Followers

Tuesday, May 11, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 9

Senyap-senyap dia berjingkit masuk. Kebanyakan teman-temannya sudah keluar makan tengahari. Sebaliknya dia pula baru hendak menjejak pejabat sejak dari pagi tadi. Bimbang juga hatinya kalau terserempak dengan Akhbar yang sering bising-bising jika melihatnya datang lewat ke pejabat.

Sebelum menuju ke mejanya, dia mengintai bayang Akhbar di bilik lelaki itu. Ok..line clear! Suria tersengih. Cepat-cepat dia melangkah deras menuju ke mejanya. Beg sandangnya dicampak ke tepi. Dia menyeluk poket seluar. Jam tangan yang dijumpainya di kawasan hutan itu dibelek semula. Inikah jam tangan yang sama dipakai oleh mangsa bunuh tu?

Suria kembali mencari gambar-gambar di dalam begnya. Sebaik gambar yang dicarinya dijumpai, dia cuba membandingkan jam tersebut dengan yang terdapat di dalam gambar. Meskipun kurang jelas tapi seakan-akan sama. Bibirnya tanpa disedari mengukir senyuman senang.

MK! Dia menyebut huruf itu berulangkali. MK tentunya satu initial. Yang pasti initial yang sukar mahu diteka sesuka hati. Tapi kalau mengikut pada gambar, mayat itu pastinya seorang perempuan. Malah Haqimi sendiri pernah mengesahkan padanya. MK pasti nama perempuan. M…Maria, Maimun, Mona…? Suria membebel sendiri. Langsung dia tidak sedar seseorang menghampirinya dari arah belakang.

“Ehemm..” Suatu suara muncul di tepi telinganya. Suria terpinga-pinga lalu menoleh. Tapi sebaik matanya menyapa seraut wajah, dia tergaman. Senyuman lelaki berkemeja dan berseluar slack itu, dipandang dengan wajah bingung.

“Awak lagi?”

Lelaki itu ketawa kecil lalu mengangguk.

Suria terkesima. “Awak buat apa kat sini?” Soalnya sedikit keras. Aduh! Mampus dia kalau Encik Akhbar nampak orang yang tak dikenali di ruang bilik berita itu.

“Suria. Suria Baharom bukan?” Tanya lelaki itu.

Suria tersentak. Amboi siap tahu nama aku. Tapi apa mamat ni buat kat sini pulak? Takkan dia cari aku kut! Dia lekas-lekas menarik tangan lelaki itu ke satu sudut yang agak tersorok. Lelaki itu tergaman dengan tingkah laku Suria, tapi dia menurut tanpa bantahan. Matanya tak putus-putus memandang Suria yang kelihatan gelabah.

Mata Suria membelingas liar ke sana ke mari mengawasi kelibat Akhbar. Mujurlah batang hidung lelaki itu tidak kelihatan sejak tadi. Sudah keluar lunch barangkali, duga Suria.

Dia mendongak memandang lelaki itu. Matanya bertembung pandang dengan sepasang mata yang redup menawan. Melihat lelaki itu, dia terpaku sebentar bagaikan patung cendana. Senyuman itu, renungan itu, benar-benar bisa membuatkan dia mabuk kepayang.

“Awak buat apa kat sini?” Suria mengulang pertanyaan sekali lagi.

“Saya cari awak.” Ujar lelaki itu. Selamba dan bersahaja.

“Cari saya? Buat apa?” Suria mengerutkan dahinya.

Lelaki itu terus tersenyum. Sekali lagi hati Suria mencair. Nasib baik hati dia bukan dibuat dari ais, kalau tak habis cair tinggal air je! Inilah kali pertama dia dapat melihat jelas wajah pemuda yang ditemuinya di jalan kelmarin. Boleh tahan handsome, bisik hati kecil Suria.

“Semalam, awak dah tolong saya. Jadi saya patut ucapkan terima kasih. Tapi kelmarin tak sempat nak berbual panjang sebab saya dapat urgent call. Oh ya, saya Nazrul. Nazrul Aliff.” Lelaki itu memperkenalkan diri seraya menghulurkan tangannya.

“Suria Baharom.” Balas Suria pula. Huluran tangan Nazrul disambut kejap lalu dilepaskan. Dia tak boleh memandang lelaki itu lama-lama. Bimbang hatinya di dalam bergetar ala-ala bull fighting!

“Okey, kita dah berkenalan. Sekarang awak boleh pergi.” Desak Suria lantang lalu tanpa sedar menolak tubuh lelaki itu ke hadapan.

Nazrul tergelak besar, lucu melihat telatah Suria yang kelihatan kelam kabut.

“Encik Nazrul!” Laung satu suara dari suatu arah. Suria dan Nazrul serentak berpaling. Suria mengerdipkan kelopak matanya sebaik melihat kelibat Akhbar sedang menuju ke arahnya. Alamak! Apa aku nak beri alasan kalau Encik Akhbar tanya kenapa sepanjang pagi ni aku tak masuk langsung ke pejabat? Keluh Suria mulai lemah. Langsung dia terlupa tentang Nazrul di sampingnya.

