Followers

Wednesday, September 1, 2010

Hujan Rindu : Bab 11

Malam itu seperti biasa, Yuzer mengunjungi gelanggang silat Tok Anjang. Dia sempat bersapa dengan beberapa kenalan lamanya. Dari jauh dia terlihat Husni sedang berbual-bual dengan Azlan dan Shafie. Menyedari kehadiran Yuzer, Husni melambaikan tangannya.

“Hai apa mimpi kau datang gelanggang malam ni Yuz?” Sapa Husni.

Yuzer tertawa seraya mengambil tempat duduk di sebelah Husni. “Kan aku dah cakap siang tadi nak datang. Tok Anjang dah sampai?” Soalnya sambil matanya melilau mencari-cari kelibat Tok Anjang. Memang sudah hasratnya mahu bertemu dengan lelaki itu. Setiap kali dia pulang bercuti ke Paya Mengkuang, dia pasti akan mencari Tok Anjang. Jika tidak pasti kepulangannya terasa hambar.

“Tadi ada, tapi lepas tu dia hilang. Sekejap lagi sampailah tu.” Ujar Husni.

“Tak apalah, aku tunggu. Hai Lan, abang Pie…apa khabar?” Mata Yuzer tertumpu ke arah Azlan dan Shafie pula.

“Macam ni lah Yuz, bukan kau tak tahu rutin harian kami ni. Kami bukan macam kau, ada bisnes besar yang nak dijaga. Berapa lama cuti kali ni?” Tanya Shafie yang sudah menjangkau usia 40an.

“Tak lama. Minggu depan baliklah. Tadi nampak asyik sangat berbual. Apa yang dibincangkan?”

Shafie memandang Husni dan Azlan yang asyik tersenyum-senyum. Beberapa ketika kemudian, ketiga-tiganya tergelak besar membuatkan Yuzer digamit rasa hairan. Yuzer memandang Husni meminta penjelasan. Namun lelaki itu hanya tahu menjongketkan bahunya.

“Tak adalah Yuz. Masa kau datang tadi, kami tengah berbual fasal cucu baru Tok Anjang.” Beritahu Azlan.

“Cucu baru?” Yuzer tidak mengerti.

“Ala lembablah kau ni. Kami bercakap tentang Anum Dahlia, anak mat salleh yang tinggal kat rumah Tok Anjang dengan Nek Jah tu.” Sampuk Husni pula.

Yuzer tersenyum. Barulah dia faham siapa yang dimaksudkan oleh teman-temannya.

“Cantik orangnya. Beruntung Tok Anjang dengan Nek Jah tiba-tiba dapat cucu segera. Ramai orang kampung ni asyik bercakap tentang Anum Dahlia. Mak aku cakap Anum Dahlia tu anak Sufiyah, anak perempuan Tok Anjang yang lari dari kampung ni dulu.” Cerita Azlan beria-ria.

“Hish mana kau dapat cerita ni?” Shafie menggelengkan kepala. Yuzer dan Husni hanya menjadi pendengar.

“Semua orang kampung dah heboh abang Pie. Semua orang kata Anum Dahlia tu sebenarnya memang cucu Tok Anjang dan Nek Jah. Mak aku kata muka Anum tu seiras betul dengan makcik Sufiyah masa muda dulu.” Beriya-ria Azlan bercerita.

“Sudahlah jangan cakap lagi. Kalau Tok Anjang dengar, marah dia nanti,” sampuk Yuzer, cuba menghentikan berita yang dibawa oleh Azlan. Dia bimbang kalau khabar angin itu sampai ke pendengaran Tok Anjang dan Nek Jah, entah apa akan jadi. Tentu kecoh dibuatnya.

“Sudahlah Lan, kita ni nak belajar silat, bukan nak buat gossip. Lagipun kau dah lupa peraturan silat kita. Tak boleh engkar atau derhaka pada Tuk Guru?” Giliran Husni pula memperingatkan anak muda itu. Azlan terdiam, barangkali menyedari keterlanjurannya.

