Followers

Thursday, October 14, 2010

Hujan Rindu : Bab 22

Yuzer kelihatan serba tidak kena sepanjang mesyuarat berlangsung pagi itu. Presentation yang dikendalikan oleh Emir bagaikan tidak masuk ke dalam kepalanya. Sekejap-sekejap dia memandang pergelangan tangannya. Kenapa lambat sangat ni?

“Kau ni kenapa?” Bisik Emir sebaik tugasnya selesai hari itu. Sejak pagi dia naik hairan dengan telatah Yuzer yang kelihatan ganjil. Duduk lelaki itu serba tidak kena. Berdiri juga salah tingkah. Entah apa yang dimenungkan oleh lelaki itu agaknya.

“Tak ada apa-apalah,” balas Yuzer acuh tak acuh. Dia pura-pura membelek fail maklumat yang dibekalkan oleh Emir sebentar tadi.

Emir terdiam. Ringan mulutnya mahu bertanya perihal semalam, namun entah mengapa melihat wajah Yuzer yang dingin, dia tidak jadi meneruskan hasrat hatinya. Entah kenapa, Yuzer tiba-tiba membatalkan makan malam semalam. Padahal ketika itu dia sudah separuh perjalanan menuju ke restoran.

“Aku nak kenalkan kau pada seseorang,” ucapan Yuzer sehari sebelumnya membuatkan dia tertanya-tanya maksud Yuzer. Siapa yang ingin dibawa oleh Yuzer keluar semalam? Gadiskah atau sekadar salah seorang klien mereka seperti yang selalu dibawa oleh Yuzer? Tak tahu kenapa firasat Emir kuat menyatakan, perubahan sikap Yuzer pagi itu ada kaitan dengan makan malam yang tak jadi semalam.

“Encik Emir, pelan tindakan dah dibuat untuk pengubahsuaian rumah Datin Melati. Encik Emir nak tengok sekarang?” celah Izham yang baru setahun jagung bekerja di situ.

“Sekejap Izham, you letak atas meja saya dulu. Kejap lagi saya tengok.” Arah Emir. Dia tidak berminat dengan pelan itu buat masa ini. Apa yang dia mahu tahu apakah yang sebenarnya terjadi pada Yuzer pagi itu. Tergerak hatinya untuk menghubungi Zaza bertanya. Tapi….ah nampak sangat aku ni penyibuk.

“Oh ya aku dah tempahkan apartment kat Pulau Pangkor tu untuk kau. Tapi aku mungkin lewat sikit. Aku nak settlekan rumah Datin Melati dulu. Kau tahulah dia macamana, cerewet sangat.”

Yuzer tersenyum sendiri. Cerewet-cerewet pun, Datin Melati tak lokek membayar harga perkhidmatan mereka.

“Berapa lama kau nak pergi Pangkor ni?”

“Tak lama, beberapa hari je. Kau tahukan Zurin asyik merengek-rengek nak pergi bercuti. Kebetulan exam dia dengan Zaza pun dah habis.”

“Baiknya abang yang seorang ni. Ini yang buat aku pun teringin nak jadi adik kau,” usik Emir sambil tertawa.

Yuzer tergelak sama. “Sanggup ke kau? Kalau jadi adik aku, itu aku tak tahu. Tapi kalau nak jadi adik ipar aku, no problem. Tapi itupun kalau kau sanggup tahan dengan kerenah mereka.” Balas Yuzer sambil bingkas bangun, membuatkan Emir tertanya-tanya.

“Nak ke mana ni?”

“Aku ada hal nak diuruskan. Petang ni aku tak masuk pejabat, terus balik.” Ujar Yuzer ringkas. Kot yang tersangkut di kepala kerusi dicapai sebelum dia mula melangkah keluar.

Emir tersenyum kecil. Entah kenapa dia menyedari tentang kelainan sikap Yuzer hari itu. Mungkin ada baiknya kalau lelaki itu pergi bercuti. Seingatnya Yuzer terlalu kuat bekerja selama ini. Dua tahun Grand Suri bertapak, Yuzer tak pernah putus semangat. Dia sendiri kagum dengan ketabahan temannya yang seorang itu.

Kerana usaha Yuzerlah maka Grand Suri berjaya dikembangkan. Malah syarikat itu mula dikenali oleh pelanggan-pelanggan mereka yang terdiri dari pelbagai tahap. Masing-masing berpuas hati dengan dekorasi yang diuruskan oleh Grand Suri.

