Followers

Saturday, March 15, 2014

Lelaki Itu...Syurgaku : Bab 11


ORKED menggerutu dengan wajah berang. Mak Tun yang sedang merawat bunga di laman rumah langsung tidak ditegur. Dia menonong masuk membuatkan orang tua itu tercengang. Hairan melihat gelagat anak gadis itu yang terburu-buru masuk tanpa menoleh ke kanan dan ke kiri.

            “Apahal pulak budak ni? Kena sampuk ke?” Keluh Mak Tun. Namun dia tidak berhasrat mahu menjaga tepi kain orang lain. Kerjanya diteruskan merawat bunga-bunganya yang tumbuh subur di sekeliling rumah itu.

            Orked menghempas pintu biliknya sekuat hati. Dia benar-benar berang kini. Apa yang dilakukan oleh Idlan padanya benar-benar tak masuk akal. Perlukah sampai begitu?

            Dia mengetap bibir. Sebaik teringatkan bibirnya saling bersentuhan dengan bibir Idlan, entah kenapa wajahnya merona merah. Pipinya terasa hangat. Cepat-cepat dia menekup pipinya dengan kedua-dua jari jemarinya. Malunya! Mana dia nak sorokkan mukanya dari lelaki itu lagi? Bodoh! Bangang! Orked tak sudah-sudah mengeluarkan kata-kata kesat.

            Tiba-tiba daun pintu biliknya diketuk dari luar. Orked menoleh. Ini mesti lelaki bangang tu! Gumam Orked sakit hati.

            Orked..” Panggil Idlan dari luar bilik.

            Orked mengetap bibir. Geram! Dugaannya benar-benar tepat. Idlan pasti cuba menjelaskan tindak-tanduknya sebentar tadi. Kau ingat aku akan percaya dengan alasan CPR tu?

            “Orked ini abang, please buka pintu ni. Abang nak jelaskan pada Orked fasal tadi?” Pujuk Idlan. Dia tidak mahu salah faham gadis itu berlarutan terhadapnya. Lagi-lagi mereka akan tinggal serumah selepas ini.

            “Tadi tu memang betul Orked lemas. Abang cuma nak selamatkan Orked. Tapi bila tengok Orked tak sedar-sedar, abang jadi bimbang. Sebab tu abang buat macam tu.” Jelas Idlan lagi.

            Orked enggan ambil peduli. Kedua-dua belah telinganya ditekup sekuat hati. Dia sudah berikrar takkan mengambil peduli apa jua penjelasan lelaki itu. Huh lelaki semua sama! Tahu nak ambil kesempatan aje! Dia sempat mengutuk Idlan dengan wajah mencemik.

            “Orked janganlah marah lagi. Jom kita keluar makan. Sejak pagi tadi, Orked tak makan apa-apa kan?” Pujuk Idlan lagi. Kali ini dia cuba menggunakan psikologi pula untuk memujuk gadis itu.

            Dia melekap telinganya pada permukaan pintu. Aik? Takkan senyap aje? Idlan mengeluh panjang. Tak laparkah gadis itu sedangkan sepanjang pagi ini sehingga ke tengahari Orked belum menjamah apa-apa makanan? Aduh! Apa patut dia buat untuk memujuk gadis berhati batu itu? Sedangkan cara paling lembut tidak berkesan, apa lagi ikhtiar yang boleh dipakai?

            Mata Idlan tiba-tiba membulat. Dia tersenyum simpul. Idea cantik sudah datang! Dia segera mengetuk pintu bilik gadis itu lebih kuat dari tadi.

            “Orked, keluar sekejap. Abang nak cakap sesuatu ni.”

            Diam.

            “Orked, abang tahu Orked malu dengan peristiwa tadi. Kalau Orked nak tahu, abang pun malu jugak. Selama hidup abang, ini first time abang cium perempuan. Abang cuma nak cakap yang….”

            Pintu di hadapannya tiba-tiba dikuak kasar menyerlahkan wajah Orked yang merah padam.

Idlan mengeluh lega. Menjadi juga idea dia meskipun agak otai. Namun renungan tajam Orked di wajahnya membuatkan dia jadi kecut perut. Wajah itu kini seakan-akan sedang bersedia mahu membahamnya! Dia tersengih seraya mengangkat tangan.

