Followers

Tuesday, October 5, 2010

Hujan Rindu : Bab 19

Yuzer mengemaskan ikatan tali lehernya sebelum mencapai kot yang tergantung di dalam almari. Dia menutup lampu meja yang terpasang sejak malam tadi, lalu keluar dari biliknya. Hari itu dia ada mesyuarat penting dengan salah sebuah syarikat pembekal barang-barang hiasan kraftangan untuk deko rumah.

Sebaik dia membuka pintu bilik, aroma harum semerbak menusuk ke hidungnya membuatkan dia tercengang. Kakinya tidak jadi meluru ke arah pintu, sebaliknya dia melangkah perlahan-lahan ke ruangan dapur.

Matanya asyik menatap sesusuk tubuh yang kelihatan ralit menggoreng sesuatu di dalam kualiti sehingga tidak menyedari kehadirannya. Yuzer memandang ke arah meja makan yang sudah dipenuhi dengan roti bakar dan keropok goreng. Beberapa biji telur goreng mata kerbau dan sosej juga terhidang di atas meja.

Apabila Anum Dahlia berpaling untuk mengambil pinggan, dia tergaman melihat kehadiran Yuzer yang tercegat memandangnya. Mata anak muda itu tidak lepas dari wajahnya membuatkan Anum Dahlia mula dihimpit rasa serba-salah.

Dia cuba tersenyum menutup rasa gugupnya. “Makanan dah siap. Awak makan dulu sebelum pergi kerja. Bihun goreng pun dah siap,” ujar Anum Dahlia. Dia mengambil pinggan di atas meja lalu mengisinya dengan bihun goreng yang masih panas berasap.

Yuzer tanpa banyak soal segera mengambil tempat duduk di meja makan. Entah kenapa melihat makanan yang terhidang, seleranya tiba-tiba bangkit. Bukan selalu dia dapat bersarapan begini. Selalunya tiap-tiap pagi dia keluar dengan perut kosong. Selepas pukul 9 pagi, baru dia akan bersarapan dengan Emir di warung kecil di hadapan bangunan pejabatnya.

Anum Dahlia hanya memerhatikan Yuzer menyuap bihun ke mulutnya. Laju anak muda itu menyudu makanan. Tanpa sedar Anum Dahlia tersengih. Lucu melihat gelagat Yuzer. Macam orang tak makan seminggu, detik hati kecilnya. Dia terlepas tawa tanpa disedari.

Yuzer yang mendengar tawa kecil anak gadis itu segera menoleh. Senyuman gadis itu masih tersisa di wajah itu. Menyedari Yuzer memandangnya, Anum Dahlia kembali senyap. Dia pura-pura membersihkan meja berbentuk bar di hadapannya.

“Zurin mana?” Tanya Yuzer. Sejak tadi dia tidak nampak kelibat adiknya.

“Selepas solat tadi, dia tidur semula.” Jawab Anum Dahlia ringkas.

Yuzer terdiam. Dia memang maklum dengan sikap adiknya yang suka bangun lewat. Melihat Anum Dahlia yang kelihatan acuh tak acuh, Yuzer memberanikan diri memandang wajah ayu itu.

“Sedap awak masak bihun ni. Tak sangka anak mat saleh pun pandai masak makanan orang melayu,” selamba sahaja Yuzer melontarkan kata-kata. Anum Dahlia terpegun. Dia tidak tahu apakah kata-kata Yuzer itu satu pujian atau satu sindiran untuknya.

“Saya belajar dari nenek.” Jawab Anum Dahlia sejujurnya.

“Baguslah, orang perempuan memang kena belajar memasak. Kalau tidak susah suami terpaksa makan di kedai,” balas Yuzer sambil tersenyum sinis. Anum Dahlia pura-pura tidak mendengar.

Yuzer meneguk teh yang masih berbaki di cawannya dengan tergesa-gesa. Dia mencapai kot yang tersangkut di kepala kerusi lalu dipakainya. Sambil itu matanya masih menatap ke arah Anum Dahlia yang turut memandangnya.

“Anum, kunci pintu baik-baik. Kalau nak keluar dengan Zurin, telefon saya dulu. Saya tak mahu apa-apa terjadi pada cucu Tok Anjang dan Nek Jah,” ucap Yuzer serius. Dia tergesa-gesa melangkah ke arah pintu sambil diekori oleh Anum Dahlia. Sebelum keluar, Yuzer tiba-tiba berpaling merenung Anum Dahlia yang kelihatan kaget.

