Followers

Thursday, November 14, 2013

Alamak! Lagi-Lagi Dia : Bab 20


SEKALI lagi adegan pencariannya berlangsung dalam keadaan hujan renyai-renyai. Dia mendongak wajah lalu memandang langit yang mulai gelap. Sesekali dia memerhatikan ke arah bangunan Jumbo Jeep di hadapannya. Restoran kegemarannya, khas untuk bertemujanji seperti yang dimahukan ibunya. Restoran itu dipilih kerana makanannya yang sedap-sedap.

Sudah dua jam lebih dia merayau-rayau di situ tapi masih gagal menemukan plannernya. Cika mula merasa putus asa. Dia cuba mengingati apa yang berlaku pada hari dia ke situ bersama ibunya untuk bertemu Puan Jamilah dan Idham Hariz. Ketika itu dia duduk bersandar pada badan sebuah kereta Toyota Prius berwarna putih. Plat nombor dia tak ingat, hanya dia teringat ada melihat initial NA berwarna perak pada bahagian bonet kereta tersebut. Jangan-jangan pemandu kereta itu tahu sesuatu.

            Cika tiba-tiba terfikir untuk bertanya perihal kereta tersebut dengan pekerja-pekerja di Jumbo Jeep. Manalah tahu si pemilik kereta itu pelanggan tetap Jumbo Jeep. Untung-untung planner miliknya dapat ditemui semula. Tanpa membuang masa dia segera berlari masuk ke dalam restoran yang sentiasa dipenuhi dengan pelanggan-pelanggan restoran.

            “Err..maaf, boleh tumpang tanya tak? Ada tak sesiapa yang terjumpa buku saya yang tercicir kat mana-mana di sekitar restoran ni?” Tanya Cika pada dua orang pelayan yang berada di kaunter. Pelayan di kaunter itu tercengang melihat Cika yang sudah basah kuyup. Sejurus kemudian dia menoleh ke arah temannya yang hanya menggelengkan kepala.

            “Rasanya tak ada pulak. Kenapa? Cik tercicir sesuatu?” Soal salah seorang pelayan lelaki yang bertubuh tegap dan tinggi lampai. Yang seolah lagi berambut punk berwarna putih.

            Cika segera menceritakan apa sebenarnya yang dicari pada kedua-dua pelayan itu. Sempat juga dia menyebut tentang initial NA yang tertera pada kereta Toyota Prius yang dimaksudkan itu. Mendengar kata-katanya, dua pelayan itu saling berpandangan sesama sendiri.

            “Rasanya kami boleh tolong. Itu kereta pemain piano kami. Setiap dua malam sekali dia akan buat persembahan di sini dari jam lapan hingga sebelas. Kalau cik tunggu sekejap, mungkin cik akan jumpa dia kat sini.” Ujar pelayan yang berambut punk di hadapan.

            Cika menarik nafas panjang. Alhamdullilah! Mujurlah boleh jumpa dengan pemilik kereta itu. Tapi kata-kata pelayan lelaki itu mendadak muncul di fikiran, membuatkan dia terkedu. Sejak bila ada pemain piano di sini? Memang dia selalu bertemujanji di restoran ini, tapi seingatnya tidak pernah ada persembahan piano di tempat ini sebelum ini meskipun piano putih itu sentiasa ada di tengah-tengah ruangan restoran itu. Sangkanya piano itu hanya hiasan semata-mata.            

Segelas fresh orange tiba-tiba diletakkan di hadapannya. Cika mendongak wajah lalu memandang si pelayan lelaki tadi yang kini berada di hadapannya.

            “Buat basahkan tekak.” Ujar pelayan lelaki bertubuh tinggi lampai itu.

            Cika segera mengeluarkan dompet duitnya. “Err berapa? Nanti saya bayar.”

            “Eh tak payah cik. Minuman ini percuma sahaja. Oh ya, ini tuala kering kalau-kalau cik nak lap muka.” Lelaki itu menghulurkan sehelai tuala ke arahnya.

            Cika tersenyum sekaligus menyedari keadaan dirinya yang basah kuyup.

            “Terima kasih.” Ucapnya lalu menyambut tuala muka tersebut dan dilapkan pada wajah dan badannya. Patutlah semua orang pandang semacam aje. Mesti mereka pelik melihatnya basah kuyup begitu.

            “Oh ya, boleh saya tanya sesuatu?” Soal pelayan lelaki itu.

            Cika tercengang. Nak tanya apa pulak? Macam serius aje bunyinya?

            “Kalau tak salah, cik pelanggan tetap di restoran kami bukan? Saya dan kawan-kawan saya di belakang sana bertaruh kalau cik lah gadis yang selalu blind date di meja hujung sana bukan?” Lelaki itu menunjukkan ke suatu arah.

