Followers

Wednesday, October 17, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 9


            SEORANG lelaki separuh umur menyorong motorsikal kapcainya lalu meletakkannya di bawah sebatang pohon. Selepas itu, lelaki itu melangkah perlahan-lahan ke arah pintu bergrill di hadapannya. Kunci dikeluarkan dari dalam poket sebelum dia memulas anak kunci pada lubang grill. Belum sempat pintu grill itu ditarik, telinganya menangkap satu bunyi. Lelaki itu segera berpaling.

            Alangkah terkejutnya dia apabila melihat dua susuk tubuh sedang tidur di tepi warungnya, berkelubung dengan guni beras. Dia menjenguk kedua-duanya. Siapa pulak ni? Hatinya tertanya-tanya. Perlahan-lahan guni beras itu ditarik menyerlahkan dua raut wajah yang comot dan kotor.

“Nira? Astagafirullahalazim. Nira…kenapa tidur kat sini?” Pak Maidin terkejut besar. Lelaki itu segera berteleku di hadapan kedua-dua anak itu.

Dia bingkas bangun sebaik mendengar suara Pak Maidin. Matanya terpisat-pisat memandang lelaki itu, seraya cepat-cepat mengejutkan Naufal yang sedang nyenyak tidur di sampingnya.

            “Naufal, bangun….” Dia cuba mengejutkan adiknya. Adiknya itu memang agak culas mahu bangun pagi. Dia cuba lagi mengejutkan Naufal meskipun separuh hatinya terasa belas menatap Naufal yang membongkok kesejukan. Pak Maidin sekadar memandang perlakuan kedua-duanya dengan dahi berkerut.

            “Nira, beritahu Pak Maidin kenapa kamu tidur kat sini? Cerita semuanya.” Pinta Pak Maidin. Dia benar-benar ingin tahu apa sebenarnya yang sudah terjadi pada kedua-dua beradik itu. 

            Perlahan-lahan matanya beralih ke wajah Pak Maidin. Dia serba salah. Selama ini, orang tua itu tidak tahu apa-apa tentang masalah yang menimpa keluarganya. Malah alasan yang diberikannya pada lelaki itu semasa meminta kerja tempohari adalah semata-mata kerana kemiskinan keluarganya. Kerana itulah, lelaki itu setuju mengambilnya bekerja di situ. Entah apa reaksi Pak Maidin jika tahu dirinya dibohongi.

            “Nira, kenapa diam? Cakap dengan Pak Maidin kenapa kamu boleh ada kat sini?” Desak lelaki itu sekali lagi.

Dia mengigit bibir. Dia tahu dia tidak boleh mengelak diri lagi. Lebih banyak dia berbohong, lebih sukar untuk dia berterus-terang. Dengan perasaan berat, akhirnya dia membuka mulut pada orang tua itu. Bercerita tentang nasib keluarganya yang dirundung malang tak henti-henti. Sesekali dia memandang Naufal di sisinya yang terkelip-kelip memandang Pak Maidin.

            “Jadi selama ini kamu berbohong dengan Pak Maidin?” Lelaki itu mengeluh panjang. Kesal dengan apa yang telah berlaku.

            “Pak Maidin, Nira minta maaf. Nira bukan sengaja nak berbohong. Tapi kalau Nira beritahu hal yang sebenar, Pak Maidin takkan kasi Nira kerja kat sini.” Ujarnya beralasan.

            “Memang Pak Maidin tak kasi. Sepatutnya dari awal lagi kamu beritahu Pak Maidin masalah kamu. Ini tak, kamu rela berbohong dengan Pak Maidin semata-mata sebab nak kerja kat sini.” Keluh lelaki itu lagi.

            “Nira tak tahu bagaimana Nira nak berterus terang dengan Pak Maidin. Nira perlukan duit untuk belanja sekolah Nira dengan Naufal. Sebab tu Nira minta kerja dengan Pak Maidin.” Dia cuba menjelaskannya.

