Followers

Friday, August 27, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 30

TEPAT jam lapan malam dia sudah sampai di perkarangan rumah dua tingkat itu. Sebaik keluar dari keretanya, Hazril terlihat Doktor Badrul sudah menunggunya di depan pintu. Wajah lelaki itu nampak ceria menyambut kedatangannya. Mereka berpelukan beberapa saat sebelum tubuhnya dilepaskan. Dia hanya mampu ketawa diperlakukan begitu. Dia tahu lelaki itu menyayanginya.

“Jom kita masuk, pakcik dah masak menu special hari ni untuk kamu.”

“Pakcik masak sendiri?” Hazril mengerutkan dahinya.

“Habis siapa nak masak? Rumah pakcik ni mana ada orang gaji. Nak harapkan Irina, tak berasaplah dapur tu.” Doktor Badrul tergelak kecil.

Tergaman Hazril melihat lauk pauk yang terhidang di atas meja makan. Ayam masak merah, ikan terubuk bakar, semangkuk besar tomyam campur serta sambal udang benar-benar nampak menyelerakan. Siap dengan sedulang ulam pegaga dan ulam raja bercicahkan sambal belacan. Semuanya nampak enak dan menyelerakan.

“Betul pakcik masak semua ni?” Hazril bagaikan tidak percaya.

“Siapa lagi bang, papa memang pandai masak selama ni. Takkan abang tak tahu.” Tiba-tiba muncul Haikal dari suatu arah. Hazril terpanar sebentar.

“Eh bila Boy balik? Kata pakcik, Boy bercuti ke Langkawi dengan kawan-kawan.” Sapa Hazril pada anak muda di hadapannya.

“Petang tadi baru sampai.”

“Ada buah tangan untuk abang?” Tanya Hazril.

“Mestilah ada. Nanti Boy ambilkan.” Belum sempat Haikal bergerak, Doktor Badrul sudah berdehem.

“Hah nak ke mana tu? Tak payah, kita makan dulu. Papa dah lapar tunggu abang Hazril kamu ni.” Larang Doktor Badrul.

Hazril dan Haikal saling berpandangan. Lantas kedua-duanya tertawa. Gelihati melihat Doktor Badrul yang sudah pun duduk sambil menyenduk nasi ke pinggannya.

“Tak tunggu Rina sekali?”

“Tak payahlah, kita makan dulu. Karang kalau tunggu, entah pukul berapa pulak nak makan. Dua tiga hari ni dia selalu balik lambat, katanya nak buat persiapan untuk majlis perasmian majalah baru tu. Apa ke namanya entah,” Ujar Doktor Badrul.

“Malaysian’s Week.” Sampuk Haikal.

“Itu projek terbaru Pelangi Raya. Kami nak buat majlis perasmian besar-besaran. Perasmian nanti pakcik dan Haikal datang sekali ya.” Pelawa Hazril.

“Insya Allah,” Doktor Badrul mengangguk.

Setelah selesai makan, Hazril menyertai Doktor Badrul ke arah kerusi rehat di halaman rumah. Mereka asyik berbual-bual sambil menikmati kopi panas buatan tangan Haikal.

“Fuh dah lama tak makan macam ni, berselera betul saya. Air tangan pakcik memang best.” Puji Hazril.

Doktor Badrul sekadar tersenyum. Dia memerhatikan Hazril yang sedang ralit menghirup kopi di tangannya. Bibirnya bergerak-gerak. Ada sesuatu yang mahu disampaikannya pada Hazril, tapi entah dari mana dia patut bermula.

“Aliya macamana?” Pertanyaan itu terlontar keluar tanpa disengajakan.

Hazril berpaling. Bibirnya melakar senyuman tipis.

“Dia sihat.” Sepatah sahaja yang keluar dari mulut anak muda itu.

“Pakcik dengar dia buat praktikal di Perkasa Budi. Betul ke?”

Hazril mengerutkan dahi. Macamana lelaki itu tahu? Seingatnya dia jarang bercerita dengan Doktor Badrul perihal Aliya.

“Boy yang beritahu,” Ujar Doktor Badrul seolah-olah tahu apa yang difikirkan oleh Hazril.

“Boy?” Hadzril semakin hairan.

“Tuhan tu Maha Berkuasa. Walaupun kita banyak berahsia tentang Aliya, tapi siapa sangka rupa-rupanya mereka berkawan baik. Kamu ingat lagi sewaktu Aliya dihantar ke hospital tempohari? Sewaktu kemalangan tu, Boy ada bersama-sama Aliya. Dia yang hantar Aliya ke hospital.” Beritahu Doktor Badrul.

Hazril tergaman mendengar cerita Doktor Badrul. Selama ini dia tahu Haikal berada di universiti yang sama dengan Aliya. Tapi dia tidak sangka pula mereka boleh bertemu kerana kedua-duanya tidak berada di dalam fakulti yang sama.

“Boy tahu hal ni?”

Doktor Badrul menggelengkan kepala. “Baik Boy atau Irina, kedua-duanya masih tak tahu apa-apa. Tapi pakcik tak berapa selesa nak merahsiakan hal ini selama-lamanya dari pengetahuan mereka, Ril. Merahsiakan sesuatu dari pengetahuan orang yang kita sayang, sama seperti kita tidak mempercayai mereka. Perit rasanya.” Luah Doktor Barul.

Hazril terdiam. Dia akui kata-kata Doktor Badrul ada benarnya.

“Bila kamu bercadang nak beritahu Aliya perkara sebenarnya?”

“Saya bukannya tak mahu beritahu dia pakcik, cuma saya tak tahu bagaimana caranya. Saya takut kalau saya berterus-terang sekarang, Aliya takkan dapat menerima semua ini. Saya tak nak lukakan hati dia pakcik.”

Selama ini bukan dia tidak risau, bukan dia tidak pernah bimbang untuk menerangkan letak perkara sebenarnya pada Aliya. Sepanjang masa dia asyik memikirkannya. Seboleh-bolehnya dia mahu gadis itu memahami dengan sebaik-baiknya. Dia risau jika tersilap langkah, Aliya akan pergi jauh darinya.

“Ada satu lagi perkara pakcik perlu beritahu kamu.”

Hazril memandang Doktor Badrul. Menanti buah bicara yang ingin disampaikan lelaki itu dengan penuh sabar.

“Petang tadi, ada seorang jururawat beritahu pakcik, dia nampak ada seorang gadis berdiri di hadapan bilik pakcik. Katanya ini bukan kali pertama dia nampak gadis itu.” Ujar Doktor Badrul.

“Maksud pakcik?”

Doktor Badrul menghela nafas panjang. “Gambaran yang diberi oleh jururawat itu kelihatan seperti Aliya.” Lambat-lambat Doktor Badrul menyebutnya.

Hazril tergaman. “Aliya? Pakcik pasti?”

Doktor Badrul mengeluh. “Kemungkinan besar memang dia Ril. Pakcik rasa Aliya masih ingatkan pakcik. Lagipun dia bukannya terlalu kecil untuk lupa setiap wajah yang pernah dilihatnya ketika itu.”

Hazril terdiam. Kalau benarlah Aliya yang dilihat oleh jururawat itu, apa dia buat di sana? Ingin bertemu Doktor Badrulkah? Tapi untuk apa?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!