Followers

Tuesday, July 19, 2011

Mitos Cinta Suria : Bab 43

            “AISYAH, awak kena tolong saya tinggalkan tempat ni. Awak dan anak-anak awak boleh ikut saya. Saya akan lindungi kamu semua.” Pujuknya tidak henti-henti. Besar harapannya agar wanita itu sudi melakukannya.
            “Tapi saya….”Aisyah serba-salah.
            “Takkan awak mahu serahkan anak awak pada perempuan syaitan tu. Fikirkanlah fasal anak awak Aisyah.”
            “Kalau saya pergi, seluruh orang kampung ni akan dibunuh.” Keluh Aisyah dengan nada rungsing.
            “Mereka tak berperikemanusiaan Aisyah. Mereka hanya tengok sahaja Kuntum dibunuh. Kenapa Aisyah nak kasihankan mereka?” Pujuknya lagi. “Lagi satu, kenapa Mahira bawa saya ke mari? Dan kenapa Pak Nong tak mahu saya tinggalkan tempat ni?”
            Aisyah terdiam. Mata wanita itu memandangnya agak lama. “Mereka nak encik jadi sebahagian dari penduduk kampung ni. Mereka akan minta encik peristerikan mana-mana gadis di kampung ini. Begitulah cara orang di kampung ni menyambung zuriat dan keturunan. Dan begitulah juga cara bagaimana saya bertemu dengan suami saya, Rasyid.”
            “Mana dia sekarang?”
            Aisyah tidak terus menjawab. Dia mengesat airmata yang bertakung di penjuru kelopak matanya. “Dia dah mati. Ayah saya bunuh dia bila dapat tahu kami nak lari dari sini.” Ujar wanita itu. Dia beristighfar panjang sebaik mendengar kata-kata Aisyah.
            “Kejamnya Pak Nong,” keluhnya kesal.
            “Pak Nong tu sebenarnya bukan ayah kandung saya. Dia hanya ayah angkat saya.” Beritahu Aisyah sebak.
Dia tergaman. Fikirannya semakin bercelaru. Sukar baginya mahu memisahkan antara realiti dan khayalan. Semua yang berlaku padanya selama beberapa hari ini memang sukar untuk dipercayai. Kampung yang tersorok dari mata manusia, penduduk kampung yang aneh serta perempuan cantik yang ditemuinya itu benar-benar melangkaui realiti. Berkali-kali dia menanyakan diri sendiri, apakah dia bermimpi? Malah dia sendiri pernah mengharapkan agar bila dia bangun dari tidurnya, dia akan berada di katil rumah sewanya di Kuala Lumpur atau berada di rumah ibunya di Bukit Katil, Melaka.
            Tapi dalam tempoh beberapa hari ini, mimpi yang diharapkannya itu semakin lama semakin nyata. Bagaimana harus dia lari dari kampung ini? Bagaimana harus dia menyelamatkan dirinya dari wanita itu serta Pak Nong yang berperangai ganjil?
            “Kau tak boleh lari dari sini Baharom!” Dia tergaman. Suara yang tiba-tiba muncul seolah-olah tahu apa yang bermain di fikirannya. Dia bingkas bangun. Matanya meliar memandang setiap sudut ruang di kamar itu. Aisyah di hadapannya memandangnya dengan wajah hairan.
            “Kau akan tinggal di sini selama-lamanya Baharom, kerana aku telah memilih kau dari lelaki-lelaki lain. Dari aku, kau akan memperolehi kekayaan dan kuasa yang tak mungkin kau perolehi sepanjang hidup kau.” Bisik suara itu lagi.
            Dia menekup telinganya. Enggan mendengar bisikan suara itu. Matanya mengecil memandang Aisyah yang kelihatan bingung. “Aisyah, awak ada dengar tak suara tu?”
            “Suara apa encik?” Soal Aisyah tidak tahu menahu.
            “Suara itu. Saya dengar suara perempuan tu dalam kepala saya. Suaranya tak mahu pergi Aisyah. Tolong saya!” Rayunya seperti histeria.
            “Baharom, tumpukan perhatian Baharom. Kau kena kawal diri kau.” Satu suara lain pula tiba-tiba muncul. Dia jadi keliru.       
            “Kau akan menjadi milikku Baharom. Selama-lamanya aku akan sentiasa menghantui hidup kau, biar bagaimana sekalipun kau mengelak dariku.” Suara itu mulai mengilai lantang. Dia mengerutkan dahinya. Tubuhnya semakin mengigil lantaran mendengar bisikan bernada provok itu..
            “Tidak! Jangan ganggu aku. Keluar dari kepala aku!” Jeritnya sekuat hati.
            “Baharom, ingat pada Allah S.W.T. Hanya Dia yang berkuasa ke atas setiap makhluk di dunia ini. Ingatkan Dia dan tenangkan hati..” Suara yang satu lagi kembali silih berganti.
            Dia tersentak. Tubuhnya bagai dipalu dengan belantan keras. Dia cuba menggerakkan anggota badannya namun gagal.
            “Baharom, ingat pada Allah yang Maha Berkuasa. Buka mata kau Baharom.” Suara itu menyuruh seolah memberi arahan. Dan entah kenapa, dia jadi yakin yang suara yang didengarinya itu adalah satu petunjuk. Perlahan-lahan dia membuka matanya.