Dari jauh Yuzer terpandang kelibat Tok Anjang bersama ayahnya sedang bercakap-cakap sesuatu. Matanya tertarik memerhatikan kedua-dua lelaki itu. Ayahnya nampak segak berpakaian serba hitam. Selama ini jarang-jarang sekali dia dapat melihat ayahnya turut serta di gelanggang.

“Ayah kau ada sekali tu. Kau tak nak ikut?” Bisik Husni di tepi telinganya.

Yuzer hanya tersenyum. Sudah agak lama dia tinggalkan arena silat. Terasa kekok pula untuk turut serta meskipun dia tidak pernah lupa buah-buah silat yang selama ini dipelajarinya.

Ralit memerhatikan anak-anak murid Tok Anjang menyusun langkah di arena, Yuzer pula setia memerhatikan dari tepi. Ketangkasan ayahnya menunjukkan buah silat kilas belakang dan hadapan kepada seorang anak muda, membuatkan Yuzer sedikit sebanyak terpegun. Teringat dia saat-saat ketika dia dan abangnya Yusman dipaksa belajar silat di gelanggang Tok Anjang. Yusman hanya mengikut tanpa banyak soal. Dia pula kerap dimarahi ayahnya kerana ponteng latihan.

Tanpa sedar Yuzer tersenyum. Selepas permohonannya menyambung pelajaran ke UK diluluskan, ayahnya sudah tidak memaksa dia mengikuti latihan silat. Ketika itu asas silatnya sudah kukuh meskipun belum cukup sempurna. Tapi sekurang-kurangnya kata ayah, boleh membantu mempertahankan dirinya dari sebarang bahaya ketika di negara orang. Sedikit sebanyak dia akui, kata-kata ayahnya itu ada benarnya.

Kerana ilmu silat yang ada di dadanya itulah, dia berupaya menyelamatkan diri ketika nyaris-nyaris dirompak oleh dua lelaki negro mabuk di tepi jalan. Ketika itu dia dalam perjalanan pulang dari kampus ke rumah sewanya yang hampir tiga blok dari universiti. Berkat ilmu itu jugalah, dengan mudah dia berjaya mengalahkan dua lelaki itu meskipun badan kedua-duanya agak besar darinya.

“Yuz, dah lama kamu sampai?” Tegur Tok Anjang ketika melihat anak muda itu duduk diam di suatu penjuru. Yuzer yang sedikit terkejut dengan kehadiran Tok Anjang di hadapannya segera mengunjukkan salam.

“Tok Guru apa khabar?”

“Aku baik. Kamu dah lama tamat dari gelanggang ni, tak perlu panggil aku Tok Guru lagi. Panggil datuk saja.” Suruh Tok Anjang sambil tersenyum. Bahu anak muda itu ditepuk-tepuk mesra.

“Bagi saya, datuk tetap Tok Guru saya buat selama-lamanya. Selagi saya memijak tapak gelanggang ni, panggilan Tok Guru akan tetap kekal. Kecuali kita berada di tempat lain.” Ucap Yuzer perlahan.

Tok Anjang hanya tersenyum mendengar kata-kata anak muda itu. Dapat dirasakan ada keikhlasan dalam tutur kata anak muda di hadapannya itu.

“Nek Jah kamu ada beritahu yang kamu singgah tadi. Kamu nak jumpa aku?”

“Begitulah Tok Guru. Lagipun cuti saya singkat saja. Minggu depan saya kena balik ke Kuala Lumpur semula.”

“Bagaimana dengan kerja kamu? Bagus?”

“Alhamdulillah baik.”

“Baguslah kalau begitu. Oh ya lupa aku nak beritahu, lusa ada kenduri doa selamat di rumah aku. Aku nak minta kamu dengan Zurin tolong bantu apa-apa yang patut. Aku dah beritahu dengan ayah kamu tadi.” Beritahu Tok Anjang.

