Followers

Thursday, January 3, 2019

Spy Hati Dari Chantilly (Bab 13)

DIA memerhati bangunan besar di hadapannya agak lama. Struktur bank di hadapannya sama sahaja seperti bank-bank lain. Simbol kancil di hadapan bangunan yang megah di bawah jalur gemilang yang agak besar menarik perhatiannya. Dia membetulkan kaca mata hitam yang dipakainya. Terdapat butang pada penjuru bingkai. Dia menekannya beberapa kali dan imej digital bangunan di hadapannya mula tersimpan dalam kad memori berupa cip yang tersembunyi dalam bingkai kaca mata hitamnya.
“Dapat. Aku akan hantar pada kau,” ujarnya melalui mikrofon di dalam telinga. Sampai pada Aria yang menunggu dalam van tidak jauh dari situ. Suara Aria kedengaran. Menyahut panggilannya.
“Okey bro, aku tengah kerja ni. Nampaknya selepas White Ghost dilumpuhkan, sistem di BNM pun turut lumpuh. Bagaimanapun mereka ada backup plan. Percaya atau tak, mereka guna Manual Lock. Semua data dikumpul secara analog. Aku kesan Flexiguard pada parameter siling. Kau tak boleh masuk melalui ruang udara tanpa mengaktifkan Flexiguard. Sebarang bunyi meskipun kecil akan mencetuskan siren amaran,” ujar Aria.
“Sejak tahun 1971, semua duit-duit Ringgit akan dihasilkan di Malaysia Mint di Shah Alam. Tapi plat wang asal masih disimpan dalam peti bilik kebal di BNM. Kita cuma perlu kesan lokasi bilik kebal tu di mana. Cara masuk, serahkan pada aku,” ujar Tuan Glock.
“Kau yakin?” suara Aria seperti inginkan kepastian.
“Aku akan cari jalan masuk ikut pintu hadapan.” Senyum Tuan Glock.
Aria ketawa kecil. Dia leka menghadap kerangka utamanya. Beberapa jam yang lalu, dia menyamar sebagai pekerja am dan memasuki BNM dengan pas yang dicuri dari seorang pekerja. Tujuannya hanya mahu menyelinap masuk ke dalam bilik server 2M11 dan menyambungkan perkakasannya dengan storan data kapasiti tinggi milik BNM. Beberapa jam kemudian, dia mampu mengawasi semua imej digital yang terhasil dari kamera di ruangan-ruangan BNM melalui kerangka utama miliknya. Itupun dia harus berhati-hati kerana terdapat 9 camera On Net di bilik server yang bertindak sebagai anti intruder.
Sekarang apa yang perlu mereka lakukan, hanyalah menunggu! Melakukan kerja pada waktu puncak kerja bukan tindakan bijak. Lagi-lagi Tuan Glock tidak suka mencederakan sesiapa. Itu yang dipelajarinya tentang lelaki itu apabila dia mengikut lelaki itu 3 tahun yang lalu.
Dua jam kemudian, BNM semakin lengang. Ramai pekerja kolar putih sudah pulang, yang tinggal hanyalah pihak sekuriti dengan jumlah kawalan maksima.
“Bro, kau kat mana?” Aria menghubungi lelaki itu.
Diam. Tidak ada suara. Aria mengerutkan dahinya. Dia yakin frekuensi yang digunakan sama seperti yang digunakan Tuan Glock. Tapi ke mana lelaki itu?

