Followers

Thursday, November 13, 2008

Vendetta 10

Setelah selesai membeli belah beberapa helai pakaian dan barangan keperluan harian di Hugo Mega Mall, Anabella dan Kojie bercadang mahu makan tengahari di sebuah food court di dalam kawasan pusat beli belah yang terbesar di bandar Kuantan.
“Kita nak duduk kat mana ni Kojie? Semuanya penuh. Itulah kan aku dah kata kalau kita makan kat Kenny Roger atau McDonald kan senang, tak payahlah kita berebut-rebut macam ni.” Rungut Anabella. Dia memang tidak gemar makan di Food Court kerana dirasakan tempat itu terlalu bersesak dan makanannya pula kurang bersih.
“Cik Bella, makan kat food court jimat sikit. Lagipun ingat sikit, kau tu bukannya ada banyak duit lagi lepas tolak hutang sana sini.” Sindir Kojie. Dia geram kerana gadis itu tak habis-habis merungut sejak dia membuat cadangan mahu makan di situ. Banyak songeh! Bisik Kojie sambil mencebik. Sudahlah baju-baju dia dengan pakaian dalam dia sekali, aku juga yang tolong bayarkan! Rungut Kojie tidak puas hati.
“Banyaklah kau punya jimat. Ha sekarang kita nak duduk kat mana? Mata kau dah buta ke? Mana ada tempat nak duduk lagi.” Sanggah Anabella tidak mahu mengalah.
Kojie acuh tak acuh memandang Anabella. Dia melontarkan pandangan ke arah manusia-manusia yang bersimpang siur di hadapannya. Memang hari itu food court di situ agak ramai dari hari biasa. Mungkin kerana kebanyakan pekerja-pekerja pejabat di situ ramai yang singgah untuk makan tengahari di situ.
Tiba-tiba mata Kojie memusat ke suatu arah. Dia baru sahaja melihat sebuah meja baru sahaja di kosongkan oleh seorang lelaki. Kojie cepat-cepat meluru ke arah meja tersebut. Tapi pada masa yang sama seorang lelaki bersama teman wanitanya turut singgah di meja yang sama.
Kojie memandang lelaki berkumis tebal di hadapannya. Lelaki itu turut memandangnya dengan wajah serius sambil mengelek tangan teman wanitanya yang berpakaian agak seksi. Seksinya makhluk tuhan ni, bisik hati Kojie. Terkelip-kelip matanya memandang pakaian gadis itu yang terdedah menampakkan aurat di sana sini. Dia menelan liur. Astaghfirullah al azim…Kojie cepat-cepat mengucap panjang. Dia memejamkan matanya. Tak baik tengok benda yang haram, nanti tak berkat hidup di dunia dan di akhirat. Begitulah yang diucapkan oleh Ustaz Qodir yang sering memberi ceramah di surau berdekatan rumahnya setiap kali selepas mereka selesai solat Isya’ berjemaah.
“Hei budak, tempat ni aku dengan girlfriend aku ni yang nampak dulu. Kau pergi cari meja lain saja.” Herdik lelaki berkumis itu dengan suara garang bagaikan harimau menerkam. Kojie membuka matanya. Melihat wajah itu mencerlung tajam ke arahnya, tiba-tiba sahaja dia jadi gugup. Jika diukur saiz badan lelaki itu dengan tubuhnya, macam pinang dibelah dengan tukul. Terkelip-kelip mata Kojie melihat otot-otot lelaki itu timbul berurat-urat. Hui gerunnya!
“Kau tengok apa lagi tu budak, aku kata berambus-berambuslah.” Lelaki itu mula berang apabila dilihatnya Kojie tidak memberi sebarang reaksi. Dia segera menolak tubuh kecil Kojie dari meja yang menjadi rebutan. Teman wanita lelaki itu hanya ketawa melihat wajah Kojie yang pucat lesi.
“Maaf bang, takpalah. Err…abang ambillah meja ni. Free je ni.” Tergagap-gagap Kojie mengangguk seraya memberi laluan dan peluang pada pasangan itu.
