Followers

CINTA BUKAN LARANGAN - 2014 ( Limited Edition Only)

CINTA BUKAN LARANGAN - 2014 ( Limited Edition Only)
Ekslusif dan tidak dijual di kedai buku, hanya di blog dan fb penulis sahaja :untuk memesan : email arr_nita@yahoo.com/ FB : Anita Aruszi

BLURB CINTA BUKAN LARANGAN (New)

Tajuk : Cinta Bukan Larangan
Penulis : Anita Aruszi
Harga : RM32.90
Penerbit : GN Publishing
ISBN : 978-967-10425-3-3
M/s : 803ms
Genre : Cinta dan Kekeluargaan

Tagline
Cinta Ini Terlarang..
Ibarat Buah Khuldi Yang Haram Disentuh Adam…

Diaz dan Dina Azura, dua adik beradik yang membesar bersama tetapi tidak pernah sebulu. Ada sahaja yang tidak kena di hati Diaz yang terang-terangan membenci Dina Azura di dalam hidupnya. Sehingga ke satu tahap, dia cuba merogol gadis itu angkara kemarahan yang terpendam di lubuk hatinya. Namun tindakan itu telah merubah segala-galanya dalam hidup mereka. Kerana kesal dengan tindakannya, dia mengambil keputusan melarikan diri ke luar negara. Namun tindakan itu tidak mampu meluputkan setiap dosa yang dirasakannya terhadap Dina Azura.

Sepuluh tahun kemudian, Diaz pulang ke tanahair dan bekerja dengan Alma Katherine, seorang ahli perniagaan berjaya. Namun dia tidak berani berhadapan dengan Dina Azura angkara malam jahanam itu. Tapi takdir menemukan mereka semula untuk menyusun kepingan-kepingan puzzle dalam hidup mereka. Tapi masihkah ada benci di hatinya atau segala-galanya telah berubah?

Bagi Dina Azura, dia tidak pernah membenci Diaz. Malah takkan mungkin membenci lelaki itu. Sejak kecil dia mengagumi Diaz, sehinga adakala dia terseksa kerana dibenci tanpa sebab. Malah seluruh jiwanya terseksa kerana selama ini dia menyimpan rahsia yang tidak mampu diceritakan kepada sesiapa. Isi hatinya takkan mampu diluahkan lantaran dia sedar betapa besar dosanya mencintai abang sendiri.

Perkenalan Dina Azura dengan Johan telah menyemat cemburu di hati Diaz tanpa disedari. Hubungannya dengan Dina Azura adalah sebuah hubungan yang takkan mungkin. Mereka tidak mungkin bercinta. Tidak mungkin bersama sama. Tidak mungkin untuk segala-galanya. Tidak mungkin untuk selama-lamanya. Kerana itu Diaz menahan diri. Dan bila Johan hadir di antara mereka, segala-galanya yang tidak mungkin itu bukan lagi satu halangan. Diaz nekad mahu membetulkan segala-galanya. Tapi rahsia yang disimpannya selama 15 tahun itu hanya akan melukakan hati ramai orang. Bolehlah dia menjaga hati ramai orang dan membiarkan hatinya sendiri dilukai? Mampukah lagi dia menyimpan rahsia ini dari pengetahuan Dina Azura sedangkan gadis itulah yang paling mahu dilindunginya?


Abang jangan judge orang dengan hanya memandang luaran sahaja. Sekurang-kurangnya
Johan sanggup pertahankan maruah adiknya dari lelaki-lelaki tak guna tu. Dia seorang abang yang baik – DINA AZURA

Johan baik? Jadi abang lelaki jahat? – DIAZ HAFIZI

Saya cuma nak awak pilih antara saya dan Diaz. Dan berhenti menyakiti hati saya seperti ini Dina – JOHAN


Wednesday, December 25, 2013

Lelaki Itu..Syurgaku - Bab 1


SETIAP manusia di dunia ini pasti memiliki sebuah kisah cinta. Tidak kisahlah jika ianya seindah pelangi atau sepahit hempedu. Tidak ada manusia pun di dunia ini yang diberi hati untuk tidak merasai cinta. Di mana-mana sahaja tempat di dunia ini, cinta itu sentiasa wujud. Seorang manusia mati dan rohnya meninggalkan jasadnya, namun tidak cintanya. Kerana cinta tidak akan pernah mati. Malah tiada sebarang sempadan wujud untuk mengukur seluas mana lautan cinta.

