Followers

Wednesday, March 9, 2011

Sayangku Casper : Bab 43

            Tengku Adrian merenung pusara di hadapannya. Adelie Binti Ahmad Faruk. Meninggal pada 1 Ogos 1998. Perkataan yang  tertera pada batu nesan yang tegak berdiri di hadapannya diraut teliti. Sayang! Gadis comel berambut panjang sehingga ke paras bahu itu sudah pergi mendahului mereka semua.
            Aneh! Berteleku di hadapan pusara itu membuatkan dia tidak mampu tersenyum. Mengapa begini? Bukankah sepatutnya dia gembira kerana Adelie tidak akan menjadi batu penghalangnya untuk terus berkuasa di House of Fluer?
            “Tengku, kita sudah lama di sini. Tengku ada temujanji dengan Cik Puan Helena sekejap lagi.” Vernon memperingatkan. Tengku Adrian berpaling. Merenung wajah Vernon yang kelihatan kaku.
            “Vernon, beritahu aku sesuatu. Apakah aku patut gembira atau bersedih dengan kematian dia?” Soal Tengku Adrian.
            Vernon tercengang. Matanya berpapasan dengan panahan mata majikannya yang tajam dan menggerunkan.
            “Saya..saya tak tahu Tengku.” Jawab Vernon perlahan. Serba-salah.
            Ketawa Tengku Adrian meletus keluar.“Anehnya takdir ini kan? Aku mempunyai hubungan dengan ketiga-tiga anak perempuan Madame Marianne, dan dua darinya sudah meninggal.”
            Vernon terdiam. Kata-kata Tengku Adrian agak aneh kedengaran. Namun dia tidak mahu susah-susah bertanya sekadar untuk melempiaskan rasa ingin tahunya.
            “Dah berapa lama kau kerja dengan aku Vernon?” Soal Tengku Adrian sambil memandang ke arah pembantunya.
            “Err..hampir sepuluh tahun tengku.” Jawab Vernon tergagap-gagap.
            “Dah sepuluh tahun? Tapi kau langsung tak memahami aku kan? Bagi kau, aku lelaki yang tak ada hati perut dan tidak berperikemanusiaan bukan?” Serang Tengku Adrian bertalu-talu.
            “Bukan begitu tengku..” Vernon jadi gelisah. Serba-salah.
            Tengku Adrian ketawa sinis. Lucu melihat Vernon menjadi kelam kabut hanya kerana provokasinya. Matanya mengerling ke arah batang nesan yang tegak di bawah rimbunan kemboja. Ketawanya sebentar tadi menghilang, diganti dengan kerut muram.
            “Madame Marianne sudah ditakdirkan bernasib malang. Dulu anak perempuannya, kini cucunya pula sudah meninggal. Fleur sudah kehilangan pewarisnya, Vernon. Aku teringin mahu melihat air muka Madame Marianne bila dia tahu satu-satunya cucunya sudah meninggal.” Tutur Tengku Adrian.
            Vernon hanya berdiam diri. Tidak tahu apa yang patut diucapkannya.
*  *  *  *
            Helena menyuap makanan ke mulutnya perlahan-lahan. Hidangan yang banyak di hadapannya langsung tidak membangkitkan selera. Sebaliknya matanya lebih menjurus ke arah Tengku Adrian yang makan lebih senyap di hadapannya. Lelaki itu tidak banyak bercakap dengannya seperti biasa. Sejak mereka kahwin dua tahun yang lalu, begitulah sikap Tengku Adrian. Acuh tak acuh terhadapnya.
            Helena menarik nafas panjang. Sudu dan garfu diletakkan ke tepi. Gerak-gerinya mengundang lirikan mata Tengku Adrian. Lelaki itu merenung tajam.
            “Kenapa?” Tanya Tengku Adrian. Hairan melihat reaksi wanita itu.
            Helena menggeleng. Pandangannya dilontarkan ke suatu arah. Tertarik dengan kelibat pasangan suami isteri dalam lingkungan 50an yang sedang suap-menyuap sambil ketawa riang. Bibirnya mengorak senyuman. Tumpang bahagia dengan pasangan tersebut.
            Tengku Adrian menoleh. Turut memerhatikan ke arah pasangan tersebut. Sejurus dia melarikan anak matanya ke arah Helena semula.
            “You nak I suap you?” Soal Tengku Adrian. Tersenyum sinis.
            Helena menatap lelaki itu dalam-dalam. Bibirnya diketap rapat.
            “You jangan nak sakitkan hati I, Adrian. I dah tak larat nak bergaduh dengan you. Tak bolehkah kita jadi macam pasangan lain? Aren’t we happy before this?” Keluh Helena.
            “I pun tak minat nak gaduh dengan you. I kahwin dengan you sebab Madame Marianne. I don’t love you and you are meaningless for me. So  please stop for being so pathetic.” Ujar Tengku Adrian.
            Helena tergaman. Tidak menyangka lelaki itu akan terus-menerus menyakiti hatinya. Apa salahnya? Kenapa lelaki yang dicintainya sanggup melayannya seperti ini?
            “You memang tak berperasaan. Kalau I tahu macam ni sikap you, tak ingin I kahwin dengan you.” Getus Helena meradang. Dia bingkas bangun dari kerusinya bersedia untuk beredar.
            “You nak ke mana?” Soal Tengku Adrian. Matanya tajam merenung ke arah wajah Helena yang merah padam.
            “I nak balik, you makanlah kat sini sorang-sorang.” Getus Helena berang.
            “Jangan nak malukan I. Duduk dan habiskan makanan you. Sekejap lagi kita balik.” Nada suara Tengku Adrian tegas. Helena terdiam. Sorot tajam mata lelaki itu menjamah wajahnya, membangkitkan pilu di hatinya. Kenapa Adrian? Kenapa aku diperlakukan begini?
            “I kata duduk. Duduk sebelum I paksa you.” Suara itu kian meninggi. Helena melepaskan nafas. Mahu tak mahu dia akur. Kerusi di hadapan lelaki itu ditarik semula.
            “You kesal kahwin dengan I?” Soal Tengku Adrian.
            Helena tunduk. Airmatanya berlinang di penjuru mata.
            “Kesal macamana pun you, you sudah jadi isteri I. Apa lagi yang you hendak? Bukan ini yang you mahukan selama ini?”
            “Memang ini yang I mahukan selama ini. Sejak Mathilda masih hidup lagi, I sayangkan you. Tapi bukan cara hidup begini yang I mahukan. Jangan seksa hati I sama macam you seksa Mathilda dulu. I’m not like her, Adrian.”
            Tengku Adrian mengetap bibir. Kata-kata Helena membangkitkan marahnya. Wajah Helena yang tersorok di sebalik kedua-dua telapak tangan diintai dengan perasaan membara. Pinggan makanannya ditolak ke tepi agak kasar. Dia sudah tidak berselera mahu menjamah makanan lagi.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!