Followers

Saturday, March 27, 2010

Mitos Cinta Suria - Prolog1

Perairan Laut Cina Selatan- Tahun 1458

Ombak laut selatan memukul badan kapal berkali-kali, menyebabkan bahtera kapal yang agak besar dan memuatkan hampir ratusan orang itu kelihatan teroleng-oleng ke kiri dan ke kanan. Hujan turun mencurah-curah. Lebat dan menyejukkan. Meskipun fenomena alam itu dianggap satu perkara biasa lebih-lebih lagi bagi seorang pelayar, namun di hati setiap orang muncul perasaan bimbang. Apatah lagi isi perut kapal itu terdiri dari rombongan penting yang mahu menuju ke Selat Melaka.

Angin Laut Cina Selatan sememangnya bergerak agak kencang dari biasa. Seorang lelaki mendongak ke dada langit. Imbas matanya bagaikan cuba membaca petanda dari petala langit. Manakala hatinya tak putus-putus berdoa agar perjalanan mereka ini selamat dari bala dan bencana.

“Tun….”panggil suatu suara dari arah belakang. Lelaki itu menoleh. Seorang lelaki Cina berpakaian persalinan melayu lengkap dengan tanjak dan keris melangkah ke arahnya. Dia tunduk tanda hormat. Namun lelaki itu cepat-cepat menegah.

“Tidak usah Tun, hamba bukannya orang penting. Hamba sama seperti tuan hamba, seorang utusan.” Ujar lelaki itu dengan bahasa melayu pelat. Tun Perpateh Puteh tersenyum. Mengenali lelaki itu sama seperti dulu, sentiasa merendah diri. Hatinya yang tadi gusar terasa sedikit tenang.

“Cuaca malam ini nampaknya tidak begitu baik.” Lelaki bermata sepet itu mendongakkan wajahnya pula. Tun Perpateh Puteh terpinga-pinga. Dia lantas mengikut perilaku lelaki itu.

“Angin bertiup kencang dari sebelah utara. Kemungkinan besar pelayaran kita kali ini akan menempuh kesukaran datuk.” Ujar Tun Perpateh Puteh.

Laksamana Cheng Ho mengeluh panjang. Dia mengalihkan matanya ke arah beberapa buah kabin yang tertutup. Salah satu kabin tersebut didiami oleh puteri Dinasti Ming yang mahu dihantar ke Melaka untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka. Atas dasar hubungan diplomatik, Maharajah Ketujuh Dinasti Ming iaitu Maharaja Ming Jing Zhon berkenan mahu mengahwinkan puterinya dengan Sultan Mansur Syah untuk mengukuhkan hubungan antara Cina dan Melaka yang masyur di mata dunia. Malah Sultan Mansur Syah telah menitahkan seramai 500 pengiring diminta mengiringi kedatangan Li Po dari Cina ke Melaka diketuai oleh Tun Perpateh Puteh sendiri yang menjadi kepercayaan baginda.
“Kapal pecah! Kapal pecah dilambung ombak!” Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi riuh rendah jeritan anak-anak kapal dari bahagian dek. Tun Perpateh Puteh dan Laksamana Cheng Ho segera meluru ke bidai kapal. Pandangan ke dua-duanya dilontar ke arah permukaan air yang berombak-ombak. Melihat bangkai badan sebuah kapal terapung-apung di lautan, kedua-duanya tergaman.

“Apa sudah jadi?” Tun Perpateh Puteh tertanya-tanya. Kapal dipukul ribut atau dilambung ombak ganas?

“Tengok tuan hamba, ada seorang perempuan terapung-apung di lautan.” Laksamana Cheng Ho terjerit kecil lalu menunjukkan ke suatu arah. Tun Perpateh Puteh segera menoleh. Dia terlihat kelibat tubuh seorang wanita yang sedang mengapai bahagian badan kapal yang sudah pecah sebagai pelampung. Tun Perpateh Puteh segera mengarahkan pengikut setianya Gimbang untuk menyelamatkan wanita itu. Tanpa bertangguh Gimbang segera terjun dari kapal itu.