Emir tersenyum sendirian. Dahulu mereka terpaksa berhempas pulas, sekarang mereka sudah mampu tersenyum senang kerana usaha keras mereka kini menampakkan hasil. Sepatutnya begitulah. Tapi tidak bagi Yuzer sendiri. Dua tahun dulu dan hari ini, sama sahaja bagi Yuzer. Kadangkala Emir sering memikirkan, apakah sikap workholic Yuzer ada kena mengena dengan peristiwa lama lelaki itu? Apakah dia masih belum melupakan gadis itu sepenuhnya? Kasihan Yuzer, bisik Emir.

* * * *

Dia senang menghabiskan masanya berjam-jam di taman itu. Ada sebuah bangku kayu yang terletak di bawah sebatang pohon, tempat dia selalu menghabiskan masanya berjam-jam jika ada sesuatu yang menganggu perasaannya. Dan entah kenapa kali ini, hatinya terasa berat bagaikan ditimpa dengan sebiji batu besar.

Dia sendiri tidak tahu, kenapa peristiwa malam semalam sering bermain dalam ingatan. Pergaduhannya dengan Anum Dahlia membuatkannya benar-benar meradang. Tapi selepas gadis itu beredar masuk ke dalam bilik, akal warasnya mula bertindak. Dia terasa benar-benar bodoh kerana kurang menggunakan diplomasi apabila berhadapan dengan gadis itu.

Sepanjang malam dia tidak dapat melelapkan matanya. Wajah mendung Anum Dahlia bermain-main di mata. Dia benar-benar merasa bersalah. Tidak sepatutnya dia mengeluarkan kata-kata kesatnya pada gadis itu. Dia sendiri tidak faham kenapa dia begitu tega bertindak begitu. Tiba-tiba sahaja anginnya memuncak. Semunya kerana dia terpandang kelibat gadis itu dihantar pulang oleh sebuah kereta dari jendela biliknya secara tidak sengaja. Tambah menjengkelkan hatinya apabila dia terpandang kelibat satu kepala lelaki menjenguk keluar dari dalam kereta sambil berbual-bual dengan Anum Dahlia. Itulah sebenarnya punca kenapa dia meradang tidak tentu hala begitu.

Sedari semalam dia teramat ingin tahu siapakah gerangan lelaki yang menghantar gadis itu pulang. Tapi kerana Zurin dan Zaza ada sekali waktu itu, dia berusaha menahan diri. Oh tuhan, apakah aku sebenarnya sedang cemburu? Tapi cemburu kerana apa? Anum Dahlia bukan teman wanitaku, bukan juga kekasih atau tunanganku. Untuk apa aku harus cemburu?

Dahulu dia pernah terserempak dengan Melina yang dihantar pulang oleh sebuah kereta. Ketika itu Melina masih memegang status kekasihnya. Tapi anehnya ketika itu dia langsung tidak memiliki perasaan cemburu, sedangkan yang menghantar Melina pulang itu seorang lelaki kacak. Begitu juga ketika dia melihat Melina diapit oleh beberapa orang kenalan lelaki di pesta ulangtahun gadis itu, dia juga tidak menyimpan rasa cemburu. Jika semua itu langsung tidak membuatkan dirinya cemburu, kenapa pula dia harus merasakan perasaan itu sekarang ini terhadap Anum Dahlia?

Mungkin kau mula menyukainya! Satu suara menyelinap ke dalam sanubarinya. Dada Yuzer berdegup kencang. Suka? Apa benarkah?

Cemburu itu tandanya sayang! Kata-kata itu singgah semula di kepalanya.

Yuzer memejamkan matanya. Cemburu itu hanya satu perasaan yang membuatkan dia takut. Dirinya terasa lemah!

“Kenapa ni?”

Dia mendongakkan wajah. Senyuman manis yang terukir di wajah itu nampak selamba memandang ke arahnya. Dia acuh tak acuh melayani gadis tu lalu tetap bertekun menyiapkan assignment yang harus dihantarnya hari itu juga. Menyedari dirinya tidak dialu-alukan, gadis itu menarik sebuah kerusi lalu duduk di sampingnya.

“Dah tak sudi nak layan Suri?” Gadis itu tersenyum lagi.

