Followers

Friday, August 21, 2009

Bunga Syurga Prolog

Bali 2002
Wajahnya keruh menanti di bawah terik mentari, namun gadis-gadis di hadapannya masih tidak mampu memberikannya ‘pose’ seperti yang diinginkannya. Dia mengetap bibir tanda tidak puas hati. Lekuk kecil di pipinya jelas ketara apabila dia merapatkan kedua belah bibirnya yang nipis.
“Riff, macamana? Hari dah panas ni.” Keluh salah seorang dari model-modelnya.“Bila nak siap?“ Rungut seorang gadis tinggi lampai berkulit kuning langsat. Sesekali peluh di dahinya diseka dengan sehelai saputangan.
“Belum lagi sayang. Kita kena siapkan ‘photoshot’ ni hari ni juga. Nanti agensi you juga yang bising.” Balas Riffki lembut, sengaja mahu memancing hati model-modelnya. Kalau diikutkan, dia juga sudah hangus dipancar mentari yang terik. Namun penggambaran itu harus disiapkan hari itu juga.
“Macamana?” Izzat yang sedari tadi menjadi pemerhati setia bertanya. Wajah Riffki nampak berang. Dia tahu anak muda itu langsung tidak puas hati dengan pengambaran hari itu.
“Kalau tak siap, Dato’ Faizul tentu marah.” Izzat cuba mengingatkan. Dia faham benar sikap panas baran Riffki. Silap haribulan, pasti dia terus hilang mood mahu meneruskan sesi photoshot.
“Bodoh! Posing macam kayu. Kalau macam ni model yang Dato’ Faizul hantar, baik tak payah datang sampai ke sini. Kat studio pun boleh buat,” rungut Riffki. Dia berang kerana pose yang diberikan oleh model-model itu nampak kaku dan tidak menarik.
“Relakslah Riff, kau marah macamana pun, orang tua tu tetap nak kita sudahkan kerja ni hari ni juga. Kawallah sikit marah tu, nanti takut pulak model-model tu tengok muka kau tu. Dah macam singa jantan,” usik Izzat tersengih-sengih.
“Kau jangan nak naikkan darah aku. Nanti tak fasal-fasal…”
“Rif…Rif, tak boleh ke kau anggap job ni macam bonus? Dato’ Faizul sponsor kita sampai Bali ni pun dah cukup bagus tau. Buat ajelah sampai siap.” Ujar Izzat selamba.
Riffki terdiam. Dia tahu kebenaran kata-kata temannya itu. Lelaki bernama Dato’ Faizul itu memang pemurah orangnya. Sanggup mengeluarkan belanja sendiri menghantar model-model agensinya menjalankan sesi penggambaran di Pulau Bali, syurga percutian yang mempersonakan.
Kalau diikutkan hatinya yang baran, mahu sahaja dia tinggalkan kawasan Pantai Jimbaran itu. Namun mengenangkan agensi Dato’ Faizul dengan studio miliknya sudah lama menjalin hubungan erat, dia terpaksa jua bersabar. Dia tahu lelaki itu mengagumi hasil kerjanya selama ini. Jika tidak, masakan agensi Dato’ Faizul suka mengikat kontrak dengannya. Malah mereka telah bekerjasama sejak dua tahun yang lalu.
Lewat jam 3 petang, baru kerja-kerjanya selesai. Dia terpaksa menyiapkan segala-galanya hari itu juga, kerana lusa mereka akan berangkat pulang ke Malaysia. Masih banyak ‘jobs’ lain menantinya di tanahair.
“Sudah? Ha kan dah selesai, bukan susah sangat. Kau tu aje yang cerewet, nak segalanya sempurna. Macamlah nak mencari calon isteri.” Izzat tertawa. Nampak jelas lekuk di bawah dagu anak muda itu.
Riffki tidak segera menjawab. Dia sibuk menyimpan peralatan-peralatan kameranya. Kata-kata Izzat tak dipedulikan.
