Followers

Wednesday, May 13, 2020

Beautiful Lie (Bab 18)


DIA keluar dari kedai serbaneka itu dengan wajah muram. Hajat di hati mahu memohon kerja di kedai itu rupanya tidak kesampaian. Menurut pemilik kedai itu, jawatan sebagai penjual di situ baharu sahaja dipenuhi. Hampa! Itulah perasaan yang berpupuk di hatinya saat ini.
                Dia benar-benar perlukan kerja saat ini. Banyak bil di rumah yang perlu dibayar. Ada mulut yang harus disuap, itu belum masuk duit belanja sekolah Anas yang harus dikirim ke sekolah asrama adiknya itu setiap bulan. Malah dia juga perlukan wang untuk mengupah orang untuk menjaga ibunya. Takkan nak harapkan Mimi sahaja membantu, sampai bila? Dia tahu gadis itu juga ada impian sendiri yang harus dikejar. Tak wajar kalau dia asyik menyusahkan Mimi sahaja. Pak Mail dan Mak Timah juga tentu mengharapkan yang terbaik untuk anak gadis mereka selain dari asyik terpaksa menjaga orang sakit seperti ibunya.
                Adriana benar-benar buntu. Hendak diharapkan pada wang mengajar tuisyen, macam jauh panggang dari api. Adham Mirza bukan mahu belajar sangat seperti keinginan ayahnya. Silap-silap haribulan, belum sempat dia mahu mengajar budak itu, dia sudah dipecat dari tugasnya. Lagipun dia perempuan, manalah mampu dia mahu menahan anak muda itu dari melarikan diri.
                Mengingatkan lelaki itu, dia teringatkan sesuatu. Jarum jam di pergelangan tangannya dikerling. Sudah pukul 3 petang. Dia sepatutnya ke banglo Tuan Fahrin untuk mengajar anak muda kerek itu. Kerana bimbang terlewat, dia segera menahan teksi yang kebetulan lalu di hadapannya. Mujurlah teksi itu mahu berhenti.
                Perjalanan ke rumah Tuan Fahrin mengambil masa yang lebih lama dari yang dijangka kerana kesesakan lalulintas. Jarum jam sudah masuk pukul 3.15 petang apabila dia sampai. Terkocoh-kocoh Adriana membayar wang tambang teksi lalu menyusun langkah ke arah rumah besar itu. Tapi belum sempat dia mahu bergegas masuk, sebuah motorsikal besar keluar dari perkarangan rumah itu.
                Adriana tergaman apabila motorsikal itu berhenti mendadak di hadapannya. Si penunggang menanggalkan topi keledar yang dipakainya menyerlahkan wajah Adham Mirza.
                “Kau lambat hari ni.” Ujar Mirza dingin.
                “Awak nak ke mana ni?” Tanya Adriana ingin tahu. Soal lambat yang Mirza perkatakan itu langsung tidak menarik perhatiannya.
                “Aku ingat kau tak nak datang tadi. Merajuk sebab hal kelmarin.”
                “Tapi saya kat sini sekarang. Awak tak boleh ke mana-mana sampai saya habis bincangkan jadual waktu belajar awak.” Ujar Adriana memberi amaran.
                “Kau datang sini sebab nak bincangkan jadual waktu aku aje kan?”
                Adriana mengangguk. Memang itu niatnya.
                “Kalau macam tu nah.” Tak semena-mena Mirza menghulurkan topi keledar ke arah Adriana.
                Adriana terpinga-pinga. Nak buat apa pulak ni?
                Melihat gadis itu masih terkemut-kemut, Mirza segera memakaikan anak gadis itu dengan topi keledar tersebut. Adriana terkedu.
                “Naik!” Arah Mirza.
                “Kita nak ke mana?”
                “Naik ajelah, aku dah lambat ni.” Gesa Mirza.
                Mahu tak mahu Adriana terpaksa menaiki motorsikal lelaki itu. Belum sempat dia mahu bertanya panjang lebar ke mana mereka mahu pergi, lelaki itu sudah  memacu motorsikalnya ke arah jalan besar. Adriana terkejut bercampur cemas. Motorsikal lelaki itu dipandu agak laju, membuatkan dia tidak ada pilihan lain selain terpaksa memaut pinggang lelaki itu.
                Mirza menyedarinya, namun dia buat-buat tidak peduli. Tapi muncul sekelumit senyuman di sudut bibirnya, membuatkan niat jahatnya kembali menggebu. Dengan sengaja dia melarikan motorsikalnya lebih laju menyebabkan Adriana memaut tubuhnya lebih rapat.