Dia memandang gadis itu agak lama. Wajah manis itu benar-benar menyesakkan fikirannya.

“Saya tengah sibuk ni. Kalau awak tak ada kerja, tolong jangan ganggu saya.” Pintanya selamba. Suriati tergaman. Namun kata-kata itu tidak berupaya melarikan senyuman gadis itu untuk satu jangka masa yang lama.

“Kenapa awak balik awal semalam? Saya tercari-cari awak nak ajak awak balik sama-sama, tapi awak hilang entah ke mana.” Ujar Suriati.

Dia menutup buku tebal di hadapannya. Dengusannya kedengaran kasar. Wajah gadis itu dipandang teliti. “Awak masih sedar saya wujud di majlis tu?” Pertanyaannya berbaur sindiran.

“Awak marah sebab saya bercakap dengan Khairul semalam?” Tanpa menjawab pertanyaannya, Suriati melontar pertanyaan lain pula. Gadis itu bagaikan dapat menduga perubahan sikapnya hari ini kerana peristiwa kelmarin di Majlis Makan Malam Kolej Kediaman mereka. Siapa yang tidak sakit hati bila melihat gadis yang disayangi, kelihatan riang berbual dengan lelaki lain. Ketika itu perasaan cemburunya berkobar-kobar sehingga terasa mahu pecah dadanya menahan rasa.

“Yuz, saya dengan Khairul dah tak ada apa-apa.” Tekan Suriati, cuba menyakinkannya.

“Kalau awak dengan dia ada apa-apa pun mana saya tahu. Lagipun dia kan bekas teman lelaki awak.” Bibirnya lancang menyindir. Suriati dilihatnya terdiam.

“Tak lama lagi saya nak berangkat ke UK, lepas tu bolehlah awak bersenang lenang dengan Khairul kat sini.” Sambungnya lagi dengan perasaan mendidih. Suriati menghela nafas panjang berulangkali.

“Saya sayang awak Yuz. Hanya awak seorang.” Akui Suriati, tulus nadanya. Dia terpempan mendengar kata-kata itu. Wajah Suriati dipandang, bagaikan cuba mencari segaris kejujuran di wajah ayu itu.

“Besok, saya nak ke Pangkor. Kalau awak masih nak temankan saya, datanglah esok pagi di hadapan foyer.” Ujar Suriati. Gadis itu memandangnya sejenak, sebelum mula melangkah meninggalkan kawasan perpustakaan kampus.

Sepeninggalan gadis itu dia menolak bukunya ke tepi. Moodnya untuk menyelesaikan assignment yang tertunggak serta-merta mati begitu sahaja. Dia memang mudah cemburu tapi cemburunya bertempat. Lagi-lagi orang yang dicemburuinya bekas teman lelaki Suriati.

Perkenalan antaranya dengan Suriati bermula sejak mereka sama-sama dalam kelas persediaan ke oversea, sehinggalah mereka mula menyedari ada sesuatu yang mula bercambah dalam diri masing-masing. Sesuatu yang indah. Sesuatu yang memukau perasaan.

Kenangan itu sememangnya indah. Hampir dua tahun lamanya dia mengutip satu persatu kenangan itu untuk dijadikan diari hari tuanya. Tapi siapa yang mampu menduga, kenangan indah bertukar pahit tatkala tuhan tidak merestui mereka. Segala-galanya hancur dalam sekelip mata.

Yuzer memejamkan matanya. Wajah Suriati indah seperti purnama. Bertahun lamanya dia merindukan kehadiran gadis itu di sisinya. Tapi siapa dapat menduga, jodohnya bukan dengan Suriati. Jodoh dan ajal maut itu semuanya di tangan Allah, bisikan ibunya suatu ketika dahulu masih mekar dalam ingatan. Dan sesungguhnya dia mengakui kebenaran kata-kata itu. Terbukti dia dan Suriati tidak ditakdirkan untuk bersama.

Kadangkala pernah juga dia berfikir bahawa tuhan berlaku tidak adil padanya dengan merampas Suriati dari hidupnya. Tapi setelah fikirannya agak tenang, barulah dia menyedari bahawa setiap apa yang berlaku dalam hidup manusia adalah telah tersurat takdirnya. Sama seperti yang berlaku antara dirinya dengan Anum Dahlia. Siapa sangka tuhan mengatur pertemuan mereka yang tidak direncanakan, lalu mengatur pertemuan demi pertemuan seterusnya.

