Followers

Friday, January 1, 2010

Tiada Sepertimu 1


DIA menghirup fresh orange sambil mengerling ke arah jam di pergelangan tangan. Mulutnya terkumat-kamit melepaskan keluhan. Tanda bosan kerana hampir sejam menanti dalam resah. Sesekali matanya meninjau ke arah pintu masuk restoran itu. Namun orang yang ditunggu, sejak tadi belum menampakkan bayang.

“Sabarlah, biasalah kalau orang macam kita ni kena tunggu klien,” celah Zackry yang duduk di sampingnya. Anak muda itu bagaikan tahu apa yang sedang bersarang di kepalanya ketika itu. Dia hanya mencebik. Tidak setuju dengan pendapat Zackry dan selebihnya menunjukkan sikap protes. Zackry ketawa kosong dengan gelagatnya petang itu.

“Yang kau ni kalut semacam apahal? Takkan sebab Datin Kamisah datang lambat, angin kau tu nak disambarkan pada aku. Relakslah,” pujuk lelaki itu lagi.

Zara tersenyum hambar. Dia merenung lelaki berperwatakan riang itu. Jika bukan sebab Zackry ingin memperkenalkan klien baru padanya, tak mungkin dia sanggup menunggu begini pada hari sepatutnya dia sudah berada di rumah.

“Aku bukan apa Zack, malam ni aku kena balik rumah ayah. Hari ni kan hari jadi Romei. Aku dah janji dengan budak ‘tyco’ tu nak ‘celebrate’ birthday dia sama-sama.” Ujar Zara. Kata-katanya menarik perhatian Zackry.

“Romei dah balik dari Australia?”

Zara mengangguk. “Semester break.” Sahutnya ringkas.

Dia kembali termenung. Kalau dia gagal muncul malam ini, tentu masak dia dileter ayahnya. Sudahlah majlis perjumpaan keluarga yang diadakan malam minggu yang lalu, dia juga gagal menghadirkan diri kerana bermesyuarat sehingga ke malam.

“Don’t worry, aku rasa sekejap lagi datanglah datin tu. Lagipun kau kena dapatkan juga klien ni untuk penuhkan kuota kau. Jika tidak mengamuk Encik Hasyim tu nanti,” Zackry mengingatkannya.

Mendengar nama itu meniti dari bibir Zackry, serta-merta dia mengeluh panjang. Diakui kata-kata Zacky ada benarnya. Jika dia tidak dapat memenuhi kuota Encik Hasyim sehingga akhir bulan ini, tentu leteran lelaki itu akan lebih pedas dari leteran ayahnya. Sekurang-kurangnya leteran ayahnya hanya sekejap. Tapi leteran Encik Hasyim pula meleret-leret sehingga ke bulan-bulan berikutnya. Inilah yang dia tidak sanggup sebenarnya. Beginilah jika bekerja sebagai agen insurans, sentiasa bersaing untuk memenuhi kuota yang ditetapkan oleh syarikat setiap bulan.

“Itulah, ayah suruh Zara kerja dengan ayah, tapi Zara degil. Sibuk nak kerja kat syarikat insurans tu.” Marah ayahnya beberapa bulan yang lalu, masih segar dalam ingatan. Ketika itu dia baru mula berjinak-jinak dengan dunia insurans setelah diperkenalkan oleh Zackry. Malah baru enam bulan sebenarnya dia menerokai bidang baru itu, meskipun dia mempunyai ijazah dalam bidang Komunikasi Masa.

Dia sebenarnya bukan tidak sudi bekerja dengan ayahnya, tapi selepas tamat dari pengajiannya hampir setahun yang lalu, dia ingin berdikari sendiri mencari pekerjaan. Dia tidak mahu bergantung kepada ayahnya yang memiliki syarikat pembinaan atau menerjah diri ke dalam kelompok dunia korporat pakciknya, Farid.

Dia lebih suka bekerja dalam keadaan di mana dia tidak perlu masuk pejabat seawal pagi dan pulang tepat jam lima atau enam petang. Dan bila Zackry memperkenalkan kerja padanya, dia terus menerima tanpa banyak soal.