            Cika tergaman. Serentak matanya beredar ke arah kaunter dan terpandang tiga empat orang pelayan yang tersengih-sengih memandang ke arahnya. Malah ada yang melambaikan tangan ke arahnya. Wajah Cika sudah bera!

            Pelayan lelaki yang tinggi lampai itu tiba-tiba ketawa kecil. “Maaf, selama ini memang kami selalu perhatikan cik. Oh ya nama saya Ebit. Nama cik?”

            “Syafika. Panggil saya Cika sahaja.” Cika sedaya-upaya melemparkan senyum.

            “Selamat berkenalan ya Cik Cika. Kami semua selalu tertunggu-tunggu blind date Cik Cika yang seterusnya. Yang ke-14 kan kalau tak salah?” Tanya Ebit tersenyum.

            Cika ketawa malu. Aduh! Kenapalah mereka semua ni boleh perasan semua benda ni? Siap tahu lagi fasal blind date ke-13 ke, ke-14 ke. Malu sungguh! Taubat aku kena tukar port lain ni!

            “Ebit!” laung satu suara.

            Ebit segera berpaling. Cika turut menoleh lalu terpandang seorang lelaki berpakaian kemas sedang menggamit Ebit dari penjuru kaunter. Lelaki-lelaki muda di kaunter tadi juga sudah menghilang entah ke mana!

            “Alamak, itu bos saya. Saya pergi dulu Cik Cika. Kalau nak apa-apa bagitahu saja.” Ujar Ebit lalu segera beredar dari situ. Cika terus memerhatikan Ebit dan majikannya berbual-bual. Dia masih ingat lelaki yang berbual-bual dengan Ebit itu. Jak! Itulah nama lelaki itu. Bukankah mereka pernah bertemu semasa dia ditangkap ‘berkhalwat’ dengan Nadim Ammar tempohari? Sesekali mata kedua-duanya beralih ke arahnya. Dia mula cemas. Lain macam sahaja! Apa yang mereka berdua bualkan tu? Fasal aku ke?

            Melihat lelaki itu menuju ke arahnya, Cika tiba-tiba gugup. Aduh! Apa mahunya lelaki itu dengannya?

            “Cika bukan?” Lelaki itu menjengahnya sambil tersenyum.

            Hendak tak hendak Cika terpaksa melemparkan senyuman meski hati terasa segan dengan lelaki itu.

            “Saya Jak, ingat lagi?”

            Cika mengangguk. Of course aku ingat!

            “Dah lama abang tak nampak Cika datang ke mari?” Tegur Jak seraya duduk di samping anak gadis itu.

            “Eh ada. Kelmarin tengahari saya ada datang ke sini.” Cepat-cepat Cika menyahut. Jak tersenyum lebar memandangnya.

            Blind date lagi?”

            Cika terdiam. Sah! Aku kena tukar port blind date aku. Wajahnya sudah merah padam seperti udang dibakar.

            Abang pun tahu juga hal ni?” Wajah Cika berubah muram. Jak mula menyedari gadis itu tidak senang memperkatakan tentang urusan janji temunya.

            Come on, bukan teruk sangat pun kalau blind date di sini. Kalau Cika nak tahu, bukan Cika seorang yang suka bertemu janji kat sini. Ramai pasangan yang datang.” Pujuk Jak.

            “Tapi saya seorang sahaja yang selalu bertukar-tukar pasangan kan?” Cika tersenyum hambar.

            “Belum jumpa yang berkenan di hati?”

            Cika menggeleng. Jujur mengakui pada lelaki itu.

            “Insya ALLAH, abang yakin suatu hari nanti Cika mesti jumpa dengan lelaki yang ditakdirkan jadi soulmate Cika. Lagipun Cika ni  kan lawa orangnya, mesti ramai yang sangkut.” Jak memuji. Bukan mengambil hati, tapi ikhlas di hatinya.

            “Kalau tak jumpa juga?” Cika menoleh ke arah lelaki itu.

            “Kalau tak jumpa jugak, Cika pilih ajelah mana-mana staf abang yang berlima tu. Tengok tu, semuanya dah jadi peminat Cika.” Ujar Jak seraya menunjukkan ke suatu arah.

            Cika mengekori arah pandangan Jak dan terlihat pelayan-pelayan di kaunter sedang berkumpul sesama sendiri dan tersenyum-senyum memandang ke arahnya. Serentak tawa Cika terburai. Hilang sebentar kebimbangannya kerana kehilangan planner hitamnya, sebaliknya dia merasa terhibur dengan jenaka Jak. Tak sangka lelaki itu pandai menghiburkan hatinya, padahal mereka baru kenal.

            “Oh ya, Ebit ada beritahu abang tadi yang Cika nak cari Nadim?” Soal lelaki itu.

            “Nadim?” Cika keliru. Nadim Ammarkah? Bila masa pulak aku nak jumpa mamat poyo tu?

