Followers

Friday, August 21, 2009

Bunga Syurga 7

“Selamat pagi Encik Riffki, Dato’ ada menunggu dalam bilik,” ujar gadis manis setiausaha ayahnya. Riffki melirik gadis di hadapannya. Cantik juga, setiausaha baru ayahnyakah? Baru Riffki perasan, sebenarnya dia sudah lama tidak berkunjung ke pejabat ayahnya. Segala-galanya sudah bertukar. Hiasan meja kopi di sudut pejabat itu sudah berubah. Malah set sofa di ruang menunggu juga sudah berganti baru.
“Bila masuk kerja?”
“Dah setahun,” jawab gadis itu jujur.
Riffki tersenyum. Baru setahun, patutlah tak pernah jumpa. Mana pergi setiausaha lama ayahnya yang agak manja-manja kucing itu? Dah berhenti atau diberhentikan?
“Habis, macamana awak kenal dengan saya?” Dia cuba menduga gadis itu.
“Saya cam Encik Riffki dari potret keluarga Dato’ yang tergantung di dinding kamar Dato’.” Jawab gadis itu agak jujur. Riffki hanya tersengih. Begitu rupanya!
Daun pintu diketuk. Terdengar suara garau ayahnya menyahut dari dalam. Perlahan-lahan Riffki menolak daun pintu. Dia terlihat lelaki itu sedang mengadap ke luar jendela. Seketika kemudian, lelaki tua itu berpaling seraya merenungnya.
“Apahal ayah nak jumpa saya?” Riffki duduk tanpa disuruh. Dia menentang pandangan ayahnya dengan berani.Wajah lelaki di hadapannya kelihatan garang. Entah kenapa, dia merasakan ada sesuatu yang tidak disenangi oleh lelaki itu terhadapnya.
Dato’ Amiruddin menarik lacinya lalu mengeluarkan senaskah majalah. Majalah itu lalu dicampakkan agak kasar di hadapan Riffki. Riffki sempat membaca petikan berita besar di hadapannya. Dia hendak tersenyum tapi tidak berani mengeluarkannya di hadapan ayahnya.
“Berita apa ni? Ini ke yang kamu nak bangga-banggakan sangat? Gossip sana sini, macam dah tak ada berita lain nak dibuat. Ayah tak suka semua ni Riff,” keras nada suara Dato’ Amiruddin.
“Dah namanya gossip ayah, takkanlah ayah tak faham semua tu.”
“Gossip kepala hotak kamu. Habis gambar yang terpampang di muka depan tu bukan gambar kamu? Lelaki yang menari berpelukan dengan perempuan yang entah dari mana asal usulnya tu bukan kamu?” Herdik Dato’ Amiruddin.
Riffki terdiam. Dia sendiri tidak sangka ada wartawan yang mengambil gambarnya sewaktu majlis yang berlangsung tempohari. Mujurlah wajah Nurul Hijjaz tidak jelas sangat. Jika tidak, tentu gadis itu akan berasa malu.
“Sudahlah, ayah tak mahu cakap lagi fasal hal ni. Dah lama kamu tutup studio tu, bila kamu nak datang kerja dengan ayah? Bantu ayah dan abang kamu uruskan syarikat ni lagi baik,” suruh Dato’ Amiruddin.
“Saya tak minat.” Tenang Riffki menyebut.
Dato’ Amiruddin membeliakkan matanya. “Tak minat? Habis apa yang kamu minat? Perempuan?” Sinis kata-kata Dato’ Amiruddin. Mata Riffki melekat di wajah ayahnya. Dia tidak senang hati dengan sindiran lelaki itu. Telinganya panas tiba-tiba.
“Lagipun siapa yang beri kamu hak untuk menentukan apa yang kamu suka dan tak suka? Ayah hantar kamu belajar bukan untuk suruh kamu jadi jurugambar murahan. Sudah, jangan nak beri alasan lagi. Esok datang ke pejabat. Sekarang kamu boleh pergi.” Muktamad kata-kata Dato’ Amiruddin.
Riffki tidak berkata apa-apa. Perlahan-lahan dia bingkas dari kerusi yang di dudukinya. Dia memandang Dato’ Amiruddin, tapi wajah lelaki itu tetap tidak berganjak dari kertas-kertas di mejanya.
