Followers

Friday, February 25, 2011

Blue Sunset : Bab 23

            JALENA meramas cadar katilnya sehinggak keronyok. Sejak pertemuannya dengan Zahar sebentar tadi, hatinya diamuk gelisah. Malah dia tidak mampu untuk bertenang walau hanya sesaat. Dia benar-benar tidak sangka akan dipertemukan dengan Zahar dalam keadaan begini.
            Melihat wajah Zahar yang mencuka, tutur kata anak muda itu yang tidak berlapik, membuatkan dia sedih. Dia teringatkan Hakim yang ditemuinya beberapa hari yang lalu. Ketika dia dibawa ke hospital itu, dia benar-benar tidak tahu bekas suaminya bekerja di hospital itu. Tapi setelah Doktor Hazbollah yang merawatnya memperkenalkan dengan Doktor Hakim, jantungnya seperti dirobek keluar. Meskipun Hakim kelihatan selamba memandangnya bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku, namun hatinya entah kenapa gusar. Kerana itu dia mahu cepat-cepat keluar dari hospital. Entah kenapa dia jadi takut mahu berhadapan dengan Hakim. Memandang wajah lelaki itu membuatkan dia sering teringatkan segala kekhilafan yang pernah dilakukannya dulu.
            Dahulu dia sanggup dipanggil isteri curang demi cintanya pada seorang lelaki berstatus suami orang. Dan lelaki itu adalah cinta pertamanya sewaktu remaja. Pertemuan tidak sengaja mereka di sebuah majlis ulangtahun temannya telah menemukan mereka semula. Ketika itu dia sudah menjadi isteri dan ibu. Lelaki itu pula masih menjadi suami kepada seorang wanita lain.
            Pada asalnya, mereka hanya bertanya khabar. Dan sesekali mereka bertembung di majlis teman-teman rapatnya, yang turut dikenali Lukhman. Dia cuba menahan diri dari merasakan sesuatu untuk lelaki itu. Dan dia tahu Lukhman juga sedang menahan diri. Pertemuan mereka hanya diisi dengan saling bertanya khabar dan bertukar cerita.
            Namun pertemuan demi pertemuan yang semakin kerap telah membuatkan cinta yang dahulu surut kini mekar semula. Sehingga mereka lupa pada tanggungjawab yang harus dipikul. Dan demi cinta juga mereka sanggup meminta cerai dari pasangan masing-masing untuk cuba hidup bersama. Kini dua puluh tahun telah berlalu. Sepanjang tempoh ini dia benar-benar merasa bersalah pada Hakim dan Zahar. Dia tahu apa yang dilakukannya salah, dan dia juga tahu bahawa dia telah gagal meletakkan dirinya sebagai seorang isteri dan ibu yang baik di mata anak lelakinya sendiri.
*  *  *  *
            Lukhman menguak pintu bilik lalu melangkah masuk dengan wajah lesu. Beg bimbitnya diletak di tepi sudut bilik. Tali leher yang sepanjang hari membungkus lehernya dirungkai dan dilontar ke atas katil. Dia terduduk lemah. Penatnya dia kerana sehari suntuk berbincang dengan klien syarikatnya. Sebagai Pengurus Besar sebuah syarikat automobil yang agak terkenal, masanya memang benar-benar terbatas.
            Hari ini sahaja dia terpaksa bermesyuarat sehingga ke petang. Sejam kemudian dia sudah berada di dalam perut kereta menuju ke arah sebuah kelab persendirian, berbincang di situ sehingga ke malam. Begitulah rutin hidupnya sehari-hari. Tak pernah lekang dengan waktu-waktu sibuk.
            Panggilan telefon dari Jalena siang tadi membuatkan dia serba-salah. Dia tahu Jalena pasti akan marah kerana dia tidak ke hospital siang tadi. Tapi dia sudah tidak ada kudrat untuk menjenguk Jalena, apatah lagi untuk menguruskan prosedur keluar hospital seperti yang diinginkan oleh isterinya.
            Baru sahaja Lukman mahu mencapai tuala mandi, matanya tiba-tiba terpandang sesuatu. Ada seseorang berdiri di luar beranda biliknya. Hati Lukhman tiba-tiba diamuk resah. Terpempan melihat kelibat yang gagal dikenali.
            Dia memberanikan diri, lalu perlahan-lahan mara ke arah beranda yang dilindungi oleh langsir nipis berwarna putih. Matanya mengecil memerhatikan imej di hadapannya. Sebentar kemudian Lukhman beristighfar panjang. Masya Allah! Jalena rupanya! Dia segera menyelak kain langsir lalu keluar ke beranda. Jalena menoleh. Terkejut melihat kehadirannya di situ.
            “Macamana you boleh keluar hospital? Kenapa tak cakap dengan I yang you nak keluar malam ni?” Bertalu-talu soalan itu singgah di bibir Lukman. Dia inginkan jawapan.
            “I keluar sendiri.” Jawab Jalena selamba.
            What?” Lukhman tercengang.
            Jalena hanya tersenyum. Matanya memandang tepat ke wajah suaminya.
            Sorry Man, I marah-marah dalam telefon tadi. I tak tahu yang you benar-benar sibuk hari ni.” Ujar Jalena, kesal dengan sikap melulunya.