Anabella yang memerhati sejak tadi dari jauh hanya mampu tergelak besar. Dasar pengecut si Kojie ni. Benda macam ni pun tak boleh lawan! Dia naik kasihan melihat Kojie yang selalu menjadi mangsa buli.
“Bella, takpalah…kita makan kat tempat lain saja.” Kojie berkata sebaik mendekati Anabella. Wajah lelaki itu masam manis memandangnya. Anabella hanya mampu menggelengkan kepala. Dia mengalihkan pandangan ke arah mamat brutal dan teman wanitanya yang masih lagi belum habis mengetawakan Kojie. Hatinya mengguman geram. Pantang tok neneknya jika melihat ada ketidakadilan berlaku di hadapan matanya. Dia mengenggam tangannya sekuat hati. Bibirnya diketapkan rapat-rapat.
“Bella, kau nak pergi mana tu?” Kojie tercengang melihat Anabella sudah melangkah perlahan ke arah pasangan yang menempati meja itu. Laungan Kojie langsung tidak dipedulikan Anabella. Dia tersenyum manis memandang ke arah pasangan yang kelihatan terkejut melihat kehadirannya.
“Hai sayang, you buat apa kat sini?” Anabella meliuk-liuk manja sambil menggapai lengan lelaki berotot besar itu. Lelaki itu terkejut besar. Dan pada masa yang sama Kojie turut tergaman dengan telatah Anabella. Bala ni!
“Kenapa you tak contact I?. Bukankah you dah janji nak call I sayang?” Mata Anabella melirik manja ke arah lelaki di hadapannya.
“Fozi, siapa perempuan ni? Kenapa dia panggil you sayang?” Teman wanita lelaki mengherdik dengan nafas tertahan-tahan. Wajah itu sudah muncung empat belas sambil memandang teman lelakinya yang berwajah pucat lesi.
“I…I tak tahu honey. I tak kenal perempuan ni.” Balas lelaki itu tergagap-gagap. “Sumpah I tak kenal!” Dia menyambung semula.
“Sayang, kenapa you kata you tak kenal I? Bukankah baru dua hari lepas, kita keluar makan candle light dinner lagi. You kata nak bawa family you pinang I.” Provok Anabella lagi. Hatinya bagai mahu runtuh melihat wajah kedua-duanya seperti udang dibakar.
“Bila I bawa you keluar?” Jerkah lelaki itu ke arah Anabella. Berang. Anabella pura-pura terkejut. Dia mengalihkan pandangan ke arah teman wanita lelaki itu. “Tengok! Dia pura-pura tak kenal I? Sampai hati you sayang, dulu you kata I lah intan payung you, kekasih hati you siang dan malam. Sekarang you boleh buat-buat tak kenal I padahal baru dua hari lepas kita jumpa.” Anabella pura-pura berwajah sedih.
“Oh..jadi you ada jumpa dia dua hari lepas. Patutlah bila I ajak you tengok wayang tempohari, you kata you ada hal penting. Rupa-rupanya hal dengan perempuan ni?” Marah teman wanita lelaki itu.
“Sayang, mana ada I keluar dengan dia. I…I sebenarnya…”
Pang! Suatu tamparan agak kuat singgah di pipi lelaki itu mengejutkan hampir sebahagian besar orang-orang yang berada di food court tersebut. Anabella tergaman. Kojie juga turut terpaku tidak percaya. Kenapalah perempuan zaman sekarang ganas-ganas belaka? Kojie terasa gerun!
Gadis itu segera berlalu meninggalkan kawasan food court itu sambil dikejar oleh teman lelakinya. Melihat kedua-duanya sudah menghilang dari pintu food court, Anabella dengan selamba segera menempati meja yang kembali kosong. Dia merenung Kojie yang masih terpinga-pinga dengan apa yang baru berlaku. Bibirnya melakar senyuman nakal. Kojie hanya mampu menggelengkan kepala. Namun diam-diam dia akui, Anabella sememangnya gadis paling ‘berakal’ yang pernah dijumpainya sepanjang hidupnya. Juga yang paling licik!
