Followers

LELAKI ITU UNTUKKU (tajuk baru)

LELAKI ITU UNTUKKU (tajuk baru)
AKAN DATANG! 15 APRIL 2014

Wednesday, January 1, 2014

Lelaki Itu...Syurgaku-Bab 5


Setahun yang lalu…

PERUTNYA sudah menggebu kelaparan. Hampir semalaman dia menahan lapar dan dahaga. Berkali-kali dia merayu pada anggota polis yang bertugas di situ supaya dia diberi sedikit makanan untuk menggalas perutnya, namun wanita berbadan gempal itu hanya memandangnya acuh tak acuh.

            Semalam bila diberi makanan, kamu lempar dan campak ke dinding. Sekarang baru tahu nak makan pulak!” Rungut wanita itu dengan wajah cemberut.

            “Apalah nak jadi dengan kamu ni. Dah elok-elok masuk universiti, ponteng kelas, pergi clubbing, bergaduh lepas tu hisap rokok dan ambil minuman keras pulak. Lama-lama nanti ecstasy pun kamu ambil.” wanita gempal itu tak habis-habis cuba menyakitkan hatinya.

            Dia menoleh ke arah wanita itu. Hatinya memanas. Berangnya tiba-tiba hadir tak diundang tatkala mendengar kata-kata wanita berbadan gempal itu.

            Yang puan sibuk-sibuk ni kenapa? Saya jadi macam ni bukan habiskan duit puan pun.” Herdiknya dengan suara kasar.

            Wanita itu membulatkan biji matanya. “Amboi budak ni menjawab pulak. Bukannya tahu nak berterima kasih dengan aku. Padanlah bapak kamu pun tak mahu ikat jamin kamu keluar dari lokap ni.” Rungut wanita itu seraya berlalu pergi.

            Berdesing telinganya mendengar kata-kata anggota polis wanita berpangkat konstabel itu. Kata-kata itu membuatkan dia terkenangkan lelaki berkumis nipis yang selalu serius wajahnya.

            Jangan harap ayah nak jamin kamu kali ni. Kamu tidurlah dalam lokap tu malam ni sampai kamu insaf dengan semua kerenah yang kamu dah buat selama ini.”

Kata-kata lelaki itu kembali menyesakkan fikirannya. Ah persetankan! Macamlah aku kisah sangat! Dan hampir semalaman dia tidur beralaskan lantai dan berbantalkan lengan. Kesejukan dalam bilik sel itu mencengkam sehingga ke tulang belikatnya namun dia hanya bersabar. Bukankah itu yang selalu dilakukannya? Hanya bersabar!

            Ketika ini dia selalu terkenangkan arwah uminya. Sifat umi yang lembut dan penyayang membuatkan airmatanya menitis lagi. Dia tidak tahu kenapa airmatanya senang benar mengalir setiap kali dia teringatkan wanita itu.

            “Orked satu-satunya permata hati umi yang paling umi sayangi. Biar apa pun  kata orang, umi percaya pada Orked. Umi tahu Orked anak umi yang baik!” Bicara umi suatu ketika dahulu tergiang-giang di telinganya. Kata-kata itulah yang selalu menyejukkan hatinya tatkala dia terjeruk hati dengan sikap ayahnya sendiri.

            “Umi, kenapa ayah tu macam tak sukakan Orked? Apa salah Orked, Umi?” Pertanyaan itu berulangkali diutarakan untuk santapan telinga uminya.

Wanita itu hanya terdiam memandangnya.

            “Orked tak salah sayang. Umi yang salah.”

            “Umi salah apa?” Dia terpinga-pinga menangkis kata-kata ibunya.

            “Orked tak perlu tahu sayang. Ini hal orang tua.” Bisik umi perlahan. Bagaikan takut kata-katanya sampai ke telinga suaminya.

            Dengan wajah bingung, dia diam tak terkata. Dalam usia lima belas tahun, dia sebenarnya langsung tidak memahami apa-apa. Dia hanya tahu ayah dan uminya kerap bertegang urat sejak usianya masih kecil sehinggalah uminya meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya.