“Syy..dia dah datang,” bisik Zackry, hampir di telinganya. Dia menoleh. Dari jauh, seorang wanita yang agak berumur melangkah penuh bergaya, menuju ke arah mereka. Di samping wanita itu, seorang lelaki tinggi lampai berwajah tampan berjalan di sisinya. Mata Zara mengekori gerak geri pasangan itu sehingga ke meja. Timbul tanda tanya di hatinya melihat lelaki itu. Kedua-duanya nampak mesra bergandingan. Anaknya barangkali, duga Zara.

“Datin,” tegur Zackry seraya bingkas bangun. Zara turut bangun dari kerusinya. Dia bersalaman dengan wanita itu. Bulat mata Datin Kamisah memandang Zara yang kelihatan selamba.

“Siapa ni Zack?” Tanya wanita itu sambil tersenyum. Lelaki di samping Datin Kamisah turut merenung ke arah Zara.

“Ini Zara Melissa, partners saya. Kalau Datin berhajat nak beli insurans, saya syorkan beli saja dengan Zara. Dia cekap uruskan semua ni.” Canang Zackry.

“Tapi I nak ambil polisi insurans dengan you, Zack.” Datin Kamisah seakan membantah.

“Sorry Datin, kuota I dah cukup. Kalau you nak beli dengan I, you kena tunggu bulan depan. That’s why I syorkan you beli dengan Zara saja, I guarantee, semua kebajikan you akan terjaga.” Ujar Zackry sengaja memberi alasan. Hanya kerana mahu membantu Zara, dia pura-pura membuat undang-undang sendiri.

Datin Kamisah terdiam mendengar bicara Zackry. Biji matanya galak merenung wajah gadis di hadapannya. Zara tersenyum sumbing. Senyum gugup sebenarnya!

“Hmm kalau macam tu kata you, tak apa. I ikut saja.” Wanita itu mengalah.

“Thanks sebab Datin sudi berurusan dengan saya. Err boleh saya tahu Datin nak beli insurans ni atas nama siapa?”Tanya Zara sambil membuka failnya.

“Saya nak beli life insurance untuk Jerry. Jaherry Razak,” balas Datin Kamisah. Suaranya tegas dan selamba.

“Siapa Jaherry Razak tu? Anak Datin ke?” Tanya Zara.

Wajah Datin Kamisah tiba-tiba berubah. Dia melirik lelaki muda di sisinya yang tiba-tiba tersengih. Zara yang menyedari situasi aneh itu tergaman. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja dia merasakan dirinya dipanah tiga pasang mata. Kenapa pulak ni? Aku salah cakapkah?

Zackry tiba-tiba menyiku lengan Zara. Gadis itu pantas menoleh. Wajah Zackry masam manis merenung temannya.

“Zara, perkenalkan ini Jaherry Razak, kawan Datin kita ni.” Ujar Zackry memperkenalkan lelaki tegap tampan di hadapan mereka. Mata Zara membulat memandang lelaki itu. Kawannya? Dia hampir tidak percaya. Aneh, takkan sekadar kawan sehingga bermurah hati mahu membeli insurans atas nama lelaki itu pula?

“Jerry, you bagilah detail you pada Cik Zara ni. I nak pergi ladies sekejap.” Ujar Datin Kamisah seraya melangkah pergi. Zackry tiba-tiba turut meminta diri untuk beredar. Alasannya ada hal di tempat lain.

Zara membeliakkan matanya, seakan-akan cuba mencegah pemergian Zackry. Lelaki itu hanya tahu tersengih lalu segera beredar dari situ tanpa mempedulikannya.

Sepeninggalan kedua-duanya, Jaherry kembali memandang Zara yang kelihatan serba salah. Dia ketawa kecil. “Don’t worry, dia tak marahkan you sebenarnya. She’s very sporting.” Ujar lelaki itu memulakan bicara.

“Maaf Encik Jaherry, saya…”

“Please call me Jerry…”pintas lelaki itu sebelum sempat Zara menghabiskan kata-katanya. Zara tersenyum. Dia melirik fail sederhana tebal di hadapannya.