* * * *
Dua kelibat tubuh menyelinap masuk sebaik pintu di hadapan mereka berjaya dibuka. Hanya dengan dua kali cubaan, pintu itu berjaya dibuka. Bibir salah seorang darinya tersenyum senang. Manakala yang seorang lagi asyik mengesat peluh yang mula membasahi dahi.
Apabila kaki anak gadis itu mahu melangkah masuk, Kojie bertindak lebih pantas. Tangan Anabella ditarik agak kuat sehingga menyebabkan gadis itu hampir tersembam.
“Kojie, tolong jangan tarik akulah.” Herdik Anabella dengan suara separuh berbisik. Matanya dicerlung memandang ke arah Kojie yang terpaku seperti patung di situ.
“Bella, boleh tak kalau malam ni kau jangan nak buat gila. Nanti orang nampak.” Bisik Kojie sambil masih memegang lengan gadis itu.
“Kalau kau takut sangat, siapa suruh kau ikut aku?” Balas gadis itu.
Kojie terdiam. Ahah betul jugak. Yang aku susah-susah ikut perempuan ni apasal pulak? Dia menggaru kepala tidak gatal. Melihat gerak geri Kojie yang serba tidak kena, Anabella mendengus agak kuat.
Melihat Anabella kembali memusingkan badannya, Kojie tiba-tiba disentap rasa tidak enak. Dia serba salah mahu membiarkan Anabella melakukan kerja tidak sah itu seorang diri. Mahu tidak mahu, Kojie segera menuruti langkah gadis itu ke dalam. Sesekali liar matanya mengawasi perkarangan chalet bersebelahan bilik Mawar itu. Hai masak aku kalau ada orang nampak!
Kojie sendiri terkejut besar bila Anabella siap membeli pisau dan serbuk putih dalam botol yang dia sendiri tidak tahu apa kandungannya. Mulanya bila gadis itu membuat keputusan mahu menceroboh ke bilik Mawar itu, dia sudah tidak sedap hati. Dia tahu bilik itu dihuni oleh teman wanita kepada lelaki yang mahu ditemui Anabella.
“Nak buat apa masuk sini? Kau nak bunuh perempuan tu ke?” Dia mula bingung tatkala Anabella mengeluarkan sebilah pisau dari poket bajunya. Gadis itu memandangnya tajam. Kojie mula kecut perut. Dah buat dah awek ni! Buat-buat Anabella mengamuk lalu menikam perempuan yang menghuni bilik ini, entah-entah dengan dia sekali diangkut ke balai. Habislah reputasi dia di mata Hezra nanti. Mak Wan, tolong Kojie Mak Wan! Budak perempuan ni dah gila agaknya!
“Syy diamlah kau!” marah Anabella. Mata pisau di tangannya segera dihalakan ke arah celah-celah lubang pada pintu. Dia sudah tidak peduli pada Kojie yang terpinga-pinga tidak mengerti. Yang penting, hajatnya malam itu tercapai. Lagipun pekerja di kaunter itu sendiri bilang yang Mira dan Iqbal masih belum pulang dari Kuantan. So tunggu apa lagi? Inilah yang masa yang sesuai untuk dia jalankan projek ‘antarabangsa’nya yang ala-ala “Quantum Of The Solace’ tu.
Nasibnya baik bila selak pintu bilik itu cepat pula tertolak ke atas. Anabella segera menerpa masuk. Melihat bilik itu yang bersepah dengan baju-baju di atas katil serta di bawah lantai, dia tersengih sendiri. Hui nama aje otak geliga, tapi pengotor! Detik hati kecil Anabella apabila dia melihat keaadaan bilik Mira yang sudah serupa tongkang pecah.