“Maaf sebab hal semalam. Saya tak bermaksud nak takutkan awak,” bisik Yuzer perlahan, namun jelas di pendengaran Anum Dahlia. Dia tergaman. Tidak menyangka Yuzer akan menuturkan kata-kata maaf terhadapnya. Selama ini dia sangkakan lelaki itu berhati batu. Rupa-rupanya Yuzer masih tahu mengakui kesilapannya.

“Awak tak marah kan?” Tanya Yuzer ingin tahu.

Anum Dahlia hanya menggelengkan kepala. Semalam dia memang terkejut bercampur bingung dengan sikap Yuzer terhadapnya. Tapi setelah difikirkan semula, gerak-geri Yuzer semalam dirasakan wajar. Siapa pun pasti terkejut melihat seorang gadis tiba-tiba muncul di dalam rumahnya.

“Nanti saya bawa awak dengan Zurin jalan-jalan, kunci pintu ni ya!” Seru Yuzer sambil tersenyum. Anum Dahlia terpempan. Senyuman Yuzer membuatkan hatinya terasa hanyut. Melihat ke arah pintu yang sedikit terbuka, Anum Dahlia tercengang. Entah sejak bila, kelibat Yuzer sudah menghilang dari situ. Tanpa sedar Anum Dahlia tersenyum kecil.

* * * *

Dia leka mengekori kelibat Zurin yang lincah bergerak ke sana ke mari di dalam Megamall itu. Melihat Zurin leka memilih beberapa pasang pakaian, Anum Dahlia sekadar tersenyum.

“Cantik tak baju ni kak Anum?” Zurin sibuk menayangkan beberapa pakaian yang berkenan di matanya. Anum Dahlia mengangguk.

“Semua cantik tapi kalau dengan Zurin, mungkin yang berwarna purple tu lebih sesuai. Kulit Zurin kan putih.” Usul Anum Dahlia, sekadar memberi pandangan.

“Hmm ye ke? Takpelah Zurin nak cuba baju ni kat ‘fitting room’. Kak Anum tunggu Zurin di sini ya?” Pesan Zurin.

Anum Dahlia mengangguk. Matanya sibuk mengawasi kelibat Zurin memasuki ‘fitting room’. Sambil menunggu, dia turut leka membelek dua tiga pasang pakaian yang kelihatan menarik di matanya meskipun dia tidak berniat mahu membelinya.

“Anum?” Suatu suara menegurnya dari arah belakang, membuatkan Anum Dahlia terpinga-pinga. Dia menoleh. Seorang lelaki muda berkaca mata hitam memandangnya sambil tersenyum. Anum Dahlia mengerutkan dahinya. Siapa pulak ni?

“Siapa?” Tanyanya seakan ragu-ragu.

Lelaki itu tertawa kecil seraya menanggalkan kaca hitam yang dipakainya. “Takkan dah tak kenal saya. Baru sebulan kita tak jumpa.” Ucap lelaki itu.

Anum Dahlia bertambah hairan. Dia merenung lelaki muda di hadapannya dengan teliti. Dahinya berkerut. Dia seperti melihat wajah itu tapi di mana ya! Menyedari keadaan Anum Dahlia yang tidak mengenalinya, lelaki itu tertawa besar.

“Anum, saya Kimi. Hakimi. Ingat lagi?”

“Hakimi?” Anum Dahlia cuba mengingat.

“Ya Hakimi, anak auntie Linda. Dah lupa? Saya yang bawa awak ke Kampung Paya Mengkuang tempohari,” sebut anak muda itu.

Mata Anum Dahlia membulat sebaik mendengar kata-kata Hakimi. Dia menepuk dahinya sambil tergelak. “Ya Allah, maaf Kimi. Saya tak perasan tadi. Lagipun awak nampak lain.” Tukas Anum Dahlia seraya tertawa.

“Apa yang lainnya? Saya sama saja macam dulu. Anum buat apa di sini? Saya sangkakan Anum masih di Kedah.” Soal Hakimi.

“Saya ada urusan di sini. Awak?”