“Saya pergi dulu ayah,” ucapnya sebelum beredar keluar. Sebaik menutup pintu bilik, dia berpapasan dengan Daniel. Daniel agak terkejut dengan kehadiran Riffki di situ. “Kau jumpa ayah?” Dia bertanya separuh berbisik.
Riffki hanya mengangguk sambil tersenyum.
“Kita pergi minum kat cafe? Dah lama aku tak jumpa kau,” usul Daniel. Riffki tanpa banyak soal hanya mengangguk. Dia juga sudah lama tidak berbual-bual dengan Daniel.
* * * *
“Apa yang ayah hendak?” Soal Daniel selepas mengambil tempat di sebuah kafe di bawah bangunan pejabatnya. Sempat dia memesan segelas teh tarik kepada pelayan yang mengambil pesanan. Riffki pula hanya memesan secawan teh.
“Macam biasalah, macamlah kau tak faham perangai ayah tu.”
“Kau pun satu, suka sangat sakitkan hati orang tua tu. Kau dah tahu yang ayah tu panas baran orangnya, kenalah slowtalk sikit dengan dia.” Ujar Daniel.
Riffki tersengih. Slowtalk? Aku langsung tak berpeluang nak bercakap, macamana nak slowtalk dengan dia! Namun dia tidak menyebut begitu di hadapan Daniel.
“Kau buat apa sekarang ni? Aku cuba call kau pun asyik tak dapat. Mana kau menghilang?” Soal Daniel ingin tahu. Bulat matanya memandang wajah adiknya.
“Ada kat KL ni, tak ke mana pun,” balas Riffki mendatar.
“Macamana dengan studio tu? Aku dengar kau nak tutup studio tu terus. Kenapa?”
Riffki tersenyum. Cepat benar berita tentangnya tersebar.
“Kerana Laila? Itu sebabnya kan?” Daniel cuba menduga. Dia tahu sejarah cinta adiknya dengan seorang gadis bernama Nurlaila. Malah seluruh keluarga mereka tahu. Malangnya cinta Riffki musnah di tengah jalan. Hancur sebelum berkembang.
“Kau pula macamana? Dah bertemu dengan gadis idaman?” Riffki cuba menukar tajuk perbualan. Entah mengapa, dia rasa tidak selesa mebincangkan kisah silamnya bersama Daniel. Meskipun mereka adik beradik, namun untuk berkongsi perasaannya, dia masih tidak mampu melakukannya bersama Daniel. Bukan dia tidak sedar, abangnya itu cukup kuat berusaha berbaik-baik dengannya. Hanya dia yang tidak mahu menerima. Serapat Daniel mendekatinya, sejarak itu juga dia menghindar.
Daniel tertawa. Tiba-tiba sahaja Riffki bertanya soal peribadinya pula. Macamana harus diceritakan perasaan hatinya pada Riffki, sedangkan gadis yang disukainya masih jauh dari genggaman. Hijjaz….Dia menyebut nama itu berkali-kali. Janji gadis itu untuk menelefon hanya tinggal janji kosong.
* * * *
Nurul Hijjaz membaca sepintas lalu tajuk besar majalah hiburan itu. JURUGAMBAR TERKENAL MENEMUI CINTA BARU. Dia tersenyum kecil. Terpampang gambar Riffki sedang memegang bahunya. Mujur wajahnya tidak begitu jelas dalam gambar. Entah wartawan mana agaknya yang sempat mengambil gambar mereka ketika sedang menari.
Nurul Hijjaz terkenang kembali saat-saat indah ketika itu. Menari bersama seorang lelaki tampan di bawah alunan muzik yang romantis, tak ubah seperti kisah dongeng yang dibacanya sedari kecil. Dia sendiri tidak pernah menyangka akan menjadi salah seorang dari Cinderella yang bertuah itu. Hakikatnya walaupun mereka nampak romantis ketika itu, tapi sebenarnya keadaan itu tak sama seperti apa yang dilihat. Riffki asyik merungut kerana dia asyik terpijak kaki lelaki itu.