            Pak Maidin terdiam. Lelaki itu mengalihkan pandangan ke arah budak lelaki di sampingnya. “Ini adik kamu?” Lelaki itu bertanya sekadar mahu memastikan. Dia mengangguk lesu.

            “Jadi sepanjang malam kamu berdua tidur kat sini?”

            Sekali lagi dia mengangguk.

“Nira dah tak tahu nak ke mana lagi Pak Maidin. Nira minta maaf sebab tidur kat sini tanpa kebenaran Pak Maidin.” Suaranya sebak. Dia bimbang lelaki itu memarahinya lalu menghalau mereka berdua dari situ.

            Pak Maidin mengelengkan kepala. “Teruk betul ayah saudara kamu ni. Sanggup dia buat macam ni. Tak apalah Nira, buat sementara waktu ni, kamu tinggal aje dengan Pak Maidin dan Mak Minah kamu. Kami pun berdua aje kat rumah, anak-anak pun jauh.” Putus Pak Maidin akhirnya.

Dia memandang lelaki tua itu. Hampir tidak percaya dengan kata-kata lelaki itu. Sangkanya lelaki itu akan menghalau mereka dua beradik dari situ.

            “Hah yang kamu tengok Pak Maidin sampai macam tu sekali kenapa?” Lelaki itu mengerutkan dahi. Hairan kerana dipandang sebegitu rupa.

            “Nira tak mahu susahkan Pak Maidin. Tapi kalau Pak Maidin boleh tolong Nira cari bilik sewa yang kecil pun tak apa. Nira nak tinggal dengan Naufal.” Pintanya.

Lelaki itu terdiam sejenak.

            “Kamu mampu ke menyewa bilik Nira?” Soal Pak Maidin.

Gilirannya pula terdiam. Betul juga! Dengan keadaannya sekarang, bagaimana dia mahu mencari duit untuk menyewa walau hanya sebuah bilik kecil? Tiba-tiba dia teringatkan rantai di lehernya. Rantai itu adalah hadiah pemberian arwah ayahnya sebelum lelaki itu meninggal dunia. Dia segera menanggalkan rantai berplat emas itu dari tengkuknya.

            “Pak Maidin, Nira cuma ada rantai ni saja. Pak Maidin ambillah rantai ni, jual pun tak apa. Tapi Nira nak minta tolong Pak Maidin carikan bilik murah untuk Nira. Kalau boleh yang dekat-dekat sini.” Pintanya.

            Pak Maidin tergaman. Seketika lelaki itu memandangnya. Rantai yang diserahkannya tadi dipulangkan semula lelaki itu. Dia terpinga-pinga memandang Pak Maidin, bimbang lelaki itu tidak mahu membantunya.

 “Tak apalah Nira, ambilah semula rantai Nira ni. Dekat belakang rumah Pak Maidin ada sebuah rumah kosong. Dah lama tuan punya rumah tu pindah ke Johor Bharu. Kalau Nira nak, nanti Pak Maidin telefon mereka tanyakan tentang rumah tu. Mahu?” Cadang orang tua itu.

            Matanya bersinar-sinar sebaik mendengar cadangan Pak Maidin. Lekas-lekas dia menganggukkan kepalanya. Hatinya benar-benar girang dengan usul lelaki itu. Meskipun jauh di sudut hati dia kesal kerana terpaksa meninggalkan rumah yang banyak menyimpan kenangan zaman kecilnya, tapi demi kerana Naufal dia terpaksa. Dia tidak sanggup melihat Naufal membesar di dalam keadaan begitu, berdepan dengan seribu satu kerenah pakcik dan makciknya yang tidak berperikemanusiaan. Sekurang-kurangnya di rumah baru nanti, dia dan Naufal hanya berdua berkongsi suka duka. Itu lebih baik dari didera mental dan fizikal oleh pasangan suami isteri itu.