Sejam sebelum - BNM

SEWAKTU Aria sedang sibuk menyelaraskan perkakasnya, dia sudah berada di dalam BNM. Menyamar sebagai salah seorang pelanggan BNM dengan rambut palsu, misai dan cermin mata tebal. Ketika itu dia mengambil kesempatan meninjau tempat itu dan sempat berbual-bual dengan seorang pekerja wanita di situ.
Tidak ada masalah apa-apa kerana wanita yang banyak mulut itu dengan mudah memberi pelbagai maklumat yang dimahukannya. Dan semasa waktu perkhidmatan di BNM hampir tamat, ketika itulah dia menyembunyikan dirinya di dalam sebuah bilik kecil yang digunakan sebagai bilik penyimpanan barang-barang alatan tulis. Hanya bilik itu yang bebas dari sebarang rakaman CCTV.
Ketika dia mendengar suasana hening dan sunyi sepi, barulah dia keluar dari tempat persembunyian. Dia cuba menghubungi Aria, tetapi mikrofonnya seperti terputus hubungan dengan lelaki itu. Beberapa kali dia mencuba tetapi tetap gagal. Nafasnya dihela kasar. Kepalanya mendongak ke atas. Menurut Aria, ada sistem Flexiguard di atas siling di atas kepalanya. Tak mungkin dia boleh menyelinap melalui lubang udara begitu sahaja. Berjalan begitu sahaja ke bilik kebal di sayap kanan bangunan itu hanya akan menempah bahaya.
“Aria, mana kau?” Bisik Tuan Glock. Tanpa pertolongan lelaki itu menjadi mata dan telinganya, sukar dia mahu bergerak ke mana-mana di  dalam bangunan itu. Mahu tak mahu dia menyelinap dengan berhati-hati. Sebentar tadi dia sudah mengira bilangan CCTV yang ada di tempat itu. Cara paling selamat yang mampu dilakukannya ialah berjalan di bawah laras CCTV. Dan setiap kali panel CCTV bergerak, dia akan turut bergerak dan mencari ruang untuk masuk ke ruang antara ruang.
Destinasinya adalah sebuah bilik kebal yang terletak di suatu arah. Di suatu laluan sempit berbentuk anak tangga menyusur ke bawah, dia menemukan apa yang dicari. Bilik kebal BNM yang menempatkan apa yang dimahukan oleh kliennya. Terdapat Vaults Wheel di hadapannya. Namun dia tidak terus melangkah, sebaliknya dia mengawasi keadaan sekitar. Ada sebuah CCTV berhampiran tempat itu. Sepatutnya dengan adanya Aria, semua ini akan jadi lebih mudah, lagi-lagi Operasi White Ghost yang mengawal semua sekuriti-sekuriti di bangunan berprofil tinggi seperti BNM sudah dilumpuhkan sejak awal. Bagaimanapun dia harus berhati-hati agar wajahnya tidak terpampang pada skrin CCTV. Tanpa Aria, dia harus melakukannya sendirian, seperti dulu.
Imej CCTV di atas kepalanya dilencongkan dengan Intruder Transmitter Rod. ITR berupaya menganggu isyarat CCTV menjadikan imej skrin pudar dan berbintik-bintik.
Dengan panel penyahkodan, dia mendapat 2 set kombo nombor untuk bilik kebal di hadapannya.
“30, 11, 98,” bisiknya perlahan. Lega kerana ia hanya memakan masa kurang dari 45 saat.
Dengan berhati-hati dia memulas Vaults Wheel menggunakan set nombor pertama iaitu 3, 1 dan 9. Diikuti dengan set kedua 0, 1 dan 8.
Serentak wheel dihadapannya berpusing secara automatik, membuatkan dia tersenyum senang. Bilik kebal di hadapannya perlahan-lahan terbuka. Dia melangkah masuk ke dalam sebuah ruang sederhana besar berwarna putih dan berlantaikan konkrit setebal dua kaki. Sejuk terasa hingga ke tulang kerana sistem pendingin yang digunakan.
Matanya melilau mencari sesuatu. Ada beratus-ratus peti simpanan di situ. Setiap satunya mengandungi banyak dokumen-dokumen berharga atau mungkin bon-bon bernilai jutaan ringgit. Tetapi matanya lebih tertarik pada sebuah peti simpanan yang kelihatan lebih istimewa diletakkan di suatu sudut bersendirian. Dia membukanya cukup berhati-hati.
Sebaik melihat isinya, matanya semakin bersinar-sinar. Plat wang diperbuat dari logam itu diambil dan diperhatikan. Inilah yang dimahukan oleh klien barunya. Untuk apa sebabnya bukan menjadi urusannya. Dia hanya melakukan untuk sejumlah bayaran yang lumayan. Selebihnya dia tidak mahu skilnya menjadi berkarat jika lama tidak beraksi.