            Sorry, abang terpaksa cakap macam tu sebab nak suruh Orked keluar. Demi ALLAH, abang sebenarnya memang berniat nak buat CPR tadi, bukannya ada niat lain.” Dia mengakuinya. Cuba menyakinkan gadis itu akan perkara sebenarnya.

            Orked mendengus. Ikut hatinya mahu sahaja dia lancarkan satu penumbuk padu ke wajah Idlan. Biar bengkal-bengkil muka lelaki itu, supaya lelaki itu tahu balasan kerana telah membuatkan airmukanya jatuh.

            “Kenapa tak cakap kuat lagi biar semua orang dalam rumah ni tahu?” Herdik Orked kasar. Bengang betul dia dengan kata-kata Idlan tadi.

            Idlan ketawa kecil. “Dahlah tu, jangan nak marah-marah lagi. Dah sehari suntuk Orked marah-marah, takkan tak tahu penat. Jom kita pergi makan nak?” pelawa lelaki itu lalu menarik tangannya.

Orked terkesima. Hendak dilepaskan tangannya, Idlan semakin mengemaskan pegangan. Sudahnya dia hanya mampu membiarkan dirinya dihela sesuka hati. Lagipun dia sudah tidak larat mahu membantah atau bertengkar dengan Idlan, apatah lagi perutnya sudah berkeroncong minta diisi.

*  *  *  *

IDLAN termenung panjang di beranda rumah. Menghadap ke arah langit kirmizi yang kemerah-merahan di ufuk barat. Matanya asyik meneliti setiap pelusuk kawasan rumah dua tingkat yang bersambung dengan beberapa buah rumah di bahagian belakang. Ianya sengaja dibina begitu oleh ayahnya kerana niat lelaki itu mahu menjadikan rumah itu homestay. Malah rekaan rumah itu dihasilkan sendiri oleh ayahnya berkonsepkan moden tropika. Hanya sayang sebelum sempat rumah itu siap sepenuhnya, ayahnya pergi dijemput Ilahi kerana masalah jantung.

            Sebelum dia ke luar negara, dia sempat menyatakan hasrat hatinya pada ibunya untuk menguruskan perniagaan homestay. Tapi entah kenapa wanita itu melarang. Malah sebaik dia pulang dari luar negara, hatinya ingin sekali menetap di rumah tumpangan milik ayahnya. Tapi ibunya sejak awal-awal lagi menjemputnya di lapangan terbang dan membawanya pulang ke rumah suami barunya Hamdan. Hendak tak hendak dia terpaksa akur, sekadar untuk menjaga airmuka ibunya di hadapan lelaki itu.

            Bunyi desiran air di bilik sebelah membuatkan Idlan berpaling dan memasang telinga. Dahinya berkerut. Sudah hampir satu jam Orked berada di dalam bilik air itu. Lamanya! Takkan tak siap-siap mandi dari tadi?

            Mengenangkan gadis itu, entah kenapa dia tersenyum sendiri. Orked Harlina, anak kepada ayah tirinya itu memang keras kepala. Tapi sepanjang dia meluangkan masa bersama-sama gadis itu, entah kenapa dia yakin, hati nurani gadis itu tidak sekeras rupa luar yang ditunjukkannya. Jauh di sudut hati dia tahu, masih ada sifat luhur dan murni di jiwa Orked. Jika tidak masakan Orked bergegas mahu menyelamatkan anak muda belasan tahun yang disangkakannya lemas siang tadi.

            Mujur dia sempat sampai tepat pada masanya. Jika tidak, entah apa yang mungkin berlaku pada gadis itu. Mulanya dia agak terkejut apabila mendengar jeritan dua anak muda itu yang menjerit meminta tolong. Apabila dia sampai ke tebing tasik, dilihatnya kepala Orked sudah tenggelam timbul.

            Melihat situasi mencemaskan itu, tanpa membuang masa dia segera terjun ke dalam tasik lalu berenang menghampiri Orked. Mujur dia sempat mencapai tubuh gadis itu lalu ditariknya ke tebing dengan bantuan dua anak muda yang tinggal di kampung berhampiran.