*  *  *  *

            Sepanjang tempoh ini mereka tinggal di rumah kayu kecil tidak jauh dari rumah Pak Maidin dan Mak Minah, majikannya di warung itu. Mujur tuan punya rumah tempat dia menumpang itu membenarkan dia dan Naufal tinggal di situ secara percuma. Dia benar-benar bersyukur kerana dapat lepas dari cengkaman ayah dan ibu saudaranya, sekaligus mencorak kehidupannya sendiri. Dia juga  bersyukur kerana dipertemukan dengan pasangan suami isteri yang baik hati seperti Pak Maidin dan isterinya.

            Selepas waktu sekolah, dia akan bekerja di warung Pak Maidin. Dengan kesempatan yang ada, dia berusaha keras mengumpul wang secara berdikit-dikit untuk belanja persekolahan mereka. Mujurlah Pak Maidin dan isterinya Mak Minah tidak pernah kedekut membenarkan mereka membawa pulang lebihan makanan dari warung itu.

            Secara lahiriah, hidup mereka baik-baik sahaja meskipun tidak mewah. Hanya yang dibimbangkannya ialah sikap Naufal yang semakin berubah. Adiknya yang sudah menjangkau usia dua belas tahun itu menjadi semakin pendiam dan tidak banyak bercakap. Dia sendiri tidak tahu apakah perubahan sikap Naufal disebabkan oleh musibah yang menimpa keluarga mereka, atau Naufal tidak betah dengan kehidupan yang mereka lalui sekarang ini. Dia benar-benar buntu bila memikirkan sikap Naufal.

Dari hari ke sehari, dia berusaha keras untuk menghadapi peperiksaan PMR yang akan menjelang tidak lama lagi. Meskipun dia tidak mampu mengambil kelas tuisyen seperti pelajar-pelajar lain, tapi asal ada masa terluang, dia takkan jemu menelaah pelajaran.

Pak Maidin seakan memahami keadaannya. Lelaki itu hanya membenarkan dia membantu di warung sehingga ke petang sahaja. Masa selebihnya, dia disuruh pulang ke rumah. Lelaki itu juga kerap melontarkan kata-kata nasihat agar dia tekun belajar dan gigih berusaha.

Usai menduduki peperiksaannya, dia lebih rajin membantu Pak Maidin di warung. Semuanya dilakukan dengan ikhlas demi membalas budi pasangan suami isteri itu.

            “Pak Maidin…keputusan peperiksaan dah keluar. Nira dapat 8A.” Dia menjerit  gembira apabila menelefon lelaki itu dari sekolahnya. Dia sendiri hampir tidak percaya apabila menatap slip peperiksaan yang ada di tangannya. Inilah hasil dari jerih perihnya selama ini.

            “Alhamdulillah, Pak Maidin dah tahu Nira mesti dapat keputusan cemerlang. Tahniah ya Nira. Mak Minah kamu kata kalau peperiksaan kamu cemerlang, dia nak buat majlis kesyukuran untuk kamu. Tak sia-sia kamu belajar kuat selama ni.” Nada suara Pak Maidin kedengaran ceria.

            “Ini semua berkat dorongan Pak Maidin dengan Mak Minah juga sebab selalu tolong Nira.” Dia membalas. Memang jasa pasangan suami isteri itu terlalu besar dan luhur buatnya. Sampai bila-bila pun tak terbalas rasanya.

            “Kamu balik awal sikit ya. Nanti Pak Maidin nak suruh Mak Minah kamu masakkan makan malam istimewa malam ni. Kita tunggu Naufal balik, lepas tu kita raikan sama-sama.” Usul Pak Maidin. Dia hanya tersenyum mendengarnya.

            “Pak Maidin, Nira ingat Nira nak jumpa umi kejap lagi. Nira nak beritahu umi tentang keputusan peperiksaan Nira ni. Umi tentu suka dengar.” Ujarnya dengan suara riang.

