Followers

Thursday, July 10, 2014

Cinta Bukan Larangan (SC) : Bab 14


JOHAN tersenyum simpul tatkala teringat peristiwa di Tasik Titiwangsa siang tadi. Hasrat hati untuk melapangkan dada, terganggu pula dengan insiden melucukan itu. Tapi kalau bukan kerana dia terburu-buru siang tadi, mustahil dia akan bertembung dengan Dina Azura.

            Tapi pertemuan kali kedua ini tak sama dengan pertemuan kali pertama mereka dahulu. Pada asalnya dia menyangkakan Dina Azura gadis yang sombong. Apatah lagi airmuka Dina Azura yang muram ketika berada di rumahnya tempohari, seolah-olah membenarkan tanggapannya. Namun rupa-rupanya, dia tersilap menduga. Gadis itu agak peramah sebenarnya. Ini yang orang katakan, tak kenal maka tak cinta!

            Deringan telefon dari atas mejanya mengejutkan lamunan singkatnya. Johan tersentak. Alamak! Spoil betul. Dengan langkah malas, dia mendapatkan telefon bimbitnya. Matanya sempat mengerling nama yang terpapar pada skrin telefon bimbitnya. Fadhli?

            Dia berbual beberapa ketika dengan temannya itu.

            Apa?“ Mata Johan membulat. Dia tergaman mendengar kata-kata Fadhli seterusnya.

            “Aku siap sekarang. Kau tunggu kat sana sampai aku datang.” Arah Johan.

            Talian diputuskan. Johan bergegas menukar pakaiannya. Apabila dia membuka pintu biliknya, wajah Marini pula muncul di muka pintu biliknya.

            “Johan, you nak ke mana ni? Tadi baru balik, takkan nak keluar lagi?” Tanya wanita itu dengan suara lembut.

Johan terkedu memandang wanita yang bergaun tidur nipis di hadapannya.  Senyuman wanita itu seakan-akan menggodanya, tapi entah kenapa tiba-tiba dia naik berang.  Dia ingin beredar, namun tangan wanita itu melekat pantas di lengannya.

            I have to go.” Ujar Johan dengan nada tinggi.

            “Ke mana?”

            Mata Johan merenung tajam wajah di hadapannya. Namun Marini seolah-olah langsung tidak memahami riak wajah Johan yang sedang menyinga.

            “You tahu kan apa yang I rasa? You tahu kan bahawa I tetap sukakan you sampai bila-bila pun?” Pujuk Marini sambil memeluk lengan lelaki itu.

            Really? You sukakan I tapi you kahwin dengan ayah I. Please Datin Marini, ingat sikit apa kedudukan you dalam rumah ini. You tu isteri ayah I.” Nada suara Johan sinis. Perlahan-lahan pegangan wanita itu dirungkaikan. Dia merenung tajam ke arah wanita itu sebelum berlalu pergi.

            Marini terkedu. Layanan Johan terhadapnya benar-benar menyakitkan hatinya. Dia mengetapkan bibirnya. Geram! Dari hari ke sehari, Johan semakin dingin dengannya. Johan bukan Johan yang dahulu lagi, yang melayannya bagaikan dia satu-satunya puteri di hati lelaki itu.

            I love you Jo. I nak hidup di samping you untuk selama-lamanya.”

            “I pun sayangkan you Rini, tapi kita kena habiskan pelajaran kita dahulu. Selepas tamat, I akan bawa you pulang jumpa ayah dan umi I. They will love you dear.” Johan mengucup jari-jemarinya yang halus meruncing. Saat itu dia bagaikan terbuai dengan janji-janji Johan. Namun dua tahun bersama dengan Johan, dia mulai sedar bahawa manusia tidak boleh hidup hanya dengan janji.

            Rini, ayah dah tak ada.” Suatu hari dia menerima panggilan telefon dari ibunya. Terasa lemah seluruh badannya menerima perkhabaran yang tidak diduga. Apatah lagi ketika itu dia sedang bersedia untuk menduduki peperiksaan akhir. Dia bergegas menaiki penerbangan pertama dari LAX ke Kuala Lumpur tanpa memaklumkan kepada Johan. Mujurlah dia sempat menghadiri majlis pengebumian ayahnya.

            Rini tak faham bu. Ayah kan sihat selama ini, macamana ayah tiba-tiba boleh meninggal?” Dia masih tidak percaya dengan apa yang telah terjadi.

            “Ini semua sebab lelaki jahat tu. Dialah yang buat ayah Rini jatuh sakit. Dialah punca semua ni terjadi.” Ibunya mengesat airmata yang masih tersisa di pipi.

            “Lelaki jahat? Siapa yang ibu maksudkan?”

