Followers

Wednesday, January 6, 2010

Tiada Sepertimu 3

DERAP langkah itu terdengar sayup-sayup di corong telinganya. Namun dia terlalu malas untuk mengambil tahu gerangan siapa yang datang. Bunyi tirai jendela ditarik kasar menyebabkan tujahan cahaya mengenai mukanya.
Zara mengeluh, lantas terus menarik selimut menutup muka. Matanya dipejam rapat. Entah kenapa, dia ingin terus tidur. Lagipun hari ini hari minggu. Inilah masanya dia berpeluang tidur lebih lama dari biasa. Namun tidurnya jadi terganggu apabila kain selimutnya ditarik-tarik seseorang.

“Ala mama, biarlah Zara tidur sekejap lagi. Hari ni kan hari minggu,” rungutnya dengan mata masih terpejam rapat. Tiada suara balas kedengaran. Zara lega kerana ibunya seakan membiarkan dia terus bermalas di atas katil. Beberapa ketika kemudian, selimut yang menutup badannya hampir separuh ditarik.

“Mama, please jangan ganggu Zara. Zara nak tidur ni. Semalam Zara sakit kepala, langsung tak lena.” Dia mengadu domba seraya menarik semula selimut yang terlondeh menutup muka.

“Anak dara tak baik tidur sampai tengahari,” bisik suatu suara garau di tepi telinganya. Mata Zara terbuka luas. Dia tercengang separuh kaku. Bukan suara ibunya. Habis siapa? Takkan pencuri pula pagi-pagi buta ni! Zara mengucap panjang. Janganlah apa yang bermain di kotak fikirannya benar-benar berlaku.

Perlahan-lahan dia membuka kelubung wajahnya. Serentak telinganya menangkap bunyis ketawa singgah di gegendang telinga. Hampir dia terpegun melihat seorang lelaki muda sedang berteleku di tepi katil sambil mengadapnya. Zara bingkas bangun. Bulat matanya memandang anak muda yang memerhatikannya dengan wajah nakal.

“Romei?” Dia bertanya seakan tidak percaya.

“Iya, aku ni. Siapa lagi kalau bukan Romei yang handsome ni.” Gelak Romei. Zara tiba-tiba mencapai bantai peluknya lalu ditala ke arah Romei. Anak muda itu sempat mengelak seraya terkeheh-keheh ketawa.

“Damn you Romei, siapa suruh kau masuk bilik aku ni?” Jerit Zara geram.

“Kenapa pula tak boleh? Sejak bila seorang adik tak boleh masuk ke bilik kakaknya?” Romei bertanya nakal.

“Sejak kau tak pernah mahu panggil aku kakak.”

“Ala mengaku ajelah kau malu aku tengok muka kau yang belum mandi pagi kan?” Usik Romei lagi. Zara segera memasamkan muka. Dia terburu-buru turun dari katilnya.

“Macamana kau masuk? Macamana kau dapat kunci rumah aku? Mama aku mana?” Bertalu-talu soalan itu keluar dari bibir Zara. Romei tercengang.

“Hei, slow downlah sis. Nak ke mana tergesa-gesa ni, bukannya ada keretapi tengah menanti.” Romei tersengih. Zara menunjuk buku lima menyebabkan anak muda itu terkeheh-keheh ketawa.

“Auntie dah berangkat ke KLIA pagi tadi. Dia nak terbang ke Jakarta awal pagi ni.” Ujar Romei selamba.

“Dia beritahu kau?”

“Tak. Aku baca nota yang dia tinggalkan atas meja makan.”

“Habis kau masuk dengan apa?” Terbeliak mata Zara memandang anak muda itu. Romei terus tersengih. Dari poket seluar, anak muda itu mengeluarkan segugus anak kunci lalu ditayang-tayangkan di hadapan muka Zara.

“Kau lupa ke kunci ni auntie yang beri aku sebelum aku ke Australia?”

Zara mengeluh panjang. Entah sudah tidak adakah manusia normal dalam keluarganya selain dia dan ayahnya? Kadangkala perangai Romei dan mamanya sama sahaja, padahal Romei bukan anak kandung mamanya.

“Sudahlah, kau keluar dulu. Aku nak mandi ni,” suruh Zara.

“Kalau aku tunggu kat sini?’

