Followers

Thursday, October 14, 2010

Hujan Rindu : Bab 20

Nek Jah termenung panjang di beranda rumah sambil memegang kain baju kurung milik Anum Dahlia yang tidak sempat dijahitnya. Sewaktu Anum Dahlia membawa pulang beberapa pasang kain untuk dibuat baju kurung, dia hanya sempat menjahit kain bertanah hijau, berbunga biru tua untuk anak gadis itu. Selebihnya dia berdikit-dikit menjahit. Bimbang juga dia, takut-takut Anum Dahlia mahu pulang terus ke luar negara tanpa sempat memakai pakaian yang dijahitnya.

Kini sudah beberapa hari Anum Dahlia berada di Kuala Lumpur. Dia jadi gelisah, serba tidak kena. Kesunyian mula menghantui rumah itu sepanjang ketiadaan Anum Dahlia. Selalunya gadis itu rajin menemaninya berbual sewaktu menyediakan makanan tengahari. Kini dia seperti hari-hari sebelumnya. Sendirian sahaja berteman sepi di rumah usang itu.

Tok Anjang yang baru hendak melintasi anjung rumah terhenti seketika sebaik terpandang kelibat Nek Jah termenung sendirian. Dia mengeluh kecil. Sejak Anum Dahlia tiada, begitulah isterinya setiap hari. Bagaimana kalau anak itu pulang terus ke tempat asalnya, entah apa reaksi isterinya barangkali.

Dia melangkah perlahan-lahan menuju ke arah Nek Jah.

“Jah, aku nak ke hujung kampung tu, berjumpa dengan Seman. Aku nak minta dia tolong racunkan kebun kita tu. Kalau harap aku seorang, tak terlarat aku nak membuatnya.” Ujar Tok Anjang sebelum turun ke halaman rumah.

“Abang aji, apa khabar Anum di sana agaknya.” Suara Nek Jah mendayu sayu. Tok Anjang tidak jadi meneruskan langkah. Dia memandang wajah Nek Jah yang muram.

“Kamu tak usah risau Jah. Ada si Yuzer dengan Zurin dekat sana, takkan apa-apa jadi pada Anum. Lagipun tak lama budak tu kat sana. Seminggu saja.” Ujar Tok Anjang seraya memakai helmet. Enjin motorsikalnya segera dihidupkan. Lagi lama dia di situ, lagi timbul bermacam ragam isterinya.

Terkelip-kelip mata Nek Jah memerhatikan kelibat Tok Anjang yang bergerak pantas dengan motorsikalnya. Diam-diam dia mengeluh panjang. Sejak balik dari rumah Lebai Dollah dulu, belum sekali pun timbul dari mulut suaminya tentang persoalan untuk mengambil Anum Dahlia sebagai cucu angkatnya. Timbul rasa resah di hati Nek Jah, apakah suaminya itu enggan menerima Anum Dahlia? Tapi bukankah hubungan antara Tok Anjang dan Anum Dahlia semakin rapat? Malah dia takkan lupa pada gelak ketawa suaminya ketika Anum Dahlia terpijak selut di belakang rumah mereka tempohari. Anum Dahlia pula dengan pantas terus mencalitkan lumpur di badannya ke muka Tok Anjang, sehingga tergaman orang tua itu dibuatnya.

Mengenangkan peristiwa itu, Nek Jah tertawa sendiri. Hatinya rasa terhibur dengan kenakalan Anum Dahlia yang datang sekali sekala. Anum, nenek rindukan Anum. Baliklah cepat Anum! Rintih hati Nek Jah, tak mampu dibendung.

* * * *

Yuzer baru pulang sewaktu melihat Anum Dahlia rancak berbual dalam telefon. Dia menjeling ke arah Anum Dahlia yang pura-pura tidak melihatnya. Wajah gadis itu ceria. Sesekali deraian ketawa Anum Dahlia terdengar lunak di telinganya.

Yuzer berlalu ke arah dapur. Dia tidak berniat mahu menganggu perbualan gadis itu, meskipun hatinya teramat ingin tahu dengan siapa Anum Dahlia berbual. Sambil menuang air masak ke dalam gelas, matanya masih mengawasi tindak tanduk Anum Dahlia.