Memang itulah niatnya jika dia mendapat keputusan yang baik. Malah dia sudah tidak sabar-sabar mahu menayangkan slip keputusan peperiksaannya di hadapan wanita itu. Moga-moga ibunya akan cepat sembuh dan masih mengingatinya seperti dulu. Doa itulah yang tidak putus-putus dipanjatkan setiap kali selepas solat. YA ALLAH, semoga KAU mendengar doaku!

            “Baguslah tu Nira. Lagipun kamu pun dah lama tak lawat mak kamu kat hospital tu. Pergilah Nira, nanti Pak Maidin ambil Naufal di sekolah.” Ujar Pak Maidin. Perbualan singkat mereka berakhir di situ.

            Dari sekolah, dia terus mengambil bas ke pusat rawatan di mana ibunya ditempatkan. Sebaik tiba di tempat itu, dia sengaja berlengah-lengah. Dia tahu dia harus menunggu sedikit masa lagi sebelum dibenarkan melawat ibunya. Rutin harian waktu melawat pusat rawatan itu memang sudah hafal di kepalanya.

            Sementara menunggu waktu lawatan bermula, dia mengambil kesempatan duduk menunggu di sebuah bangku panjang di laman hospital. Matanya leka memerhatikan ragam beberapa pengunjung yang turut menanti masa melawat di luar pintu masuk.

            Seorang wanita tua, terkedek-kedek membawa baldi berisi air dan penyapu di hadapannya. Matanya tertarik memandang wanita itu. Orangnya sudah agak lanjut berusia, tapi terpaksa pula memikul baldi berat itu. Barangkali dia pencuci di sini, detik hati kecilnya.

            Tiba-tiba wanita itu tersandung langkah. Habis tumpah air di baldinya apabila baldi berat itu terlepas dari tangannya. Dia terkesima. Melihat situasi yang berlaku di hadapannya, dia segera meluru ke arah wanita itu.

            “Makcik nak bawa baldi air ni ke mana?” Sapanya lembut dan sopan. Wanita tua itu memandangnya. Bibir pucat itu tersenyum sedikit.

            “Makcik nak cuci longkang kat belakang bangunan sana, nak.” Jawab wanita itu.

            “Kalau macam tu, saya tolong makcik bawa baldi air ni kat belakang ya.” Tanpa disuruh dia segera mengangkut baldi yang kini hanya tinggal setengah sahaja isinya. Melihat baldi dan alat-alat cucian itu berpindah tangan, wanita tua itu memandangnya agak lama. Sebentar kemudian, wanita tua itu turut melangkah beriringan dengannya menuju ke belakang bangunan itu.

            “Terima kasih sebab tolong makcik, nak. Buat susah-susah anak ni aje.” Wanita itu tersenyum memandangnya.

            “Tak apa-apa makcik. Lagipun baldi ni bukannya berat sangat pun.”

            “Anak ni ke mari nak jumpa siapa? Datang melawat pesakit?” Duga wanita itu.

            Dia mengangguk. “Saya nak lawat umi saya makcik.” Ujarnya seraya meletakkan baldi air di tepi longkang di bahagian belakang bangunan pusat rawatan itu.

            “Dia sakit apa?”

            Dia mengangkat bahu. Sebenarnya dia tidak maklum dengan penyakit ibunya. Lagipun dia sendiri tidak arif dengan penyakit dementia yang disebut oleh doktor yang merawat ibunya. Melihat wajahnya yang bertukar muram, wanita itu memegang bahunya.

            “Sabarlah ya nak, dugaan hidup ni memang tuhan selalu beri untuk menguji sejauh mana keimanan kita padaNYA. INSYA ALLAH, dugaan macam ni takkan lama. Lepas ni anak akan digantikan dengan kebahagiaan yang hakiki.” Ujar wanita itu.

            Kata-kata wanita itu membuatkan dia tersenyum sendiri. Senang hatinya mendengar kata-kata wanita itu. Dia sendiri mengharapkan kebahagiaan yang serupa. Tapi alangkah baiknya jika kebahagian yang dicarinya itu merangkumi ibunya sendiri.

