Followers

Tuesday, August 24, 2010

Hujan Rindu - Bab 6

Sekejap sahaja kehadiran Anum Dahlia menjadi buah mulut orang-orang kampung. Rata-rata penduduk kampung itu asyik memperkatakan tentang Anum Dahlia yang menumpang tinggal di rumah Tok Anjang dan Nek Jah. Tak kurang juga rumah Tok Anjang dan Nek Jah tak putus-putus dikunjungi tetamu yang ingin menjenguk Anum Dahlia, sehingga tak menang tangan Nek Jah hendak melayan.

Anum Dahlia tahu, kehadirannya di gelanggang silat malam itu membuatkan orang kampung mula perasan kehadirannya di kampung itu.

“Anum jangan salah faham, mereka ni nak sangat kenal dengan Anum. Maklumlah hidup berjiran di kampung macam inilah Anum. Tolong menolong, saling ambil tahu antara satu sama lain,” ujar Nek Jah ketika tetamu terakhir baru beredar pulang. Sebagai orang tua dia faham, Anum Dahlia kelihatan resah dengan perhatian berlebihan yang diberikan orang kepadanya.

“Tak apalah nek, Anum tak kisah. Lagipun Anum suka tengok semua orang ramah tamah macam ni. Kalau kat luar negara, jangan haraplah. Walau berjiran sebelah rumah, tak pernah bersua muka. Masing-masing buat hal sendiri.” Cerita Anum Dahlia sambil tergelak.

“Anum tahu apa orang kampung ni cakap apa pada nenek?”

“Apa dia nek?”

“Mereka kata Nek Jah dan Tok Anjang dah dapat cucu orang putih. Bila nenek cakap nama Anum, semua ternganga mulut.” Nek Jah tertawa.

“Kenapa pulak nek?”

“Yalah, setahu mereka anak orang putih macam Anum selalunya nama pun macam orang putih. Ada yang namanya Kelly, Ruby, Julia, hai macam-macamlah. Hanya nama Anum yang nampak kemelayuan. Anum Dahlia. Cantik nama tu, pandai mama Anum beri.” Puji Nek Jah.

Anum Dahlia sekadar tersengih.

“Kalau Anum nak tahu, mak kepada nenek pun namanya Dahlia. Tapi Puteh Dahlia. Puteh lambangnya suci. Dahlia nama bunga yang harum. Macam kebetulan pula kan, nama Anum dan nama mak nenek lebih kurang sama.” Cerita Nek Jah lagi.

Anum Dahlia terdiam. Dia tidak mencelah kata-kata Nek Jah. Kepalanya berputar ligat. Jadi betullah nama Anum Dahlia tu memberi makna yang istimewa pada mama. Rupa-rupanya, namanya diambil sempena nama moyangnya.

“Kenapa mama namakan Anum dengan nama Anum Dahlia?”

Wanita itu menoleh. Di bibirnya tersinggung sebuah senyuman manis. “Kenapa? Anum tak suka dengan nama tu?”

“Bukan macam tu mama. Jeremy yang tanya tempohari. Dia pelik sebab nama Anum ni tak macam nama anak-anak kacukan yang lain. Tapi kata Jeremy, dia suka dengan nama Anum.” Dia tersenyum ceria.

Wanita itu hanya ketawa besar mendengar kata-katanya. “Saja mama beri nama tu sebab mama suka dengan nama Anum Dahlia. Sejuk hati bila menyebutnya. Lagipun nama Dahlia tu nama sejenis bunga yang mama paling suka.” Terang wanita itu agak ringkas.

“Anum?” Panggil Nek Jah. Anum Dahlia menoleh. Lamunannya diputuskan oleh suara Nek Jah yang sedang merenungnya.

“Anum ni kuat termenung orangnya. Ingatkan siapa tu?” Tanya Nek Jah sambil tersenyum. Gadis itu terkulat-kulat memandangnya.

“Takkan baru sehari dua di sini sudah ingatkan orang jauh.” Usik Nek Jah lagi. Sengaja dia mahu menduga hati anak gadis itu. Anum Dahlia tergelak kecil.

“Isk mana ada nek. Anum bukannya teringat kat siapa-siapa. Eh, datuk mana nenek? Anum tak nampak pun sejak pagi tadi.” Sengaja dia mengubah tajuk perbualan. Matanya meliar mencari kelibat orang tua itu.