“Baiklah Kimi, nanti saya datang. Insya Allah.” Ujar Anum Dahlia seraya menghabiskan perbualan. Sebaik gadis itu meletakkan gagang telefon, Anum Dahlia menoleh ke arah Yuzer.

“Awal awak balik hari ni?” Tegurnya sambil tersenyum. Hairan juga dia melihat Yuzer balik ke rumah agak awal. Selalunya pukul 5 atau 6 baru lelaki itu muncul, tapi jam di dinding rumah itu baru hendak masuk pukul 1 tengahari. Hendak makan tengahari di rumahkah? Fikir Anum Dahlia.

Teguran Anum Dahlia disambut Yuzer dengan sekadar anggukan. Melihat wajah Yuzer yang serius, Anum Dahlia tidak banyak cakap, terus melangkah masuk ke biliknya. Namun belum sempat dia menghilangkan diri ke dalam bilik, talian telefon di rumah itu berbunyi lagi. Anum Dahlia berpaling, namun Yuzer terlebih dahulu mengangkatnya.

“Hello! Ya Yuzer cakap. Itu nenek ya?”

Anum Dahlia tercengang. Siapa? Nek Jahkah? Dia tercegat memandang Yuzer. Lelaki itu masih rancak berbual namun sesekali mata Yuzer melirik ke arahnya. Dia menganguk-angguk sesuatu sebelum menghulurkan gagang ke arah Anum Dahlia.

“Nenek nak cakap dengan awak.” Ujarnya bersahaja.

Anum Dahlia mengambil gagang telefon dari tangan Yuzer. Lelaki itu masih tercegat di situ, membuatkan Anum Dahlia dihimpit serba-salah. Perlahan-lahan gagang telefon itu di lekatkan pada telinganya.

“Hello! Nenek ya? Anum sihat nek. Nenek dengan datuk sihat?”

Senyuman halus mula singgah di bibir mungil itu. Yuzer yang melihat seakan terpaku.

“Tak ke mana pun nenek. Kelmarin Anum dengan Zurin jalan-jalan kat shopping complex kat sini. Lepas tu kami pergi makan, itu aje.” Dia mencanang satu persatu aktiviti yang dilakukannya bersama Zurin.

“Yalah, Insya Allah nek, nanti Anum balik segera. Anum pun rindu dengan nenek dan datuk. Kalau boleh Anum pun nak balik cepat.” Sahut anak gadis itu pula.

Yuzer menatap gadis itu agak lama. Kenapa, tak sukakah dia tinggal di rumah aku sampai nak balik cepat? Detik hati Yuzer penuh tanda tanya. Namun dibiarkan gadis itu menghabiskan perbualan. Apabila dirasakan perbualan antara Anum Dahlia dan Nek Jah hampir berakhir, tiba-tiba sahaja Yuzer merampas telefon di tangan Anum Dahlia. Gadis itu tergaman.

“Hello. Nenek, Yuz nak minta izin nenek bawa Anum dan Zurin ke Pulau Pangkor. Mereka mungkin balik lambat sedikit dari jadual asal. Yuz harap nenek izinkan. Lepas balik dari Pulau Pangkor Yuz sendiri akan hantar mereka berdua ke kampung. Lagipun Yuz ada kerja dengan ayah,” ujar Yuzer selamba.

Anum Dahlia tercengang mendengar kata-kata Yuzer. Dia berdoa agar Nek Jah tidak setuju dan memintanya pulang segera. Namun mendengar kata-kata Yuzer seterusnya, Anum Dahlia tahu harapannya tidak mungkin berjaya.

“Baik, terima kasih nenek. Sampaikan salam kami pada datuk ya!” Ucap Yuzer seraya menamatkan perbualan. Dia meletakkan gagang telefon di tempatnya, seraya mengalihkan pandangan ke arah Anum Dahlia yang tercegat seperti patung. Wajah gadis itu menikam tepat ke wajahnya. Bibir Anum Dahlia bergerak-gerak bagaikan ingin mengatakan sesuatu. Tapi sebelum sempat Anum Dahlia mahu bersuara, Zurin tiba-tiba muncul sambil menjerit kegirangan.

“Betul abang nak bawa kami ke Pulau Pangkor?” Soalnya inginkan kepastian.

Yuzer hanya mengangguk.

“Bila? Bila kita nak pergi?” Soalnya lagi sudah tidak sabar.

