Followers

Sunday, November 23, 2008

Vendetta 12

Anabella mengusik pintu di hadapannya lalu menjenguk masuk. Makcik Kamariah baru sahaja membawa masuk sedikit bubur untuk Mira. Bubur itu disuapkannya pada Mira yang masih mendesis-desis kesakitan kerana bibirnya yang turut bengkak dan lebam. Anabella duduk di birai katil sambil asyik memerhatikan ke arah Mira.
“Sakit lagi?” Tanya Anabella.
Mira mendengus sedikit. “Mestilah, kau ingat aku demam selsema sahajakah?” Jawab Mira bagaikan malas mahu menjawab pertanyaannya. Anabella terdiam. Sejak dulu jawapan Mira tidak pernah mudah. Tapi dia tidak kisah dengan jawapan orang sakit macam Mira. Kalau Mira tidak sakit sekalipun, memang inilah yang bakal keluar dari mulutnya. Faham sangat dia dengan perangai Mira, jadi dia sudah tidak ambil puisng dengan kerenah Mira. Hajat hatinya kali ini ikhlas mahu melihat keadaan Mira.
“Bella, kamu tolong tengokkan kawan kamu ni. Makcik nak keluar sekejap.” Tiba-tiba Makcik Kamariah sudah menghulurkan mangkuk berisi bubur itu ke arahnya. Anabella tergaman. Mahu tak mahu dia menyambutnya.
“Ha tolong suapkan bubur ni. Dah seharian Cik Mira ni tak makan.” Pesan Makcik Kamariah sebelum wanita itu terkedek-kedek keluar dari bilik itu. Anabella memandang Mira. Gadis itu turut menatap ke arahnya. Masing-masing sudah mati kutu.
Anabella memandang baki bubur yang masih banyak. Dia memandang Mira semula. “Kau nak makan tak ni?” Tanya Anabella serba salah. Takkan aku nak suap dia kut! Mahu runtuh langit dibuatnya kalau aku suap musuh ketat sendiri, bisik hati kecil Anabella.
“Tak payahlah, aku makan sendiri.” Mira mengambil bekas bubur dari tangan Anabella lalu mula memakan bubur itu sendiri. Mulut Anabella terus terkunci. Dia tahu Mira tentunya tidak menyenangi kehadirannya di situ.
“Tak apalah kalau macam tu, aku keluar dulu.” Dia bingkas bangun. Namun belum sempat kakinya diatur, namanya diseru Mira. Anabella berpaling. Mata anak gadis itu memandangnya tidak berkelip.
“Aku tahu kau sengaja datang ke mari sebab Iqbal.” Tukas Mira tiba-tiba. Anabella berpeluk tubuh. Dia tidak berhasrat mahu berdolak dalih dengan Mira sedangkan memang itulah tujuannya.
“Kau yang buat aku datang ke mari. Kau dah lupa?” Balas Anabella sambil mengetapkan bibirnya. Sengaja dia mahu mengingatkan gadis itu. Kalau bukan Mira sengaja bermegah-megah dengannya dan seolah-olah cuba menyakitkan hatinya tempohari, mana mungkin dia akan mengambil jalan bodoh ini untuk mengikut Iqbal sehingga ke mari. Err..bodoh ke?
“Aku sengaja cakap macam tu sebab nak tahu kau tu masih menyimpan perasaan pada Iqbal ataupun tidak. Rupa-rupanya telahan aku benar. Sampai sekarang harapan kau pada Iqbal tak juga surut-surut. Bella, Iqbal tu bakal tunang aku, kau sedar tak tu?”
Amboi minah ni, kerek nampak! Dalam sakit-sakit pun ada hati lagi nak bergaduh dengan aku. Sekali aku sumbat mangkuk bubur tu dalam tembolok kau, baru padan muka kau!
“Dan untuk pengetahuan kau, Iqbal dah pilih aku. Dia sayangkan aku. Dia cintakan aku.” Sambung Mira dengan nada sinis. Anabella mengetapkan bibir. Kalau diikutkan hatinya, memang sudah lama dia hempuk kepala minah tiga suku ni. Tapi mengenangkan keadaan Mira, tentulah tidak adil kalau dia berbuat begitu.
