Followers

Wednesday, April 3, 2013

Alamak! Lagi-Lagi Dia. Bab : 10


BUNYI tapak kaki menjengah masuk ke biliknya jelas kedengaran, tapi dia hanya berbuat endah tak endah. Berdiam diri di dalam selimut adalah cara terbaik. Tadi dia sudah bangun bersolat, tapi entah macamana kembali menyambung tidur. Penat tubuhnya tidak mahu hilang sejak dia mengikut Ubek memancing di Ulu Yam dua malam yang lalu.

            Memancing sudah menjadi hobi keduanya meskipun ibunya langsung tidak berkenan dengan hobi barunya itu. Kata ibunya, hobi itu hanya membuang masa. Kata ayahnya pula, hobi itu menyeronokkan. Kata Ubek abangnya, memancing itu lebih seronok dari bertemujanji dengan kekasih hati.

Baginya pula, membuang masa ke tak membuang masa ke, asalkan boleh lari sekejap dari gangguan Datuk Fakhri, dia sudah bersyukur. Duda anak dua itu sering mengintai peluang untuk menjadikannya pengganti arwah isterinya. Itu belum masuk kerenah Fitzerald yang asyik menghantar berdozen-dozen bunga ke pejabatnya dengan madah-madah jiwang yang terlakar pada kad-kad di jambangan bunga itu. Memang mamat dari Amerika itu romantik habis! Tapi romantik lelaki itu hanya membuatkan dia geli-geleman. Ibunya pula tidak ada kerja lain selain asyik menyuruh dia menghadiri blind date. Bosan betul!

Telinganya tiba-tiba menangkap bunyi langsir pintunya diselak. Dalam keadaan mamai, dia memasang telinga.

“Nak tidur sampai pukul berapa ni? Sampai tengahari ke?” Suara itu singgah menjamah gegendang telinganya. Dia membuka mata lalu terkebil-kebil sejenak di dalam selimut.

“Orang lain dah ada kat meja makan tu, tengah makan dan siap-siap nak pergi kerja. Yang awak ni kalau hari-hari tak payah kena kejutkan, tak payah kena panggil turun, tak boleh ke?”

Dia menarik nafas. Dah start meleter dah orang tua ni! Dia mengeluh. Perlahan-lahan dia menyelak selimut lalu tersengih pada wajah yang sudah bercekak pinggang di hadapannya.

“Eh! Bila umi balik? Cika tak tahu pun.” Dia pura-pura menegur.

“Pukul 7 pagi tadi lagi umi dah sampai ke rumah. Yang awak tu entah solat subuh ke belum?” Suara Puan Bahyah terus menyelidik. Rancak mahu menyiasat aktiviti anak-anaknya yang cukup culas mahu menunaikan solat.

“Sudahlah umi. Cika dah solat lepas tu sambung tidur. Umi tak ke sekolah hari ni?”

“Tak, umi cuti hari ni.”

“Banyak beli kain kat Nilai tu?”

Mata Puan Bahyah terkebil-kebil memandang anaknya. Cika tersengih-sengih. Alamak dah kena panah arjuna dah! Dia mengerti benar maksud renungan ibunya kali ini.

“Cika nak bangun la ni umi.” Dia membuang selimut dengan perasaan malas. Aduh! Malasnya nak bangun! Malasnya nak pergi kerja! Malasnya nak mandi!

“Dah jangan nak buat muka sememeh tu depan umi. Sekarang awak pergi ambil tuala, pergi mandi sekarang. Umi tunggu kat sini sampai awak siap. Bukan umi tak tahu perangai awak tu, pantang umi lepa sikit, awak humban diri atas katil tu lagi.” Leter Puan Bahyah.

“Yalah..yalah..Cika nak pergi mandi la ni. Umi ni suka sangat berleter tau. Bosanlah Cika macam ni.” Dia merungut-rungut sambil berdiri di birai katil. Tuala yang tersangkut di pelantar dicapai lalu segera dibawa ke bilik air.

“Amboi menjawab pulak budak ni. Kalau awak tak buat perangai, tak ada maknanya umi nak berkeras dengan awak macam ni. Awak tu bukan budak-budak lagi Cika, umur dah nak masuk 29 tahun.” Getus Puan Bahyah.

“Cika baru 28 la umi. Tak payahlah umi nak ingatkan selalu, bosan dah Cika dengar umi asyik berleter.” Cika menjerit dari dalam bilik air yang terkatup rapat.