“Selepas kerja abang habis. Mungkin dalam dua tiga hari lagi. Lagipun kita kena tunggu Zaza habis exam, lepas tu kita pergi sama-sama,” Usul Yuzer. Sebenarnya sudah dua hari dia merancang percutian itu, apatah lagi apabila Zurin sering merungut kerana mereka sudah lama tidak pergi bercuti. Sekadar meraikan Zurin yang baru menamatkan peperiksaan SPM serta Zaza yang baru habis final exam, maka dia sudah menyuruh Emir menempah apartment yang selalu didiaminya jikalau mereka bercuti ke pulau percutian yang terkenal itu.

“Kak Anum dengar tak? Kita nak pergi Pulau Pangkor.” Zurin memeluk Anum Dahlia tanpa sedar. Anum Dahlia tersenyum, namun senyuman yang diberi kelihatan hambar di mata Yuzer. Dia tahu gadis itu tidak bersetuju dengan rancangannya.

* * * *

Bengang Anum Dahlia dengan sikap Yuzer yang memandai-mandai membuat rancangan tanpa bertanya kepadanya terlebih dahulu. Jika diikutkan hatinya, mahu saja dia hamburkan kemarahannya di hadapan lelaki itu tadi. Namun kemunculan Zurin membuatkan dia mematikan niatnya. Ditambah dengan sikap ceria Zurin kerana dapat bercuti ke Pulau Pangkor, Anum Dahlia tidak sampai hati mahu membantah. Namun sepanjang malam itu, dia tidak dapat melepaskan dirinya dari rasa marah terhadap Yuzer.

Anum Dahlia memanjangkan lehernya, mengintai kelibat Yuzer dan Zurin yang sedang tertawa menonton rancangan komedi di televisyen. Tanpa disedari, mulutnya melepaskan keluhan berat. Dia meneruskan tugasnya membasuh pinggan mangkuk yang bertimbun sisa dari makan malam tadi.
Sambil membasuh, dia terkenangkan Nek Jah dan Tok Anjang di kampung. Apa khabar kedua-dua mereka? Entah mengapa dia rasa kasihan dengan Nek Jah. Mungkin tujuan Nek Jah menelefonnya kerana ingin menyuruh dia pulang awal. Tapi bila tiba-tiba Yuzer membuat permintaan sebegitu, mahu tak mahu Nek Jah terpaksa menurut.

“Nenek rindu betul pada Anum. Jaga diri kat sana ya sayang!” Ucapan Nek Jah petang tadi menyentuh hati kecilnya. Apalagi ungkapan kata ‘sayang’ dari wanita itu begitu kerap meniti di bibirnya sejak dua menjak ini. Jauh di sudut hati dia tahu, wanita itu mula menyayanginya. Bahkan dia juga begitu. Sebulan bersama Nek Jah dan Tok Anjang, kasih sayangnya tumbuh mekar dari hari ke sehari.

“Awak marahkan saya?” Ujar suatu suara. Anum Dahlia tergaman. Dia berpaling. Pantas matanya bertembung pandang dengan kelibat tubuh Yuzer yang tiba-tiba menjengah ke ruang dapur.

“Saya tak faham apa maksud awak.” Balas Anum Dahlia acuh tak acuh. Dia kembali mengadap ke arah sinki sambil meneruskan tugasnya. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu memandang Yuzer. Bimbang Yuzer melihat airmata yang bergenang di kelopak matanya.

“Saya tahu awak tak suka tinggal di sini, lebih-lebih lagi sebab saya ada di sini.”

“Ini rumah awak, saya tak berhak nak marah!” Balas Anum Dahlia pantas.

“Tapi awak tak suka bila saya buat keputusan menghalang awak balik ke kampung kan? Saya tahu awak rindukan nenek dengan datuk. Pelik juga bila saya fikirkan, hubungan awak dengan mereka lebih baik dari hubungan mereka dengan Melina, cucu mereka sendiri. Apa rahsia awak Anum?” Soal Yuzer.

Anum Dahlia tergaman. Rahsia? Apa maksud Yuzer? Dia memberanikan diri memandang ke arah lelaki itu. Wajah lelaki itu serius menatap ke arahnya. Anum Dahlia kian resah.