Anum! Nama itu disebut berulangkali. Sejak kepulangannya ke kampung tempohari, dia benar-benar tidak dapat melupakan wajah Anum Dahlia dalam ingatan. Setiap masa dia terkenangkan gadis itu. Setiap detik, jiwanya bagaikan merindukan sesuatu. Apakah sebenarnya memang dia yang aku rindukan? Jika tidak masakan dia boleh bersikap keanak-anakan seperti ini. Yuzer menggelengkan kepala. Hakikat itu membuatkan fikirannya merusuh jadi tidak tenang. Jiwanya benar-benar celaru!

* * * *

Tidak kelihatan sesiapa pun di rumah ketika dia sampai petang itu. Suasana apartmentnya sunyi sepi. Yuzer melonggarkan tali leher seraya bersandar di dada sofa. Matanya dipejamkan melepaskan penat.

Hampir setengah jam termenung, Yuzer melirik ke arah jam tangannya. Sudah masuk pukul 6.30 petang, masih belum balikkah adik-adiknya? Dia tahu tentang perancangan Zurin yang ingin ke Perpustakaan Negara hari itu.

Bosan sendirian di situ, Yuzer bingkas bangun. Dia ingin mandi air suam untuk menyegarkan badan. Namun belum sempat kakinya menginjak ke arah biliknya, pintu bilik di sisinya terbuka. Yuzer terperanjat lalu dengan pantas menoleh. Anum Dahlia berdiri di hadapannya dengan wajah terkejut. Kedua-duanya tergaman buat seketika.

“Baru balik?” Tegur Anum Dahlia serba-salah. Sejak semalam, dia belum bertembung dengan lelaki itu. Apabila dia bangun untuk menyiapkan sarapan pagi seperti biasa, batang hidung Yuzer langsung tidak kelihatan. Kata Zaza, dia terdengar Yuzer keluar sejak awal-awal pagi.

Yuzer tidak menjawab. Hanya matanya sahaja yang merenung gadis itu. “Kenapa tak ikut Zaza dan Zurin?” Soal Yuzer.

“Saya tak berapa sihat.” Balas Anum Dahlia perlahan.

Yuzer tiba-tiba mendekati Anum Dahlia. Tak disangka-sangka, dia meletakkan tangannya di atas dahi gadis itu. Anum Dahlia terpaku.

“Tak panas pun. Agaknya bukan demam tapi sebab terlalu lama berembun di luar,” ujarnya dengan nada sinis. Anum Dahlia mengetapkan bibirnya. Dia tahu lelaki itu sengaja menyindir. Tidak cukup lagikah mereka bertingkah semalam? Mahu disambung hari inikah? Fikir Anum Dahlia dengan hati sebal.

“Saya minta maaf sebab hal semalam Yuzer, saya janji ia takkan berulang lagi.”

“Aku peduli apa pada janji kau. Kau balik ke tak balik ke, aku dah malas nak campur. Lagipun aku faham budaya kau kat sana,” rengus Yuzer agak kasar. Hilang sudah ungkapan ‘saya awak’ yang kerap digunakan bila bercakap dengan Anum Dahlia.

Anum Dahlia tersentak. Budaya? Apakah Yuzer bermaksud bahawa dia membawa budaya barat ke mari semata-mata kerana dia terlewat balik malam semalam? Dia mula hilang sabar. Lelaki itu bercakap tak pernah menggunakan otaknya.

“Encik Yuzer, tolong jaga percakapan awak. Saya mengaku saya dibesarkan di luar negara, tapi saya masih tahu menjaga maruah dan harga diri saya. Dan maruah serta harga diri saya ini bukan untuk awak perkotak-katikkan sesuka hati.” Herdik Anum Dahlia.

Yuzer memandang Anum Dahlia tidak berkelip. Hmm…tahu juga dia marah! Tahukah dia betapa aku separuh gila kerana asyik bimbangkan dia di luar sana? Segala tanggungjawab untuk menjaganya, terpikul atas bahu aku sekarang. Tidakkah aku berhak untuk marah?

“Saya tak mahu bergaduh dengan awak Yuzer.” Ucap Anum Dahlia perlahan. Suaranya mula mengendur.