            Ketika jenazah uminya dibawa pulang ke kampung, ayahnya langsung tidak balik menjenguk muka. Telinganya sendiri dapat mendengar saudara-mara belah ibunya sibuk bertanyakan ayahnya ketika itu.

            “Mana si Hamdan ni?”

            “Dia sibuk agaknya.”

            “Hai takkan isteri meninggal dunia pun sampai tak ada masa nak jenguk.”

            Biarlah, dia orang bisnes. Sibuk dia mengalahkan sibuk perdana menteri.”

            “Jangan-jangan sibuk hala ke lain. Maklumlah lepas ni dah sah-sah jadi duda rebutan. Duit ada, rupa pun ada.”

            Matanya terpisat-pisat memerhatikan celoteh sekumpulan wanita yang duduk di pangkin kayu di hadapan rumah datuknya. Hatinya berang mendengar kata-kata yang tak sayang mulut itu. Pelik juga dia mengenangkan wanita-wanita itu yang hanya tahu bergosip. Bukannya datang hendak bersedekah ayat-ayat suci pada arwah ibunya, sebaliknya datang nak menambahkan dosa kering. Jika diikutkan hatinya mahu sahaja dia menghambat makcik-makcik itu. Tapi kerana mengenangkan arwah ibunya, dia memaksa diri bersabar.

            Orked meraba-raba pipi yang terasa hangat. Dia terpinga-pinga. Untuk apa airmata ini mengalir? Umi sudah lama pergi dari hidupnya.

            Tubuhnya dibalikkan. Matanya dengan lekas terpandang teman satu lokap yang disumbat dalam bilik itu malam semalam. Gadis itu sudah lama tertidur. Menurut gadis dari Seremban itu, dia ditangkap kerana mencuri barangan di pasaraya. Dia pula ditangkap pihak berkuasa kerana bergaduh dengan seorang perempuan di kelab malam. Semuanya gara-gara gadis itu mencari fasal dengannya terlebih dahulu. Apabila kelab itu diserbu pihak berkuasa, sedang-sedang elok dia sedang membelasah gadis yang kurang ajar itu yang menuduhnya merampas teman lelakinya. Entah yang mana satu dia sendiri tidak ingat!

            Tapi inilah bahana akibat kelalaiannya malam itu. Tak fasal-fasal dia menjadi penginap di lokap ini sehingga ada yang sudi mengikat jaminnya. Tapi mengenangkan ayahnya sendiri tidak mempedulikannya, dia sudah tidak menyimpan harapan apa-apa lagi. Hendak menelefon Arida meminta tolong, dia tidak sanggup. Teman sekolejnya itu tidak pernah bersetuju dengan kelakuannya yang dianggap liar dari sehari ke sehari. Hendak menelefon Mira, dia tahu Mira bukannya ada duit untuk membantunya membebaskan diri dari lokap itu.

            Tidurlah Orked! Hati kecilnya berbisik. Tidurlah sehingga hari-hari esok akan terus berlalu dan berlalu. Tidurlah sehingga kau hanya akan bermimpikan umi yang sentiasa kau rindui siang dan malam.

*  *  *  *

“ORKED HALINA. Kamu boleh keluar, ada orang datang ikat jamin kamu.” Suara anggota polis wanita berbadan gempal itu kedengaran.

Dia membalikkan tubuh seraya merungut. Bising! Langsung tak boleh tengok aku senang sikit! Kedua-dua tangannya ditekup di cuping telinga.

Namun ketenangannya diganggu lagi. Bunyi hentakan pada palang besi di selnya membuatkan matanya terbuka luas. Dia mendengus kasar seraya berpaling ke arah pegawai polis itu.

“Apa?” Herdiknya kasar.

“Kamu dengar tak? Saya kata ada orang dah ikat jamin kamu.” Ulang wanita itu dengan wajah selamba.

Matanya terbuka luas. Ikat jamin? Siapa? Ayahkah? Mengenangkan dia akan bebas dari bilik besi itu, dia memaksa dirinya bangkit dan membetulkan pakaian yang membalut tubuhnya sejak dua hari yang lalu.