*  *  *  *
MEREKA singgah di pusat boling di sebuah pusat beli belah. Adriana menunggu di luar sementara Mirza masuk ke dalam. Sebentar kemudian lelaki itu keluar sambil bercakap-cakap dengan seorang lelaki berkumis nipis. Adriana mengerutkan dahinya. Lelaki yang berlawan cakap dengan Mirza itu jauh lebih tua dari anak muda itu. Kata Mirza tadi nak jumpa kawannya di situ. Tapi takkanlah Adham Mirza berkawan dengan lelaki itu pula! Mustahil!
                Tiba-tiba dia melihat Mirza menghulurkan duit pada lelaki itu. Si lelaki pula menghulurkan satu bungkusan ke arah Mirza. Wajah Mirza kelihatan ceria melihat bungkusan tersebut. Kedua-duanya bersalaman lalu berpecah haluan.
                Adriana mula disinggahi rasa sangsi. Apa yang ada di tangan anak muda itu sebenarnya? Takkanlah dadah pulak! Tapi duit yang Mirza hulurkan tadi kelihatan agak banyak. Ya ALLAH! Jangan-jangan memang benar Mirza terlibat dengan aktiviti tak sihat. Kalaulah betul bungkusan itu berisi dadah, dengan dia sekali akan terlibat lebih jauh! Fikir Adriana. Patutlah Mirza tak bagi dia masuk, dia disuruh menunggu di luar sahaja. Rupanya ini kerja budak  sombong tu!
                “Kerja aku dah selesai. Jom kita cari tempat minum, aku haus.” Ujar Mirza seraya mendahului langkah meninggalkan Adriana.
                Adriana menarik nafas panjang. Patutkah dia beredar dari situ begitu sahaja? Tapi sebagai orang yang lebih dewasa dari Adham Mirza, sepatutnya dia menasihati lelaki itu jika benar anak muda itu terlibat dengan gejala dadah.
                Melihat kelibat Mirza masuk ke dalam Kenny Roger’s, hendak tak hendak akhirnya dia terpaksa mengekori lelaki itu. Ketika Mirza memesan makanan, dia hanya berdiam diri. Anak mata lelaki itu kini menyorot ke arahnya.
                “Kau nak makan apa?” Tanya Mirza ingin tahu.
                Adriana menggeleng. Makan pada masa sekarang? Dia langsung tidak lalu meskipun hakikatnya dia juga kelaparan.
                Melihat gadis itu tidak mahu memesan apa-apa, Mirza menarik nafas panjang.
                “Order tadi tu buat dua set ya.” Ujarnya pada si pelayan. Gadis pelayan itu mengangguk lalu segera beredar dari situ. Mirza kembali menatap wajah Adriana yang kelihatan gelisah. Sejak mereka meninggalkan pusat boling tadi, dia perasan gadis itu seperti hendak tidak hendak sahaja  mengikutnya. Kelmarin bukan main lagi berani, hari ni kenapa takut pulak?
                “Kalau nak bincang fasal jadual ke apa ke, tunggu aku makan dulu.” Ujar Mirza tegas.
                Adriana menarik nafas panjang. Kalau tadi memang itu yang dia mahu bincangkan dengan Mirza. Tapi selepas dia tahu aktiviti Mirza, moodnya sudah tidak ada. Sebaliknya dia teringin mahu tahu isi kandungan sampul coklat yang ada di atas meja itu.
                “Siapa tadi tu?” Tanya Adriana ingin tahu.
                “Siapa?” Mirza mengerutkan dahinya.
                “Yang awak jumpa tadi.”
                “Kawan.” Ujar Mirza sepatah.
                “Tak  mungkin awak berkawan dengan lelaki tu. Saya tahu awak tipu.” Jolok Adriana. Dia nekad mahu ambil tahu siapa Mirza sebelum dia setuju menjadi tutor anak muda bermasalah itu. Kalau dulu Mirza yang jual mahal, sekarang biar dia pula yang jual mahal. Fair and square!
                “Kenapa? Aku tak boleh berkawan dengan lelaki tu?”  Sepasang mata Mirza tajam mengulit wajah Adriana. Tapi sebalik anak mata Adriana juga menikam tepat ke wajahnya, bebola matanya segera berkalih. Hatinya entah kenapa berdebar-debar tatkala dia menatap wajah manis di hadapannya.
                “Lelaki tu lebih tua dari awak. Mirza, awak tak terlibat dengan sebarang masalah kan?” Soal Adriana dengan wajah serius.
                Mirza tercengang. Masalah? Apa maksud anak gadis itu?