“Insya Allah Tok Guru, nanti saya datang.” Janji Yuzer.

“Oh ya lupa aku nak ucapkan terima kasih pada kamu sekeluarga sebab tolong Anum semalam. Kalau bukan sebab ayah kamu, entah apa jadi pada budak tu agaknya. Melampau betul si Asmadi ni, nyaris-nyaris Anum nak dilanggarnya.” Rungut Tok Anjang.

“Memang Asmadi ke yang punya kerja Tok?”

“Ikut kata ayah kamu, begitulah. Tadi dia ke rumah Itam, tapi budak tu beria-ria menafikan. Tapi bila ayah kamu check kereta dia, ada nampak kemek sedikit kat depan. Belum sempat ayah kamu bertanya, menangis-nangis si Asmadi tu mengaku salah.” Cerita Tok Anjang.

Yuzer hanya tersenyum. “Ayah memang macam tu, pandai menyoal siasat orang ni. Apa tindakan Tok nak ambil pada Asmadi tu?”

“Mulanya aku marah juga. Tapi petang tadi Pak Itam kamu datang dengan Asmadi. Mereka minta maaf dengan Anum sendiri. Rasanya semuanya dah selesai, Anum pun dah maafkan mereka..tak payahlah kita besar-besarkan lagi hal ni.” Ujar lelaki itu. Yuzer turut mengangguk. Setuju dengan keputusan yang diambil. Lagipun dia kenal benar dengan Asmadi. Anak muda itu bukanlah jahat, hanya terburu-buru dan agak cuai sahaja.

* * * *

Yuzer diam sahaja apabila berhadapan dengan ayahnya. Lelaki itu sibuk mengasah parang ladingnya sebelum disimpan kembali di dalam sarung. Mata Taufik menangkap kelibat Yuzer yang tidak bersuara semenjak dari tadi. Dia berdehem beberapa kali. Yuzer tersentak. Matanya menyorot gerak geri ayahnya yang bingkas bangun dari pelantar kayu yang dibina di tepi sudut gelanggang silat.

“Dah beberapa hari balik, baru sekarang kamu jumpa ayah?” Sindir Taufik.

Yuzer menggaru kepala tidak gatal. Dia tersenyum kecil. “Nak buat macamana ayah, bila saya balik ke mari, ayah pula ke Kuala Lumpur. Bila ayah balik ke mari, saya pula sibuk dengan kenduri di kampung sebelah.” Jawabnya.

“Grand Suri bagaimana?” Lelaki itu bertanya. Agak serius.

“Baik ayah. Kami baru sahaja dapat kontrak baru dari Singapura. Yang selebihnya Emir dan saya akan uruskannya.” Balas Yuzer.

Taufik memandang anak muda itu. Wajah Yuzer menampakkan keyakinan. Dia tersenyum kecil.

“Ayah ke Kuala Lumpur kerana Pakcik Imran?” Soal Yuzer ingin tahu. Wajah Taufik serta merta berubah. Dia menjeling ke arah Yuzer yang tiba-tiba gugup. Jelingan tajam ayahnya sudah cukup untuk membuatkan dia menikus.

“Hmmm..” jawab lelaki itu antara dengar dengan tidak. Yuzer mengeluh panjang. Fahamlah dia yang lelaki itu tidak suka mengungkit hal pertemuannya dengan Imran, anak lelaki Tok Anjang yang juga merupakan sepupu ayahnya.

“Ayah nak balik dengan Yuz lepas ni?” Tanya Yuzer mengalih topik. Lelaki itu menggelengkan kepala.

“Tak payahlah Yuz, ayah ada bawa kereta sendiri. Kamu balik awal sikit malam ni, temankan mak kamu dengan Zurin.” Suruh Taufik. Yuzer terdiam. Dia memerhatikan Taufik yang berlalu pergi menyertai Tok Anjang di tengah gelanggang. Dia menghela nafas berat. Ayahnya tetap macam dulu, sukar untuk difahami!

link

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!