“Dan kau fikir aku suka kita bergaduh?” Soal Yuzer.

Anum Dahlia memandang Yuzer yang masih menatapnya dengan tajam. Entah kenapa renungan lelaki itu membuatkan dia gelisah. Kenapa dengan aku ya Allah? Kenapa hatiku berdebar-debar begini setiap kali berhadapan dengannya?

Dia ingin cepat-cepat beredar dari situ, namun lengannya tiba-tiba dipaut kasar. Anum Dahlia tersentak. Wajah Yuzer seperti singa lapar yang mahu menerkam mangsa.

“Aku belum habis bercakap dengan kau. Dengan sini, selagi kau ada dalam rumah aku, keselamatan kau adalah tanggungjawab aku. Urusan aku. Sekurang-kurangnya, jangan cuba menyusahkan aku dengan kerenah kau yang macam-macam ni.” Yuzer memberi amaran dengan nada keras. Anum Dahlia terdiam. Perlahan-lahan matanya dialih mengadap ke arah Yuzer yang kelihatan baran. Lelaki itu mendengus kasar, sebelum menapak laju menuju ke biliknya. Tak lama kemudian, bunyi pintu biliknya dikatup agak keras. Anum Dahlia merasakan ada air jernih bergenang di kelopak matanya.

* * * *

“Mama, kenapa mama jatuh cinta dengan baba?”

“Entahlah. Kalau suka seseorang, kita tidak perlu alasan untuk jatuh cinta sayang.. Mama sayang baba mungkin kerana baba lelaki yang paling baik dalam hidup mama.”

“Sebelum Baba, mama pernah jatuh cinta?” Entah mengapa dia ingin tahu.

Mamanya terdiam. Renungannya jauh bagaikan cuba mengingati sesuatu. Sejurus kemudian dia tersenyum.

“Siapa pun akan pernah jatuh cinta. Tapi cinta itu terlalu unik untuk diukur dengan kata-kata. Mama percaya pada naluri sayang. Naluri adalah satu perasaan yang tak pernah berbohong. Bila Anum dah besar nanti, Anum juga akan merasakan perasaan yang sama.” Mamanya tertawa sambil memeluk bahu kecilnya.

“Tak mahulah mama. Anum tak mahu jatuh cinta.”

“Kenapa pula?”

“Sebab Anum tak mahu tinggalkan mama dengan baba. Kalau boleh ke mana sahaja mama dan baba pergi, Anum nak ikut juga.” Ucapnya tanpa berfikir.

Mama tergelak kecil mendengar kata-katanya.

“Anum, semua orang akan memiliki seseorang di sisi kita. Mama dan baba takkan selama-lamanya menemani Anum. Kami akan tua dan mungkin takkan hidup lama. Tapi perjalanan Anum masih panjang. Suatu hari nanti, Anum akan jumpa seseorang yang istimewa, dan perasan Anum akan berdebar-debar setiap kali berada di sampingnya. Itulah cinta Anum. Dan ketika itu Anum pasti akan sedia untuk jatuh cinta!” Bisik mama.

Dia meraup muka dengan tapak tangannya. Kata-kata ibunya suatu ketika dulu membuatkan hatinya terusik kembali.

“Kak Anum tak tidur lagi?” Tiba-tiba Zurin berpaling ke arahnya. Dia memandang Zurin yang terkelip-kelip memerhatikannya sebelum menggelengkan kepala.

“Kenapa? Tak boleh tidur?” Tanya anak gadis itu.

“Belum mengantuk Zurin, kak Anum tak boleh lelap.”

“Kalau macam tu, kita berbual-bual?”

Anum Dahlia mengangguk. Mujurlah hanya mereka berdua di bilik itu. Zaza tidur di bilik satu lagi.

“Kalau Zurin tanya, kak Anum jangan marah ya. Zurin bukan nak menyibuk tapi cuma nak tahu, semalam kak Anum ke mana?”

Anum Dahlia mengeluh. Dia tahu lambat laun dia pasti akan diajukan dengan persoalan itu. Dari pagi tadi dia perasan, Zurin seakan ingin mengatakan sesuatu. Namun kehadiran Zaza membuatkan hasrat gadis itu terpendam sehingga kini.