“Awak tiba-tiba muncul dalam hidup kami. Dan dalam sekelip mata awak jadi cucu kesayangan Nek Jah dan Tok Anjang. Tapi anehnya kami langsung tak tahu apa-apa fasal awak. Siapa awak sebenarnya?” Bertalu-talu soalan itu menyapa dari bibir Yuzer.

Kata-kata Yuzer seperti mengandungi maksud tersirat, membuatkan Anum Dahlia merasa seperti dadanya ditolak dengan batu besar. Dia ingin bersuara, namun lidahnya bagaikan kelu untuk berkata-kata.

Perlahan-lahan Yuzer melangkah mendekati Anum Dahlia yang seperti hendak menangis. Dipandangnya wajah itu tidak mahu lepas.

“Awak orang asing dalam hidup saya Anum. Selalunya saya tak pernah membiarkan seseorang yang asing hadir dalam hidup saya begitu sahaja. Tapi entah kenapa dengan awak, hati saya bagaikan membenarkannya dan saya tak faham kenapa ianya berlaku.” Bisik Yuzer perlahan.

Anum Dahlia terdiam. Entah kenapa hatinya berdebar kuat tatkala ungkapan kata-kata itu meluncur dari bibir Yuzer. Meskipun dia tidak pasti apakah maksud sebenar lelaki itu, tapi entah kenapa hatinya terasa sejuk mendengar kata-kata Yuzer itu. Ada sekelumit ketenangan singgah di penjuru hatinya.

* * * *

“Kak Anum nak ke mana cantik-cantik macam ni?” Soal Zurin sebaik melihat Anum Dahlia lengkap berpakaian agak cantik. Wajah yang selalunya bersih dioles dengan sedikit lipstick dan mekap tipis. Beg tangan kecil sudah disandang ke bahunya.

“Zurin, kakak nak keluar sekejap. Kakak nak jumpa kawan.” Ujar Anum Dahlia ringkas. Kata-katanya membuatkan Zurin tercengang.

“Jumpa siapa? Biarlah Zurin temankan kak Anum,” ujar Zurin.

“Tak payahlah Zurin, kakak pergi sekejap saja. Lagipun Zurin kata semalam nak tunggu Zaza balik petang ni. Nanti kalau Zaza balik, dia tengok Zurin tak ada, nanti apa kata dia pula.” Balas Anum Dahlia.

Zurin terdiam. Hatinya bimbang mahu melepaskan Anum Dahlia pergi seorang diri, namun melihat kesungguhan gadis itu, dia tidak sampai hati mahu membantah.

“Okeylah kalau macam tu, tapi kak Anum balik awal sikit ya. Tapi abang call, katanya malam ni tak payah masak. Dia nak ajak kita semua dinner kat luar.” Beritahu Zurin.

Anum Dahlia mengangguk. Dia sempat berpesan supaya gadis itu berhati-hati di rumah sepeninggalannya. Bulat mata Zurin melihat Anum Dahlia beredar di hadapan matanya. Namun timbul tanda tanya dalam hatinya. Ke mana sebenarnya Anum Dahlia mahu pergi. Setahunya Anum Dahlia baru sampai ke Malaysia, malah gadis itu tidak ada kenalan lain selain mereka. Jadi dengan siapa Anum Dahlia mahu berjumpa? Puas otak Zurin berfikir, namun dia gagal mendapatkan jawapan pasti.

* * * *

Singgah rasa kagum di hati Anum Dahlia apabila melihat rumah besar itu tersergam indah di hadapan matanya. Dia melirik ke arah Hakimi di sisinya. Anak muda itu hanya menjongketkan bahunya. Apabila Anum Dahlia meluruskan pandangan, dia melihat seorang wanita dalam lingkungan usia akhir 40an meluru keluar dari dalam rumah. Anum Dahlia cepat-cepat keluar dari kereta, diekori oleh Hakimi.

“Anum?” Tegur wanita itu seraya memeluknya agak erat. Dia agak kaget namun hanya membiarkan. Meskipun tidak pernah berjumpa, namun dia dapat mengagak wanita itu auntie Linda, rakan baik auntie Marion serta ibu kepada Hakimi.

“Auntie Linda sihat? Maaf sebab baru sekarang Anum datang jumpa dengan auntie.” Ucap Anum Dahlia. Wanita itu menggelengkan kepala.