Plat itu disimpan dalam sebuah uncang beg terlilit di pinggangnya. Dia ingin cepat-cepat keluar dari situ. Lebih lama dia di situ maka akan lebih berisiko. Namun ketika dia mahu membelok ke suatu arah, matanya segera terpandang sesuatu. Serta-merta langkahnya dihentikan. Darahnya berderau. Matanya menukas tajam ke arah sesusuk tubuh berpakaian serba hitam sepertinya.
“Kau siapa?” Tanyanya dengan perasaan hairan. Apakah lelaki itu juga pencuri sepertinya? Misi mereka samakah?
Lembaga di hadapannya tidak bersuara. Membuatkan dia mula dicengkam perasaan tidak senang hati.
“Aku tahu kau mencuri plat wang tu. Tindakan kau ini hanya akan membuatkan kau diburu sehingga ke lubang cacing. Serah balik plat itu pada aku.” Pinta lelaki itu.
Dia mengerutkan dahinya. Suara itu agak kasar dan serak. Tapi apa yang lebih menghairankannya, suara itu bukan seperti suara manusia biasa, tetapi lebih kepada suara AI atau Artifisial Inteligen. Dia amat pasti lelaki itu menggunakan alat pengubah suara. Mungkin untuk mengelakkan dari dikenali.
 “Apa yang buat kau fikir aku akan serahkan benda ni?”
Lelaki itu melepaskan keluhan. Berat bunyinya. Sepasang mata lelaki itu menerjah ke wajahnya agak lama.
“Aku tahu kau diupah oleh seseorang untuk mencuri plat wang itu. Siapa pun orangnya, dia akan menyebabkan negara ini mengalami kekacauan dan kejatuhan pasaran saham matawang. Ramai orang akan kehilangan kerja. Banyak perniagaan akan musnah. Itu yang kau mahu Tuan Glock?” soal lelaki itu dengan nada serius.
Dia tersentak. Bukan kerana apa yang dituturkan lelaki itu. Tetapi kerana lelaki itu menyebut nama gelarannya cukup lancar. Bermakna lelaki di hadapannya itu tahu siapa dia.
“Siapa sebenarnya kau?” Tanyanya dengan nada keras.
“Siapa aku tak penting. Anggap sahaja aku seorang kawan yang tak mahu kawannya ditimpa masalah besar. Apa yang kau curi di sini takkan sama dengan The Grand Conde, jauh berbeza dari lukisan Number 19 milik Pollock yang hilang di balai seni Christie’s New York atau lukisan Antonio de Gertrude yang kau curi dari Sotheby’s.”
Terkelip-kelip matanya memerhatikan lelaki itu mencanang setiap hasil kerjanya selama ini. Lelaki itu benar-benar mengenali dirinya.
“Pulangkan plat itu sebelum kau tinggalkan tempat ini. Sebentar lagi pengawal akan bertukar syif dan mungkin mereka akan masuk ke sini.”
“Kau takkan dapat apa yang kau hajatkan. Aku tak peduli kau siapa? Kau sangka kau dapat halang aku?” Ujarnya sinis.
“Untuk halang kau hanya perkara mudah. Sama macam aku tahu rakan kau ada di luar. Kau sangka aku tak mampu sekat frekuensi dan isyarat dari dia ke mari? Itu hanya kerja mudah bagi aku. Bagi orang macam kita sebenarnya,” ujar lelaki itu.
Dia mengetap bibirnya. Patutlah dia tidak dapat menghubungi Aria. Lelaki itu punya angkara rupa-rupanya.
“Aku tak peduli apa yang kau cakap. Kerja aku hak aku. Kalau kau tak nak menghalang, boleh ke tepi supaya aku boleh sambung kerja?” Pintanya dengan selamba.
“Kau tahu aku tak boleh biarkan kau begitu sahaja.”
Tuan Glock ketawa kecil lalu mula bersedia. Hanya itu satu-satunya jalan untuk dia meneruskan tugasnya yang tergendala.
“Aku takkan berlawan dengan kau.”
“Kalau begitu jangan halang aku.”
“Aku takkan halang kau. Cuma aku akan buat ini.”
Sejurus mengatakannya, lelaki berpakaian serba hitam itu melompat ke arah dinding lalu menumbuk panel siren kecemasan sekuat hatinya. Tak lama kemudian bunyi amaran siren berkumandang di seluruh BNM. Bukan sahaja mengejutkan Tuan Glock tapi juga Aria yang sedang mengawasi tempat itu dari van mereka.
Tak lama kemudian, bunyi tapak kaki pengawal-pengawal mula kedengaran. Tuan Glock mengetap bibir. Damn it! Ikutkan hatinya dia mahu menanti lebih lama dan membelasah lelaki itu. Tapi saat ini bukan saat yang paling tepat untuknya berdegil. Apa yang harus dilakukannya ialah cepat-cepat keluar dari tempat itu.
Tapi bagaikan tahu niatnya, lelaki itu tiba-tiba melancarkan serangan ke arah perutnya. Dia terhumban ke belakang. Beg sandangnya tercampak ke suatu sudut. Matanya mengerling beg sandangnya yang mengandungi plat wang yang baharu diambilnya. Dia hendak meluru tetapi si lelaki di hadapannya terlebih dahulu menyepak beg itu agak jauh. Dia mengetap bibir kegeraman.