“Kau dengan dia belajar sama-sama kat luar negara, tentulah peluang kau dekat dengan dia lebih tinggi. Cuba kalau kau belajar kat sini aje, ada Iqbal nak pandang kau?” Balas Anabella tidak mahu mengalah.
“Habis kau ingat dia betul-betul sukakan kau masa sekolah dulu? Tolonglah Bella, dari dulu lagi Iqbal hanya sukakan aku seorang, bukan kau! Tolong jangan perasan boleh tak!” Herdik Mira.
“Habis yang kau takut sangat ni kenapa? Kau yang kata dia dah jadi hak kau. Kalau betul Iqbal sukakan kau, kenapa kau nak marah-marah aku macam ni pulak?’ Tukas Anabella.
Mira terdiam. Matanya yang tadi mencerun tajam ke wajah Anabella kini berubah. Dia melarikan matanya. Nafasnya berdesir tidak keruan. “Aku dah tak ada apa nak cakap dengan kau Bella. Kau keluarlah.” Ujar Mira perlahan. Hendak tak hendak Anabella segera melangkah pergi dari situ dengan perasaan sesal. Lain yang diharapkan lain pula yang jadi. Sudahlah kemunculannya ke bilik Mira sebenarnya tidak ada niat langsung mahu mencari gaduh. Tapi sebaliknya pula yang berlaku. Sememangnya antara dia dan Mira memang tidak ditakdirkan untuk berbaik-baik.
Dia menutup pintu bilik Mira perlahan-lahan. Namun sebaik dia memusingkan tubuh, wajah Iqbal pula muncul di hadapannya. Dia terkesima seketika. Dadanya berdegup kencang. Apakah Iqbal mendengar setiap butir pertengkaran antaranya dengan Mira sebentar tadi? Dia memberanikan diri memandang ke arah Iqbal. Wajah lelaki itu serius menatap ke arahnya, menambahkan keyakinan Anabella yang sememangnya lelaki itu sudah mendengar segala-galanya. Anabella semakin gelisah. Aduh..apa patut dia buat?
Tiba-tiba Kojie melintas di tepi bilik chalet itu. Anabella tiba-tiba mendapat idea. Dia segera meluru ke arah Kojie membuatkan anak muda itu tergaman.
“Kojie, kau kata nak pergi jalan-jalan kat pantai kan. Jom kita pergi…”
“Tapi aku nak pergi makan…..” Kojie bagaikan keliru. Bila pulak aku janji dengan dia? Namun Anabella seakan tidak memberi peluang Kojie bercakap. Pantas tangan lelaki itu ditarik lalu dihela ke suatu arah, meninggalkan Iqbal yang masih tercegat memandang ke arahnya.
* * * *
Kojie asyik memerhatikan ke arah Anabella yang termenung panjang sehingga tidak ingat dia yang tercegat seperti tunggul mati. Sesekali Kojie meraba perutnya yang terasa mencucuk-cucuk. Aduii..laparnya aku! Keluh Kojie sambil menahan pedih. Namun melihat Anabella tidak berganjak dari situ, mahu tak mahu dia merebahkan duduknya di samping gadis itu.
Kalau bukan disebabkan Anabella tiba-tiba menariknya, tentu sekarang ini dia sudah bersenang-lenang duduk di kafeteria sambil menjamu selera. Kalau gadis itu menariknya ke arah kafeteria, dia tidak kisah. Ini kalau sekadar nak menemani Anabella mengadap ke arah ombak yang menggulung di tepian pantai, baik dia tidur di bilik saja.