“Lepas ni kita pergi minum kat Legian nak?” Izzat memandangnya meminta persetujuan.
“Aku nak balik hotellah lepas ni, penat sangat. Sorry Jat.”
“Oklah kalau macam tu. Nampaknya, hari ni rezeki aku seorang diapit gadis-gadis lawa tu.” Izzat tersengih sambil menjeling gadis-gadis di hadapannya dengan ekor mata.
Riffki sekadar tersenyum. Dia faham benar sifat hidung belang Izzat.
“Oh ya Laila call aku tadi. Katanya dia tak dapat call handphone kau.” Mata Izzat menikam anak mata Riffki.
Riffki yang sibuk menyusun peralatan kameranya terhenti. Nama yang meluncur dari bibir Izzat menarik perhatiannya. Wajah temannya itu dipandang, menunggu Izzat menghabiskan kata-katanya.
“Hmm patutlah tak sabar-sabar nak habis. Nak tunggu buah hati datang rupanya,” Izzat menjeling nakal. Galak mengusik teman baiknya itu.
“Dia ada cakap bila flight dia dari Jakarta sampai?”
“Entahlah, tapi dia pesan kalau dia sampai dia akan terus ke hotel kita. Aku dah cakap kita nak pergi Kuta lepas ni. Cuba kau call dia.”
Riffki menekan punat-punat nombor sebelum meletakkannya di telinga. Lama dia mendengar sebelum telefonnya ditutup kembali.
“Tak menjawab pun dia. Mungkin dia masih dalam flight. Tak apalah, aku tunggu dia di hotel saja,” ucap Riffki akhirnya. Dia hampa kerana tidak dapat menghubungi Nurlaila. Rindunya terasa berkobar-kobar, apatah lagi sudah hampir seminggu dia tidak bertemu gadis itu.
* * * *
Teksi yang dinaikinya berhenti di hadapan Hotel Westin. Dia turun sebelum membayar tambang pada ‘pak supir’. Namun sebelum sempat dia mahu menutup pintu teksi, satu jeritan kecil singgah di telinganya.
“Tunggu!”
Riffki berpaling. Dari jauh, dia terlihat seorang gadis bertocang ‘ekor kuda’ dengan beg sandang menerpa laju ke arahnya. Dia tergaman, tapi pantas mengelak memberi laluan. Gadis itu terhenti sebentar di hadapan pintu teksi. Dia menoleh ke arah Riffki sambil tersenyum.
“Maaf ya pak…” Ringkas sahaja kata-katanya sebelum dia bergegas menaiki teksi itu. Untuk seketika, Riffki tercegat bagaikan tunggul kayu. Dia hanya memerhatikan teksi yang membawa gadis itu meluncur laju meninggalkan perkarangan kawasan hotel.
“Maaf pak Riffki, ada 2 pesanan untuk anda,” petugas kaunter hotel menyapanya ketika dia melintas lobi hotel.
“Terima kasih.”
Riffki membaca kertas di tangannya sepintas lalu.
“Riff, kenapa susah sangat nak contact handphone Riff ni? Laila call Izzat tadi, so Laila tunggu Riff kat Legian saja okay? I miss you sayang”.
Riffki tersenyum membacanya. Terbayang wajah Nurlaila yang manis tersenyum. Hampir seminggu dia tidak bertemu gadis itu kerana kesibukan tugas-tugasnya. Mujurlah Nurlaila cukup memahami. Malah sanggup pula turun ke Bali semata-mata mahu menemaninya. Asalnya dia menghalang, namun Nurlaila tetap berkeras mahu bertemu. Rindu, katanya.
“Apa yang Riff suka sebenarnya pada Laila?”
“Hmm...entahlah, tak pernah pulak Riff terfikir. Kenapa ya?” Dia galak mengusik.
Nurlaila mencebikkan bibirnya, pura-pura merajuk.