            Marini memejamkan matanya. Hatinya bergetar menahan dendam kesumat yang sudah lama sebati dalam dirinya. Kalau bukan kerana nama yang disebut ibunya, mana mungkin dia akan mengecewakan perasaan Johan. Mana mungkin juga dia sudi berkahwin dengan Datuk Herman yang amat dibencinya. Apatah lagi setelah mengetahui Datuk Herman adalah ayah kepada lelaki yang dicintainya.

Namun sewaktu itu dia bagaikan ingin melupakan segala-galanya yang pernah wujud dalam hidupnya. Matlamatnya cuma satu. Hanya untuk membalas dendam setiap perbuatan Datuk Herman terhadap keluarganya. Sedikit pun perasaan Johan tidak pernah diambil kira.

“Kenapa? Kenapa  ayah I Rini?” Suara keras Johan meletus di gegendang telinganya.

“I cintakan ayah you Johan.”

“Cinta? Umi I nazak di hospital tu sebab you Rini. You hancurkan hati dia. Perempuan jenis apa you ni?” Tengking Johan agak kuat.

“Terserahlah you nak cakap apa pun. Apa yang terjadi pada umi you bukan salah I. Dia yang tak boleh terima kenyataan ini. Hakikatnya, I dan ayah you akan kahwin minggu depan.” Ujarnya tegas.

“Senangnya you cakap. You hancurkan hati I, sakiti hati umi I, kini you nak rampas pula ayah I? You memang perempuan mata duitan Rini. I menyesal sebab pernah menganggap you wanita dalam hidup I. Kalau you masih bertegas nak berkahwin dengan ayah I, teruskanlah. Tapi you kena ingat, mulai dari saat ini, hari ini, kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi. Walaupun hubungan antara anak dan ibu tiri!” Getus Johan dengan nada marah.

Mulai saat itu, kata-kata Johan adalah kebenaran yang harus ditelannya. Layanan Johan terhadapnya tetap sama meskipun hampir setahun dia berkahwin dengan Datuk Herman. Dia tahu Johan membencinya, apatah lagi dia dijadikan penyebab kematian Datin Irdawati, umi Johan.

Ini jalan yang kau pilih sendiri Rini. Johan membenci kau kerana kau telah mengecewakan hatinya.

Tapi aku tak lakukannya kerana dendam.

Tapi dendam itulah yang merosakkan hubungan antara kau dan Johan.

Tidak, aku cuma nak membalas dendam pada Datuk Herman. Setelah semuanya selesai, aku akan kembali semula pada Johan.

Dan kau harapkan dia akan menerima kau semula? Masih halalkah kau untuk Johan? Sekalipun Datuk Herman mati nanti, kau akan tetap menjadi ibu tiri Johan. Semuanya takkan kembali pulih seperti yang kau kehendaki Rini.

Marini meraup wajah. Mula merasakan jarak di antaranya dengan Johan semakin jauh. Dia benar-benar merasa telah kehilangan Johan ketika ini.

*  *  *  *

APABILA Johan sampai di tempat yang disebut oleh Fadhli di dalam telefon tadi, barulah dia tahu rupa-rupanya tempat itu adalah sebuah kelab malam elit di kawasan Bangsar. Dari jauh, dia terlihat Fadhli telah menunggunya di hadapan kelab tersebut.

Sebaik Johan turun dari keretanya, Fadhli terus menerpa ke arah lelaki itu.

            “Kenapa kau lambat sangat?” Keluh Fadhli.

            Mana dia?” Soal Johan, tanpa menjawab pertanyaan Fadhli. Wajahnya kelihatan serius.

            “Ada kat dalam. Nampaknya dia mabuk teruk, naik risau aku dibuatnya.”

            Johan tidak berkata apa-apa, terus melangkah masuk ke kelab tersebut, diekori oleh Fadhli dari arah belakang. Fadhli sempat menunjuk ke suatu arah. Mata Johan mencerun ke arah yang ditunjukkan Fadhli. Melihat seorang gadis muda sedang berpelukan dengan seorang lelaki, hatinya mula mendidih. Panorama percuma di hadapan matanya, membuatkan kakinya melangkah laju ke arah pasangan yang begitu kemaruk melayan perasaan.

            “Sefiya!” Herdik Johan kuat.

            Serentak pasangan itu menoleh. Wajah garang Johan membuatkan si lelaki kecut perut. Serta-merta rangkulan eratnya dilepaskan. Gadis yang dipanggil Sefiya itu hampir terjatuh, namun Johan lebih pantas bertindak dengan memaut tubuh gadis itu. Sefiya ketawa kecil.

            “Abang, come and join me. Malam ni Fia belanja abang.” Ujar Sefiya sambil mengangkat gelas berisi minuman keras di hadapan Johan.