“Huii ini bilik ke… ‘Acheh yang baru dilanda tsunami’?” Belum apa-apa, Kojie terlebih dahulu bersuara. Dia menggeleng kepala melihat bilik yang tidak serupa bilik itu. Anabella tergelak besar.
“Ha kalau kau nak tahu, inilah diri sebenar si Tumirah Kuncup tu. Depan orang pandailah dia pura-pura baik. Belakang, hancus!!” Anabella mencebik.
“Ini ke perempuan tu?” Kojie bertanya seraya menunjukkan ke suatu arah. Anabella menoleh. Melihat potret wajah Mira bersama Iqbal sedang berpelukan terhias di tepi katil, biji mata Anabella seperti hendak terkeluar. Kepalanya juga seperti hendak meletup. Grrr….geramnya!
Melihat perubahan wajah anak gadis itu, Kojie menelan liur. Aduss, menyesal aku tegur. Ni kalau dah buat rupa begitu, sekejap lagi ada putting beliung la melanda bilik ni nanti. Silap-silap haribulan, dia tidak akan rasa pelik jika Anabella membelasah gadis yang dipanggil Mira itu.
“Kojie, kita bertindak sekarang!” Mata gadis itu sudah terarah ke arahnya. Kojie tergaman. Bertindak? Apa maksud dia. Namun pertanyaannya tidak bertahan lama apabila gadis itu tiba-tiba membuka bekas berisi serbuk putih itu.
“Bella, apa benda tu?” Soal Kojie ingin tahu.
Anabella tidak segera menjawab. Hanya senyumannya sahaja yang melebar sehingga ke telinga. Ini ubat untuk perempuan gedik tu! Bisik Anabella di dalam hati.
Dia segera menabur serbuk putih itu di atas katil Mira. Tak cukup dengan itu, dia membuka almari pakaian gadis itu lalu berbuat perkara yang sama. Hampir dia ketawa melihat pakaian gadis itu dipenuhi serbuk-serbuk itu. Huh padan muka kau!
“Bella, apa ni? Ini serbuk dadah ya? Kau biar betul, hukuman gantung mandatori ni kalau kena tangkap.” Kojie melahirkan kemusykilan.
Ketawa Anabella mati. Bulat matanya memandang Kojie yang menggaru kepala tidak gatal.
“Apa, kau ingat aku ni dah tak ada kerja lain sampai nak cari dadah? Lu fikirlah sendiri beb! Apahal aku nak tabur benda mahal tu atas katil perempuan ni?” Tukas Anabella separuh meradang.
“Habis tu?”
“Ini serbuk kapur la.” Balas Anabella.
“Kapur barus?” Kojie tergaman. “Buat apa? Mana ada orang mati kat sini.”
“Kalau kau tak berhenti bersoal jawab, kejap lagi kau tu yang mati aku kerjakan.” Herdik Anabella. Geram hatinya melihat Kojie yang tak habis-habis menyoalnya.
Kojie terdiam. Walaupun dia masih ingin menyuarakan pertanyaan yang bermain di kepalanya, namun sebaik dia melihat wajah Anabella yang seperti singa lapar dia cuba menahan diri.
“Jom keluar sebelum diaorang balik.” Anabella menuju ke arah pintu. Kojie pantas mengikut. Sebaik daun pintu bilik itu ditutup kembali, satu suara menerjah ke gegendang telinga Anabella dan Kojie.
“Bella?”
Dada Anabella berdegup kencang. Suara itu bagaikan dikenalinya. Dia menoleh memandang ke arah Kojie yang sudah mula pucat, sebelum perlahan-lahan memusingkan tubuh.
Satu wajah tampan terpapar di hadapan matanya. Mulut Anabella terlopong memandang Iqbal yang nampak lebih berkarisma dari dulu. Aura lelaki itu sentiasa melekat di hatinya dulu dan sekarang. Pakaian berjenama yang menyalut tubuh lelaki itu menyerlahkan lagi kekaguman hatinya. Aduhai…my Iqbal is here!