                “Saya tak nak awak buat yang bukan-bukan. Ingat sikit, tahun ni awak nak ambil exam penting. Awak tak kasihan ke dengan ayah awak? Dia betul-betul nak awak berjaya dalam pelajaran, bukan berkawan dengan orang yang bukan-bukan dan buat benda salah.” Pujuk Adriana.
                Mendadak bunyi ketawa Mirza memenuhi suasana di restoran itu. Adriana tercengang-cengang memandang anak muda itu. Kenapa Mirza ketawa? Lucukah kata-katanya sebentar tadi?
                “Aku ingat kau degil sahaja, rupa-rupanya gila juga. What a waste.” Ujar Mirza tersenyum-senyum.
                Tergaman Adriana mendengar tutur kasar lelaki itu.
                “Cik Adriana, kau ingat aku ada buat urusniaga haram ke dengan lelaki tu?”
                Adriana terkeliru.
                “Habis? Kenapa awak bagi duit pada lelaki tu? Apa yang dia bagi pada awak tadi?” Tanya Adriana ingin tahu.
                “Ini?” Mirza mengangkat bungkusan di hadapannya seraya tersengih.
                “Kau mesti ingat benda ni dadah kan?” Gelak Mirza seperti tahu apa yang ada di fikiran Adriana saat ini.
“Ayah aku pemilik sebuah syarikat besar. Datuk aku, taiko dalam industri pembinaan. Duit kami lebih dari cukup untuk dibelanjakan. Jadi buat apa aku nak buat kerja-kerja haram tu semua?” Soal Mirza tersengih-sengih. Bunyinya macam dia bercakap besar, tapi itulah kenyataannya.
Adriana mencerlung lelaki itu seperti masih tidak yakin dengan kata-kata Mirza. Gerak-geri Mirza yang selamba entah kenapa menyukarkan dirinya untuk percaya setiap butir kata anak muda di hadapannya.
“Kenapa? Tak percaya? Kalau tak percaya, kau tengok sendirilah.” Ujar Mirza lalu mengeluarkan isi bungkusan yang dipegangnya.
Adriana tercengang-cengang melihat apa yang ada di tangan Mirza. Masya ALLAH!
“Puas hati? Ini komik Superman edisi terhad 149 yang memang susah nak dapat walau di Kuala Lumpur ni. Jadi aku minta abang yang kerja di kedai komik tu dapatkannya dari Singapura. Mujur ada. Kau tahu aku bayar berapa untuk komik ni? Dekat RM2000 ringgit.” Ujar Mirza seperti berbangga melihat hasil usahanya mendapatkan komik tersebut berjaya.
Adriana melopong mendengar kata-kata lelaki itu. Komik budak-budak tu mencecah harga ribuan ringgit? Gila ke apa anak orang kaya ni?
“Awak bayar beribu hanya untuk komik ni?” Adriana tergelak-gelak kecil. Lucu entah kenapa!
“Hei ini edisi terhad lah. Kau ingat aku jadi kolektor edisi komik selama ini hanya untuk kumpul komik-komik murahan? Kalau aku jual semua komik-komik edisi terhad kat bilik aku tu, jangan-jangan aku dah boleh beli kondominium mewah di KL ni.” Ujar Mirza.
Adriana tergelak lagi. Ya ALLAH! Padanlah otak budak ni tak boleh pakai. Dia kata aku gila, walhal dia sebenarnya yang dah gila. Boleh masuk pasaran bursa saham ke kalau sekadar jual beli komik?
                Mirza mengeluh panjang melihat  Adriana yang sedang galak ketawa. Dia tahu anak gadis itu tentu berfikir yang bukan-bukan tentang hobinya mengumpul komik. Ah! Lantaklah kau nak ketawa ke apa ke. Aku beli komik ni pun bukan guna duit kau.
                “Kau kata nak bincang fasal jadual.” Mirza mengalihkan perbualan mereka.
                “Awak kata nak makan dulu.” Adriana masih tersenyum-senyum.
                “Bincang dululah, makanan macam lambat lagi.” Pintas Mirza.
                Adriana segera mengeluarkan jadual di dalam begnya, lalu diserahkan pada Mirza. Mirza menilik jadual tersebut agak lama. Beberapa ketika kemudian, anak mata Mirza beralih arah.
                “Dari Isnin sampai Jumaat ni semuanya kelas?” Mirza kelihatan tidak puas hati.
                Adriana sekadar mengangguk. Habis? Apa kau expect? Sekali seminggu je ke?
                “Aku tak ada masa banyak. Aku tak boleh setuju dengan timetable ni.”