            “Awak dengan abang awak tu sama aje. Bila umi cakap sikit, awak kata umi ni suka berleter. Tapi cakap umi awak dua beradik langsung tak nak dengar. Sekarang lekas mandi lepas tu turun ke bawah. Umi nak bercakap sikit dengan awak.” Jerit Puan Bahyah cuba menyaingi bunyi pancuran shower dari dalam kamar mandi.

            Mendengar Cika diam sahaja, tidak membalas lagi kata-katanya, Puan Bahyah hanya mampu mengeluh panjang. Apalah nasibnya! Ada anak dara seorang, perangai tak serupa anak orang. Tiru perangai siapa si Cika ni agaknya! Ada anak bujang pun asyik berkepit dengan ikan.

            Malas mahu menanti di situ, dia segera turun ke tingkat bawah. Menghampiri meja makan yang sudah ditempati oleh suami dan anak lelaki sulungnya Ubek yang beberapa kali asyik menguap.

            “Apa yang riuh rendah tu?” Tegur Encik Nordin sambil menyuap mee goreng ke mulut. Ubek yang duduk di sebelah ayahnya sibuk membelek-belek ipad di tangannya.

            “Anak dara awaklah apa lagi? Saya cakap sepatah, dibalasnya berpatah-patah. Panjang benar akalnya sekarang ni, sebiji macam si Ubek ni.” Puan Bahyah menjeling anak sulungnya.

            Ubek tersengih, namun matanya masih tidak berganjak dari gadget di tangannya.

            “Hati saya ni bang, geram sangat mengingatkan telatah si Cika ni. Malu saya dengan si Safiah tu. Bukan main serius lagi kita nak kenenkan dia dengan si Zain tu, dah tu tak fasal-fasal jadi macam ni pulak. Safiah sms saya semalam, beritahu Zain balik sampai demam-demam dimainkan si Cika tu.” Keluh Puan Bahyah.

            Ala nak dipaksa buat apa kalau Cika tak suka.” Jawab Encik Nordin selamba.

            Puan Bahyah menjegilkan biji matanya, merenung si suami yang nampak lebih berminat mengkhatamkan sepinggan mee goreng dari berbicara tentang anak mereka.

            “Bang, kalau awak tak ingat, mari saya ingatkan awak. Si Cika anak kesayangan awak tu dah masuk 28 tahun. Dah cukup umur untuk kahwin pun. Awak tak teringin ke nak bermenantu?” Soal Puan Bahyah.

            “Teringin tu teringin jugak, tapi kalau si Cika tu tak berkenan, kita nak paksa pun tak guna jugak. Ni bukan zaman macam kita dulu Cik Bahyah oi.” Sahut Encik Nordin. Ambil mudah seperti biasa.

            “Habis nak suruh dia cari sendiri? Abang, Cika tu sejak sekolah, masuk universiti sampai sekarang, bukan main liat nak cari teman lelaki. Ada orang nakkan dia, dia pula tak mahu. Kononnya belum puas hidup bebas. Lepas tu alasan dia lagi tak ada masa nak cari. Pergi memancing dengan Ubek ni sampai ke Ulu Yam tu ada masa pulak!” Getus Puan Bahyah.

            “Alah umi ni, kalau cakap fasal Cika..tak ada benda lain ke nak sebut. Asyik-asyik nak suruh dia kahwin. Yang Ubek ni, umi tak peduli pun.” Celah Ubek pura-pura merajuk.

            “Kamu tu jantan, mana ada expired date. Tapi Cika tu lain. Jangan katakan dating, teman lelaki pun tak ada.” Keluh Puan Bahyah bimbang.

            Ubek ketawa kecil. Lucu mendengar kata-kata uminya. Encik Nordin hanya mampu menggelengkan kepala. Dia tahu benar sikap isterinya yang tak habis-habis mahu mencarikan jodoh untuk anak gadis mereka.          

            Cika yang sedang menuruni anak tangga, langsung terdengar bunyi ketawa abangnya. Dia tahu, tentu ada sesuatu yang sedang dibincangkan oleh ahli keluarganya ketika itu. Tentu tak lain tak bukan tentang dirinya! Bukankah sejak akhir-akhir ini topik berkaitan dirinya suka benar ditimbulkan keluarganya terutama ibunya Puan Bahyah.

            Aduh! Kalau macam ni baik aku langsung terus ke pejabat. Lagipun kes dirinya dengan calon menantu pilihan ibunya masih belum beres. Dia sendiri masih belum disoalsiasat ibunya tentang Zain. Sebelum dia disembur habis-habisan, baik dia cabut lari awal-awal. Diam-diam dia menyelinap keluar tanpa disedari sesiapa.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!