            Dia dah banyak telan air. Buat CPR bang.” Suara remaja yang menyuruhnya membuat CPR membuatkan dia ketawa lagi. Terasa lucu menyengat jiwa tatkala niat baiknya disalahertikan. Tak fasal-fasal dia dipanggil Sex Maniac.

            Dia memang pernah mengikuti kursus bantuan kecemasan anjuran universitinya suatu ketika dahulu. Tapi inilah kali pertama dia melakukannya. Lebih-lebih lagi dia melakukannya pada seorang gadis. Memang dia segan juga pada dua anak muda remaja yang berada di situ ketika itu. Kalau bukan kenangkan keadaan Orked ketika itu serta gesaan anak muda itu, entah belum tentu dia sanggup melakukannya.

Tuhan sahaja yang tahu betapa gementarnya dia ketika bibirnya bertaut dengan bahagian paling lembut pada seorang gadis. Tipulah dia kalau dia mengatakan tidak merasa apa-apa. Ketika melakukannya, dadanya bergetar hebat. Jantungnya berdegup lebih kencang bagaikan remaja yang baru pertama kali mabuk cinta. Tapi sebagai seorang lelaki yang lebih dewasa dari Orked dan dari dua remaja itu, dia berusaha mengawal diri. Lantaran dia menyedari bahawa itu semua hanyalah perasaan sementara yang terbawa-bawa di dalam keadaan darurat.

            Dia melirik lagi ke arah bilik sebelah yang masih belum padam lampunya. Malah bunyi air di bilik itu masih jelas kedengaran. Dia tahu gadis seperti Orked pasti berasa malu dengan apa yang telah berlaku petang tadi. Dia pun segan juga sebenarnya dengan gadis itu. Tapi apa boleh buat, benda dah nak jadi! Terima sahajalah!

*  *  *  *

ORKED asyik merenung wajahnya di hadapan cermin. Air yang terpasang dari pili di sinki sengaja dibiarkan mengalir. Dia tidak mampu menahan diri dari terkenangkan peristiwa di tasik tadi. Meski dia tahu itu hanyalah CPR, tapi entah  kenapa dia berasa malu. Lagi-lagi Idlan adalah anak ibu tirinya!

            Orked meraba-raba bibirnya yang dibasahi air. Matanya bulat membayangkan bagaimana bibirnya sudah diterokai seorang lelaki. Gosh malunya! Cepat-cepat dia menepuk pangkal dahinya. Fikirannya yang bukan-bukan dengan segera disingkirkan. Fokus Orked! CPR saja, bukan apa-apa pun. Lagipun kau kena ingat, dia anak ibu tiri kau! Lepas ni dia akan balik semula ke luar negara dan kau takkan menemuinya lagi! Jadi jangan tunjukkan yang kau ada feel apa-apa dengan apa yang dia dah buat! Bisik hati kecilnya.

            Orked segera menunduk ke dalam sinki lalu menadah air yang mengalir dari pili. Air tersebut dibawa ke mulutnya lalu dikumur berkali-kali. Dahinya berkerut. Dia menggelengkan kepala. Tak boleh jadi ni! Dia mencapai berus gigi pula dan mula menggosok giginya buat kali ketiga malam ini!

            Selesai melakukannya, dia segera naik ke atas katil lalu mula membungkus seluruh tubuhnya dengan selimut. Namun matanya terasa berat untuk masuk tidur. Sebaliknya dia asyik terkulat-kulat serba tidak kena. Peristiwa siang tadi terhimbau-himbau dalam fikiran tidak mampu disingkirkan. Puas dia berkalih ke kanan dan ke kiri namun dia tetap tidak mampu melupakan peristiwa itu.

            Satu jam terkebil-kebil di dalam selimut, dia segera bingkas bangun dengan wajah serabut. Selimut yang membalut dirinya ditolak ke tepi. Hatinya jengkel kerana mengenangkan lelaki itu, dia tidak dapat tidur langsung. Semuanya kerana Idlan! Damn it! Aku benci kau Idlan Riyaz! Bentak hati kecil Orked.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!