“Datuk Anum tu ke pekan sekejap, beli baja tanaman agaknya. Sekejap lagi baliklah tu. Kenapa Anum tanya?”

“Tak apa-apa nek, saja Anum nak tahu. Nenek rasa tak apa ke Anum tinggal kat sini lama-lama? Datuk macam tak suka aje Anum tinggal di sini.” Anum Dahlia menyuarakan kegelisahan hatinya sejak semalam.

Dia menyedari, mata Tok Anjang tajam merenung ke arahnya tatkala dia mengunjungi gelanggang silat semalam. Dia perasan itu semua tapi pura-pura tidak menyedarinya. Mujurlah ada Zurin buat peneman, jika tidak mahu gugur jantungnya dipanah begitu.

“Taklah, dia memang macam tu. Muka aje nampak bengis, tapi hati datuk kamu tu baik. Mungkin sebab dulu dia bekas tentera, jadi airmukanya dah tak boleh ubah. Macam tu jugak.” Balas Nek Jah separuh berlucu.

“Datuk dulu bekas tentera?” Anum Dahlia tercengang. Kaget.

“Lama dulu. Tapi selepas kakinya cedera terkena bom buatan komunis, dia berhenti jadi askar lalu menetap terus di kampung ni. Kampung ni kampung asal kami berdua. Tapi sehingga ke hari ini, masih ramai orang kampung ni yang panggil datuk kamu tu sarjan. Maklumlah dia berpangkat sarjan dalam askar melayu dulu.” Nek Jah bercerita sambil tersenyum.

Anum Dahlia seperti tidak percaya. Cerita tentang datuknya seorang bekas askar baru sekarang didengarinya. Kenapa mama tak pernah beritahu semua ini agaknya? Patutlah di dinding rumah di ruang tamu terpampang gambar lelaki itu berpakaian seragam tentera. Sedikit pun dia tidak terfikir yang lelaki itu benar-benar seorang askar melayu berpangkat sarjan.

* * * *

“Anum macamana sayang? Sihat?”

“Sihat auntie, mama macamana?”

“Anum jangan risau. Auntie kan ada, auntie akan jaga mama Anum tu baik-baik.” Janji Marion.

Dia termenung panjang selepas bercakap dengan wanita itu di dalam telefon. Terasa hatinya bagai ingin terbang terus ke US bertemu dengan mamanya. Tapi apakan daya, dia harus terus berada di sini.

“Kamu bercakap dengan siapa tu?” Tegur suatu suara. Anum Dahlia tergaman. Cepat-cepat dia menoleh. Wajah Tok Anjang tiba-tiba muncul di depan matanya, membuatkan dia kaget sejenak.

“Datuk…” sapa Anum Dahlia resah.

Tok Anjang sekadar memandang sepi ke arahnya, sebelum duduk di kerusi rotan di ruang tamu. Akhbar yang dikelek di celah ketiaknya, diselak satu persatu. Anum Dahlia seperti selalu tidak dipedulikan.

Perlahan-lahan Anum Dahlia mencuri jeling ke arah wajah Tok Anjang yang kelihatan selamba. Misai orang tua itu tebal melintang menambahkan bengis di wajah itu. Dalam keadaan serba-salah, dia memaksa diri duduk di sofa berhampiran Tok Anjang. Dia ingin menyatakan sesuatu, tapi entah kenapa mulutnya bagaikan terkunci rapat.

Anum Dahlia cuba berdehem. Dia ingin mengalihkan tumpuan lelaki tua itu dari akhbar yang ralit dibacanya. Sekali dua berdehem, Tok Anjang bagaikan tidak mendengar. Anum Dahlia mengetapkan bibirnya. Aduh susahnya nak berkomunikasi dengan orang tua ni!

Dia berdehem lagi, kali ini agak kuat. Tapi tekaknya sakit, menyebabkan dia menelan air liur berkali-kali. Apabila matanya memandang Tok Anjang, orang tua itu sudah merenung tajam ke arahnya. Anum Dahlia tercengang.

“Kamu ada nak cakap apa-apa dengan aku ke?” Soal Tok Anjang, serius.

“Err tak ada apa-apa datuk.” Dia menafikan. Tapi entah kenapa, dia rasa sesal pula. Hishh kenapa aku kata tak ada apa-apa pulak. Bukankah banyak benda yang aku hendak aku tanyakan padanya?