Dia tergelak. Sengaja dia mahu menguji hati si gadis.
“Jangan Laila tanya kenapa Riff suka Laila. Cukuplah kalau Laila tahu, bahawa Laila satu-satunya gadis dalam hidup Riff. Riff tak boleh hidup tanpa Laila.”
Nurlaila dilihatnya terdiam. Dia melihat ada air jenih bergenang di pelupuk mata gadis itu. Dia tahu Nurlaila terharu dengan kata-katanya.
“Laila mahu kita selamanya begini, saling sayang-menyayangi tapi Laila takut.” Keluh gadis itu.
“Takut apa?”
“Laila takut kasih Riff pada Laila berubah…”
Dia terkedu. Bibirnya melemparkan senyuman. Dia memahami hati gadisnya. Seperti Nurlaila, dia juga begitu. Takut kehilangan gadis itu.
“Riff akan sentiasa mencintai Laila sampai bila-bila pun. Hanya maut yang boleh pisahkan kita.”
“Kalau maut datang sekalipun, Laila rela Laila yang pergi dulu. Sebab Laila tak sanggup kehilangan Riff.”
Riffki memejamkan mata. Tak sanggup mengingati kembali kata-kata Nurlaila ketika menghantarnya ke KLIA hampir seminggu yang lalu.
Apabila dia membuka matanya, tiba-tiba dia teringatkan sekeping lagi kertas memo yang masih belum dibacanya. Riffki segera membelek mesej kedua. Bulat matanya membaca satu-persatu ayat-ayat ringkas yang tertera di kertas nipis itu. Sejurus kemudian dia mengeluh. Wajahnya serta-merta berubah muram. Ayah! Lelaki itu sering saja mendesaknya. Menyuruh dia pulang segera, menghadiri acara ulang tahun syarikat.
Bukan dia tidak mahu. Bukan dia bertindak mahu membelakangkan keluarga. Tapi permintaan lelaki itu tak mungkin mampu ditunaikannya. Cukuplah selama ini dia menuruti kehendak lelaki itu, belajar dalam bidang ekonomi, meskipun dia meminati seni fotografi. Sekarang bukan masanya dia menjadi pak turut lagi. Aku bukan seperti Daniel, bisik Riffki perlahan.
* * * *
Selesai mandi dan bertukar pakaian, Riffki segera bertolak ke Kuta untuk menemui Nurlaila. Tak sabar rasanya dia mahu menatap wajah gadis kesayangannya itu.
Teksi yang dinaikinya berhenti di hadapan Kuta Square, salah sebuah pusat beli belah terkenal di Bali. Niat di hatinya mahu singgah membeli sejambak bunga buat Nurlaila yang menantinya di Legian. Sudah terbayang-bayang di matanya, wajah ceria Nurlaila sewaktu menatap jambangan bunga mawar putih yang cukup digemarinya. Kata Nurlaila, putih itu melambangkan kesucian sepertimana sucinya cintanya pada Nurlaila. Malah dia sendiri menggemari warna putih.
“Mbak, ros putih itu 12 kuntum.” Beritahu Riffki pada wanita di toko bunga di tingkat 2. Wanita itu tersenyum memandangnya sebelum membungkus ros putih yang dipesannya.
“Untuk cewek ya pak? Pria genteng macam bapak, pasti ceweknya superb.” Wanita itu cuba beramah-tamah.
Riffki hanya tersenyum. Jambangan bunga yang sudah bertukar tangan dicium. Harum segar aroma ros putih, membuatkan dia merasa girang tiba-tiba. Dia berjalan keluar dari toko. Belum jauh kakinya melangkah, dia terdengar bunyi riuh rendah di hadapannya. Matanya membulat. Dia diterpa rasa hairan.
Dari tingkat atas Kuta Square, dia menjenguk ke bawah. Menyaksikan suasana kelam kabut di ruang legar Kuta Square, dipenuhi dengan pengunjung-pengunjung yang bersesak-sesak di hadapan pintu keluar, Riffki tergaman.