Bunyi riuh rendah di pelantar dek menarik minat Puteri Li Po dan dayang-dayang pengiringnya untuk menjengah. Namun dia tidak berkata apa-apa apabila orang-orang Tun Perpateh Puteh membawa naik seorang perempuan muda. Apatah lagi dia sendiri tidak faham bahasa pertuturan orang-orang laut itu.

Wanita muda itu dibaringkan di sebuah kabin. Wajahnya luka-luka dan dia kelihatan tidak sedarkan diri. Puteri Li Po meminta agar Laksamana Cheng Ho membenarkan dia merawat wanita muda itu sehingga sembuh.

“Tuan puteri mahu merawat wanita ini sendiri.” Ujar Laksamana Cheng Ho kepada Tun Perpateh Puteh. Dia sekadar menterjemahkan semula kata-kata Puteri Li Po. Tun Perpateh Puteh hanya mengangguk. Dia tidak kisah dengan permintaan puteri Cina itu sementelah lagi dia sendiri kekok mahu menguruskan wanita muda yang entah dari mana datangnya.

* * * *

Beberapa hari setelah wanita itu mula terjaga dari lena, Tun Perpateh Puteh segera menemui wanita tersebut diiringi oleh Laksamana Cheng Ho. Dia berminat ingin tahu siapakah sebenarnya wanita itu dan apa yang telah terjadi kepada kapal itu sebenarnya.

“Nama kita Mahira.” Ujar wanita itu. Panggilan ‘kita’ yang digunakan oleh wanita itu membuatkan Tun Perpateh Puteh percaya wanita itu bukan berasal dari keluarga sebarangan. Malah pakaian yang dipakainya juga diperbuat dari bahan sutera.

“Apakah cik puan menaiki kapal yang pecah itu?” Soal Tun Perpateh Puteh ingin tahu. Panggilan Cik Puan digunakannya sebagai tanda hormat untuk seorang wanita bangsawan. Wanita itu mengerutkan dahinya seraya menggeleng.
“Kita tidak tahu.” Dia menafikan.

“Lantas apa sebenarnya yang berlaku? Bagaimana kapal yang membawa cik puan boleh berkeadaan begitu? Onar apa yang membuatkan semua ini terjadi? Di mana juragan yang mengemudi kapal?” Pelbagai soalan meletus serentak dari mulut Tun Perpateh Puteh. Laksamana Cheng Ho mengerling lelaki itu dengan ekor mata.

“Kita…kita tidak tahu.” Wanita itu menggelengkan kepala dengan wajah resah. Dahi kedua-dua lelaki itu serta-merta berkerut. Hairan dengan jawapan wanita itu.

“Masakan Cik Puan tidak tahu apa-apa.” Kata-kata Tun Perpateh Puteh bagaikan menyindir saja lagaknya. Wanita itu termenung panjang. Matanya terjerumus pada wajah kedua-dua lelaki di hadapannya silih berganti. Dia cuba mengingati apa yang telah terjadi.

“Kita hanya ingat yang kita naik ke kapal tersebut bersama ayahanda dan kekanda kita. Kita mahu berlayar ke Kepulauan Lingga. Tapi dalam perjalanan, ribut menyerang. Kapal kita dipukul ribut menyebabkan seisi anak kapal tercampak ke dasar lautan. Selepas itu kita pengsan dan tidak sedarkan diri. Sedar-sedar sahaja kita diselamatkan oleh kamu semua.” Ujar wanita itu.

Tun Perpateh Puteh dan Laksamana Cheng Ho saling berpandangan. Cerita wanita itu kedengaran aneh. Jika anak-anak kapal karam bersama, mana mayat-mayat yang sepatutnya terapung bersama-sama rangka kapal? Kenapa hanya wanita itu sahaja yang terselamat? Namun masing-masing tidak berani membuat kesimpulan melulu.

Laksamana Cheng Ho berbisik sesuatu kepada Puteri Li Po. Puteri kerajaan Cina itu mengangguk sedikit, lantas turut membisikkan sesuatu kepada lelaki pengembara intelek yang mendapat gelaran Laksamana itu.