            Melihat dinding serba putih di sekelilingnya, dia jadi bingung. Aisyah yang berada di hadapannya sebentar tadi kini ghaib entah ke mana. Dia terpinga-pinga memandang ruangan di bilik itu yang kelihatan berbeza.
            “Baharom, kau okey?” Suara garau itu muncul lagi, kali ini terdengar lebih jelas. Dia berpaling. Matanya menangkap sesusuk tubuh yang sedang memandang tepat ke arahnya. Apache? Dia berpaling ke sebelah kanan pula. Wajah Suria kelihatan sembab dengan kesan-kesan airmata. Perasaan Baharom mulai berbelah bahagi.
            “Pache? Aku kat mana?” Dia bertanya lelaki itu.
            “Kau tanya kat mana? Kau ada kat hospital. Sejurus selepas aku balik, aku teringat nak bagitahu kau sesuatu. Tapi bila aku patah balik, aku nampak ambulan di depan rumah kau. Kata Suria kau pengsan.” Jelas Apache.
            Baharom tercengang. Aku pengsan? Matanya lekas mencari wajah Suria yang gelisah.
            “Suria jangan nangis, ayah tak apa-apa.” Bisiknya pada anak gadis itu. Mata Suria bertingkah dengan anak matanya. Gadis itu mengangguk sambil mengesat airmatanya yang masih berjuraian di pipi.
            “Ayah buat Suria takut. Tiba-tiba aje ayah pengsan. Suria panik, tak tahu nak buat apa. Lama kemudian baru Suria terfikir nak panggil ambulan.” Ujar gadis itu sambil teresak-esak.
Baharom tersenyum lemah. Dia merenung raut wajah anak gadis di hadapannya. Wajah itu memang mirip dengan Aisyah, anak gadis Pak Nong yang ditemuinya di kampung misteri dua puluh lima tahun yang lalu.
            “Syy ayah tak apa-apa, percayalah Suria. Err…boleh Suria tolong belikan ayah makanan kat kantin hospital tak? Ayah laparlah.” Pinta Baharom tiba-tiba. Tanpa banyak soal, anak gadis itu mengangguk lalu segera melangkah keluar dari bilik itu.
            Apache segera mengalihkan matanya ke arah Baharom. Entah kenapa, firasatnya mengatakan ada sesuatu yang mahu dibincangkan Baharom dengannya. Jika tidak masakan lelaki itu menyuruh Suria beredar dari bilik itu.
            “Kau nak beritahu aku apa?” Apache bertanya, sudah tidak sabar. Baharom tidak terus menjawab. Matanya merenung lesu ke arah Apache.
            “Aku mimpikan kejadian dulu Pache. Semuanya berlaku sama seperti dulu. Dan jika aku tak dikejutkan dengan suara kau, mungkin aku akan terus bermimpi.” Dia memandang Apache tidak berkelip. Lelaki itu menarik nafas panjang.
            “Aku nampak sesuatu di sekeliling kau tadi. Satu lingkaran berwarna putih. Sebab itu aku cuba berinteraksi dengan kau menggunakan makrifat. Aku dah agak, kau dalam masalah.” Keluh Apache.
            “Sebelum aku pengsan, Suria ada beritahu aku sesuatu.” Tingkah Baharom.
            “Apa dia?”
            “Suria sebut tentang Mahira. Katanya dia bertemu dengan Mahira.” Wajah Baharom jelas gelisah. Suaranya bernada gementar. Apache terdiam. Dia menarik nafas panjang.
            “Ini bermakna Suria dalam bahaya. Dan bukan dia sahaja, aku rasa kau juga dalam bahaya Baharom.” Beritahu Apache.
            “Aku tahu. Dia takkan lepaskan aku begitu mudah ketika itu. Aku tahu hari aku semakin tiba Pache.” Keluh Baharom.
            “Jangan cakap begitu, aku dah berjanji akan tolong kau bukan?”
            Baharom tersenyum hambar. Dia tahu Apache ikhlas dengan kata-katanya. Sudah berpuluh tahun dia kenal lelaki itu. Dia tahu Apache akan berpegang teguh pada janji-janjinya.
            “Pache, kau kena janji dengan aku yang kau mesti lindungi Suria walau dengan apa cara sekalipun. Aku tak boleh kehilangan Suria, Pache. Aku tak boleh hidup tanpa anak aku.” Rayu Baharom.
            “Aku janji yang aku akan berusaha selesaikan masalah ini Baharom. Kalau perlu, aku akan berbincang dengan para trackers tu. Kita merayu pada mereka untuk lepaskan Suria.”
            Tanpa disedari, sepasang telinga sedang mencuri dengar dari luar pintu bilik itu. Suria mengerutkan dahinya. Perbualan ayahnya dengan lelaki bernama Apache itu membuatkan  dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Entah kenapa dia yakin,  ayahnya tahu siapa perempuan yang muncul di kamarnya tempohari. Tapi siapa pula ‘mereka’ yang disebut oleh lelaki berjambang kenalan ayahnya itu? Suria bersandar pada dinding putih berhampiran wad ayahnya. Kepalanya semakin berat dirasakan.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!