“Kau nak mampus?” Jerit Zara seraya mencubit lengan anak muda itu. Romei terkeheh-keheh ketawa saat tubuhnya didorong Zara keluar dari bilik itu. Zara segera menutup pintu biliknya seraya menguncinya. Romei tu bukan boleh dipercayai sangat, gumam Zara. Beberapa ketika kemudian dia tersenyum sendiri. Senakal-nakal Romei, hanya itulah adik yang dia ada di dunia ini. Hanya itulah temannya untuk diajak bicara jika dia kesepian.

Lahir sebagai anak tunggal ternoktah membosankannya. Namun setelah ayahnya dan ibunya bercerai, lelaki itu bertemu jodoh dengan seorang wanita berasal dari Kelantan. Dalam usianya 4 tahun, dia menerima kehadiran seorang adik baru. Penyeri keluarga baru ayahnya.

Namun sebaik lahir ke dunia ini, Romei kehilangan ibunya. Ibu Romei, Kamalia meninggal semasa melahirkan, dan sejak itu ayahnya tidak pernah berkahwin lain. Malah Romei membesar di bawah jagaan dan asuhan adik perempuan ayahnya Kastima yang dipanggil Mak Cu. Dia pula hidup bersama mamanya yang sentiasa sibuk terbang ke sana ke mari. Kerjaya ibunya sebagai Ketua Pramugari membataskan waktu untuk mereka sering bertemu muka. Dia sendiri hairan kenapa ibunya masih mampu bertahan kerja di awan biru, biarpun hampir 20 tahun lebih wanita itu terbang ke sana ke mari melihat dunia luar. Namun diam-diam Zara akui, ibunya masih kelihatan menarik meskipun sudah mencecah usia 45 tahun.

Mendengar ketukan demi ketukan singgah di pintu biliknya, Zara lekas-lekas mandi dan bersiap. Dia tidak mahu terus diganggu dengan seribu satu kerenah anak muda itu yang memeningkan kepalanya. Dari luar suara teriakan Romei memanggil-manggil namanya membuatkan Zara mengeluh panjang.

* * * *
JUS mangga campur laici di gelasnya hampir habis dimakan Romei. Zara hanya ketawa. Sejak kecil sikap Romei tidak pernah berubah. Sentiasa suka menjamah makanan atau minumannya. Dia juga kadang-kala terikut dengan sikap anak muda itu. Sering juga jika mereka keluar makan bersama, masing-masing memesan minuman dan makanan yang disukai, tapi akhirnya gelas dan pinggannya akan kekal di meja hadapan Romei dan begitu juga sebaliknya. Kata Mak Cu, mereka seperti adik beradik kembar. Dia hanya mampu ketawa mendengar komen Kastima.

“Tengok tu, habis laici aku kau makan. Tak acilah macam ni Romei, ganti balik!” Herdik Zara pura-pura merajuk.

“Eleh, makan sikit pun nak berkira.” Romei mencebik.

“Gila! Sikit apa macam ni, semuanya sekali kau dah bedal.” Dia tak mengalah. Romei ketawa besar. Anak muda itu tunduk memandang jus tembikai di hadapannya yang belum luak. Belum sempat Zara bersuara, sepantas kilat Romei mengambil jus tembikainya lalu dituang separuh ke dalam gelas Zara. Gadis itu terpempan sebentar.

“Romei!” Zara terjerit agak kuat. Hampir dia terlupa di mana dia berada ketika itu. Romei tergelak.

“Hah sekarang hamba dah siapkan jus mangga laici habis bersiram tembikai untuk tuan puteri.” Lagak Romei bak pahlawan dahulu kala. Zara terkedu sekejap melihat jus mangganya yang sudah bertukar warna.

Dia berkalih wajah memandang anak muda itu. Romei terkelip-kelip memandangnya dengan muka seposen. Dia tidak dapat menahan senyum. Berkerut-kerut mukanya cuba menahan. Tapi akhirnya gerak geri Romei membuatkan tawanya tiba-tiba meledak.

Mujur sajalah ayahnya Bakhtiar tidak ada bersama. Jika tidak, tentu panjang lebar leteran orang tua itu. Pasti ada saja yang tidak kena dengan tingkah lakunya di mata lelaki itu. Zara tersenyum simpul.