Kojie mengerling lagi ke arah Anabella. Tautan mata Anabella seakan bersambung dengan panorama indah di hadapan matanya. Fikiran Anabella seolah bersatu dengan laut. Sesekali desiran angin yang bertiup kuat menerbangkan rambut Anabella yang mengurai panjang sehingga mengenai mukanya. Kojie tiba-tiba merasakan debaran kencang berlagu ‘rock and roll’ di dalam hatinya. Entah kenapa, harum bau rambut Anabella memukau perasaannya tanpa sedar. Membuatkan dia terbuai seketika. Matanya segera dipejamkan. Haruman dari rambut Anabella masih melekat di rongga hidungnya. Dan dia bagaikan hilang dalam dunianya sendiri.
“Kojie, kau rasa Iqbal tu cocok tak dengan aku?” Suara Anabella tenggelam timbul berlawan dengan bunyi ombak yang menghempas ke pantai. Kojie hanya diam.
Anabella mendopangkan dagunya di kedua belah kepala lutut. Matanya masih ralit memandang ke arah laut. Sesekali keluh kesahnya meniti dari bibir.
“Kau rasa Iqbal tu sebenarnya suka tak kat aku? Aku confuse la dengan dia tu. Kalau aku tengok dia pandang aku, hati aku kat dalam ni terus cair. Tapi kadang-kadang kalau aku dengar dia bercerita fasal majlis dia dengan Mira tu, nampak macam dia tak kisahkan aku langsung.” Keluh Anabella. Dia benar-benar sudah buntu menghadapi Iqbal kali ini.
“Tengok macam tadi. Aku rasa dia dah tahu yang aku sukakan dia. Dia dah dengar semuanya tapi kau tengoklah reaksi dia tadi. Diam aje. Memang sah aku bukanlah sepenting Mira dalam hati dia. Kau pulak fikir macamana Kojie?” Anabella bertanya. Dalam saat-saat begini dia perlukan seseorang untuk meluahkan perasaan yang terbuku di hatinya. Namun Kojie hanya diam sahaja. Anabella segera menoleh. Serentak dia terpempan apabila wajahnya mengadap wajah Kojie agak hampir. Mata lelaki itu terpejam rapat dengan raut wajah tersengih-sengih, cukup untuk membuatkan Anabella mengetapkan bibirnya. Dia berang! Dalam banyak-banyak masa, berani kau pilih masa ini untuk tidur?
“Hoi Kojie! Tidur ye!” Jerkah Anabella agak kuat. Kojie tersentak. Cepat-cepat dia membuka mata. Melihat betapa tajamnya renungan Anabella mencecah permukaan wajahnya, membuatkan dia terkesima. Timbul rasa malunya kerana berada agak ‘hampir’ dengan Anabella. Harap-harap gadis itu tidak tahu apa yang bermain di kepalanya ketika itu. Namun entah mengapa jantungnya tidak mahu berhenti berdenyut. Dia memegang dadanya, seolah-olah mahu menenangkan si jantung yang tak henti-henti melompat. My heart! Please cool down!
“Ha yang kau pegang dada tu kenapa? Tiba-tiba sakit jantung pula?” Anabella menyambung jerkahan. Kojie sudah terkulat-kulat sambil membetulkan duduknya. Dia menjauhkan jarak sedikit dari Anabella. Air liurnya ditelan. Sedikit gugup.
“Kalau kau rasa ada iras-iras nak kena sakit jantung, hold on dulu. Bawa balik aku ke Kuala Lumpur dulu. Faham!” Anabella bingkas bangun sambil menyapu belakang seluarnya yang penuh dengan pasir.
“Nak ke mana pulak ni?” Kojie memandang gerak geri Anabella dengan ekor mata.
“Aku nak pergi makan. Lapar! Jom ikut!” Sahut Anabella agak kasar.
“Tadi aku ajak, kau tak nak.” Balas Kojie dengan suara mendatar.
Anabella segera membulatkan matanya merenung lelaki itu. “Itu tadi Encik Kojie. Sekarang aku dah lapar. Sudah! Jangan nak banyak songeh, ikut aku pergi makan. Lagipun duit aku dah habis. Kau belanja kali ni.” Ujar Anabella lalu segera melangkah meninggalkan Kojie terpinga-pinga.