            “Kenapa dengan kau ni? Apa kau tak malu berkelakuan macam ni?” Marah Johan, benar-benar sakit hati dengan perlakuan Sefiya kali ini.

            “Malu? Nak malu apa? Bukan Fia seorang yang mabuk, semua yang ada kat sini pun mabuk macam Fia. Kalau abang nak mabuk pun boleh,” balas Sefiya sambil terkeheh-keheh ketawa.

Johan mengetapkan bibirnya. Terasa geram dan sekaligus malu dengan perlakuan gadis itu. Dia mendekati Sefiya lalu mencengkam lengan gadis itu agak kuat.

            “Apa ni?” Sefiya terkejut, lalu cuba melepaskan dirinya dari cengkaman Johan. Namun pautan tangan Johan lebih kemas.

            “Ikut abang balik Fia!”

            “Tak mahu. Abang ingat Fia ni budak kecil lagi ke?”

            Johan tidak peduli pada mata-mata yang sedang memandang ke arah mereka. Dia terus menarik Sefiya keluar dari pintu kelab itu. Beberapa pasang mata yang asyik memerhatikannya langsung tidak diambil pusing.

            “Masuk dalam kereta!” Arah Johan, seraya menolak Sefiya ke dalam perut keretanya. Mahu tak mahu Sefiya terpaksa akur dengan wajah masam mencuka. Johan memandang temannya yang setia menanti sedari tadi.

            “Terima kasih Fadh, sebab kau beritahu aku fasal Fia.” Ujarnya.

            “Tak apa-apa Jo, kebetulan aku dan kawan-kawan aku singgah di sini. Ternampak pula Sefiya dengan teman-temannya berhibur di sini. Asalnya aku biarkan saja sebab aku ingat mereka ni cuma nak lepak sekejap. Tapi bila aku lihat mereka pesan minuman keras, aku dah mula risau.” Cerita Fadhli panjang lebar.

            “Aku pun tak tahu apa nak jadi dengan Fia ni. Perangai dia semakin menjadi-jadi semenjak dua menjak ni. Liar! Susah aku nak kawal dia lagi.” Keluh Johan.

            “Sabarlah Jo, biasalah gadis remaja macam Sefiya tu. Mudah terpengaruh dengan kawan-kawan sebayanya.” Balas Fadhli.

            “Tak apalah Fadh, aku nak hantar dia pulang sebelum ayah aku dapat tahu hal ni. Aku jumpa kau esok ya?” Ujar Johan seraya masuk ke dalam keretanya.

Fadhli hanya memerhatikan sehingga kereta Johan semakin menghilang dari kawasan kelab tersebut. Sejurus kemudian Fadhli turut beredar.

*   *  *  *

SEFIYA masih tertidur pulas. Johan pula entah sejak bila, terlelap di sisi adiknya. Sebaik dia terjaga, jarum jam di dinding bilik itu dicari terlebih dahulu. Sudah hampir jam 7 pagi. Dia memandang kembali ke arah Sefiya. Wajah Sefiya kelihatan tenang. Johan melepaskan keluhan kecil. Perasaan kesal menjerut tangkal hatinya.

            Dahulu Sefiya bukan gadis liar. Adiknya yang satu itu, lemah lembut orangnya. Namun sejak setahun yang lalu, perangai Sefiya semakin berubah. Sefiya sudah tidak pandai menghormati orang tua. Malah sudah pandai ponteng kelas dan menghabiskan masa melepak bersama kawan-kawan sebayanya.

            Johan tahu, apa sebabnya Sefiya berubah sampai sedemikian rupa. Kematian ibunya setahun yang lalu mencorak peribadi Sefiya menjadi gadis bermasalah. Ditambah pula dengan perkahwinan ayahnya di saat-saat ibunya bergelut dengan maut. Johan tahu Sefiya terlalu sayangkan ibu mereka. Dia juga begitu. Namun hayat ibunya tidak panjang. Dia hanya mampu berserah pada takdir, meskipun hatinya sendiri diambang kekecewaan.

            “Jo, jaga Fia baik-baik. Jo berilah kasih sayang Jo pada Fia bila umi dah tak ada nanti.” Pesan ibunya masih terpahat kukuh dalam ingatannya.

            “Umi jangan cakap macam tu, umi akan sihat macam dulu. Jo akan pastikan kita bertiga tinggalkan tempat ni dan mulakan hidup baru.” Janjinya pada ibu tersayang.

            “Jangan Jo. Jo kena janji dengan umi, jangan sesekali Jo tinggalkan ayah. Jo mesti berada di sisi ayah sampai bila-bila pun.” Pinta wanita itu.

            “Tapi umi, percuma sahaja umi risaukan ayah. Ayah dah tak pedulikan kita semua lagi.” Ujarnya muram.