                Tak ada masa banyak? Woi budak, kau ingat aku tak tahu yang kau tu sekarang dah berhenti pergi sekolah dan sekarang belajar di rumah sahaja. Banyak cekadak sungguh!
                “Tak setuju terpulang. Tapi ayah awak telefon saya kelmarin beritahu awak dah tak ke sekolah lagi mulai hari ini. Jadi terpaksalah saya buat jadual khas ni untuk awak. Isnin, Selasa dan Rabu, saya datang jam 3 petang sebab saya ada kelas sebelah pagi. Tapi hari Khamis dan Jumaat, kelas awak mula jam 9 pagi.” Ujar Adriana.
                “Isnin sampai Jumaat? Wait a minute. Kau ingat aku ni robot ke asyik nak belajar sahaja?” Marah Mirza.
                “Sebab awak bukan robot la saya buat jadual ni dari Isnin sampai Jumaat. Kalau awak tak setuju dengan jadual ni, awak boleh cakap dengan ayah awak aje. Saya tak kisah.” Ujar Adriana selamba.
                Mirza terdiam. Dia tidak puas hati sebenarnya, namun dia tidak mahu terus bertegang urat dengan perempuan itu. Percuma sahaja! Makanan yang baharu sampai ke meja hanya dipandang  sebelah mata. Tiba-tiba seleranya jadi tumpul. Kata-kata Adriana umpama mencurah minyak ke dalam api yang sedang marak. Macam tahu-tahu sahaja gadis itu mahu mengenakannya dengan menggunakan alasan ayahnya!
                “Jangan ingat aku nak sangat belajar dengan kau. Aku setuju sebab ini syarat ayah aku supaya aku tak payah berulang alik ke sekolah tu lagi.” Dengus Mirza separuh mengeluh.
                Adriana terkelip-kelip memerhatikan lelaki itu. Begitu sebabnya! Baru dia tahu. Jika tidak, jangan harap Mirza akan melayannya. Dasar kerek! Dahlah kerek, berlagak bagus pulak tu! Kutuk Adriana di dalam hati.
                “Dah, tunggu apa lagi? Makanlah, nanti sejuk pulak makanan tu.” Suruh Mirza dengan wajah dingin.
                Mereka menghadap makanan tanpa bersuara. Adriana sendiri tidak melepaskan peluang menjamah hidangan di hadapannya. Bukan dia hendak makan sangat, tapi sudah terlanjur Mirza membeli untuknya, makan sahajalah.
                Sesekali anak mata Mirza mengerling ke arah Adriana dalam diam. Gerak-geri Adriana lemah lembut. Suapannya juga teratur dan perlahan. Tidak gelojoh dan tidak juga terlalu sopan yang dibuat-buat. Gadis itu selamba sahaja.
                “Apa patut aku panggil kau?” Tanya Mirza tiba-tiba.
                Adriana berhenti mengunyah. Bebola matanya berlari ke arah Mirza yang kelihatan serius memandangnya.
                “Apa yang awak nak panggil saya?”
                “Jangan harap aku panggil kau cikgu.” Cemik Mirza.
                Adriana tersenyum-senyum dibuatnya. Dia sendiri tidak suka dipanggil dengan gelaran cikgu. Dia bukan cikgu bertauliah, hanya sebagai tutor yang membantu orang belajar. Itu sahaja!
                “Usia kita berbeza dua atau tiga tahun. Jadi elok awak panggil saya kakak. Kak Rian should be nice to hear.” Ujar Adriana selamba.
                “Kak Rian?” Mirza tersengih. Lucu kedengaran.
                “Aku panggil nama aje.” Ujar Mirza akhirnya. Tak kuasa dia mahu memanggil gadis itu dengan gelaran kakak. Geli geleman dirasakan!
                Adriana terdiam. Lantak kaulah! Dia menyelak juntaian rambut yang menutupi telinganya ke belakang. Tapi sejenak dia terpegun apabila jari-jari halusnya tersentuh lehernya. Adriana pantas meletakkan sudu dan garpu ke atas meja lalu bingkas bangun. Mirza yang melihat gadis itu terpinga-pinga.
                Sorry Mirza, saya kena balik dulu. Saya jumpa awak esok.” Ujar Adriana, lalu bergegas meninggalkan anak muda itu agak tergesa-gesa.
                “Hei, makanan kau banyak lagi ni.” Laung Mirza. Tapi percuma sahaja dia menyumbang suara tatkala kelibat gadis itu sebentar sahaja sudah menghilang. Mirza mengerutkan dahinya. Tergesa-gesa sangat tu nak ke mana sebenarnya?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!