“Jika tidak keberatan bagi Cik Puan, tuan puteri mengajak Cik Puan mengiringi beliau ke tanah Melaka. Mungkin di sana, kita boleh mengusulkan kepada Sultan Melaka tentang masalah Cik Puan dan meminta satu gerombolan mengiringi Cik Puan pulang semula ke kampung halaman.” Ujar Laksamana Cheng Ho agak berhati-hati. Percakapan lelaki itu meskipun agak pelat namun penuh berhemah.

Wanita itu bersetuju dengan saranan yang disebut. Perlayaran mereka diteruskan dengan memukat angin ke laluan Selat Melaka dari Laut Cina Selatan. Namun dalam masa yang sama tidak ada seorang pun yang sedar tentang awan gelap yang bagaikan mengekori perlayaran mereka kali ini. Langit kelihatan amat hitam dan berkabus. Cuaca menjadi lebih dingin dari biasa sehingga mencengkam ke tali temulang dan urat belikat anak-anak kapal dan tetamu-tetamu Sultan Melaka.

Salah seorang lelaki yang mengikuti rombongan itu tidak putus-putus memandang ke arah wanita itu. Hati lelakinya berombak resah setiap kali menatap wajah jelita wanita yang diselamatkannya. Sesekali kerlingan wanita itu singgah di wajahnya yang hanya berdiri dua tiga langkah di belakang Tun Perpateh Puteh. Dan setiap jelingan wanita itu bagaikan memantulkan panah asmara ke jiwanya. Gimbang mengaku kalah. Kali ini dia benar-benar sudah hilang kewarasan. Gimbang yang gagah perkasa sudah mulai jatuh cinta!

* * * *

Satu kejadian aneh berlaku di dek pagi tadi. Dua anak kapal yang mengawal di anjung kapal berhampiran dengan kabin Puteri Li Po hilang entah ke mana. Tun Perpateh Puteh sudah puas mengelidah kapal itu untuk mengesan Kamat dan Tamim. Namun semua usaha pencariannya menemui jalan buntu. Dia benar-benar terkilan. Kamat dan Tamin sudah lama mengikutinya. Malah sewaktu dia mula-mula menerima tugas dari Sultan Mansur Syah agar bertolak ke Cina dan membawa Puteri Li Po pulang ke Melaka, kedua orang itulah yang mula-mula menyatakan persetujuan untuk sanggup bersamanya ke Cina.

“Sudahkah kedua orang Tun itu ditemui?” Laksamana Cheng Ho bertanya. Tun Perpateh Puteh hanya menggelengkan kepala. Dia sudah tidak memiliki kudrat untuk menjawab dengan suaranya. Matanya masih merenung kesan titisan darah yang melekat di lantai pelantar kapal. Ada sesuatu yang mengugat perasaannya. Namun entah kenapa, dia hanya berdiam diri. Dia tidak mahu kata-katanya nanti bakal menimbulkan resah di hati anak-anak kapal itu.

Beberapa hari kemudian, seorang lagi anak kapal berketurunan Jawa Barat didapati hilang dari kabinnya. Sekali lagi mereka mengelidah, namun pencarian itu hanya sia-sia belaka. Anak-anak kapal mula merasa tidak sedap hati. Tun Perpateh Puteh sendiri berasa ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku di dalam kapal tersebut.

Suara ketawa dayang-dayang yang saling bergurau senda mengejutkan Tun Perpateh Puteh. Dia menoleh. Namun deretan anak-anak gadis yang menjadi pengiring Puteri Li Po sekadar dipandang sekilas lalu. Matanya lebih tertarik kepada wanita bernama Mahira yang diselamatkannya beberapa hari yang lalu. Mata wanita itu merenung jauh ke laut lepas, bagaikan sedang memikirkan sesuatu. Fikiran Tun Perpateh Puteh mula menyulam syak wasangka. Ada sesuatu tentang wanita itu yang kini tinggal misteri. Dalam ramai-ramai penumpang kapal itu, hanya asal usul wanita itu saja yang mereka tidak tahu. Malah pengakuan wanita itu bahawa dia tidak ingat apa yang berlaku selepas ribut memukul kapal yang dinaikinya menimbulkan curiganya.
Kakinya diatur mahu menuju ke arah wanita itu, namun langkahnya dipintas Gimbang yang muncul dari arah belakang. Melihat Gimbang dan wanita itu berbual-bual, Tun Perpateh Puteh membatalkan hasratnya.