“Nurul Hijjaz, jangan buat aku naik darah. Ikut gerak kaki aku,” suruh lelaki itu. Dia cuba mengikut tapi agak sukar. Matanya sentiasa memerhatikan pergerakan kaki Riffki.
“Jangan pandang kaki aku. Pandang mata aku.” Getus Riffki dengan suara meninggi.Nurul Hijjaz sedikit gugup. Kata-kata Riffki membuatkan dia ragu-ragu.
“Aku suruh kau pandang mata aku, bukannya jatuh cinta pada aku. Susah sangat ke?” Rungut Riffki perlahan. Nurul Hijjaz terkedu. Dia terkejut apabila kedua tangan Riffki menyentuh pipinya. Wajahnya didongakkan tepat ke arah lelaki itu, saling bertentang mata. Buat seketika Nurul Hijjaz seolah terpaku macam orang bodoh. Mengikut saja apa yang dilakukan oleh Riffki.
Dia menentang renungan sepasang mata yang tajam itu. Pandangan Riffki kelihatan dingin, tidak berperasaan. Meskipun hatinya berdebar-debar berada di samping Riffki, namun Nurul Hijjaz sedar, dia tak mungkin jadi pilihan Riffki. Pandangan lelaki itu terhadapnya hanya pandangan kosong.
“Siapa gadis bertuah tu agaknya?” Tjuk Inn tiba-tiba menjenguk majalah di tangan Nurul Hijjaz. Nurul Hijjaz tergaman. Gadis itu duduk di sampingnya tanpa disuruh.
“Dia ni klien kau kan Hijjaz?” Soal Tjuk Inn, wanita Kadazan Sabah yang telah lama menetap di Kuala Lumpur.
Nurul Hijjaz mengangguk sambil meletakkan majalah itu di atas meja. Pantas tangan Tjuk Inn mencapai majalah hiburan itu, lalu dibeleknya.
“Seronok jadi orang popular ni, buat apa benda pun jadi perhatian ramai,” ujar Tjuk Inn entah pada siapa. Nurul Hijjaz hanya tersenyum.
“Susah jadi orang popular, buat salah sikit dah jadi tajuk berita muka depan. Itu belum lagi jenis yang kaki perempuan, kaki penipu,” Nurul Hijjaz membetulkannya. Tjuk Inn tergelak besar.
“Maksud kau, lelaki jenis macam Riffki Aidan ni jenis kaki perempuan? Kaki penipu, begitu? Hemm…tengok gaya pun tahu dia memang kaki perempuan,” Tjuk Inn sibuk memerhatikan gambar itu.
“Hijjaz, perempuan ni macam aku kenal aje.”
Nurul Hijjaz terdiam. Alamak, mampus aku kalau Tjuk Inn tahu gambar itu gambar aku. Dia mendongak memandang ke arah Tjuk Inn. Mata Tjuk Inn asyik memerhatikan isi majalah.
“Mungkin salah seorang dari pelakon-pelakon drama tv agaknya,” ujar Tjuk Inn sebelum menutup helaian majalah. Dia bingkas bangun. Nurul Hijjaz sedikit lega.
“Oh ya, masa kau keluar tadi. Ada mesej untuk kau, katanya dari Pengurus Besar Mutiara Global. Dia suruh kau call dia balik,” beritahu Tjuk Inn sebelum berlalu pergi ke suatu arah. Nurul Hijjaz terdiam. Daniel? Mungkin fasal proposal tu. Laju sahaja tangannya mendail nombor Daniel Iqbal.
* * * *
Matanya mencari-cari kelibat Daniel, tapi sebaik terlihat lelaki itu melambaikan tangannya, Nurul Hijjaz tertawa. Dia mengambil tempat di hadapan lelaki itu. Wajah Daniel nampak riang hari itu.
“Nak minum apa?”
“Hmm jus mangga.”
“Emm…bagi dua gelas jus mangga dan dua set makan tengahari. ” Daniel membuat pesanan sebelum matanya beralih ke arah Nurul Hijjaz. Terpegun sejenak dia melihat senyuman Nurul Hijjaz yang kelihatan menawan dengan blouse putih berenda di leher dan seluar panjang hitam bertali pinggang rantai.