            Sebaik dia dibawa masuk ke dalam sebuah bilik sederhana luas, matanya dengan cepat menangkap sesusuk tubuh yang sedang membelakanginya. Matanya mula mengecil. Siapa pulak ni?

            “Hah ini dia. Saya harap lain kali, awak nasihatkanlah dia baik-baik agar dia tak terjerumus ke dalam salah laku yang tak sepatutnya. Budak macam dia, kalau tak diberi didikan yang baik dan sempurna, lain kali dia akan jadi bertambah liar. Dah banyak sangat saya berhadapan dengan kes-kes macam ni.” Ujar anggota polis di hadapannya.

            Baik tuan, Insya ALLAH kami akan didik dia sebaik-baiknya. Saya jamin perkara seperti ini takkan berulang lagi.” Ujar lelaki itu tanpa menoleh ke arahnya.

Wajah Orked berkerut. Seingatnya dia langsung tidak pernah bertemu dengan lelaki itu. Suara lelaki itu juga kedengaran asing di telinganya.

            Belum sempat dia mahu melempiaskan rasa ingin tahu yang bersarang di fikirannya, lelaki itu tiba-tiba menoleh. Secebis senyuman menyulam di wajah itu membuatkan dia terpegun. Wajah bersih, tampan dan berkulit cerah itu ternyata benar-benar asing dari kelopak pandangannya.

            “Orked?” Lelaki itu menyebut namanya. Lancar dan fasih. Tanpa disedari dia mengangguk. Matanya masih ralit menatap wajah di hadapannya. Hatinya tertanya-tanya. Siapa lelaki itu? Apakah lelaki itu tersilap menjamin orang?

            “Mari kita balik sayang,” Ujar lelaki itu seraya menghampirinya.

Dia terus terkedu dan bingung. Sayang? Panggilan apakah itu? Memang sah, lelaki ini tersalah menjamin orang. Tapi percuma sahaja jika dia menidakkannya. Mahukah dia kembali ke tempat kurungan itu lagi? Of course not!

Bibirnya terus mengorak senyuman ke arah lelaki itu sambil mengangguk. Berpura-pura seolah-olah dia mengenali lelaki itu. Ah! Lantaklah! Asal dia boleh lepas dari kurungan itu, dia akan berbuat apa sahaja yang perlu.

Sesudah meminta diri dari polis yang membantu urusan ikat jamin, lelaki itu terus meluru keluar tanpa memandangnya. Orked terkedu! Tidak tahu apa sebenarnya yang harus dilakukannya. Mahu tak mahu dia terpaksa berlari keluar mengejar lelaki yang tak dikenali itu. Langkah lelaki itu yang deras cuba disaingi.

            “Kau siapa? Kenapa kau ikat jamin aku?” Soalnya ingin tahu. Jika mengikut perangai biasanya, tak kuasa dia mahu mengambil tahu hal lelaki yang tak dikenali itu. Tapi kali ini berbeza. Hatinya benar-benar ingin tahu apakah memang benar lelaki itu tersilap menjamin atau sememangnya lelaki itu mengenalinya? Selagi persoalan itu terus berlegar di fikirannya, selagi itulah dia tidak senang duduk.

            Lelaki itu tidak menjawab pertanyaannya. Sebaliknya dia menghela langkah ke arah sebuah kereta yang diparkir di luar pagar balai polis.

Orked mengetap bibir. Mulai berang kerana soalannya tidak dijawab. Tak semena-mena dia menarik lengan lelaki itu sehingga langkah lelaki itu terhenti mendadak.

            “Kau pekak ke ni? Aku tanya kenapa kau ikat jamin aku?” Soalnya dengan nada menengking. Hatinya mula cuak dengan sikap lelaki itu.

            Lelaki itu berpaling seraya menatapnya. “Kenapa? Salah? Atau Orked lebih rela tidur kat sel tu semalam lagi?” Lelaki itu memulangkan pertanyaan. Renungan lelaki itu lembut menikam wajahnya. Dia terkedu!