Kojie mengeluh panjang. Lagi satu hari aku dengan dia, boleh gila dibuatnya! Dia bingkas bangun lalu segera menuruti langkah Anabella yang seperti lipas kudung. Sesekali Kojie menyeluk saku seluarnya. Cukup duit ke aku ni nak belanja minah ni makan!
* * * *
Anabella melangkah perlahan-lahan menuju ke biliknya dari arah kafeteria. Selepas makan tadi, dia ingin terus berbual-bual dengan Kojie, tapi lelaki itu pula begitu asyik menonton perlawanan bola sepak bersama Bob, salah seorang petugas di resort itu yang secara teknikalnya menjadi teman sebilik dan sekatil Kojie. Nasib bukan teman sebantal! Mulanya dia mahu menegah Kojie menghabiskan masa bersama Bob, tapi melihat lelaki itu nampak gembira menonton perlawanan itu, dia tidak sampai hati pula. Apatah lagi apabila mengenangkan Kojie yang setia menemaninya sehinga ke resort itu. Malah dia terlalu kerap menyusahkan Kojie. Hehehe siapa kata dia tak sedar yang dia sebenarnya sedang mengambil kesempatan di atas kebaikan hati Kojie. Memang aku ambil kesempatan. Tapi kalau bukan aku, orang lain pasti akan ambil kesempatan pada lelaki poyo macam Kojie tu. Anabella tersengih-sengih mengenangkan niat hatinya selama beberapa hari di resort itu.
Sambil berjalan, dia tak sudah-sudah menyepak putik pinang yang banyak gugur di sepanjang laluan ke biliknya. Kebanyakkannya disepak menghala ke arah pintu bilik penghuni-penghuni di situ. Berdentum-dentum bunyi pintu itu dilanda mortar pinang beracun hasil sepakan cantik yang dibuat oleh Anabella. Ada yang mendarat tepat pada pintu hadapan, ada juga yang mendarat ke arah tangga. Tak kurang juga yang mendarat di…
“Adoii!! Woi siapa baling ni ha?” Jerit suatu suara. Anabella terkedu. Cepat-cepat dia beredar dari situ sebelum wajahnya dicam. Alamak, camana boleh kena kepala pakcik botak tu pulak? Dari jauh telinganya menangkap bunyi bebelan yang dia sendiri tidak jelas apa maksudnya.
Langkahnya semakin dilajukan menuju ke arah biliknya. Sebaik sampai di biliknya, mata Anabella terperosok pada suatu wajah yang sedang duduk di hadapan tangga menuju ke biliknya. Dia tergaman. Iqbal!
Melihat Anabella di situ, Iqbal segera bingkas dari duduknya. Matanya memerhatikan ke arah Anabella yang nampak gelisah. Tanpa memberi peluang Anabella bersuara, Iqbal merapati gadis itu perlahan-lahan. Wajah Anabella dipandang tidak berkelip.
“Bella dari mana ni?” Soalnya perlahan.
“Errr..dari kafe, baru balik makan dengan Kojie.” Jawab Anabella tergagap-gagap. Rona di mukanya sudah mula memerah. Dia terasa segan dan malu sebaik teringatkan kemungkinan Iqbal sudah maklum dengan isi hatinya selama ini.
“Dah lama Ib tunggu Bella kat sini.”
Iqbal tunggu aku? Hati Anabella serta-merta berbunga. Tapi kenapa?
“Ib nak ajak Bella jalan-jalan, boleh tak?” Tanya Iqbal tiba-tiba. Anabella terasa hampir mahu tersedak. Mujurlah dia makan sikit sahaja tadi. Kalau tidak pasti duit Kojie juga yang rugi jika saat ini dia memuntahkan semua makanan yang dimakannya sebentar tadi. Semuanya kerana pelawaan Iqbal yang dirasakan bagaikan dalam mimpi. Apa betul Iqbal mengajak aku? Atau aku sebenarnya sedang bermimpi?
“Kita nak pergi mana?” Anabella memberanikan diri bertanya.