“Bella kan?” Iqbal bagaikan ragu-ragu apabila anak gadis itu diam sahaja.
Anabella tetap diam.
“Iqbal dear, kenapa you jalan cepat sangat? Mana barang yang kita beli tadi?” Tiba-tiba seorang gadis berambut panjang dan berwajah menarik muncul di sisi Iqbal. Tumpuan Anabella mula beralih arah. Mira! Detik hatinya.
Melihat Anabella berdiri di hadapan biliknya, senyuman Mira terhenti tiba-tiba. Dia terkesima memandang gadis itu. Sejurus mata Mira beralih ke arah Iqbal yang masih menatap Anabella tidak berkelip.
* * * *
Keempat-empat mereka diam sahaja apabila seorang pelayan membawakan gelas berisi minuman serta sepiring sandwich tuna yang dipesan oleh Iqbal. Sebaik hidangan itu tersedia, orang yang memulakan tindakan pastilah Kojie. Lagipun sepanjang malam dia mengikut Anabella, perutnya sudah jadi sensitif. Asyik lapar sahaja 24 jam.
Gerak geri Kojie mengundang perhatian Iqbal dan Mira. Sejak tadi tanda tanya mereka bersarang dengan kemunculan lelaki di samping Anabella. Apatah lagi ‘keselekehan’ Kojie memakukan mata pasangan itu ke arah lelaki itu.
Anabella tiba-tiba turut mencapai gelas fresh orange di hadapannya lalu diteguk rakus. Sebaik minuman sejuk itu memasuki ruang esofagus, dia melepaskan rasa lega. Baru sejuk sedikit tubuhnya setelah melihat aksi manja kucing Mira yang tak sudah-sudah memeluk lengan Iqbal.
Apabila matanya kembali menyorot pasangan di hadapannya, mata Anabella terperosok pada wajah Iqbal. Lelaki itu melontarkan senyuman manis membuatkan hatinya terus bergetar hebat.
“Lama tak jumpa. Bella nampak makin cantik.” Ucap Iqbal ikhlas.
Rona wajah Anabella mula memerah.
“Bella buat apa kat sini? Ib tak sangka boleh jumpa Bella kat sini.” Iqbal terus bertanya. Belum sempat Anabella mahu membalas, suara Mira terlebih dahulu memintas.
“You ni Iqbal, takkan itu pun nak tanya. You tak nampak ke yang kat sebelah Bella tu? Dia datang sini tentulah nak ‘berchenta-chenta’ macam kita ni.” Ujar Mira sambil menekankan perkataan akhirnya. Padahal dia faham benar apa tujuan kedatangan Anabella, musuh ketatnya di sekolah dahulu. A competitor in every single things!
Gelak gediknya bergema memenuhi ruangan kafeteria itu. Beberapa orang yang sedang makan-makan di meja berhampiran menoleh dua tiga kali. Kojie yang sedang menyuap sandwich hampir tersedak mendengar hilaian Mira yang seperti Cik Pon yang baru tertelan butir durian. Mak oiii….
Iqbal tidak memberi sebarang reaksi di atas kata-kata Mira. Matanya menjunam ke arah Kojie yang berada di samping Anabella. Mulut lelaki itu sudah bersememeh dengan mayonis di atas dan di bawah bibir. Apakah lelaki ini benar-benar pilihan Anabella? Kepala Iqbal bersarang dengan tanda tanya.
“Bella, lelaki ni...?” Iqbal memandang gadis itu tidak berkelip.
Anabella menarik nafas panjang. Dia mengerling ke arah Kojie di sampingnya sebelum memandang ke Iqbal dan Mira silih berganti. “Iqbal, Mira…perkenalkan ini Kojie.” Ujar Anabella memperkenalkan lelaki itu. Kojie hanya tersengih dengan mulut penuh.