* * * *

Malam itu Tun Perpateh Puteh mengambil keputusan turut sama berjaga malam. Dia mengambil keputusan berkawal di muara kapal yang sunyi sepi. Hanya kelihatan beberapa orang pengawal masih berulang alik di atas dek. Tun Perpateh Puteh sengaja menyembunyikan dirinya di tempat yang agak tersorok.

Beberapa jam berlalu, dia semakin bosan. Tidak ada apa-apa yang aneh berlaku. Dia melihat beberapa pengawal sedang berbual-bual sesama sendiri. Awak-awak kapal yang lain pula sibuk menjalankan tugas masing-masing. Sejak berlaku kejadian kehilangan pengikut-pengikutnya, dia mengambil keputusan menambah pengawal yang berkawal di atas kapal itu.

Dalam leka menanti, Tun Perpateh Puteh terkenangkan isterinya di Melaka. Sudah hampir tiga purnama dia tinggalkan wanita itu bersama anak-anak. Kerinduannya sudah tidak tertanggung. Dia mahu cepat-cepat pulang ke Tanah Melaka. Ketika Sultan Melaka menugaskan dia dan seramai 500 orang pengikut mengiriringi puteri Dinasti Ming itu, dia tanpa banyak soal terus bersetuju. Baginya titah sultan adalah titah junjungan. Harus dipegang dan ditaati selagi kudratnya masih terdaya.

Namun sebagai seorang insan tuhan, dia tidak berdaya melayan rasa rindu pada isteri dan anak-anaknya. Itu sudah lumrah azali yang dibekalkan oleh tuhan dalam diri setiap hambanya.

Tiba-tiba lamunan Tun Perpateh Puteh dikejutkan dengan suatu bunyi. Dia memegang keris yang tersisip kemas di pinggangnya seraya memasang telinga. Bunyi menderam dan dengusan seeperti babi hutan itu semakin kuat kedengaran, seolah-olah ada sesuatu berhampiran dengannya. Tun Perpateh Puteh berdebar-debar. Nafasnya menjadi tidak keruan. Bulu romanya tiba-tiba meremang.

Perlahan-lahan dia memberanikan diri menoleh. Matanya terpandang sesusuk tubuh lembaga berkelubung kain berdiri di tepi buritan kapal. Dahi Tun Perpateh Puteh segera berkerut. Hairan melihat lembaga tak dikenali yang berdiri membelakanginya.

Tuan Perpateh Puteh terus memerhatikan lembaga tak dikenali itu dengan penuh minat. Tiba-tiba lembaga itu menoleh, menyerlahkan seraut wajah yang membuatkan jantung Tun Perpateh Puteh bagaikan berhenti berdenyut. Dia terkesima. Wajahnya hampir terbeliak menatap seraut wajah buruk yang terselindung di sebalik kelubung hitam yang dipakainya. Oh tuhan ! Tun Perpateh Puteh beristighfar panjang. Dia mengagahi diri meskipun badannya terasa longlai seperti mahu pitam.

Lembaga itu memalingkan tubuhnya lalu memandang ke arah bulan yang sedang memancarkan cahaya berkilauan di dada langit. Seorang awak-awak kapal yang kebetulan lalu di situ berhenti sebentar di belakang lembaga itu. Ternyata kehadiran lembaga itu menarik perhatian awak-awak berkulit hitam legam itu.

“Tuan hamba siapa?” Si awak-awak bertanya dengan nada kehairanan. Kepala awak-awak itu meninjau pengawal-pengawal yang tadinya berkawal di situ, kini sudah hilang entah ke mana.

Lembaga itu diam sahaja. Awak-awak mula berasa tidak puas hati.