“Ke mana-mana sahaja asalkan hanya kita berdua. Ada hal Ib nak cakap dengan Bella.” Jawab Iqbal sambil merenung wajah Anabella yang tiba-tiba pucat lesi sebaik mendengar kata-katanya.
“Tapi Mira…”
“Please Bella. Just two of us. I need you by my side right here and right now.” Pintas Iqbal dengan wajah serius. Anabella terkedu. Entah mengapa tiba-tiba ajakan Iqbal membuatkan perasaannya berkecamuk. Saling bertukar ganti. Untuk apa Iqbal mahu membawanya keluar dan ke mana? Paling penting..untuk apa? Pelbagai pertanyaan melingkar di setiap ruang di kepala Anabella saat itu.
Melihat Anabella seperti sukar mahu membuat keputusan, Iqbal mendengus keras. Tanpa disangka-sangka lelaki itu terus menarik tangan Anabella ke suatu arah membuatkan Anabella tergaman bercampur terkejut.
* * * *
“Gol!!” Jerit Bob sambil menghentak meja kafeteria itu. Gembira betul dia apabila pasukan merah kuning dia berjaya menjaringkan satu gol. Kojie hanya tersengih. Dia tidaklah seseronok dan se’extreme’ Bob ketika menonton perlawanan bola sepak. Lagi-lagi perlawanan siaran ulangan yang semua orang sudah tahu keputusannya. Tapi sekadar mahu mengambil hati Bob, dia pura-pura berseronok. Padahal sebenarnya fikirannya bukan ke arah perlawanan bola sepak yang sedang ditontonnya, tapi menerjah pada wajah Anabella yang kelihatan muram.
Semasa makan tadi, gadis itu bukan main becok bercerita itu ini. Tak cukup isu semasa tempatan, isu antarabangsa pun Anabella mengeluarkan pendapatnya. Tak kurang juga isu penurunan harga minyak yang tengah ‘hot’ sekarang ni. Tapi cerita Anabella didengarnya tidak sepenuh hati. Sebaliknya dia asyik merenung wajah Anabella yang ketawa bagaikan dibuat-buat. Sejak tadi dia mulai perasan ada sesuatu yang tak kena dengan Anabella. Ketawa Anabella bukan seperti ketawa semasa gadis itu mengenakannya tempohari. Ketawa Anabella kali ini terasa hambar, tidak ceria dan tidak mencuit hati seperti kelaziman.
Ringan mulutnya mahu bertanya gadis itu apa sebabnya, tapi Anabella langsung tidak memberi peluang dia bercakap. Setelah mereka selesai makan, dia berhasrat mahu mengajak gadis itu keluar jalan-jalan di luar kawasan chalet ini, tapi mereka terserempak pulak dengan Bob The Builder, panggilan nakal Anabella kepada lelaki itu yang berbadan besar seperti ahli gusti. Terpaksalah dia membatalkan hasratnya apabila lelaki itu mengajak dia menonton persembahan ulangan bolasepak pasukan Selangor melawan Kedah.
“Makcik Kamariah tak marah ke korang tengok bola ni time-time macam ni?” Tanya Kojie sambil menghirup sirapnya yang masih berbaki.
“Nak marah apa, dia okey.” Jawab Bob acuh tak acuh. “Lagipun shift aku dah habis dah. Lagipun kat kafe ni kami bebas nak buat apa pun di luar waktu tugas.” Sambung Bob dengan jawapan ringkas tapi padat.
“Alamak, Kedah dah dapat gol!” Bob menjerit separuh hampa. Mulutnya menyumpah-yumpah pasukan lawan. Kojie terpinga-pinga memerhatikan ke arah Bob. Gila apa mamat ni! Dah dua kali siaran perlawanan ni diulang di astro, takkan tak puas-puas tengok.
“Kojie, awek kau tu siapa nama?” Bob tiba-tiba bertanya. Namun matanya masih terpaku pada kaca televisyen. Tak sesaat pun bebola matanya dilarikan dari skrin televisyen.