            Lukman terpaku. Terdiam dia seketika mendengar bicara isterinya.
            “Kalau I tahu you benar-benar nak keluar dari hospital, tentu I minta Amran gantikan tempat I berbincang dengan klien kami.” Keluh Lukhman kesal.
            Giliran Jalena pula terdiam. Wajah Lukman ditatap sayu. Jauh di sudut hati dia benar-benar terharu dengan kata-kata suaminya. Lukman memang lelaki yang baik dan prihatin. Dan dia benar-benar mencintai lelaki itu. Hanya cinta mereka terasa beku, asing bagaikan ada sesuatu yang tidak kena. Tiba-tiba dirinya dihambat kesedihan. Menyedari ada air jernih yang bergenang dikelopak matanya, dia cepat-cepat melarikan wajahnya.
            “Kenapa Lin?’ Lukhman hairan.
            Dia menggeleng. Dia tidak ingin lelaki itu tahu apa yang bersarang di lubuk hatinya.
            “You nak cakap sesuatu dengan I?’ Soal Lukhman lagi, belum berputus asa.
            Sekali lagi Jalena menggelengkan kepala. “Sorry Man, I sakit kepala sangat-sangat. Besok I kena jumpa dengan seorang produser, dia offer I berlakon dalam sebuah filem.”
            Lukman terdiam. Kerja Jalena jarang-jarang sekali dicampurinya. Dia hanya memberi sokongan kepada isterinya dari jauh. Sedikit pun dia tidak teruja dengan populariti isterinya. Baginya itu kerjaya Jalena. Sedikit pun tidak ada kena mengena dengan dirinya.
            “Baguslah, itu rezeki you. Kita baru saja balik, you dah dapat tawaran. Cuma I tak mahu you penatkan diri you sayang. You kena banyak berehat.” Nasihat Lukhman.
            “I dah sihat Man. You jangan bimbang.” Jalena tersenyum.
            Mata Lukhman terpisat-pisat memerhatikan wajah isterinya. Dia ingin bertanyakan sesuatu, tapi entah kenapa terasa sukar mahu membuka pertanyaan. Bimbang akan menyinggung perasaan isteri tersayang. Namun melihat Jalena mahu beredar ke dalam, tangannya pantas memegang lengan isterinya. Jalena berpaling.
            “Boleh I tahu kenapa you tergesa-gesa nak keluar hospital hari ni?” Soal Lukhman ingin tahu sebabnya.
            Jalena terdiam. Kerutan di wajahnya terus bertambah. Dia menarik nafas panjang. Tubuhnya dibalikkan ke arah pemandangan malam dari balkoni biliknya. Matanya memandang lurus ke hadapan. Ternyata dia tidak berniat mahu mencuci mata dengan pemandangan malam itu. Dia hanya mahu menenangkan fikiran dan mengumpul sedikit keberanian untuk berterus-terang dengan Lukhman.
            “Tempohari masa you bergegas balik ke pejabat, I jumpa dengan Hakim, Man.” Ujar Jalena.
            Lukhman tergaman. Hakim?
            Jalena menoleh. Memandang kejap ke arah suaminya yang sedang kebingungan. “Doktor Hakim, bekas suami I. You still remember him, don’t you?”
            Lukhman terdiam. Sudah tentu dia masih ingat lelaki itu. Orangnya berperawakan tampan dan tenang, namun dalam keadaan tertentu berupaya melontarkan laharnya. Jika tidak masakan pipinya pernah lebam dan bengkal-bengkil angkara tumbukan lelaki itu suatu ketika dahulu.
            “Sebab tu you tergesa-gesa nak keluar dari hospital? Sebab you tak mahu jumpa dia? You nak elakkan diri dari dia?” Lukhman seakan-akan boleh memahami sesuatu. Wajah isterinya dipandang serius.
            “I rasa bersalah Man. I tak tahu bagaimana caranya I nak tebus salah I pada Hakim dan pada Zahar, anak I.” Keluh Jalena.
            “Apa you tak bahagia kahwin dengan I selama ini?” Duga Lukhman ingin tahu. Dia menatap wajah isterinya dalam-dalam.
            Jalena merenung Lukhman dengan perasaan sebak. “Bahagia. I bahagia sangat kahwin dengan you Man. Tapi kerana kita terlalu bahagia, maka I rasa bersalah pada mereka. Kebahagian yang kita kejar telah meremukkan hati orang-orang di sekeliling kita. Sampai I sering takut. Takut kalau suatu hari nanti, tuhan akan rampas kebahagiaan kita ini disebabkan dosa-dosa kita yang lalu.” Keluh Jalena sayu.
            Lukhman terdiam. Kata-kata isterinya ditelan dengan wajah gusar. Dosa? Ya, memang mereka telah banyak berdosa! Dosa yang takkan mungkin diampunkan. Kerana cinta, mereka telah menganiayai ramai orang yang tak berdosa. Cinta sepatutnya luhur dan ikhlas memberi. Tapi cintanya diperolehi dengan merampas kebahagiaan orang lain. Meksipun dia ingin hidup bahagia, tapi fikirannya tidak mampu melupakan apa yang telah dilakukannya selama ini.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!