“Tuan hamba sudah tuli barangkali. Siapa tuan hamba? Apa tuan hamba salah seorang pengiring Tun Perpateh atau orang-orang Datuk Laksamana Cheng Ho?” Soal awak-awak lagi.

Lembaga itu langsung tidak menoleh. Perilaku lembaga itu mengundang kemarahan awak-awak. Dia mengetapkan bibirnya sambil menggumam sesuatu yang tidak jelas kedengaran. Lengan lembaga berkelubung itu dicekak si awak-awak agak kuat. Tapi tiba-tiba dia terpelanting jauh.

Tun Perpateh Puteh yang mengintip dari tempat tertutup terkesima. Awak-awak yang jatuh itu juga tergaman. Lelaki itu segera bingkas bangun dengan pantas. Matanya memancarkan api kemarahan yang sudah tidak tertanggung.

“Celaka kamu!” Bentak awak-awak lalu segera meluru laju ke arah lembaga itu. Tiba-tiba lembaga itu berpaling membuatkan tindakan awak-awak segera terhenti. Mata si awak-awak terbeliak melihat lembaga yang menyeringai di hadapannya menampakkan isi kulit yang sudah merekah dan mengeluarkan cecair kehijauan yang menjijikkan.

“Si…siapa kamu?” Lelaki itu bersuara tergagap-gagap. Kepala lututnya terasa kaku dan kebas. Dia tidak berdaya melarikan diri atau mahu menjerit meminta tolong. Lembaga itu terus menyeringai menampakkan gigi-gigi yang tajam bagaikan bilah pisau. Langkah lembaga itu perlahan-lahan diatur ke arah awak-awak yang semakin diulit ketakutan.

Tun Perpateh Puteh berniat mahu menolong awak-awak itu, namun anehnya kakinya seolah-olah dipaku ke lantai. Dia tidak mampu bergerak. Tiba-tiba dia tergaman apabila melihat batang leher awak-awak malang itu dicengkam oleh sepasang tangan yang pucat sebelum lembaga itu membenam giginya ke leher lelaki yang tak berdosa itu.

Darah lelaki itu memancut keluar. Awak-awak itu meronta-ronta kesakitan sebelum akhirnya tubuh itu semakin lemah dan terkulai layu. Mata awak-awak itu terbeliak dan hampir tersembul keluar. Tun Perpateh Puteh menutup mulutnya. Keberaniannya selama ini dengan sekelip mata bagai terhakis dengan kejadian yang baru disaksikannya. Kini baru dia mengerti mengapa ramai pengawal-pengawal yang mengiringinya hilang begitu sahaja. Pasti mereka semua sudah mati!

Dengan tenaga luar biasa, tubuh awak-awak yang sudah menjadi mayat itu diangkat lembaga itu lalu dihumban ke arah laut. Sisa-sisa darah yang melekat pada lantai kapal di jilat dengan lidahnya yang memanjang. Tun Perpateh Puteh hampir mahu muntah melihat gerak geri lembaga itu. Jika diikutkan hatinya, dia mahu segera melarikan diri dari situ. Namun akal warasnya menegah. Dia harus memerhatikan gerak geri lembaga berkelubung itu sebelum dia mengambil tindakan selanjutnya. Dari pemerhatiannya, lembaga itu masih belum menyedari kehadirannya di situ. Semuanya kerana berkat doanya kepada Allah supaya diberi perlindungan dari ancaman lembaga tersebut.

Selesai menjilat sisa-sisa darah itu, lembaga itu berpaling semula ke arah bulan yang menjadi saksi perbuatannya. Hampir beberapa minit dia mendongakkan wajahnya ke arah bulan terang. Kelubung yang menutup wajahnya disauk ke belakang. Lembaga itu membalikkan tubuhnya.

Tun Perpateh Puteh tersentak lagi. Wajah buruk yang terperosok di dalam kelubung tadi kini sudah bertukar wajah. Wanita itu! Tun Perpateh Puteh menarik nafas panjang berulangkali. Wanita yang mereka selamatkan itu rupa-rupanya bukan manusia. Ya Allah! Makhluk apakah yang kami bawa masuk ke dalam kapal ini? Lindungilah kami semua tuhan!

pic source : link

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!