“Lama tak jumpa?” Daniel memulakan sapaan.
“Baru dua minggu kita berkenalan, macamana pula Encik Daniel fikir kita dah lama tak berjumpa?”
“Pertemuan pertama dah saya anggap satu pertemuan yang istimewa. Sentiasa diingati. Mungkin kerana itu, apabila lama tak bertemu Hijjaz terasa macam dah lama sangat.” Canda Daniel.
Nurul Hijjaz hanya tersenyum.
“Err..kenapa Encik Daniel ajak saya bertemu hari ni?”
“Dah lupa?” Daniel tersenyum memandangnya.
“Lupa apa?” Giliran Nurul Hijjaz pula tercengang. Apa maksud dia?
“Hari tu Hijjaz ada janji nak belanja saya makan. Dah lupa?”
Nurul Hijjaz mengerutkan dahinya. Betulkah aku berjanji begitu? Tiba-tiba meletus tawa dari bibir Nurul Hijjaz. Dia menepuk dahinya perlahan. Alamak, aku yang lupa. “Sorry Encik Daniel, saya lupa. Betul-betul lupa. I’m so sorry.”
“Tak mengapa, tapi Hijjaz terpaksa belanja saya dua kali.”
“Kenapa pula?”
“Kan saya dah hantar dua jambangan bunga pada Hijjaz.” Daniel melirik nakal. Gadis itu tertawa besar. “Terima kasih kerana bunga tempohari. Cantik bunga tu.”
“Hijjaz suka?”
“Suka sangat.”
“Kalau macam tu saya hantarkan hari-hari mahu?”
Nurul Hijjaz tidak menjawab. Dia serba-salah. Kenapa dengan lelaki ni? Apa sebabnya nak menghantar bunga hari-hari pada aku pulak?
“Diam tu tanda setuju kan?” Daniel mengusik apabila dilihatnya Nurul Hijjaz membisu tiba-tiba. Dia menatap wajah Nurul Hijjaz dalam-dalam. Aneh! Setiap kali menatapnya, terasa tak mahu lepas dari pandangan matanya.
“Oh ya, ada sesuatu yang lain yang saya nak khabarkan pada Hijjaz.” Daniel menukar topik apabila dilihatnya gadis itu seperti malu-malu.
“Apa dia?”
“Fasal cadangan untuk melantik Krafria Galeria sebagai wakil pembekal barang-barang hiasan. Kami dah bermesyuarat dan…” Daniel sengaja berhenti. Dia mahu melihat reaksi gadis itu.
“Encik Daniel setuju?” Nurul Hijjaz tidak sabar-sabar lagi ingin tahu. Tapi apabila melihat airmuka Daniel yang keruh, dia tahu pasti syarikatnya gagal mendapatkan kontrak itu. Bosnya pasti kecewa.
“Sorry Hijjaz, saya dah cuba menyakinkan ketua-ketua bahagian tapi mereka tetap berkeras. Mereka kata ada syaratnya kalau syarikat Hijjaz tu mahukan kontrak tu.” Ujar Daniel.
“Apa syaratnya?” Balas Nurul Hijjaz, sudah tidak bersemangat.
Daniel merenung Nurul Hijjaz dalam-dalam. Wajah gadis itu nampak muram. Tentunya kecewa dengan berita yang disampaikannya.
“Mereka kata…Hijjaz kena panggil saya Daniel, baru mereka setuju.” Daniel tergelak. Dia sudah ketawa terkeheh-keheh
Nurul Hijjaz tercengang. Dia memandang lelaki di hadapannya. Melihat reaksi Daniel, Nurul Hijjaz turut tegelak. Sah dia dipermainkan lelaki itu..
“Encik Daniel!” Nurul Hijjaz terjerit kecil.
“Ha masih panggil Encik Daniel lagi. Nanti saya batalkan kontrak baru tahu,” ugut Daniel separuh bergurau.
Nurul Hijjaz tergelak besar. Sampai hati lelaki itu bergurau sampai begitu sekali. Baru senang sedikit hatinya mendengar khabar gembira itu. Sudah terbayang wajah Syed Hambali yang pastinya akan gembira dengan perkhabaran yang baru mereka terima.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!