“Ke mana sahaja abang pergi. Jika abang tak boleh ikut Orked, biar Orked ikut abang boleh?”

            Dia memejamkan mata seraya mengeluh. Kata-kata itu kerap meletus di fikirannya sejak akhir-akhir ini. Dia tersenyum hambar. Bohong! Tak mungkin dia boleh mengikut lelaki itu pergi ke tempat yang tak mungkin mampu dia sampai. Tidak selagi dia masih hidup. Tapi dia sendiri hairan, sampai sekarang dia masih mampu bertahan meskipun dia pernah mengatakan tidak mampu hidup tanpa lelaki itu.

            He’s dead Orked. Apa lagi yang kau tak faham?” Suara Arida pula muncul. Teman baiknya itu orang yang paling tidak mampu menerima keadaan dirinya yang tidak terurus selepas majlis pengebumian Idlan berakhir. Dan setelah setahun berlalu, dia masih tidak terurus. Masih hidup dalam dunianya sendiri tanpa pernah ambil peduli hal-hal di sekelilingnya. Semua yang penting dahulu di dalam hidupnya sudah tidak bererti apa-apa lagi sekarang ini.

            Apa gunanya kau mencintai orang yang sudah mati? Untuk apa sakiti diri begini untuk dia?” Arida sentiasa tidak jemu-jemu bertemu dan memujuknya. Hanya dia yang tetap berdegil, memekakkan diri dengan setiap nasihat yang terlontar dari bibir temannya.

            “Dah dekat setahun dah dia meninggal. Orang mati takkan hidup kembali Orked. Tolong sedar sedikit boleh tak?” Getus Arida agak kasar.

            Sekali lagi dia membuang pandang ke arah gadis di hadapannya yang bermulut agak lancang hari itu.

            “Kalau kau datang hanya nak sakitkan hati aku, baik kau balik aje Ari.” Dia membalikkan tubuh. Matanya terperosok pada sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain buaian jongkang–jongket di kawasan taman itu.

            Arida mengeluh panjang. Melihat sikapnya yang acuh tak acuh, gadis itu seolah-olah sudah kehabisan ikhtiar. Perlahan-lahan Arida bangun dari bangku kayu yang mereka duduki. Pandangan gadis itu mengarah tepat ke arahnya.

            “Aku memang nak balik pun, tapi aku tak sanggup tengok kau macam ni. Bila dia meninggal, kau langsung tak menangis. Kenapa?”

            “Sebab dia belum mati dalam hati aku! Puas hati?” Herdiknya tanpa disedari. Suaranya yang meninggi membuatkan Arida bungkam tanpa sebarang kata. Tiba-tiba perasaannya bercelaru. Meninggi suara dengan Arida bukan niatnya sama sekali.

            “Maaf Ari, aku tak sengaja.” Ujarnya kesal.

            Arida hanya diam.

            “Katakan sahaja aku perempuan gila atau bodoh. Tapi tidak ada sesiapa pun faham perasaan aku pada dia. Dia lelaki pertama yang datang menyelamatkan aku di saat-saat aku perlukan pelindungan. Dia yang damaikan hati aku setiap kali aku susah hati. Dia juga yang berjaya buatkan aku ketawa ketika bibir aku tak mampu untuk tersenyum. Dialah segalanya Ari. Dan bila Tuhan mengambil dia dari aku, aku merasa Tuhan telah mengambil nyawa aku sekali. Hati aku dah jadi kembali kosong. Dan hati yang kosong ini tak mampu menangis lagi bila setiap malam aku mengharapkan dia kembali.” Bisiknya mengharapkan agar gadis itu faham dan mengerti perasaannya.