“Sepatutnya auntie yang minta maaf sebab tak dapat jemput Anum di airport tempohari. Nasib baik ada Hakimi yang balik bercuti. Itupun puas auntie ingatkan dia, takut dia lupa. Eh! Lupa nak jemput Anum masuk. Mari kita masuk dalam” ajak wanita itu seraya menarik tangan Anum Dahlia. Anum Dahlia sempat berpaling ke arah Hakimi yang hanya tersengih..

“Macamana kat kampung tu? Anum seronok di sana?”

“Alhamdulillah auntie, Anum rasa seronok sangat.”

“Anum jumpa mereka?”

Anum Dahlia mengangguk tenang.

“Bagaimana orangnya?”

“Baik. Mereka baik dengan Anum auntie.” Jawab Anum Dahlia jujur. Dia tahu wanita di hadapannya itu tahu serba-sedikit tentang dirinya.

Linda tersenyum mendengar kata-kata anak gadis itu. Dia ingin bertanya lagi, tapi apabila melihat Hakimi berada di situ, dia membatalkan hasratnya. Apatah lagi anaknya itu tidak tahu apa-apa tentang kedatangan Anum Dahlia ke Malaysia.

“Anum di Kuala Lumpur tinggal dengan siapa?”

“Dengan saudara.” Jawab Anum Dahlia ringkas. Entah kenapa dia rasa selesa menggelarkan ‘saudara’ pada Yuzer dan adik-adiknya. Memang itulah kenyataannya, meskipun berat untuk diakuinya di hadapan Yuzer dan Zurin sendiri.

“Sebenarnya banyak yang auntie nak cakapkan dengan Anum. Anum tidur di rumah auntie malam ni?” Saran Linda.

Anum Dahlia terdiam. Sukar dia hendak memutuskan kerana bimbang dengan reaksi Yuzer dan Zurin. Lagipun awal-awal lagi Zurin sudah berpesan supaya dia balik awal hari itu.

“Anum memang nak auntie tapi Anum tak boleh. Anum dah janji dengan mereka nak balik awal. Tapi lain kali kalau Anum singgah, Anum akan jenguk auntie lagi.” Ujar Anum Dahlia seolah berjanji.

“Tak apalah kalau macam tu, tapi biarlah lama sikit di sini ya. Kita makan tengahari di sini. Banyak yang nak auntie bualkan dengan Anum. Lagipun Marion banyak bercerita fasal Anum dengan auntie, sampaikan auntie rasa bagaikan dah lama mengenali Anum.” Ujar wanita itu. Anum Dahlia tersenyum. Dia tahu wanita di hadapannya itu ikhlas terhadapnya. Dia juga mula menyenangi wanita yang berperawakan menarik itu.

* * * *

Selepas makan tengahari, Anum Dahlia mengambil kesempatan bersiar-siar di sekitar rumah banglo dua tingkat itu. Dia tertarik dengan hiasan landskap taman yang dipenuhi dengan bunga-bunga beraneka warna di sepanjang halaman. Rajin auntie Linda ni menguruskan laman, bisik Anum Dahlia di dalam hati.

“Anum, buat apa tu?” Tegur Linda sambil menatang sedulang minuman sejuk.

“Tak apa-apa, Anum tertarik tengok landskap auntie. Cantik!” Puji Anum Dahlia. Linda hanya tersenyum. Dia membawa dulang minuman ke arah kerusi rehat tidak jauh dari situ. Tanpa disuruh, Anum Dahlia mengekori Linda ke arah kerusi rehat.

“Landskap tu arwah suami auntie yang buat beberapa tahun dulu, sebelum dia meninggal.” Ujar Linda tenang.

“Maaf auntie, Anum tak tahu.” Balas Anum Dahlia serba-salah.

“Tak apa-apa, perkara dah lama berlalu. Lagipun tak ada gunanya kita asyik memikirkan perkara yang dah lepas. Bukankah lebih baik kalau kita memandang ke hadapan sahaja.” Nasihat Linda.

Anum Dahlia terdiam. Kata-kata wanita itu membuatkan dia tersedar sesuatu. Betapa selama ini dia telah melupakan apa yang tertinggal dalam hidupnya selama ini.

“Boleh auntie tahu berapa lama Anum rancang nak tinggal kat sini? Anum tak rindukan mama?” Tanya Linda sekadar mahu menduga isi hati anak gadis itu.

