Followers

Monday, December 3, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 20


            DANIRA baru selesai menunaikan solat Isyak apabila telefon di taska itu tiba-tiba berdering. Dia cepat-cepat mengaminkan doa sebelum bergegas mendapatkan telefon di tingkat bawah.

            “Hello. Kak Mila ya?” Sapa Danira terlebih dahulu. Sangkanya Kamila yang menelefon, apatah lagi selama ini, wanita itu memang kerap menelefonnya untuk bertanyakan khabar. Tapi sebaik dia mendengar suara seorang lelaki di hujung talian, wajah Danira segera berubah. Bukan Kamila seperti yang disangkakannya!

            “Ya Encik Filman. Encik Filman nak cakap dengan Kak Mila ke?” Sedaya upaya dia cuba mengawal ton suaranya agar tidak kedengaran gugup di pendengaran lelaki itu. Memang dia terkejut menerima panggilan dari Filman malam-malam begini.

            “Tak boleh Encik Filman, saya takut Kak Mila marah. Lagipun saya banyak kerja di sini.” Dia membuat alasan. Setelah beberapa minit berbual-bual, Danira meletakkan gagang telefon. Wajahnya rungsing. Kenapa dengan tiba-tiba sahaja lelaki itu mahu mengajaknya keluar pagi esok?

            “Saya nak ajak Danira temankan saya dan Melly keluar berjalan-jalan makan angin esok.” Permintaan Filman bunyinya janggal sekali di pendengarannya.

            “Nak ke mana Encik Filman?” Dia bertanya ingin tahu.

            “Adalah…nanti saya bagitahu. Bagitahu awal tak surprise pulak. Tapi saya benar-benar berharap Danira sudi mengikut saya dan Melly esok.” Pinta Filman.        Aduh! Masalah besar ni! Keluh Danira. Tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Dia cuba menggunakan alasan Kamila untuk menolak pelawaan lelaki itu. Tapi Filman lebih pintar mencelah.

            “Jangan bimbang. Saya dah telefon Kak Mila tadi, dan minta izin dia nak bawa Danira keluar. Dia pun dah izinkan. Kalau Danira tak percaya, Danira boleh call dia.” Ujar Filman. Dan kata-kata lelaki itulah yang membuatkan dia mati kutu mahu membuat keputusan.

*  *  *  *

            Filman terus mematikan panggilan telefonnya. Dia tersenyum sendiri. Meskipun Danira seolah-olah berat hati mahu memenuhi pelawaannya, tapi dalam diam-diam dia terlebih dahulu menghubungi Kamila di rumah wanita itu. Meminta izin untuk membawa Danira keluar berkelah bersama-sama dia dan Melia. Mujurlah Kamila membenarkannya tanpa banyak soal.

            “Macamana papa?” Melia bertanya sebaik dia meletakkan telefon bimbitnya di atas meja. Filman menoleh. Terkejut melihat si kecil yang entah sejak bila berada di sampingnya.

            “Aik bila Melly ada kat sini? Tadi kan tengah tengok kartun dengan Pak Su?” Tanya Filman separuh gugup.

            “Dah habis pun. Pak Su dah tukar cerita lain.” Rengek anak kecil itu.

            Filman ketawa kecil. Dia menarik tubuh Melia lalu dipeluknya anak itu sekemas-kemasnya.

            “Papa tak cakap lagi, Kak Nira nak ikut kita tak?” Melia bertanya lagi. Ingin tahu.

Filman terkedu. Ops, tak habis lagi rupanya!

            “Mestilah dia nak. Lepas dia dengar Melly nak pergi, dia terus setuju nak ikut kita.” Balas Filman seraya tersenyum. Mendengar kata-katanya, wajah anak itu terus bertukar ceria.

            “Eiii best ada Kak Nira. Besok Melly nak main puas-puas dengan Kak Nira.” Ujar Melia teruja. Filman hanya mampu tersenyum senang.

            “Melly benar-benar sukakan Kak Nira?” Entah mengapa dia bertanya begitu. Melia mengangguk dengan pantas.

            “Suka.” Jawab Melia ringkas.

            “Kenapa Melly sukakan Kak Nira?”

            “Sebab dia cantik, dia baik. Dia suka main-main dengan Melly. Kak Nira selalu belanja Melly makan aiskrim.” Melia mencanang satu persatu.

Filman tersenyum. Banyaknya sebab! Tapi anak kecil memang begini. Paling jujur ketika menyatakan kebenaran. Lagi-lagi anak seperti Melia yang tidak cukup kasih sayang seorang ibu.