            “Ayah adalah suami umi, ayah kepada Jo dan Fia. Walau apa pun yang ayah lakukan, namun hubungan antara kita takkan berubah sampai bila-bila pun. Berjanji dengan umi Jo, jangan sesekali Jo tinggalkan ayah sendirian.”

            “Jo tak faham umi…”

            “Jo tak perlu faham, cukuplah kalau Jo patuh pada kata-kata umi ni. Berjanjilah sayang.” Ujar Datin Irda dengan nafas termengah-mengah.

            Dia bagaikan mati akal untuk berjanji di hadapan ibunya yang terlantar lemah di katil hospital. Namun melihat wajah Datin Irda yang pucat lesi, dia idak sampai hati untuk mengecewakan hati wanita itu.

            “Baiklah umi, kalau itu kehendak umi, Jo berjanji akan tetap tinggal di rumah itu sehingga Jo masih diperlukan oleh ayah.”

            Wajah ibunya ceria menerima saksi janjinya. Dan itulah senyuman terakhir yang menjadi sukma dalam setiap urat nadinya. Pemergian ibunya pada hari berikutnya, membuatkan dia menjadi perindu sepi pada wajah keibuan milik wanita bernama Syarifah Irdawati Mukhsin. Ibu yang dahulunya amat disayangi, kini pergi buat selama-lamanya kerana masalah komplikasi jantung.

Ketika itu hanya ada dia di sisi ibunya. Ayahnya masih berbulan madu dengan isteri barunya di Europe. Sefiya pula ketika itu masih belum pulang dari kampus.

            Johan memandang ke arah meja kecil di sisi katil. Sebingkai potret lama keluarga mereka terletak di situ. Johan tahu dalam diam-diam, Sefiya sering menangisi kebahagiaan keluarga mereka. Potret itu sering menjadi teman tidur Sefiya. Dia juga tahu Sefiya jadi begini kerana merasa bersalah terhadap ibu mereka. Adiknya kecewa kerana tidak ada di sisi ibunya ketika wanita itu menghembuskan nafas terakhir.

            “Abang…..,” panggil Sefiya.

            Lamunan Johan terhenti seketika. Dia memandang ke arah Sefiya yang entah sejak bila terjaga dari tidurnya. Gadis itu cuba bangun, tapi serentak tubuhnya jatuh semula. Sefiya memegang kepalanya sambil mendesis kesakitan.

            “Tak payah bangun, tidur lama sikit.” Suruh Johan.

            “Kepala Fia sakit.” Adu gadis itu.

            “Mana tak sakit kalau tiap-tiap malam mabuk teruk.” Sindir Johan sinis.

Sefiya terdiam. Dia buat-buat tidak dengar kata-kata yang terluah dari mulut Johan.

            “Kalau Fia tiap-tiap malam buat hal macam ni, susah hati abang. Macamana abang nak sambung study?” Keluh Johan perlahan.

            “Abang memang dah berniat nak tinggalkan Fia sendiri kat rumah ni kan? Abang dah tak sayangkan Fia lagi?” Balas Sefiya berjauh hati.

            Apa Fia cakap ni? Fia dah besar panjang, sepatutnya Fia dah boleh berfikir dengan matang. Kalau Fia selalu bercampur dengan kawan-kawan Fia tu, macamana pelajaran Fia? Mereka cuma tahu bawa Fia keluar berseronok. Takkan kawan macam tu yang Fia agung-agungkan.” Getus Johan dengan suara meninggi.

            “Abang tak perlu hina kawan Fia. Kalau abang nak pergi sangat, pergilah. Jangan pedulikan Fia mulai hari ini. Biar Fia mati sekalipun, abang jangan ambil peduli,” jerit Sefiya bagaikan sudah hilang akal.

            Johan kelu bercampur marah. Kata-kata Sefiya membuatkan tangannya ringan mahu menampar gadis itu. Namun mengenangkan ibunya, dia cuba bersabar dengan adiknya itu. Belum sempat Johan mahu bersuara, kepala pembantu rumahnya menjenguk dari luar.

            Johan…”

            “Ada apa Kak Yam?”

            Datuk ajak Johan dan Sefiya sarapan.” Beritahu wanita berusia awal 40an itu. Johan hanya mengangguk sebelum kembali memandang Sefiya yang diam membisu. Beberapa titis airmata gugur di pipi anak gadis itu.

            “Hari ini tak payah ke kelas kalau tak sihat. Nanti abang telefon pihak universiti.” Ujar Johan sebelum melangkah ke muka pintu. Sebelum menghilang, dia menoleh sekilas lalu ke arah Sefiya yang kelihatan muram. Gadis itu tunduk sahaja, enggan memandang ke arahnya. Johan menarik nafas panjang sebelum beredar ke biliknya. Dia harus bersiap-siap untuk pergi kerja pula selepas ini.

 

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!