“Datuk, sebenarnya Anum memang ada perkara nak bincang dengan datuk.” Dia berterus terang. Mukanya tunduk, tidak berani bertentang mata dengan Tok Anjang.

“Apa dia yang kamu nak beritahu aku?”

“Anum…Anum nak tanya datuk fasal silat.” Jawab Anum Dahlia tergagap-gagap.

“Apa yang kamu nak tahu?” Soal Tok Anjang, kali ini dengan nada suara yang lebih lembut. Lagipun dia sudah maklum tujuan kedatangan gadis itu. Cuma dia sendiri tidak tahu di mana hendak dimulakan. Hampir seminggu gadis itu dirumahnya, dia hanya menanti Anum Dahlia membuka mulut bertanya.

“Err… Anum nak tahu tentang asal usul silat yang datuk ajar tu.”

Tok Anjang terdiam. Dia menghembus nafasnya kuat-kuat. Bulat matanya memandang Anum Dahlia yang kelihatan berminat ingin mendengar kata-katanya.

“Silat yang aku ajar ni namanya silat cekak. Ia berasal sejak dari zaman Kesultanan Sultan Ahmad Tajuddin 11 lagi. Diamalkan oleh ramai panglima-panglima melayu zaman dahulukala. Salah seorangnya ialah Panglima Ismail. Sebelum meninggal dunia, panglima Ismail telah mengamanahkan silat ini pada salah seorang muridnya iaitu Panglima Tok Rashid. Selepas tu turun pula pada Yahya Said dan yang paling terkenal ialah Ustaz Haji Hanafi. Dengan usaha Ustaz Haji Hanafilah, silat cekak berkembang di negara ini. Hampir 20 tahun jugalah Ustaz Hanafi berjuang keras memartabatkan silat cekak ni hingga berjaya didaftarkan sebagai sebuah persatuan di seluruh negara.” Cerita Tok Anjang.

“Kenapa silat ni dinamakan silat cekak datuk?”

Tok Anjang termenung seketika. Barangkali sedang memikirkan apakah jawapan yang terbaik yang harus diberikan kepada gadis itu.

“Perkataan ‘cekak’ ni ramai orang guna sejak dulu lagi. Maknanya pun berlainan mengikut situasi. Tapi ada istilah ‘makan cekak’ yang sering digunakan orang kampung.”

“Makan cekak? Apa maksudnya?”

“Maksudnya bertanggungjawab. Bertanggungjawab pada diri sendiri dan orang lain. Silat cekak diajar salah satunya supaya pengamalnya bertangggungjawab menjaga diri mereka dari dianiayai oleh musuh-musuh. Ia merupakan salah satu amalan silat yang benar-benar hak milik orang melayu, yang mempunyai pegangan untuk bertanggungjawab di dalam menjaga diri pengamal-pengamalnya.”

“Amboi, asyik nampak? Apa yang sedang dibincangkan tu?” Sapa Nek Jah tiba-tiba sambil menatang sedulang pengat pisang panas berserta kopi yang harum baunya.

“Aku sedang menerangkan pada budak ni tentang silat cekak yang dia nak tahu tu.”

“Asyik sebut budak…budak abang aji ni. Si Anum ni bukannya budak lagi. Apa salahnya bahasakan Anum pada dia, lembut telinga saya mendengarnya,” rungut Nek Jah pada suaminya. Tok Anjang diam sahaja. Dia mendengus kecil seraya meneruskan pembacaannya. Anum Dahlia hanya tersenyum mendengar teguran Nek Jah. Nampaknya, boleh tahan ‘power’ juga mulut nenek ni, detik hati kecil Anum Dahlia. Tapi dia senang hati kerana lelaki itu tidak kedekut ilmu. Masih sudi menerangkan sedikit sebanyak tentang silat padanya. Ini menunjukkan hati orang tua itu lembut sebenarnya.

“Datuk, Anum rancang nak ke gelanggang silat lagi malam ni. Datuk tak marahkan kalau Anum ke sana?” Tanya Anum Dahlia, ingin tahu pandangan lelaki tua itu. Tok Anjang menoleh sejenak ke arah Anum Dahlia. Beberapa ketika kemudian, dia menggelengkan kepalanya. Anum Dahlia tersenyum gembira. Sempat dikerlingnya Nek Jah yang turut tersenyum senang.

