Followers

Wednesday, July 9, 2014

Cinta Bukan Larangan (SC) : Bab 13


MAKANAN yang ada di pinggannya terasa muak mahu ditelan. Sebaliknya dia lebih suka menjamu matanya dengan memerhatikan Dina Azura di hadapannya.

            Sesekali apabila Dina Azura menepis anak rambutnya yang terjuntai di dahi, Irman bagaikan terpesona melihat reaksi spontan gadis itu. Semua tingkah laku gadis itu dirasakan cukup indah di matanya. Entah kenapa, dia benar-benar menyukai gadis itu.

            “Dina bosanlah makan makanan kat sini. Semua lauk rasanya sama saja,” keluh Dina Azura entah pada siapa.

Irman tersenyum kecil. Dia merenung pinggan makanannya yang masih berbaki. Dia sendiri tidak pandai mendefinisikan makanan yang dimakannya. Baginya jika makan bersama Dina Azura, apa-apa pun sedap. Namun dia perasan juga, sejak akhir-akhir ini mereka kerap singgah makan tengahari di restoran mamak itu. Masa yang terhad  membuatkan mereka terpaksa memilih restoran yang paling hampir dengan tempat kerja.

            “Kalau tahu macam ni, baik kita makan kat warung depan pejabat aje,” rungut  Dina Azura lagi. Wajahnya masam kelat.

Irman menatap wajah itu agak lama. Kadangkala terselit juga rasa hairan di hatinya melihat kerenah Dina Azura hari ini. Selalunya gadis itu tidak pernah cerewet soal makanan. Kenapa dengan Dina Azura hari ini agaknya? Dimarahi boskah?

            “Dina ni marahkan makanan, atau marahkan orang lain?” Selamba Irman menegur.

Dina Azura terkedu. Dia menoleh ke arah Irman yang tersenyum kecil. Sejurus kemudian, dia turut tertawa.

            “Maaf Man, Dina tak sedar yang Dina asyik berleter macam-macam pada Man.”

            “Kalau Dina yang berleter, Man tak kisah mendengarnya. Seumur hidup pun Man sanggup dengar,” bisik Irman nakal.

            “Seumur hidup? Ye ke ni, jangan-jangan tak sampai sebulan Man dah bosan dengar Dina asyik membebel.” Cebik Dina Azura.

Irman tergelak besar dibuatnya.

            “Kenapa? Tak percaya? Kalau tak percaya, kenapa Dina tak cuba hidup dengan Man? Tengok samaada Man boleh tahan dengar Dina berleter atau tidak.” Sahut Irman perlahan. Galak matanya merenung anak gadis itu.

            Dina Azura terdiam. Kata-kata Irman membuatkan lidahnya tiba-tiba kelu. Bagaikan ada batu besar yang menyekat kerongkongnya untuk terus bersuara. Bukan dia tidak mengerti maksud kata-kata Irman kali ini, namun membiarkan Irman melayan sendiri perasaannya lebih mudah dari dia berterus terang dengan lelaki itu.

            Kadangkala dia sering bertanya dirinya sendiri. Tidakkah dia tertarik pada lelaki seperti Irman? Segala-galanya pada Irman sudah cukup untuk membuatkan seseorang gadis itu jatuh cinta. Namun entah mengapa gadis itu bukannya dia. Meskipun hatinya menyenangi keakraban persahabatan mereka selama ini, namun untuk jatuh cinta dia tidak pasti.

            “Kenapa Dina diam?” Irman memandang gadis itu. Wajah Dina Azura membayangkan keresahan.

            “Man tahu, Dina faham perasaan Man pada Dina kan? Tapi Dina tidak pernah memberikan jawapan yang pasti pada Man. Man sayangkan Dina. Cinta yang Man pupuk sejak dulu takkan mudah Man lupakan begitu saja.” Ucap Irman tenang.

            Dina Azura mengangkat wajahnya perlahan-lahan. Wajah lelaki di hadapannya ditatap sayu.

            “Man, Dina tahu Man sayangkan Dina. Dina juga begitu. Tapi sayang Dina pada Man hanya sebagai seorang abang. Ia takkan berubah sampai bila-bila pun Man.” Ujar Dina Azura, berterus-terang.

            “Kenapa Dina tak pernah mahu memberi Man peluang itu? Mungkin sekarang Dina anggap Man macam abang. Tapi Man yakin, suatu hari nanti Man boleh membuatkan Dina jatuh cinta pada Man. Man cuma nak Dina beri Man peluang itu.” Ucap Irman kesal.

            “Maafkan Dina Man, Dina tak mampu memberi harapan kosong pada Man.” Balas Dina Azura sebak.

            Irman terdiam. Pedih hatinya mendengar kata-kata Dina Azura. Terasa lemah longlai tubuhnya menahan rasa kecewa. Lama anak matanya menatap sepasang mata bening yang turut memandangnya. Kedua-duanya membisu seribu bahasa. Tiada kata yang terlontar keluar, hanya perasaan yang berbelah-bahagi yang timbul.