“Sekarang kan tengah cuti semester. Dah tiga hari saya balik. Kalau saya tahu Anum nak ke Kuala Lumpur, saya boleh singgah ambil Anum dari sana. Mama tentu nak sangat jumpa dengan Anum.” Ujar Hakimi.

“Saya pun teringin nak jumpa dengan mama awak. Saya nak ucapkan terima kasih sebab bantuan yang awak dan mama awak berikan pada saya.” Ujar Anum Dahlia.

“Berapa lama Anum akan berada di KL ni?” Tanya Hakimi tiba-tiba.

“Tak lama, beberapa hari je. Kenapa?”

“Saya nak ajak Anum ke rumah. Mama selalu sebut nama Anum. Dia rasa terkilan sebab tak dapat hantar Anum sendiri ke Kedah.” Pelawa Hakimi.

“Tengoklah nanti Kimi. Insya Allah kalau ada kesempatan, saya akan datang.” Balas Anum Dahlia. Selepas berbual beberapa ketika, Hakimi meminta keizinan untuk beredar. Anum Dahlia menghantar pemergian anak muda itu dengan ekor matanya.

“Siapa tu Kak Anum?” Entah sejak bila, Zurin tiba-tiba muncul di sampingnya. Anum Dahlia tergaman. Dia menoleh ke arah Zurin, namun mata anak gadis itu asyik mengekori langkah Hakimi yang mula menjauh.

“Kawan.” Balas Anum Dahlia ringkas.

“Kawan? Sejak bila Kak Anum ada kawan lelaki ni? Dulu kak Anum kata, kak Anum tak ada kenalan lain di Malaysia ni.” Zurin merasa agak pelik.

“Itu Hakimi, dialah yang hantar kakak ke kampung Zurin tempohari. Ibunya berkawan baik dengan makcik kakak di US.” Jelas Anum Dahlia serba ringkas.

Zurin terdiam. Dia tidak berniat mahu melanjutkan pertanyaan. Jam di tangannya dikerling seketika. Matanya memandang Anum Dahlia. “Laparlah kak Anum. Kita pergi makan nak?” Usul Zurin dengan suara manja. Anum Dahlia hanya mengangguk, apatah lagi dia juga turut berasa lapar. Dari pagi, dia hanya makan sedikit bihun saja untuk sarapan. Dah tiba masanya perutnya menerima makanan yang lebih mengenyangkan.

* * * *

Gerak-geri Anum Dahlia diperhatikan penuh asyik oleh seorang lelaki bercermin mata hitam dari meja yang terletak selang tiga buah dari meja kedua-dua gadis itu. Sesekali matanya dihalakan ke arah akhbar yang diipegangnya. Dia pura-pura membaca sedangkan ekor matanya asyik menjeling ke arah Anum Dahlia yang sedang ralit berbual-bual dengan Zurin.

“Kak Anum, cuba tengok lelaki yang duduk dekat hujung tingkap tu.” Bisik Zurin tiba-tiba. Anum Dahlia menoleh sebentar. Namun lelaki bercermin mata yang sedang menghirup minuman itu tidak pula menimbulkan apa-apa keraguan padanya.

“Kenapa dengan dia?” Soal Anum Dahlia acuh tak acuh. Dia asyik menyuap kentang goreng ke dalam mulutnya.

“Dari tadi Zurin perasan, lelaki itu asyik tengok kak Anum aje. Agaknya dia minat kat kak Anum tak?” Zurin tersengih nakal.

“Ish tak adalah, mengarut ajelah Zurin ni. Nak tengok kakak buat apa, jangan-jangan dia tengok Zurin tak. Lagipun kakak kan duduk membelakangi dia. Yang dia nampak bukannya kakak tapi Zurin,” balas Anum Dahlia. Zurin tergelak besar.

“Kak Anum…betullah, orang cakap tak nak percaya. Betul dia tengok kak Anum. Tadi masa kak Anum pergi toilet, mata dia ikut kak Anum. Zurin nampak sendiri,” bersungguh-sungguh gadis itu cuba menyakinkannya.

Anum Dahlia terdiam. Dia mengerling lagi ke arah lelaki itu. Bagaikan tahu dirinya sedang diperhatikan, lelaki itu memusingkan badannya ke arah tingkap. Anum Dahlia mengerutkan dahinya. Hairan dengan tingkahlaku lelaki itu. Seingatnya dia tidak pernah berjumpa dengan lelaki itu sebelum ini.