            “Meskipun kita memberikannya segunung kasih sayang, tapi tetap tak boleh menyamai kedudukan seorang ibu di hati Melia, Fil.” Kata-kata ibunya suatu waktu dulu, kembali singgah di fikiran. Filman menarik nafas panjang. Sejujurnya, dia benar-benar memahami hakikat yang disebut ibunya.

            “Mungkin sekarang dia masih kecil. Tapi bila dia besar nanti, dia akan bertanya tentang ibunya. Kalau masa itu sampai, apa yang Fil nak beritahu Melly?” Suara ibunya terus berladung di fikiran.

            Fikiran Filman tenggelam jauh. Wirda! Kita hanya memikirkan diri kita sendiri tetapi tidak pernah mengambil kira perasaan Melia. Keluh Filman dengan nafas mendesah. Matanya menerawang ke arah Melia yang kelihatan sedang asyik membelek-belek patung barbienya yang berterabur di atas lantai. Sesekali bibir kecil itu melemparkan senyuman manis ke arahnya. Filman menarik nafas panjang.

            “Melly, papa nak cakap sesuatu dengan Melly.” Filman teragak-agak.

            Melia memandangnya tidak berkelip. Menunggu dia menghabiskan kata-katanya.

            “Melly ingat tak perempuan yang datang rumah kita kelmarin?” Soal Filman.

            Anak kecil itu menggeleng.

            “Perempuan yang cakap dengan nenek. Yang belikan coklat untuk Melly.” Filman cuba memperincikan kata-katanya pada anak itu. Melia mengangguk akhirnya. Filman lega.

            “Kalau perempuan tu jadi mama Melly macamana? Melly suka?” Soal Filman ingin tahu. Sengaja dia mencanang begitu untuk menguji anak itu.

            “Tak mahulah.” Melia menggeleng.

            “Kenapa? Perempuan tu kan cantik macam patung Barbie Melly tu.” Tingkah Filman seraya mengerutkan dahinya.

            “Kak Nira lagi cantik. Melly nak Kak Nira yang jadi mama Melly.”

            Filman terkedu. Kata-kata Melia membuatkan dia bungkam. Sungguh dia langsung tidak menyangka akan mendengar sesuatu seperti ini dari mulut anak perempuannya sendiri. Serta-merta wajah Danira bermain di layar fikirannya. Membuatkan dadanya bergetar tanpa kerelaannya.

            Belum sempat dia mahu bertanya lebih lanjut pada Melia, Najla tiba-tiba terpacul di situ dengan wajah cemas.

            “Abang, Aliff….A..Aliff..” Wajah Najla terpamer cemas.

Filman  tergaman. Kata-kata Najla membuatkan semangatnya melayang. Kenapa dengan Aliff?

            “Naj, cakap pelan-pelan. Beritahu abang kenapa dengan Aliff?” Tanya Filman turut gelabah.

            “Aliff bang, Aliff kena serangan lagi.” Najla berjaya menghabiskan kata-katanya dengan linangan airmata. Filman tersentak. Serangan?

            Tanpa menunggu penjelasan Najla selanjutnya, Filman segera bergegas ke bilik adiknya. Sebaik daun pintu dikuak lebar, dia tergaman melihat ayah dan ibunya sedang berusaha menenangkan Aliff yang kelihatan tercungap-cungap dengan mata terbelalak. Deru nafas lelaki itu agak kuat mencuri perhatiannya.

            “Fil, telefon Doktor Hisyam. Minta dia datang ke mari sekarang jugak.” Jerit ayahnya sebaik menyedari kehadirannya di muka pintu. Filman mengangguk lalu segera bergegas keluar dari bilik itu.

            Tengku Amar memangku Aliff di ribanya.“Aliff, ini ayah nak. Dengar cakap ayah, kamu kena kuat. Kamu kena lawan sakit tu Aliff.” Pujuk Tengku Amar. Dia menjeling ke arah isterinya Tengku Saida yang sudah mengalirkan airmata.

            Di luar pintu bilik, Najla berperang dengan perasaan sendiri. Dia ingin menjenguk masuk namun tidak sampai hati melihat keadaan Aliff. Setiap kali lelaki itu terkena serangan, dia hanya mampu menanti di luar. Menunggu dan berharap semoga Alif tidak apa-apa.

4 comments:

NoRiZaN MoHd NOoR said...

suspen2...,arap2 alif selamat...!!! :(

Anonymous said...

errr.. alif sakit apa?
still dok rasa yg aliff tu sbnrnya adik danira.. hehe speku jer :)
~acu~

Unknown said...

cian kt alif...arap alif kuat..

Unknown said...

sian nye kat aliff...ape penyakit aliff plak neh...mge aliff tak pape lh...terkedu filman bile melly nk kak nira jadik mama nyer hehe...gud melly untie pun sokong...

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!