“Zurin, kakak minta maaf sebab buat Zurin risau. Kakak tak bermaksud begitu. Kelmarin kakak jumpa teman lama makcik kakak yang tinggal di Syah Alam. Kakak ke rumahnya, lepas tu leka berbual sehingga tak sedar hari dah malam. Tapi bila nak pulang semalam, kereta Hakimi pula buat hal. Berjam-jam kami tersekat di tepi jalan,” cerita Anum Dahlia serba ringkas.

“Hakimi?” Zurin mengerutkan dahinya.

“Ya Hakimi. Zurin masih ingat lelaki yang jumpa dengan kakak masa kita pergi shopping di Mall tempohari?”

Zurin terdiam. Dia masih kabur, namun imbas-imbas lelaki yang dimaksudkan oleh Anum Dahlia masih terlekat dalam kotak ingatannya.

“Zurin ingat sikit-sikit aje kak. Kenapa dengan dia?”

“Dialah yang hantar kakak balik semalam. Kan kakak dah cakap, Hakimi anak auntie Linda, teman lama makcik kakak yang tinggal di US.” Cerita Anum Dahlia.

“Oh ya tak ya, jadi kelmarin kak Anum ke sanalah?”

Anum Dahlia mengangguk.

“Kak Anum dah beritahu abang tentang hal ni?” Tanya Zurin.

Anum Dahlia terdiam. Wajahnya didongakkan merenung siling bilik. “Tak payahlah. Kalau kakak beritahu pun, dia bukannya nak percaya.” Ucap Anum Dahlia perlahan. Hatinya mendidih setiap kali terfikirkan sikap Yuzer.

“Hmm abang memang macam tu, kak Anum kan tahu perangai dia. Tapi semalam, dia memang marah dengan kak Anum. Selama ni belum pernah Zurin tengok dia marah macam tu.. Zurin percaya kak Anum pandai jaga diri, tapi bila tengok abang baran semacam aje, Zurin naik takut. Bimbang kak Anum kena marah.” Jelas Zurin.

“Tak apalah Zurin, kakak dah biasa kena marah. Lagipun kalau Yuzer marah kakak, kakak bayangkan leteran dia tu macam bunyi lagu nyanyian Enrique Inglesias yang kakak suka tu.” Gurau Anum Dahlia membuatkan Zurin tertawa kecil.

“Tapi Zurin harap kak Anum jangan salahkan abang. Abang bukan sengaja nak marah kak Anum. Mungkin sebab dia bimbangkan kak Anum, baru dia bertindak begitu. Lagipun sejak dia kehilangan kak Suri, sikap abang semakin berubah. Dulu dia tak macam tu. Dah dekat enam tahun, tapi dia macam tu jugak. Still tak boleh lupakan kak Suri.” Keluh Zurin.

Kata-kata Zurin membuatkan Anum Dahlia tergaman. Bulat matanya memandang gadis itu. Apa maksud Zurin? Siapa Suri yang disebut oleh gadis itu?

Memandang raut wajah Anum Dahlia yang seakan berubah, Zurin terpinga-pinga. Dia sedar dia terlepas kata. Dia memandang gadis itu agak lama. Mujurlah Anum Dahlia tidak melanjutkan pertanyaan. Entah kenapa sejak mula Anum Dahlia muncul, dia sudah menyukai gadis itu. Anum Dahlia bagaikan kakak kepadanya. Meskipun gadis itu dibesarkan di luar negara, namun gerak geri Anum Dahlia lemah lembut. Tidak seperti sepupunya Melina yang nampak moden dan kebaratan.

Alangkah baiknya kalau Anum Dahlia menjadi kakaknya buat selama-lamanya. Jadi kakak ipar pun bagus juga. Tiba-tiba Zurin tersengih tanpa sedar. Mungkinkah Yuzer menyimpan perasaan terhadap Anum Dahlia? Jika tidak masakan perangai abangnya terhadap Anum Dahlia kelihatan aneh.

Ah! Masakan Anum Dahlia akan menyukai lelaki seperti abangnya itu. Tapi tak mustahil itu berlaku, asal saja Yuzer sanggup berubah sikap. Membuang semua perangai buruknya yang tidak menentu itu. Zurin tersenyum nakal. Dia mula memasang angan-angan sendiri. Dia tidak mahu membiarkan gadis sebaik Anum Dahlia jatuh ke pangkuan orang lain.

link

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!