“Nanti kalau si botak tu tanya, awak diam aje tau. Biar saya aje yang cakap.” Suria memberi amaran seraya menjeling lelaki di sampingnya. Nazrul terpinga-pinga. Dia langsung tidak dapat menangkap maksud gadis itu. Si botak?

“Encik Akhbar, maaf saya sebenarnya…..” Kata-kata Suria terputus sebaik melihat lelaki itu melepasinya lalu mendekati Nazrul. Terkesima sebentar dia apabila melihat lelaki itu menepuk-nepuk bahu Nazrul seraya ketawa.

“Puas saya cari Encik Nazrul tadi, rupa-rupanya ada kat sini. Saya sebenarnya nak pelawa Encik Nazrul lunch sama-sama. Sambil tu kita boleh bincang fasal perkembangan Unit Berita.” Ujar Akhbar.

“Tak jadi hal, saya okey aje Encik Akhbar. Tapi sebab ini hari pertama saya, jadi biar saya saja yang belanja.” Balas Nazrul lalu tersenyum. Dia sempat melirik ke arah Suria yang kelihatan bingung.

“Cik Suria ikut sekali ya?” Pelawa Nazrul.

Akhbar berpaling ke arah Suria lalu mengerutkan dahinya. “Awak dah kenal ke Encik Nazrul ni Suria? Pagi tadi dia datang perkenalkan diri di unit kita, tapi awak sorang aje yang tak masuk office. Ini Ketua Operasi Stesyen TV kita yang baru, menggantikan Encik Kamaruddin. Encik Nazrul Aliff.” Akhbar memperkenalkan lelaki itu.

Wajah Suria berubah. Terkulat-kulat dia memandang Nazrul yang sedang tersenyum ke arahnya. Alamak! My boss!

* * * *

Dia diam sahaja apabila kedua lelaki itu rancak berborak. Hendak mencelah dia tidak tahu hujung pangkal, lebih-lebih lagi dia segan dengan Nazrul. Aduh, macamanalah lelaki yang dijumpainya tempohari, tiba-tiba boleh bertukar menjadi ketuanya di stesyen KZM itu pula?

Suria terasa mukanya berbahang hangat. Lagi-lagi dia menyedari lirikan mata Nazrul sekali sekala menghala ke arahnya. Untuk menutup gugup, dia segera mencapai gelas fresh orange lalu dihirup perlahan-lahan. Biar tenang sedikit gelodak hatinya yang membara akibat situasi yang tak disangka-sangka hari itu.

“Cik Suria ni memang pendiam orangnya ya Encik Akhbar?” Pertanyaan lelai itu membuatkan air di mulutnya hampir tersembur keluar. Dia sudah terbatuk-batuk. Kedua pasang mata itu serentak mengarah ke wajahnya. Suria terasa seperti ingin ghaib saat itu juga. Akhbar merenung tajam ke arahnya, manakala Nazrul pula tidak putus-putus tersenyum ke arahnya.

“Pendiam apanya Encik Nazrul, dia ni banyak mulut orangnya. Dah la tu, mana pernah lekat kat pejabat. Asyik hilang aje.” Leter Akhbar memecahkan tembelang Suria. Suria menggigit hujung bibir. Aku dah agak, orang tua ni mesti nak kenakan aku! Keluh Suria. Bera rasa mukanya dicanang begitu di hadapan Nazrul.

“But she’s quite good in her job. One of our top reporter here.” Sambung Akhbar lagi. Mata Suria terkelip-kelip memandang lelaki berkepala botak itu. Tak disangkanya Encik Akhbar dalam garang dan tegas pun, masih sudi memujinya. Hatinya tiba-tiba sahaja kembang kuncup. Seronok ada, bangga pun ada kerana dipuji di hadapan bos.

Dia melirik Nazrul yang kelihatan asyik memerhatikannya. Matanya bertaut dalam diam. Entah kenapa, renungan lelaki itu menyentuh perasaan halus yang mula terbit di penjuru hatinya.

“Sorry, I have an urgent call. Excuse me,” Akhbar menolak kerusi lalu bangun. Suria memerhatikan lelaki itu menuju ke suatu sudut di kawasan restoran itu. Sejurus matanya dilarikan. Bertembung pula dia dengan pandangan Nazrul yang sejak tadi tidak lari dari wajahnya. Suria tersenyum, cuba menutup perasaan gugup yang mula bercambah dalam dirinya.

“Maaf Encik Nazrul, saya tak tahu yang…” Suria serba salah.

“Please, jangan panggil saya Encik Nazrul. Panggil saya Nazrul cukup.” Pintas lelaki itu lalu meneguk fresh orangenya sendiri yang masih belum luak.

“Awak patut beritahu saya waktu pertama kali kita jumpa dulu. Saya rasa bodoh sangat.” Suria kesal.

“Bukan niat saya nak berahsia dengan Suria. Pertemuan kita hanya satu kebetulan yang saya sendiri tak sangka.” Bisik Nazrul lalu ketawa besar. Suria ikut ketawa. Lucu bila mengenangkan bagaimana mereka mula-mula bertemu kelmarin.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!