“My boyfriend…” sambung Anabella. Kojie tersedak. Habis terhambur semua isi makanan yang ada di mulutnya. Dia terkejut mendengar kata-kata Anabella. Namun niat hatinya mahu membantah ‘ayat penyata’ itu dirosakkan oleh satu jeritan nyaring. Serentak semua pasang mata tertumpu ke arah Mira. Hampir terbeliak biji mata Kojie dan Anabella apabila melihat sepotong tomato sudah melekat di atas kepala Mira yang menjerit-jerit seperti perempuan ‘senteng’.
“Iqbal, please tolong buang benda atas kepala I ni.” Jerit Mira agak nyaring. Kelam kabut Iqbal membuang hirisan tomato di kepala gadis itu yang pastinya datang dari arah Kojie. Anabella menjeling Kojie. Lelaki itu turut memandangnya sambil mengangkat bahu. Tapi senyuman Anabella lalu sepi di hujung bibirnya sepintas lalu. Di dalam hati, ketawanya sudah terburai. Puas hatinya melihat Mira dikenakan oleh Kojie tanpa sengaja.
* * * *
“Betul lelaki tu boyfriend Bella?” Soal Iqbal lagi ketika mereka jalan beriringan menuju ke bilik masing-masing. Anabella tidak terus menjawab. Dia memusingkan badannya lalu menoleh ke arah Kojie yang tertinggal di belakang agak jauh. Mira pula sejak awal-awal sudah pulang ke biliknya kerana mahu membersihkan diri akibat tempias ‘sandwich beracun’ yang dijampikan oleh Kojie.
“Kenapa? Tak percaya?” Anabella bertanya semula.
Iqbal ketawa kecil. “Bukan tak percaya, tapi Ib hairan Bella pilih dia. Gadis cantik macam Bella sepatutnya berdampingan dengan lelaki yang sepadan. Tapi mungkin kata orang betul, cinta tu tak mengenal rupa atau harta. Yang penting ikhlas dan jujur menyayangi.” Ungkap Iqbal.
Anabella terdiam. Cantikkah aku ni? Apakah Iqbal ikhlas memuji atau sekadar mahu mengambil hati? Yang pasti tentu tidak cukup cantik untuk dijadikan pilihan hati. Tiba-tiba sahaja Anabella terasa rendah diri berada di samping Iqbal.
“Macam Ib dan Mira?” Anabella cuba menduga. Kerana itu dia memilih Mira? Kerana Mira jauh lebih cantik dan Mira juga lebih cerdik darinya? Tentu gadis seperti Mira lebih sepadan di sisi Iqbal berbanding dirinya yang serba kurang. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia menjerit memarahi Iqbal kerana keputusannya, namun entah sejak bila dia mula berubah fikiran.
Langkah Iqbal tiba-tiba terhenti. Tubuhnya dipusingkan mengadap ke arah Anabella yang terkesima memandangnya. Iqbal merenung wajah itu agak dekat.
“Maaf sebab Ib tak beritahu Bella fasal Ib dengan Mira. Semuanya berlaku terlalu pantas. Kami sama-sama sendirian di negara asing. Ib belajar di Oklahoma dan Mira pula di Pensylvania. Setiap hujung minggu kami selalu keluar bersama dan…”
“Dan lepas tu Ib rasa diri Ib dan Mira secocok, then Ib terus ambil keputusan lamar dia. Begitu?” Pintas Anabella dengan suara meninggi. Tiba-tiba sahaja dia rasa meradang. Penjelasan Iqbal benar-benar membuatkan hatinya sudah tidak keruan.
Iqbal terdiam. Wajah Anabella dipandang teliti. Wajah itu lebih manis berbanding tujuh tahun yang lalu. Malah agak cantik sebenarnya. Dahulu wajah Anabella lebih bulat dengan rambut panjang yang ditocang dua. Gadis itu juga nampak ‘nerd’ dengan pendakap gigi yang dipakainya sejak Tingkatan Satu lagi. Hari ini entah kenapa wajah Anabella nampak lebih menarik di mata Iqbal.
“Kenapa Ib diam? Ib betul-betul yakin yang Ib dan Mira boleh hidup bersama?” Soal Anabella ingin tahu.