“Siapa awek aku?” Kojie tergaman.
“Ala perempuan cun yang datang dengan kau tu. Yang tadi tu. Siapa nama dia ya?” Kali ini Bob memutar perhatian ke arahnya.
“Siapa? Anabella?”
“Yup Anabella, cun la dia. Betul dia awek kau?” Bob tersengih-sengih seolah-olah cuba mencungkil rahsia. Kojie tergelak besar. Awek? Biar betul!
“Mana ada. Dia tu kawan aku ajelah.” Kojie menafikan.
“Iskk takkan mesra camtu kawan aje.” Bob menggelengkan kepala.
“Betul. Lagipun kau tengoklah beza aku dengan dia. Macam langit dengan bumi. Mana dia pandang orang macam aku.” Balas Kojie seakan berjauh hati.
Bob terdiam. Dia memandang ke arah Kojie tidak berkelip. Matanya membulat ke arah Kojie dari atas ke bawah, bagaikan mesin scan yang sedang mengimbas gaya dan perlakuan lelaki itu dari atas ke bawah. Seketika bibirnya mengukir senyuman.
“Kalau tengok dari luaran, memang kau nampak ‘geek’ tapi kalau tenung betul-betul..takdelah teruk sangat. Still boleh make over lagi ni.” Ujar Bob. Kojie menelan liur. Betul ke, atau Bob sengaja memuji sebab ada niat-niat tertentu? Meskipun dia kurang yakin dengan kata-kata Bob, namun kalau kata-kata itu dapat meningkatkan ‘self confidentnya’..apa salahnya kan!
“You think so?” Kojie bertanya.
Bob menjongketkan bahunya. Kojie menarik nafas panjang. Sebenarnya dia sendiri tidak tahu apa yang tidak kena dengannya sejak akhir-akhir ini. Tapi kehadiran Anabella benar-benar membuatkan persepsinya terhadap kaum perempuan berubah seratus peratus.
Dahulu dia sering mengimpikan gadis yang lembah lembut dan ayu menjadi temannya. Seperti Hezra! Malah dia selalu membayangkan isterinya nanti pandai memasak, tahu menjaga rumahtangga, ekonomi dalam berbelanja dan macam-macam lagilah. Dan kerana angan-angan itulah, dia makin kerap membayangkan Hezra sebagai isterinya. Tapi sudah bertahun-tahun dia meninggalkan alam kampus, sekalipun Hezra tidak pernah ditemuinya lagi.
Yang ada di hadapan matanya kini hanyalah Anabella yang memang kontra habis dengan sifat-sifat wanita idamannya. Yang pasti Anabella kasar, bersikap boros, suka menipu dan pandai bercakap besar. Dan yang paling dia pasti, Anabella langsung tidak pandai memasak. Kerana gadis itu tak habis-habis bercerita padanya di dalam kereta tentang maggi kari yang dimasaknya memang ‘super fantastic’. Sesiapa makan mesti nak lagi! Itu belum masuk lagi soalan Anabella pada pakcik tukang masak di tempat mereka berhenti makan dulu tentang jenis-jenis lauk pauk yang terhidang di kedai pakcik tersebut. Ada ke ikan pari dikatakannya ikan kembung. Gila apa!
“Tapi aku rasa kau dah takde can la Kojie.” Bob tiba-tiba tersengih seraya memandang ke arahnya. Kojie terkesima. Hilang sekejap lamuannya sebentar tadi. Pulak! Self confidentnya yang naik 0.5 peratus tadi kini merudum semula. Dia memandang ke arah Bob.
“Kenapa pulak Bob?”
Tanpa membalas kata-katanya, Bob menjuihkan bibirnya ke suatu arah. Kojie lekas-lekas berpaling. Sebaik dia melihat satu pasangan melintas di hadapan kafeteria dan menuju ke arah lobi resort itu, Kojie terasa dunia di sekelilingnya bagaikan berhenti berputar apabila melihat Iqbal sedang memegang tangan Anabella lalu menuju ke suatu arah.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!