“Okey Jerry, boleh saya tahu you kerja sebagai apa?” Zara memulakan intro pertama. Sememangnya sebagai individu yang bertanggungjawab dengan bakal klien, dia seharusnya tahu serba sedikit tentang lelaki itu.

“I? Buat masa ini I tak bekerja.”

Zara tersentak. Matanya menjunam ke arah lelaki itu. Jaherry nampak selamba menuturkan kata-kata.

“Err..you tinggal di mana? Alamat tetap you?”

Apabila lelaki itu menyebut alamatnya, hati Zara tersentap. Dia hairan mendengar lelaki itu mampu tinggal di kawasan kondo mewah sedangkan dia tidak bekerja. Ah! Barangkali dia anak orang kaya, pujuk hati kecil Zara. Dia terus mengambil beberapa maklumat penting lelaki itu untuk diisi ke dalam dokumen-dokumen berkaitan.

“Cik Zara dah ada kekasih?” Soal lelaki itu tiba-tiba. Zara terpegun. Dia memandang Jaherry yang masih memandangnya. Apa relevennya soalan itu?

“Kenapa you nak tahu?”

“Saja.” Jawab Jaherry sambil tersenyum.

Zara menelan liur. Saja? Jawapan apakah itu? Dia mula menggaru kepala tidak gatal. Entah apa patut dikhabarkan pada lelaki itu. Patutkah dinyatakan tentang dirinya yang masih keseorangan sehingga kini? Gila! Apa perlunya dia menyatakan peribadi dirinya? Bukannya maklumat dirinya yang mahu diisi dalam dokumen perjanjian.

“Takkan gadis secantik Cik Zara tak ada kekasih.” Simpul Jaherry setelah soalannya terbiar sepi tanpa jawapan.

Zara tersenyum. Cantikkah dia? Rasanya cantik lagi amoi yang jual sayur di pasar Selayang. Namun tidak pula dia menyebut tentang perkara yang baru terlintas di kepalanya ketika itu.

“You pula bagaimana?” Soal Zara pula. Dia ingin tahu lebih lanjut tentang lelaki yang bakal menjadi ‘kliennya’ itu.

Jaherry terdiam. Tidak faham dengan maksud pertanyaan itu sebenarnya. Namun belum sempat dia mahu membuka mulut, matanya mendadak memerhatikan ke suatu arah. Sebuah senyuman ceria terukir indah di wajahnya. Pantas tangannya diangkat tinggi-tinggi lalu melambai ke suatu arah.

Zara terpegun. Menyedari reaksi lelaki itu, dia segera mengekori arah anak mata Jaherry. Seorang lelaki bertubuh tinggi lampai melangkah pantas ke arah mereka. Zara tercengang melihat lelaki yang baru singgah. Siapa pula ni? Terkelip-kelip matanya memerhatikan adegan Jaherry dan lelaki yang baru sampai itu berjabat salam serta berpelukan. Kedua-duanya nampak mesra.

“Kau nampak sihat.” Komen Jaherry pada temannya. Lelaki itu ketawa besar. Matanya sempat melirik ke arah Zara yang kelihatan resah. Dahinya berkerut.

“Siapa ni? Takkan awek kut. Sejak bila kau berubah selera?” Ucap lelaki itu, agak lantang. Zara terkedu. Dia mulai merasa tidak senang mendengar kata-kata yang terucap dari bibir lelaki yang singgah ke meja mereka.

“Hei kawan, kau jangan nak cari fasal dengan aku.” Gelak Jaherry. “Ini agen insurans yang buah hati aku syorkan. Beria-ria dia nak belikan insurans untuk aku,” sambung lelaki itu lagi membuatkan darah Zara menyirap seketika. Buah hati? Siapakah yang dimaksudkannya? Takkan Datin Kamisah? Namun mendengar perbualan kedua-dua lelaki itu seterusnya, Zara sudah tidak senang duduk. Hatinya tiba-tiba jengkel.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!