Iqbal tetap membisu.
“Ib, Bella tanya ni.” Anabella mula hilang sabar. Dia perlukan jawapan itu sebelum dia meluahkan apa yang dirasainya pada Iqbal. Dia harus memastikan kesahihah perasaan Iqbal pada Mira. Sekurang-kurangnya bila dia meluahkan perasaannya, peluangnya lebih tinggi.
“Lelaki tu….Bella benar-benar sayangkan dia?” Soal Iqbal tiba-tiba, tanpa menjawab pertanyaannya terlebih dahulu. Anabella terkesima. Pertanyaan lelaki itu terasa aneh. Kenapa setiap kali dia mempersoalkan hubungan antara Iqbal dan Mira, lelaki itu akan mengungkit perihal Kojie pula?
“Bella..” tiba-tiba Kojie memanggilnya. Anabella dan Iqbal serentak berpaling. Kojie memandang keduanya silih berganti.
“Tak nak tidur lagi ke? Dah lewat ni, aku pun dah mengantuk.” Ujar Kojie. Anabella mengerling ke arah pergelangan tangannya. Jarum jam sudah menginjak pukul dua belas malam. Sebenarnya jika diikutkan hatinya, dia masih mahu bersembang dengan Iqbal. Tapi renungan wajah Kojie seolah mengisyaratkan sesuatu.
“Maaf, betul kata Encik Kojie tu. Hari pun dah lewat malam ni. Apa kata kalau esok pagi kita sarapan sama-sama di kafeteria?” Usul Iqbal. Kojie hanya mengangguk setuju. Anabella tidak berkata apa-apa. Matanya masih menyorot ke arah setiap perlakuan Iqbal. Malah apabila Iqbal melangkah menuju ke biliknya, mata Anabella tak putus-putus mengekori lelaki itu.
“Dahlah tengok orang tu, juling biji mata kau nanti.” Sindir Kojie lalu menggelengkan kepalanya. Terbeliak biji matanya melihat Anabella tersengih-sengih sebaik lelaki tampan itu beredar dari situ.
“Kau dah beritahu dia perasaan kau?”
Anabella menggelengkan kepala.
Kojie tergaman. Belum? Habis bila?
Melihat Kojie merenungnya dengan sorot aneh, Anabella tergelak kecil. Cuba menutup perasaannya sendiri. Dia memang ingin berterus terang sebenarnya. Tapi melakukannya tidak semudah seperti yang disangka. Lagi-lagi dengan kehadiran Mira dan Kojie sendiri di situ.
“Boleh aku tahu kenapa kau kata kat dia yang aku ni boyfriend kau. Kau dah gila ke? Tak fasal-fasal aku dilibatkan sekali.” Rungut Kojie. Dia memang terasa aneh bila gadis itu memperkenalkan dia dengan Iqbal Hadzri sebentar tadi.
Anabella terdiam. Wajah muncung Kojie direnung agak lama. Entah dia sendiri tidak mengerti mengapa dia memperkenalkan lelaki selekeh itu sebagai teman lelakinya. Waktu itu dia tidak berfikir panjang. Ketika itu hatinya benar-benar tersayat melihat adegan kemesraan antara Mira dan Iqbal. Siapa tak sakit hati beb, tengok Mira seperti sengaja meletakkan kepalanya di bahu Iqbal. Dan mulutnya terus lancang memperkenalkan Kojie begitu. Dia tahu lelaki itu terkejut. Dan percayalah, dia sebenarnya lagi terkejut. Dalam banyak-banyak lelaki yang pernah dikenalinya, kenapalah dia sanggup menipu menggunakan nama Kojie yang termasuk lelaki terakhir dalam senarai lelaki idamannya. Malah kalaulah Kojie itu lelaki terakhir sekalipun di dunia ini, pasti dia akan memikirkan hampir sepuluh kali lagi untuk ‘bercinta-cinta’ dengan mat kalut itu. Tak lulus langsung!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!