* * * *

Seperti yang dijanjikan Anum Dahlia ke gelanggang silat ditemani oleh Zurin. Terkeheh-keheh anak gadis itu ketawa apabila Anum Dahlia mengajaknya pergi. Seperti biasa kehadiran Anum Dahlia di tepi gelanggang menarik perhatian ramai. Tak kurang juga yang bersiul-siul nakal ke arahnya. Anum Dahlia cuma tersenyum. Dia sempat merakamkan suasana di gelanggang silat dengan digicam yang dibawanya. Namun fokus lensanya lebih tertumpu pada Tok Anjang.

Entah kenapa, dia suka benar melihat gaya Tok Anjang mengajar bersilat. Terserlah karismanya sebagai bekas askar. Anum Dahlia juga tak lupa menghalakan digicamnya ke arah beberapa anak murid Tok Anjang. Apabila fokus lensanya dibawa ke suatu arah, wajah seseorang muncul tiba-tiba. Anum Dahlia terkejut. Dia memandang lelaki itu bagai tidak percaya. Dahinya berkerut. Aku salah tengokkah?

Apabila lelaki itu menoleh ke arahnya, mata mereka bertentangan. Wajah lelaki itu juga berkerut tatkala memandangnya. Anum Dahlia mengetapkan bibirnya. Rasa geram dan sakit hati kembali menerjah di hatinya.

Apabila melihat lelaki itu melangkah ke arahnya, Anum Dahlia tiba-tiba gugup. Dadanya berdebar kencang. Alamak! Datanglah pulak dia! Barangkali dia masih ingatkan aku. Langkah lelaki itu semakin lama semakin mendekat. Tanpa sedar Anum Dahlia memusingkan badannya.

“Abang…bila sampai?” Terpacul kata-kata itu dari mulut Zurin. Anum Dahlia terperanjat. Dia menoleh pantas. Diam-diam dia melirik ke arah adegan di hadapan matanya. Zurin memeluk erat lengan lelaki itu. Kenapa Zurin memanggil lelaki itu abang?

Setelah bercakap-cakap beberapa ketika dengan Zurin, mata lelaki itu tertumpu pula ke arah Anum Dahlia. Dahinya sekali lagi berkerut, tapi Anum Dahlia pura-pura acuh tak acuh memandang lelaki itu.

“Macam pernah jumpa. Do I know you?” Sapanya.

“Saya tak fikir macam tu. Zurin, kakak nak ke sana sekejap.” Anum Dahlia minta diri untuk berlalu. Seboleh-bolehnya dia ingin mengelak diri dari lelaki itu, sebelum anginnya datang kembali.

Namun belum sempat Anum Dahlia melangkah jauh, lelaki itu bersuara. “I think I know you somewhere.” Dia tergaman mendengar kata-kata itu. Perlahan-lahan badannya dipusingkan mengadap ke arah lelaki itu. Bibirnya melepaskan keluhan berat. Sejauh mana dia ingat agaknya?

Lelaki itu melangkah lebih dekat ke arahnya. Wajah Anum Dahlia yang gugup direnung agak lama. Sejurus bibirnya tersenyum. “Well…well, it’s really you. Perempuan ‘S.T.U.P.I.D di airport tempohari.” Dia sengaja mengeja perkataan itu kuat-kuat di hadapan gadis itu.

Berdesing telinga Anum Dahlia sebaik mendengar kata-kata lelaki itu. Bulat matanya mencerlung lelaki di hadapannya. Wajah itu tersengih memandangnya dengan muka selamba. Sedangkan wajahnya pula sudah berkerut tajam.

“Abang kenal dengan Kak Anum?” Zurin menyampuk. Hairan dengan situasi yang berlaku di hadapannya ketika itu. Wajah keduanya dipandang silih berganti.

“Awak buat apa kat kampung ni?” Soal lelaki itu tanpa mempedulikan Zurin.

“Tak ada kena mengena dengan awak pun. Suka hati sayalah nak ke mana pun. Badan saya…kaki saya.” Balas Anum Dahlia dengan wajah masam mencuka. Lelaki itu ketawa kecil mendengar jawapannya. Anum Dahlia mengetapkan bibirnya. Sedaya upaya dia cuba bersabar meskipun senyuman lelaki itu begitu menjengkelkan hatinya.