            “Eh mana ada. Buat apa Cika nak cari mamat perasan tu?”

            “Tapi Ebit kata tadi, Cika sedang mencari pemilik kereta Toyota Prius putih tu kan. Kereta tu milik Nadim.” Ujar lelaki itu. Dalam hati hendak tergelak pula mendengar Cika memanggil Nadim ‘mamat perasan’.

            Cika terkedu mendengarnya. Kereta Nadim?

            “Boleh abang tahu apa halnya Cika nak jumpa dia? Nadim ni agak low profile. Dia takkan jumpa sesiapa kalau dia sedang buat persembahan di sini. Dah ramai gadis-gadis yang nak jumpa dia, tapi satu pun dia tak layan.” Canang Jak.

            Cika terdiam. Amboi, macam artis pulak mamat ni. Kalau dengar dari gaya Jak bercerita, Cika hampir-hampir sahaja hendak terjeluak. Kerana tidak mahu disalah sangka, Cika terpaksa bercerita panjang lebar kenapa dia mahu menemui lelaki bernama Nadim itu. Seperti yang diduga, Jak terlongo mendengar penjelasan Cika.

            “Ini kali pertama abang dengar perempuan cari Nadim kerana sebab lain. Sorry ya Cika, abang cepat sangat buat kesimpulan.Speaking of the devil, dia dah sampai. Tapi Cika kena tunggu sampai dia habis persembahan dulu.” Ujar Jak berbisik, seraya berlalu pergi dari situ.

            Cika berpaling, namun pandangan matanya tidak sempat melihat apa-apa lantaran lampu di pentas utama serta di ruangan restoran itu tiba-tiba sudah dimalapkan. Dia terpisat-pisat di dalam gelap. Terkejut usah dikatakanlah. Dia sempat mendengar bunyi garpu, sudu dan pinggan berlaga. Jangan-jangan bukan dia sahaja yang terkejut beruk dengan lampu yang dipadamkan secara tiba-tiba itu.

            Tiba-tiba muncul di gegendang telinganya alunan piano yang sedang memainkan lagu Unbreak My Heart dendangan Toni Braxton. Cika berpaling ke arah pentas dan sebuah lampu sudah terpasang di situ, menyorot ke arah seorang lelaki muda berpakaian kot serba hitam yang sedang memainkan piano di pentas utama.

            Tangan lelaki itu lincah menari-nari di atas piano membuatkan Cika ikut tertarik. Merdunya. So sweet! Bisik hati kecilnya. Apabila lagu itu sampai ke bahagian kedua, sebuah lampu kecil entah dari mana datangnya menyorot pula ke wajah pemain piano itu, menyerlahkan seraut wajah yang membuatkan Cika terpegun. Dia beristighfar panjang. Ya ALLAH! Betullah memang dia!

            Selesai memainkan lagu Unbreak My Heart, sesi kedua bersambung dengan lagu I Will Always Love You yang menjadi kegemaran Cika. Lelaki itu memang mengagumkan semua mata yang memandangnya, tidak terkecuali Cika sendiri yang sempat menyumpah diri sendiri. Kalaulah dia tahu lelaki itu bermain piano di situ setiap dua malam sekali, sudah pasti dia akan sentiasa berada di tempat itu.

Kalau di sekolah dahulu, dia sering menjadi mangsa guru muziknya yang sering memegang kayu pemukul dram. Jika tersalah sedikit memainkan not, pasti kayu itu cepat sahaja singgah di kepalanya. Kata orang, yang kerap ditindas guru pasti yang paling cepat pandai. Malangnya di sekolah rendah atau di sekolah menengah, prestasinya dalam pelajaran muzik sama sahaja meskipun dia anak Encik Nordin, konduktor orkestra di stesyen televisyen negara itu.

            “Itulah lelaki yang Cik Cika nak jumpa.” Bisik Ebit, pelayan lelaki tadi yang entah sejak bila datang dan meletakkan kepingan kek Rose Velvet pula di hadapannya.

            “Bos belanja.” Bisik Ebit lagi.

            Namun Cika tidak menjawab. Matanya masih terpaku pada wajah itu. Dan bagaikan bermimpi, lelaki itu tiba-tiba berpaling ke arahnya. Dia gugup. Renungan itu sampai ke wajahnya, meski dia tidak pasti apakah lelaki itu benar-benar sedang memandangnya atau dia sahaja yang syok sendiri.

Sebaik alunan piano yang dimainkan lelaki itu selesai dan berhenti rehat seketika, Cika berhasrat mahu angkat kaki dan pergi dari situ. Tapi tiba-tiba sahaja lelaki itu mengangkat tangan ke arahnya bagaikan menyuruh dia menunggu.

            Cika terkedu. Nak tunggu ke ni?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!