyataan yang tak mampu disangkal lagi.

Danira mengheret kakinya ke arah dapur. Dia harus mencari minuman untuk menghilangkan hausnya. Namun sebaik dia melewati meja makan di dapur, matanya segera terpandang beberapa lauk pauk yang sudah terhidang di atas meja. Bibir Danira segera mengukir senyuman. Hatinya terharu dengan sikap prihatin Kamila menghantar semua lauk pauk ini untuknya.

Di bawah jug yang sudah dibancuh oren, matanya terpandang sekeping kad dan kertas memo kecil. Tangannya segera mencapai kedua-duanya lalu dibaca sepintas lalu. Memo itu dari Kamila yang menyuruhnya menghabiskan semua makanan itu. Kamila juga menyebut tentang kad serta pesanan Evelyn Tan yang memintanya menghubungi Joshua, peguam belanya.

Danira merenung kad kecil di tangannya. Nama Joshua Lee berada di baris kedua selepas Evelyn. Malah dia kenal siapa Evelyn Tan yang dimaksudkan Kamila. Wanita itu rakan Joshua yang sama-sama menerajui Evy & Co.

Apakah Joshua mencari aku? Pelbagai persoalan bersarang di fikiran Danira. Dia tidak senang duduk sepanjang malam itu memikirkan tentang lelaki itu. Sudah hampir seminggu dia tidak mendengar khabar berita tentang Joshua yang seolah-olah ghaib begitu sahaja.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!