Melihat lesung pipit yang terukir di wajah Zara, Romei turut tersenyum. Dia menopang dagu sambil memandang wajah Zara yang redup dengan sepasang alis mata yang indah terbentuk. Sejak dulu dia tidak pernah puas menatap wajah kakaknya itu. Kadang-kadang kalau Zara datang melawatnya di sekolah berasrama penuh, dia dengan bangga akan memperkenalkan Zara sebagai kakaknya. Malah semakin dia bangga jika ada teman-temannya yang memuji Zara yang manis dan ayu biarpun tanpa disaluti mekap.

“Bagaimana dengan kambing biri-biri kat sana? Tak rindu ke?” Tanya Zara seraya menyuap sekeping sandwich ke dalam mulut.

“Nak rindu apanya. Malaysia dengan Australia bukannya jauh sangat.”

“Kenapa tak ikut kawan-kawan bercuti? Kenapa nak balik ke sini?” Tak puas-puas Zara bertanya. Romei membeliakkan matanya besar-besar.

“Hai macam tak suka aje aku balik.” Ujar Romei pura-pura sedih. Zara tergelak besar melihat mimik muka yang ditunjukkan oleh anak muda itu.

“Bukan macam tu. Aku cuma confuse sikit. Selalunya budak-budak yang belajar kat luar negara macam kau ni, tak pernahnya nak balik time-time semester break ni. Dari diaorang balik, baik ambil kesempatan pergi melancong. Kau pulak lain.” Komen Zara.

“Itu diaorang, aku lain.” Sambut anak muda itu. “Aku lebih suka habiskan masa dengan family terutama kakak comel aku ni. Nak berjalan, bila-bila pun boleh.” Jawab Romei.

“Iyalah tu,” cebik Zara sambil menghirup jus tembikai milik Romei yang masih tinggal separuh. Romei hanya membiarkan. Matanya terarah ke wajah di hadapannya. Menyedari dirinya dipandang sebegitu rupa, Zara mengerutkan dahinya.

“Kenapa kau pandang aku macam tu?”

Romei tersenyum. Entah patut atau tidak dia bertanyakan Zara perihal semalam. Lagi-lagi leteran ayahnya membuatkan dia mula naik lemas. Jika tidak dapat Zara, dia yang akan jadi mangsa ayahnya. Entah sejak bila lelaki itu suka berleter begitu. Dulu tidak pula!

“Sis, tanya sikit…” Romei memandang anak gadis itu.

“Ha apa dia?” Mata Zara sudah mencerun ke arah Romei.

“Semalam apasal kau tak datang dinner tu?” Terkeluar juga pertanyaan itu dari bibir Romei. Terkelip-kelip matanya memerhatikan reaksi kakaknya.

Zara terdiam. Bukan dia tidak mahu datang, tapi keadaan yang tidak mengizinkan. Lagi pula selepas dia balik dari restoran tempohari, dia terus diserang flu. Mujurlah baki ubat semasa dia sakit dulu masih ada. Nasib baik sakitnya tidak melarat teruk.

Memang sejak dulu badannya lemah. Kerap jatuh sakit jika berhujan atau berpanas di luar. “Berdiri kat situ dengan baju basah boleh buat awak demam.” Tiba-tiba dia teringatkan kata-kata lelaki yang dijumpainya di luar restoran malam semalam. Pandai lelaki itu menzahirkan kata. Tidak semena-mena dia terus diserang selsema selepas pulang semalam.

“Ayah macamana?” Tanya Zara tiba-tiba. Sengaja dia mahu menghilangkan ingatannya dari terus menerus terkenangkan lelaki di restoran itu.

“Macamlah kau tak kenal ayah tu. Sedikit sebanyak, berbunyilah juga mulut dia tu tapi sekejap aje. Kenapa kau tak ada semalam? Bosanlah aku dengan semua kawan-kawan ayah tu.” Keluh Romei.

“Sorrylah Romie, semalam aku ada hal penting. Bukan aku tak nak datang celebrate birthday kau tapi tak sempat. Tapi aku janji, lain kali kita keluar sama-sama. Aku ganti balik kek birthday tu. Kau cakap saja kau nak apa.” Ujar Zara.

“Betul?” Mata Romei bersinar-sinar.

“Ha jangan pula kau fikir nak minta yang bukan-bukan,” getus Zara memberi amaran, menyebabkan anak muda itu ketawa besar. Zara turut tergelak. Lucu dengan kata-katanya sendiri. Namun begitulah sikap mereka jika bertemu. Sering bergurau tak kira tempat.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!