            Sebaik selesai membantu wanita tua itu, dia segera melewati belakang bangunan pusat rawatan itu menuju ke pintu hadapan. Belum jauh kakinya melangkah, tiba-tiba bahunya ditimpa sesuatu. Dia tunduk ke bawah. Sebelah pasang selipar jepun, mendarat betul-betul berdekatan kakinya. Dia tergaman. Dari mana datangnya selipar ni?

            Dia memandang di sekelilingnya. Tidak ada sesiapa pun di situ. Dia mendongak pula. Sesusuk tubuh kelihatan sayup-sayup dari  bangunan tujuh tingkat itu. Dahinya berkerut seribu. Matanya mengecil ke arah kelibat tidak dikenali di atas sana. Pancaran cahaya matahari yang tegak berada di atas kepala menyukarkan pandangannya.

            Beberapa ketika kemudian, dia terdengar bunyi riuh rendah di belakangnya. Dia segera berpaling. Kenderaan-kenderaan yang bersimpang siur melewati jalan di luar pagar pusat rawatan itu kini berhenti di bahu jalan. Mata orang ramai mendongak ke bahagian atas bangunan pusat rawatan itu sambil menjerit-jerit berteriak. Ketika itu juga muncul beberapa lelaki berpakaian serba putih dengan beberapa orang pengawal keselamatan di situ.

Dia yang menjadi saksi keributan di kawasan pusat rawatan itu terpinga-pinga tidak mengerti. Apa sebenarnya yang berlaku?

            “Telefon pihak polis dengan pasukan penyelamat. Sekarang juga!” Jerit satu suara tidak jauh dari situ. Salah seorang pengawal keselamatan segera berlari menuju ke suatu arah.

            “Dik, tolong ke tepi.” Dia yang berdiri di tengah-tengah laluan ditolak agak kasar. Namun dia terus terpinga-pinga. Apa sebenarnya yang kecoh-kecoh ni?

            “Kenapa ni?”

            Ada orang nak bunuh diri.”

            Dia tersentak. Bunuh diri? Siapa? Dia mendongak lagi. Cuba memandang ke arah sekujur tubuh yang sedang berdiri di lereng bangunan, mengadap ke bawah.

            “Perempuan tu pesakit kat hospital ni.” Suara riuh rendah itu terus bergema di gegendang telinganya. Dia terkejut. Pesakit? Serentak matanya terpandang kelibat jururawat bernama Zaitun yang memang dikenalinya. Wajah Zaitun kelihatan cemas sedang menuju ke arah seorang doktor bercermin mata.

            “Doktor, itu Puan Zahlia dari wad 4D. Dia hilang dari biliknya tadi.” Beritahu Zaitun cemas.

Sebaik mendengar nama ibunya meniti dari bibir Zaitun, dia bagaikan terkena renjatan elektrik. Tak mungkin! Tak mungkin itu umi!

Belum sempat rasa gementarnya hilang, tiba-tiba bunyi jeritan yang agak nyaring singgah di gegendang telinganya. Dia mendongak. Namun situasi yang terpapar di hadapan matanya membuatkan tubuhnya keras kejung. Gambaran gelap melintas di kepalanya dalam sekelip mata.

 Dari bawah, dia melihat tubuh itu melayang jatuh dari tingkat atas menuju ke bawah. Bunyi hentakan yang agak kuat serta suara jeritan orang ramai membuatkan matanya terbeliak. Wajahnya pucat lesi. Untuk seketika sebahagian dari dirinya seolah direnggut malaikat maut. Jantungnya seperti dirobek keluar. Suaranya seakan menghilang dalam kabus gelap yang menyelimuti pandangannya.

1 comment:

Unknown said...

ALLAH HU AKBAR,berat nye dugaan mu ya ALLAH,tabah dan kuat kan lah hati hamba mu ini....sape yang bunuh diri tu!!!

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!