            “Kau siapa sebenarnya?” Matanya meneliti lelaki itu dari atas ke bawah.

            Lelaki itu membuka pintu keretanya seluas-luasnya. “Kalau Orked nak tahu, naik dulu kereta ni. Kita balik rumah.” Ujar lelaki itu tenang.

            Orked tiba-tiba ketawa kecil.

            “Kau nak aku naik kereta tu? Semata-mata sebab kau dah ikat jamin aku? Kau ingat aku akan terhutang budi dan ikut kau?”

            Si lelaki terkelip-kelip memerhatikan Orked yang naik radang. Tapi sejurus kemudian, senyuman lelaki itu bermain lagi di bibir. Seolah-olah, kata-kata anak gadis tidak langsung menjejaskan dirinya.

            “Jangan senyum macam tu dengan aku. Aku menyampah. Aku benci cara kau senyum begitu.” Getus Orked keras.

            Lelaki itu langsung tidak mempedulikan larangannya. Sebaliknya senyuman itu berganti gelak ketawa yang semakin menyakitkan hati. Dia menjeling lelaki di hadapannya dengan wajah menyinga.

            “Uniknya perangai Orked ni. Patutlah mama bimbang bila abang offer nak pergi ikat jamin Orked. Rupa-rupanya ini yang dia bimbangkan.” Ujar lelaki itu. Selamba dan bersahaja.

            Orked terpempan. Mama? Biar betul! Takkanlah lelaki itu anak isteri baru ayahnya, Maria. Tapi bukankah lelaki itu sedang belajar di luar negara?

            “Nama abang Idlan. Idlan Riyaz. Waktu mama abang kahwin dengan ayah Orked setahun yang lalu, abang tak sempat nak balik. Mungkin Orked tak kenal abang, tapi abang kenal Orked.” Ujar Idlan lembut. Wajah anak gadis yang kelihatan kaget itu direnung dengan riak bersahaja.

            Wajah Orked berubah sebaik mendengar kata-kata lelaki itu. Betul tekaannya! Lelaki itu anak tunggal ibu tirinya. Baru dia perasan kereta yang diparkir berhampiran lelaki itu ialah milik ibu tirinya. Dengan dengus kasar, dia hendak beredar dari situ. Tapi Idlan bagaikan mengerti lenggok langkahnya lalu segera menghalang.

            “Orked nak ke mana ni? Kita kena balik rumah. Mama dan ayah Orked dah tunggu tu.” Ujarnya cuba memujuk anak gadis itu.

            Orked berpaling dengan wajah berang. “Mama? Dia bukan mama aku! Jadi kau tak perlu berangan nak jadi abang aku pulak. Kau dan mama kau hanya buat aku menyampah!” Getus Orked kasar.

            Idlan terdiam. Kasarnya tutur kata anak gadis itu.

“Orked, abang tahu Orked susah nak terima abang dan mama abang di dalam rumah tu. Tapi walau bagaimana pun, kita sekarang sudah jadi satu keluarga.” Pujuk lelaki itu.

            Orked ketawa kecil. Wajah Idlan yang serius ditatap dengan pandangan sinis. “Jangan nak bersyarah dengan aku fasal keluarga. Kau langsung tak tahu apa-apa pun fasal aku. Dan jangan berlagak macam kau tahu semuanya.” Gumam Orked lalu segera meninggalkan Idlan yang terpinga-pinga memerhatikan kelibat anak gadis itu.

            Idlan hanya mampu mengeluh. Kelibat Orked yang sedang melintas jalan diperhatikan dengan perasaan bercelaru. Degilnya budak tu! Keluh Idlan. Mahu tak mahu dia masuk ke dalam perut kereta lalu mula menghidupkan enjin keretanya. Jika dalam seharian ini dia harus menjadi pengintip tak bertauliah, nampaknya dia terpaksa melakukannya!

1 comment:

eija said...

cian kt orked.. xptut btl bapak nya buat cam 2.. smpkn isteri mnigal pn xdtg jeguk..

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!