RANCANGAN yang sudah diatur kini tergendala sepenuhnya. Hanya dalam tempoh kurang dari 30 saat siren berbunyi, pengawal-pengawal sekuriti di BNM sudah memenuhi tempat itu.
Aria diam-diam memandang ke arah lelaki di sampingnya yang kelihatan serius wajahnya. Dari tadi dia hendak menegur tetapi tidak berani. Silap-silap haribulan dia bakal dimarahi lelaki itu sekali lagi.
Sorry fasal tadi, aku tak tahu macamana boleh jadi macam ni. Aku…”
It’s okay Aria. Bukan salah kau.” Sampuk Tuan Glock sebelum sempat Aria mahu menghabiskan kata-katanya.
 “Ada orang sekat line komunikasi kita tadi,” ujar Tuan Glock.
“Hah? Siapa?” Aria terkejut.
“Aku pun tak tahu siapa dia? Semua yang berlaku hari ni kerja dia,” ujar Tuan Glock. Darahnya masih mendidih mengingatkan lelaki itu sengaja mahu menghalangnya mencuri plat wang di BNM malam ini. Entah apa sebabnya!
Tiba-tiba dia teringatkan parut kesan lecur pada tangan kanan lelaki itu ketika lelaki itu menumbuk panel siren kecemasan tadi. Tangan itu agak kecil dan tidak serupa seperti tangan seorang lelaki. Aneh!
 “Habis kita nak buat apa sekarang?”
“Sekuriti akan diperketatkan di BNM. Pengawal akan bertambah tiga kali ganda. Kita hanya boleh duduk menunggu sementara semuanya reda,” ujar Glock.
“Kita ada White Ghost bukan? Apa kata kita cari sasaran baru?” Cadang Aria dengan wajah bersinar-sinar.
Tuan Glock memandang lelaki muda itu agak tajam.
“Aria, kita curi White Ghost hanya untuk dapatkan apa yang klien kita mahu di BNM tu. Aku tak nak kau gunakan White Ghost sewenang-wenangnya demi untuk kepentingan sendiri. Faham?” Ujar Tuan Glock memberi amaran keras.
Aria mengangguk beserta sedikit keluhan. Memahami perintah lelaki itu tak boleh diingkar sesuka hatinya. Apa boleh buat! Ikut sahajalah meski dia masih terasa rugi jika tidak menggunakan White Ghost yang mereka perolehi dengan bersusah payah
WAJAHNYA berubah mendapat perkhabaran itu. Kerut di dahinya melebar. Selama ini tidak pernah ada masalah di dalam semua tugas-tugas yang Tuan Glock jalankan. Kenapa malam ini tak berjalan lancar?
“You masih fikir fasal Glock?” Tanya suatu suara dari belakang.
Dia berpaling. Jenny berdiri di penjuru bilik dengan pakaian satin nipis yang cukup seksi. Wanita itu perlahan-lahan menghampirinya lalu memeluk tubuhnya erat.
Dia mendengus. Ini bukan masanya untuk melayan keinginan Jenny. Tangan wanita itu yang berlingkar di tengkuknya dirungkai.
Anything wrong?” Tanya Jenny dengan wajah tersinggung.
“I nak you pack barang-barang you dan balik ke Kuala Lumpur sekarang. I akan suruh Jimmy tempah tiket paling awal untuk you,” ujarnya seraya menuju ke arah mini bar. Botol champagne diambil lalu dituang ke dalam gelas sebelum dihirup rakus.
“You cakap apa ni? You tahu tak I sanggup berkejar ke sini, naik flight berbelas jam untuk bersama-sama dengan you. Baru je  I sampai, then you nak suruh I balik?” Marah Jenny.
“I nak you awasi Glock. Entah kenapa I tak sedap hati. Dia tak pernah gagal selama ini, kenapa malam ini dia boleh gagal?”
“Kan I dah beritahu you, mereka ada masalah teknikal sedikit. Lain kali I jamin dia akan selesaikan kerja tu,” ujar Jenny.
No more lain kali Jenny. Sekali dia gagal di BNM, dia mungkin terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan plat tu. I tak fikir itu sebabnya, lagi-lagi Aria cekap dengan tugasnya. Pasti ada sesuatu yang Glock tidak beritahu kita.”
Wajah Jenny berkerut seribu. “I tak faham.” Keluhnya.
Dia mendengus keras. “I yang latih dia. Dia takkan sesekali gagal dengan tugasnya. Kecuali ada sesuatu yang menghalangnya. Dan I nak tahu siapa penghalangnya kali ini!” Gumam lelaki itu.
“Habis? You nak suruh I buat apa?”
“I nak you balik dan awasi dia baik-baik. I akan hantar beberapa orang I untuk ikut you. Kalau I tahu dia cuba khianati I, teruk padahnya nanti.” Gumam lelaki itu.
Wajah Jenny berubah.
“You kata you takkan cederakan dia.”

Wajah itu hanya tersengih lebar. Jenny mula tidak sedap hati dibuatnya. Tindakan lelaki itu kadangkala di luar jangkaan. Itulah yang menakutkannya.

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!