            Nafas Arida mendesah perlahan. Gadis itu menggeleng-gelengkan kepalanya.

            “Kau kata dia segala-galanya bagi kau. Habis Emery macamana? Apakah dia langsung tidak penting sampai kau tak nak jenguk dia langsung? Kau sedar tak yang Emery kemalangan pada malam  Idlan meninggal?” Tanya Arida kesal.

            Dia terdiam mendengar nama Emery meniti dari bibir Arida. Wajah lelaki itu segera terbayang di ruang mata.

            “Emery, dia..dia macamana?”

            “Aku tak tahu. Lepas kemalangan tu, aku dengar dari Profesor Omar yang Emery ke luar negara sambung belajar.” Ujar Arida.

            Dia kaget. Emery ke luar negara sambung belajar? Kenapa lelaki itu pergi? Kerana akukah? Entah kenapa timbul perasaan sebegitu di fikirannya.

            “Aku rasa lebih baik dia pergi sahaja. Duduk kat sini pun apa yang dia boleh buat? Kau pun tak pernah ambil kisah fasal dia.” Ujar Arida mengeluh.

            Dia terdiam mendengar kata-kata Arida.

            Arida tiba-tiba membuka tas tangannya. Sekeping sampul surat dikeluarkan dari dalam beg tangan lalu dihulurkan padanya. Dia mendongak ke arah gadis itu dengan wajah berkerut.

            “Apa ni?”

            “Tiket kapal terbang.” Sahut Arida selamba.

            “Untuk apa?”

            “Aku nak kau ambil tiket tu dan pergi tenangkan fikiran. Buatlah apa sahaja yang kau suka asalkan kau kembali ke sini sebagai Orked yang aku kenal dulu.” Ujar Arida dengan wajah rungsing.

            Dia terpempan melihat susuk tubuh Arida yang beredar pergi meninggalkannya. Sebaik kelibat gadis itu menghilang, dia merenung sampul surat di tangannya. Tanpa disedari, dia sudah merungkai sampul surat tersebut lalu mengeluarkan isinya. Sekeping tiket kapal terbang tidak bertarikh serta cek di atas namanya sebanyak RM20,000 ditatap dengan wajah bingung. Di celah-celah tiket kapal terbang tersebut, terdapat sekeping memo kecil tulisan tangan Arida.

 

Orked…

Tiket dan cek itu sebenarnya diserahkan oleh Idlan beberapa minggu sebelum dia terlantar di hospital. Dia nak aku serahkannya pada kau. Jangan ditanya kenapa baru sekarang aku serahkannya pada kau. Kenapa bukan setahun yang lalu? Ini adalah permintaan Idlan sendiri. Hargailah peluang ini Orked. Carilah kekuatan kau yang lalu.

                                                                                                                         - Arida –

            Dia terkedu. Titis-titis airmata mula mengalir laju menuruni cerun pipi. Hatinya terperuk duka menatap tiket kapal terbang dan cek yang masih panas di tangan. Idlan! Sehingga saat ini pun, lelaki itu masih risaukan keadaannya. Lelaki itu masih ingin menghiburkan dukanya saat dia tidak mampu menerima kehilangan. Idlan Riyaz, aku tak perlukan duit sebanyak ini. Tidak perlukan apa-apa pun selain dirimu! Rintih Orked sebak.

*  *  *  *

PENGUMUMAN yang bergema di kawasan lapangan terbang KLIA itu mengganggu lamunannya. Panggilan terakhir untuk perjalanan ke Milan berkumandang melalui interkom. Di saat-saat akhir dia menukar fikiran dan bersetuju untuk mencari sekelumit ketenangan dirinya di daerah asing yang tidak sesiapa pun mengenalinya. Mungkin ini cara terbaik untuknya!

            “Orked nak ayah hantarkan?” Dia teringatkan perbualannya dengan ayahnya malam semalam. Lelaki itu kelihatan terkejut apabila dia yang sudah lama tidak menghubungi rumah akhirnya ada khabar berita.