“Kenapa? Apa yang berlaku?” Riffki sempat menarik seorang lelaki Indonesia yang menerpa ke arahnya.
“Bom, gawat nih pak. Kata orang, tempat ini bakal meledak!” Suara lelaki itu gementar sebelum berlalu pergi.
Riffki tercengang. Bom? Ya Allah, betulkah? Dia cuba mencelah. Tapi laluannya menjadi sukar di tengah-tengah keributan orang ramai yang kelihatan panik. Di matanya ketika itu hanya ada wajah Nurlaila. Jika benar ada bom, akan terkuburkah dia di kota Bali ini?
Dia mencari-cari jalan keluar lain. Tiba-tiba dia teringat pada tangga kecemasan ketika dia melalui hadapan toko bunga. Dia segera berpatah balik. Ketika itu juga sekujur tubuh menerpa ke arahnya. Riffki terjatuh bersama tubuh yang menghempapnya. Dia terkejut menatap sepasang mata bening berkaca yang begitu hampir di wajahnya. Untuk seketika, mereka saling bertatapan. Riffki merenung wajah itu agak lama. Dia seperti pernah melihat wajah itu. Gadis itu bingkas bangun. Wajahnya tergambar riak takut.
“Maaf….” Ucapnya serba salah, apabila dilihatnya mata Riffki tidak berganjak memandangnya.
Mendengar ucapan maaf itu, Riffki terpana. Serta-merta ingatannya tumpah pada raut wajah gadis yang tergesa-gesa menaiki teksi di hadapan hotelnya siang tadi.
Melihat Riffki tidak memberi sebarang reaksi, gadis itu berlalu pergi. Riffki bangun, tapi matanya masih memerhatikan gelagat gadis bertocang dua itu. Gadis itu kelihatan panik. Sekejap dia berlari ke kanan, seketika pula dia cuba mencelah ke arah orang ramai yang bersesak-sesak. Melihatkan keadaan itu, Riffki segera meluru ke arah gadis itu.
Si gadis terkejut apabila menyedari tangannya tiba-tiba ditarik keluar dari kumpulan orang ramai.
“Jangan ke sana, kita ikut jalan sini.”
Riffki menggenggam kemas tangan gadis itu lalu menghelanya menuju ke arah tangga kecemasan. Gadis itu terpaku, tetapi hanya membiarkan tangannya dihela sesuka hati. Beberapa orang kelihatan turut cuba keluar dari tangga kecemasan itu. Riffki cuba meloloskan diri, tapi tiba-tiba saja tubuhnya ditolak kuat. Dia terdorong ke hadapan sebelum tubuhnya terdampar ke lantai. Dia mengaduh kesakitan apabila kakinya terhempap bucu tangga yang tajam.
Jambangan bunga ros putih di tangannya tercampak jauh. Riffki terpaku. Dia hanya mampu memerhatikan jambangan ros miliknya, dipijak-pijak orang ramai yang bergegas turun.
“Are you okay?” Gadis di sisinya bertanya dengan wajah bimbang. Riffki tidak menjawab. Dia cuba bangun. Tapi semakin dicuba, kakinya semakin sakit. Dia mendesis kesakitan lalu bersandar di belakang dinding.
“Awak tak apa-apa ke?” Gadis itu bertanya lagi. Wajahnya kelihatan bimbang.
“I’m okay. You ikut orang ramai tu turun ke bawah.” Arah Riffki.
“Awak macamana?”
“Jangan risaukan saya, cepat tinggalkan bangunan ni segera. Lekas!” Suara Riffki sedikit meninggi. Dia masih memegang kakinya yang terasa ngilu.