Tiba-tiba Anum Dahlia terfikirkan sesuatu. Dia mulai cemas. Jangan-jangan lelaki itu berniat jahat terhadap dia dan Zurin. Dia memandang Zurin, namun tidak tersebut perkara yang bermain di kepalanya. Dia tidak mahu kata-katanya nanti membuatkan Zurin bimbang.

“Dahlah tu Zurin. Zurin makan cepat-cepat sikit, lepas ni kita terus balik ke rumah.” Suruh Anum Dahlia.

“Ala, dah nak balik ke Kak Anum? Zurin baru ingat nak ajak Kak Anum tengok wayang. Cerita ni best tau, Nicolas Cage yang berlakon.” Rengek Zurin. Anum Dahlia terdiam. Dia mengerling ke arah lelaki itu semula. Kali ini Anum Dahlia tergaman. Lelaki bercermin mata hitam itu sudah tidak ada di tempat duduknya. Mana dia pergi?

Liar kepalanya mencari kelibat lelaki itu di setiap penjuru pusat beli belah itu, namun lelaki itu bagaikan ghaib begitu sahaja. Anum Dahlia terasa pelik. Betulkah lelaki itu berniat jahat atau aku sahaja yang menyangka yang bukan-bukan?

“Macamana ni Kak Anum? Kita tengok wayang dulu ya.” Pinta Zurin lagi tak habis-habis. Mahu tak mahu Anum Dahlia terpaksa mengangguk. Kasihan juga dia pada Zurin yang beria-ria mahu menonton wayang ‘Ghost Rider’ lakonan Nicholas Cage yang tengah hangat sekarang ini.

Gerak geri kedua gadis itu diintai sepasang mata dari jauh. Sengaja dia menghindar dari situ apabila dirasakan mata salah seorang gadis itu asyik tertumpu ke arahnya. Itulah yang menyebabkan dia berpindah tempat. Melihat kedua-duanya beriringan keluar dari kafeteria, dia turut mengekori kedua-duanya.

* * * *

Ibrar merenung gambar itu berulangkali. Dia pasti gambar itu sama dengan gadis yang diekorinya dari apartment Yuzer Taufik. Sudah seharian dia mengekori gadis itu dari siang hingga ke malam. Dan apabila gadis itu pulang ke apartmentnya, tugasnya turut terhenti di situ. Namun dia amat yakin, gadis itu Anum Dahlia binti Suffian ‘Patrick’ Abdullah.

Jejak gadis itu pada mulanya amat susah mahu dituruti.Tapi kerana dia bekas seorang polis yang kini bekerja sebagai pegawai penyiasat dengan agensi guaman Razman, maka tugas itu walau sukar berjaya juga dilaksanakannya.

Permintaan Razman tempohari membuatkan dia tak membuang masa, segera berangkat ke Kampung Paya Mengkuang di Kedah. Namun khabar yang diperolehi agak mengecewakan apabila dia mendapat tahu gadis itu telah berangkat ke Kuala Lumpur. Mujurlah dia menemukan nama Yuzer Taufik, seorang interior designer yang kebetulan bersaudara dengan gadis yang dicarinya.

“Mandy, Encik Razman balik dari US bila?” Soal Ibrar ketika singgah sekejap di pejabat lelaki itu petang tadi.

“Mungkin esok malam. Kenapa Ib?” Balas Mandy, yang sudah lama menjadi setiausaha Razman.

“Tak apa-apa, aku ada hal penting dengan dia. Dia ada bagi contact number dia di US?” Soal Razman lagi.

Mandy terdiam seketika. Dia kemudian tunduk membelek-belek sesuatu di dalam diarinya. “Ada, kau ada apa-apa nak beritahu dia ke?”

“Mestilah ada, bagi aku nombor dia. Nanti aku call dia sendiri,” pinta Ibrar. Mahu tak mahu Mandy segera menulis no talian bosnya pada sekeping kertas memo.

Ibrar tersengih memerhatikan kertas kecil yang sudah beralih tangan. Dia harus segera menghubungi lelaki itu. Berita tentang Anum Dahlia harus segera dikhabarkan pada lelaki itu seperti yang dipesan padanya sebelum lelaki itu ke luar negara.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!