            “Tak payahlah. Orked cuma nak beritahu ayah pemergian Orked.”

            “Jaga diri di tempat orang ya sayang.” Pesan lelaki itu.

            “Auntie Maria macamana?”

            “Dia macam tu lah. Orked tak payah risau fasal dia. Ayah akan jaga dia baik-baik. Yang ayah risaukan hanyalah Orked.”

            Dia terdiam mendengar bicara si ayah. Sampai sekarang lelaki itu masih risaukan dia. Tuan Rahman juga sering menghubunginya setiap masa sehinggakan dia merasakan mereka semua bimbang dia akan membunuh dirinya.

            Dia bangun dari kerusi yang didudukinya lalu mengeluarkan pas berlepas dari dalam saku bajunya. Ketika dia mahu mencapai beg sandangnya dan beratur di laluan pintu berlepas, sesusuk tubuh lewat di hadapannya sambil mengheret sebuah troli bagasi. Dahinya berkerut memerhatikan belakang lelaki itu. Cara lelaki itu bergerak, cara lelaki itu melangkah, entah kenapa tak ubah seperti Idlan. Untuk seketika dia terpaku seperti patung. Matanya asyik mencari-cari kelibat lelaki itu.

            Seorang lelaki separuh usia yang turut beratur selang dua orang di hadapannya tiba-tiba terjatuhkan beg sandangnya. Kelam kabut lelaki tua itu mengutip barang-barangnya yang terjatuh. Lelaki di sebelahnya turut membantu.

            Dia ralit memerhatikan insiden di hadapannya itu. Bukan orang tua itu yang menarik minatnya, bukan juga barang-barang lelaki tua itu yang menjadi perhatiannya, sebaliknya matanya tak berganjak pada lelaki yang sedang membantu lelaki tua itu. Lelaki yang mempunyai susuk tubuh seperti Idlan Riyaz.

Hatinya entah kenapa mengharapkan lelaki itu berpaling ke arahnya meskipun hanya sebentar. Dan bagaikan tahu apa yang bermain di fikirannya, lelaki itu benar-benar berpaling. Keinginannya seakan termakbul tapi serentak wajahnya bertukar kaget. Tubuhnya mula mengigil.

Ya ALLAH! Tak mungkin dia! Hati kecilnya tak sudah-sudah mengatakan begitu, sedang matanya asyik memerhatikan lelaki di. Paling mengejutkannya lelaki itu menaiki penerbangan yang sama dengannya!

*  *  *  *

KETIKA lelaki itu mengambil tempat duduk di kelas ekonomi, dia cepat-cepat melajukan langkah. Dia tidak ingin lelaki itu menyedari kehadirannya. Namun nasibnya malang apabila seorang wanita bersama anak kecil yang berada di hadapannya tiba-tiba berhenti mendadak. Sebelah tangan wanita itu memegang anak kecil berusia dalam lingkungan 2 tahun, manakala sebelah tangan lagi terkiai-kiai mahu membuka ruang penyimpanan barang di atas kepalanya.

            Melihat keadaan itu, dia tidak sampai hati membiarkan sahaja.

            “Kak, saya tolong?” Ujarnya menawarkan bantuan. Wanita itu berpaling. Memandangnya seketika sebelum memberi laluan. Dia segera membuka ruangan penyimpanan di atas kepalanya lalu menyimpan beg-beg kecil wanita itu.

            “Terima kasihlah dik, baik hati adik ni.” Wanita itu tersenyum manis. Dia turut melemparkan senyuman seraya mengangguk. Sebaik wanita itu selesai mengambil tempat duduk, dia meneruskan langkah yang tergendala sebentar tadi. Tapi kakinya entah kenapa tiba-tiba menggeletar. Pandangan itu dan renungan itu tumpah ke wajahnya. Benar-benar mirip dengan Idlan. 