* * * *

Anum Dahlia menumbuk bantal peluk yang dipegangnya. Dia masih geram sebaik teringatkan peristiwa di gelanggang silat tadi. Kalau diikutkan hatinya, mahu saja dihentam kepala lelaki itu dengan parang lading. Nasib baik dia masih waras, masih tahu menghormati Tok Anjang serta orang-orang tua lain di gelanggang silat itui.

“Macamana kak Anum boleh kenal dengan abang Yuzer?” Pertanyaan Zurin tergiang-giang di telinganya kini.

“Jumpa tak sengaja.” Jawab Anum Dahlia acuh tak acuh. Dia benar-benar malas mahu berbincang tentang lelaki itu. Buat menambahkan sakit hatinya saja.

“Jumpa di mana?” Soalan dari Zurin tidak tahu habis.

“Di airport masa kakak baru sampai tempohari.”

Zurin terdiam. Dia perasan Anum Dahlia seperti tidak suka bercakap tentang abangnya itu. Entah apakah sebabnya?

“Kak Anum marahkan abang Yuzer ya? Apa yang abang dah buat pada kak Anum?” Soal Zurin sedikit resah. Menyedari raut wajah Zurin yang muram, Anum Dahlia cepat-cepat tertawa.

“Janganlah Zurin risau. Hal antara kakak dengan abang Zurin tu bukannya serius pun. Cuma kakak rasa menyampah tengok dia.” Tanpa sedar, terlepas juga apa yang tak disenanginya di hadapan Zurin. Menyedari dia tersilap kata, Anum Dahlia segera memandang ke arah Zurin. Dia serba-salah. Namun dia tergaman sebaik dilihatnya Zurin ketawa kecil.

“Kenapa Zurin ketawa?” Soalnya hairan.

“Kalau kak Anum nak tahu, bukan kak Anum seorang saja yang rasa abang Yuzer tu menyampah. Ramai lagi anak-anak gadis kampung ni yang fikir macam tu. Dia tu memang tak pandai layan perempuan. Sombong tak bertempat.”

“Ye ke?” Anum Dahlia tersengih.

“Nasiblah dia bukan menginap terus kat kampung ni, kalau tak jadi bujang tua lah dia di sini. Bayangkan tak ada orang berani dekat dengan dia, dengan perangai dia yang angin semacam tu,” Zurin tak sudah-sudah menjaja cerita tentang abangnya.

“Yuzer tu abang sulung Zurin ke?”

“Tak, abang yang nombor dua. Kami semua empat beradik. Abang Zurin yang sulung sedang sambung belajar di England. Namanya Yusman. Dia dah kahwin, anak dua orang. Yuzer abang kedua, tapi dia buka syarikat sendiri di Kuala Lumpur. Bawah abang Yuzer, ada kak Zaza, tengah belajar di UKM. Zurin pula yang bongsu, paling manja antara semua adik beradik.” Ujar Zurin.

“Berapa umur Yuzer tu?” Soal Anum Dahlia lagi. Sengaja dia ingin tahu.

“Dua puluh tujuh. Dia muda dua tahun dari abang Yusman. Kak Zaza pula dah 21 tahun. Zurin aje yang belum lepas SPM.” Cerita Zurin lagi sambil tak sudah-sudah ketawa.

Anum Dahlia turut sama tergelak. Dia dapat merasakan perasaan Zurin yang bahagia dikelilingi adik beradik. Bukan seperti dia yang sendirian.

“Kenapa Anum tak ada adik mama?” Soalnya tidak puas hati. Ketika itu dia baru berada dalam Grade 6 di Middle School of Detroit. Pertanyaan itu berpunca dari tugasan sekolah yang harus ditulisnya tentang adik beradik. Bagaimana harus dia menulis, jika dia tidak mempunyai adik beradik.

“Sebab rahim mama bermasalah. Mama sudah tidak mampu mengandung lagi.” Jawapan mama meskipun tidak difahami, tapi isyarat mata baba membuatkan keinginannya untuk terus bertanya terus terbantut.

Seronoknya jika dia mempunyai adik beradik yang ramai. Pastinya dunianya takkan sesunyi ini. Sunyikah aku sekarang ini? Anum Dahlia memejamkan matanya. Perasaan negatif yang hadir tanpa diundang cepat-cepat dilontar jauh. Aku tak boleh lemah, seharusnya aku mengajar diri menjadi Anum Dahlia yang lebih kuat dari semalam.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!