Gadis itu terdiam. Dia memerhatikan orang ramai yang menuruni tangga kecemasan sebelum beralih pandang ke wajah Riffki yang kesakitan. Melihat lelaki itu, dia tidak sampai hati mahu pergi. Akhirnya dia menjatuhkan diri di samping Riffki, bersandar di sisi lelaki itu. Riffki tergaman.
“Apa awak buat ni? Lekas, tinggalkan tempat ni segera.” Suara Riffki semakin meninggi. Namun gadis itu kelihatan tenang.
“Tak apa, biar saya teman awak saja.” Suara gadis itu lembut.
“Awak dah gila ke?” Dia mencerlung tajam.
Gadis itu tersenyum. “Betul cakap orang, kalau nak mati tu kat mana-mana pun boleh mati. Sekurang-kurangnya mati saya tak keseorangan,” balasnya selamba.
Mendengar kata-kata itu, Riffki cuba bangun. Tapi usahkan hendak berjalan, berdiri pun dia tidak mampu. Akhirnya dia mengalah. Orang ramai yang bersesak-sesak di tangga kecemasan sudah mulai berkurang. Dari jauh, dia terdengar siren kecemasan dibunyikan. Dadanya berdebar-debar menanti sebarang bahana yang bakal berlaku. Benarkah ada bom? Apakah dia bakal terkubur di bawah runtuhan Kuta Square kemegahan kota Bali ini? Laila, adakah memang sudah takdir, kita memang tiada jodoh di hayat ini?
Riffki memandang gadis di sebelahnya. Wajah itu tidak bermekap tapi tetap manis dipandang. Siapakah dia? Gadis Indonesiakah? Tapi loghat percakapannya tidak melambangkan yang dia berasal dari negara paling ramai penduduk itu. Apabila gadis itu menoleh ke arahnya, Riffki cepat-cepat melarikan matanya. Melihat Riffki yang membisu, gadis itu turut terdiam. Matanya melurus ke hadapan, merenung nombor empat yang tertulis di dinding di hadapannya. Hampir satu jam mereka menunggu di situ tanpa sepatah kata.
Tiba-tiba, daun pintu tangga kecemasan ditolak kasar diikuti derapan sepatu kulit memecah kesunyian bangunan Kuta Square yang tadinya riuh rendah. Serentak Riffki dan gadis itu saling berpandangan. Alangkah leganya mereka melihat beberapa orang polis Indonesia berseragam muncul di situ.
“Nona tidak apa-apa?” Tanya salah seorang dari lelaki itu.
“Saya tidak apa-apa, tapi lelaki ini cedera,” gadis itu membalas sebelum sempat Riffki bersuara.
“Pelancong?”
“Ya, dari Malaysia.” Balas Riffki.
“Dan nona?” Polis itu memandang gadis itu.
“Iya, juga dari Malaysia.”
Riffki tercengang. Orang Malaysia rupanya. Apa gadis sepertinya buat seorang diri di sini?
“Bapak, boleh saya bertanya? Apakah benar Kuta Squre ini dibom?” Soal Riffki.
“Anggota kami sudah memeriksa, nyatanya itu cuma laporan palsu. Bangunan ini selamat. Tapi sejam waktu tadi, kami dapat report mengatakan dua bom meledak di Legian dan Renon.”
Riffki tersentak. Legian?
“Boleh saya tahu di mana?”
“Khabarnya di Café Sari Club dan Renon. Kami sedang menitipkan bantuan kepolisian dan medis di sana. Khabarnya ada korban terjadi, kebanyakannya pelancong asing.”
Riffki sudah tidak mampu mendengar penjelasan lelaki itu lagi. Tubuhnya lemah. Kepalanya seakan berpinar-pinar. Serta-merta, wajah Laila tergambar di kotak fikirannya. Teringat dia bahawa gadis itu sedang menunggunya di Legian bersama temannya Izzat, dan model-model Dato’ Faizul. Tubuh Riffki rebah tidak bermaya. Tuhan! Katakan ini semua tidak benar!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!