            Dia menelan liur, sedikit gugup. Tapi dengan wajah selamba dia meneruskan langkah seraya cuba mencari tempat duduknya sendiri. Dia mendongak memerhatikan nombor-nombor yang berada di atas kepalanya. Jumpa! Dia sempat berpaling. Lelaki itu sedang ralit membaca akhbar The Star. Tapi tempat duduk mereka walaupun berlainan tapi tetap berhampiran. Mahu tak mahu, dengan perasaan resah dan tidak menentu, dia mengambil tempat duduknya.

            Matanya dilarikan dari susuk lelaki itu. Enggan memandang lelaki itu lama-lama, lantaran bimbang hatinya yang cuba diubati akan luka parah semula. Bukankah perjalanan ini sekadar mahu memuaskan hati Arida dan cuba untuk mengubat luka di hatinya sendiri?

            Seorang lelaki bertubuh agak gempal tiba-tiba bercakap seketika dengan lelaki seiras Idlan itu. Sesekali lelaki bertubuh gempal itu menunjuk-nunjuk ke arahnya. Dia jadi resah dan dalam masa yang sama tertanya-tanya kenapa lelaki itu menoleh ke arahnya. Sejurus kemudian dia mulai sedar, rupa-rupanya lelaki bertubuh gempal itu mahu bertukar tempat duduk dengan lelaki itu. Dan malangnya tempat itu adalah di sebelah kerusinya sendiri. Ya ALLAH! Not here! Not right now! Tapi lelaki itu sudah pun menuju ke arahnya Dia gugup! Tubuhnya langsung mengeras.

            Sorry, saya kena tukar tempat dengan lelaki tu. Dia nak duduk sebelah wife dan anak dia.” Ujar lelaki itu seraya terus duduk di sampingnya tanpa memberinya ruang dan kesempatan untuk berfikir.

            Tubuhnya semakin mengeras. Sebarang pergerakan, sebarang bunyi tidak berani dihasilkan. Matanya menjeling lelaki di sampingnya yang kelihatan selamba dan santai dengan jaket denim dan jeans. Beg sandang kecil yang dibawanya hanya dipegang di atas riba. Matanya diam-diam beralih ke arah wajah lelaki itu. Setiap lekuk dagu, bentuk wajah, bibir, hidung dan mata lelaki itu diteliti dengan penuh perhatian. Nafasnya berlagu kencang. Debaran yang sama dirasainya tatkala dia berada di samping Idlan.

            Lelaki itu tiba-tiba menoleh. Merenung dirinya yang tidak sempat mahu melarikan anak matanya. Dia terkedu. Perasaan serba salah muncul kerana merenung lelaki itu seperti sekarang. Tapi dia tidak dapat menahan dirinya. Dia tidak mampu melupakan perasaan yang sama yang pernah dirasainya terhadap lelaki itu dahulu.

            “Awak tak apa-apa?” Lelaki itu bertanya.

            Dia menggelengkan kepala.

            “Awak nampak pucat. Betul ni awak tak apa-apa?” Soal lelaki itu bertalu-talu. Renungan itu menular ke wajahnya dengan riak aneh. Dia cepat-cepat mengalihkan anak matanya ke luar jendela. Melarikan wajahnya dari terus diperhatikan, sekaligus mengalihkan matanya dari terus memandang wajah lelaki itu yang membuai perasaannya. Yang pasti dia sedar, lelaki itu bukan Idlan. Bukan cinta yang dinanti-nantikannya selama ini. Lelaki itu hanya satu ilusi yang dihantar oleh ALLAH untuk mengubat kerinduan yang dirasakannya selama ini.

            Saya Raimi.” Ujar lelaki itu seraya menghulurkan tangannya. Senyumannya ramah dan ceria.

Orked menelan liur berkali-kali. Raimi? Jadi betullah lelaki itu bukan Idlan Riyaz! Kenapa apabila lelaki itu menyebut namanya, separuh dari hatinya masih ingin mendengar nama Idlan disebut? Berhentilah Orked! Berhentilah dari asyik memikirkan Idlan sebelum kau jadi lebih gila!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!