“Entahlah auntie. Kalau ikutkan hati Anum ni, memang Anum nak sangat balik jumpa mama. Auntie rasa macamana?”

Linda terdiam. Entah mengapa dia sendiri kalau berada di tempat Anum Dahlia, mungkin sukar untuknya membuat keputusan. “Apa kata hati Anum?” Soal Linda ingin tahu.

“Anum tak tahu. Di sini, Anum mula merasakan sesuatu. Suatu perasaan yang mama pernah idam-idamkan selama ini. Tak tahu kenapa, Anum mula jatuh sayang pada mereka, auntie.” Luah Anum Dahlia sebak.

“Sebab jauh di sudut hati Anum, Anum tahu yang mereka darah daging Anum sendiri. Tapi sampai bila Anum nak berbohong pada mereka? Lambat laun Anum harus berterus-terang tentang cerita sebenar. Tentang siapa Anum.” Balas Linda.

“Lagipun keadaan Anum sendiri bagaimana? Anum harus fikirkan tentang diri sendiri. Auntie Marion risau sangat kalau Anum jatuh sakit lagi.” Sambungnya lagi. Begitulah yang diutarakan oleh Marion padanya beberapa malam yang lalu.

“Tapi Anum dah tak rasa sakit auntie. Anum rasa Anum dah sihat.”

Linda mengeluh. Patutkah dia percaya pada kata-kata gadis itu, sedangkan hakikatnya berat untuk diakui. Penyakit Anum Dahlia bukannya penyakit ringan. Gadis itu harus menerima rawatan dari masa ke semasa.

“Aku risau fasal dia Lin. Dia tak ada sesiapa di sana. Aku cuma boleh berharap pada kau seorang. Tolong aku jaga dia!” Kata-kata Marion suatu ketika dulu kembali menerjah dalam ingatannya.

“Aku tak boleh harapkan Razman biarpun aku tahu dia sayangkan Anum.”

“Kenapa?”

“Aku takut Razman fikirkan yang bukan-bukan lagi. Selama ini dia sentiasa menganggap Anum anak kandungnya, sedangkan hakikatnya Anum anak Patrick.”

“Sebab tu kau bercerai dengan Razman?”

Kedengaran wanita itu mengeluh berat. “Akiu cintakan Razman, tapi aku tahu jauh di sudut hati, dia hanya menyintai Sufiyah. Perkahwinan kami hanya satu kepura-puraan untuk mengelakkan hakikat itu. Aku hormati Razman. Sekurang-kurangnya dia jujur dan melayan aku dengan baik. Tapi sampai bila? Aku juga ada harga diri dan perasaan, perasaan agar Razman ikhlas menyayangi aku sebagaimana dia sayangkan Sufiyah dulu.” Bisik Marion, sayu. Dan hanya dia yang sentiasa menjadi pendengar setia kepada wanita itu sejak dulu hingga kini.

“Auntie, Anum rasa dah lama Anum kat sini. Anum patut balik sekarang,” celah Anum Dahlia mengejutkan lamunan Linda. Dia tergaman tapi cepat pula tersenyum ke arah gadis itu.

“Tunggulah sekejap lagi. Hakimi keluar sekejap, nanti Kimi hantarkan Anum balik. Takkan Anum tak sudi temankan auntie sampai Kimi balik,” pujuk wanita itu. Anum Dahlia serba-salah, namun untuk meninggalkan wanita itu begitu saja, dia tidak sampai hati. Akhirnya dia mengangguk setuju.

“Kebetulan Anum ada kat sini, Anum tak pergi jumpa dengan uncle Razman?” Soal Linda ingin tahu.

Anum Dahlia terdiam. Uncle Razman? Betul juga! Sejak dia datang, entah kenapa dia tidak terfikir untuk bertemu dengan lelaki itu. Bagaimana dia sekarang? Sihatkah dia? Kali terakhir mereka berjumpa adalah ketika lelaki itu melawat ibunya hampir dua bulan yang lalu.

“Anum tak ada address uncle,” jawab Anum Dahlia jujur. Sememangnya dia langsung tidak memiliki alamat lelaki itu di Kuala Lumpur. Entah kenapa bila Linda tiba-tiba menyebut tentang lelaki itu, tiba-tiba dia jadi rindu pada lelaki itu. Razman adalah bekas suami auntie Marion, juga kenalan baik ibu dan babanya.



No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!