            Dina tahu Man nak sambung belajar. Kenapa Man tak pernah beritahu Dina tentang hal ni?” Soal Dina Azura tiba-tiba.

            Irman tersenyum. “Kalau pun Man beritahu, Dina tetap tak mahu ikut Man kan? Man bertahan sampai sekarang, semata-mata dengan harapan mungkin pada saat-saat terakhir, Dina akan setuju. Tapi nampaknya harapan Man cuma sia-sia.” Suara Irman mendatar, membayangkan kekecewaan.

            Dina Azura terdiam.

            “Mungkin ini kali terakhir kita lunch bersama. Man dah buat keputusan, Man akan berangkat ke London minggu depan. Berat hati Man nak berpisah dengan Dina, tapi Man hormati keputusan Dina. Cuma satu saja Man minta. Jika suatu hari nanti, hati Dina akan terbuka untuk Man, Dina hubungi Man kat sana bila-bila masa saja. Man akan sentiasa menanti Dina.” Bisik Irman syahdu.

Hati Dina Azura terpalit rasa hiba mendengar kata-kata lelaki itu. Man! Kenapa Man harus jatuh cinta pada Dina? Dina bukannya orang yang layak untuk dicintai oleh lelaki sebaik Man! Bisik hati kecilnya sebak.

*  *  *  *

DINA AZURA merenung gigi air yang bergolak. Pandangannya singgah kosong pada sekawan itik yang berkejaran di dalam air tasik. Entah kenapa, selepas makan tengahari bersama Irman, dia langsung ke Tasik Titiwangsa untuk menenangkan fikiran. Hatinya tidak dapat lari dari rasa bersalah terhadap Irman.

            Merenung wajah Irman yang muram ketika menghantarnya ke pejabat tadi, dia dihimpit penyesalan demi penyesalan. Rasa kesal datang bertamu, mengenangkan cakapnya yang agak berterus terang mungkin akan melukakan hati lelaki itu.

            Sejak beberapa tahun yang lalu, Irman setia menagih kasihnya. Dia pula saban waktu cuba menghindarkan diri. Bersabar menerima kerenah Irman yang hauskan cintanya.

            Dina Azura mengeluh. Dikeluarkan sehelai saputangan dari dalam tas tangannya. Saputangan berwarna coklat berbunga pink itu direnung lama. Perlahan-lahan saputangan di genggamannya itu dikucup syahdu. Muncul satu getaran halus, bermukim di jendela hati. Ya ALLAH, berdosakah aku kerana memiliki perasaan begini?

            Irman bukan satu-satunya lelaki yang terpaksa menghadapi penolakannya. Sejak di sekolah sehingga menjejak ke alam universiti, ada sahaja insan yang mahu menagih kasihnya terpaksa dihampakan hatinya.

            Akmal, pemuda itu punya segala-galanya. Ketua pelajar di kampusnya yang sangat disenangi semua orang. Mempunyai otak yang cerdas, pintar berdebat dan rupa yang digilai ramai gadis-gadis siswi. Dan dia tidak perlu susah-susah mencuba apabila pemuda itu meluahkan perasan terhadapnya.

            Selain Akmal, dia juga didekati Adli, anak datuk yang sering memandu Porsche merahnya di kawasan kampus. Puas Adli merayunya agar sudi menerimanya tapi dia tetap tidak berganjak dari keputusannya. Baginya antara Akmal dan Adli, dia tetap Dina Azura yang hanya menyimpan seraut wajah di hatinya sampai bila-bila pun.

            Kau gila Dina! Apa yang kau rasakan itu tak mungkin akan berlaku. Dia tak mungkin jadi milik kau. Kau akan dilaknat ALLAH kerana mempunyai perasaan seperti itu. Dan aib ini akan ditanggung oleh keluarga kau sampai bila-bila pun!

            Lamunan Dina Azura terhenti tiba-tiba, apabila saputangan yang dipegangnya terlepas di permukaan air. Dina Azura terpegun. Untuk seketika, dia bagaikan kaku melihat saputangan itu jatuh di gigi air. Tanpa berlengah, dia melipat kaki seluarnya. Perlahan-lahan dia turun ke tebing tasik. Sebelah tangannya pula mencengkam kuat rumput-rumput halus di tepian tebing. Dia cuba mencapai saputangan itu, namun arus kecil air tasik membawa saputangan itu hanyut tidak jauh darinya.

            Dina Azura cemas. Dia cuba bergerak ke tengah, namun tiba-tiba pergelangan lengannya dipaut kasar. Dia tergaman lalu segera menoleh. Seorang lelaki entah sejak bila muncul di hadapannya sambil merenungnya dengan sinar mata garang.

            Kalau awak nak bunuh diri sekalipun, jangan buat di depan saya. Saya tak mahu disoal siasat polis nanti,” ujar lelaki itu. Sinis bunyinya!

            Dina Azura tercengang. Bunuh diri? Apa maksudnya? Dia cuba melepaskan pautan tangan lelaki itu, namun lelaki itu segera mengemaskan pegangannya. Dina Azura mula diasak perasaan bimbang. Kenapa dengan dia ni? Orang jahat atau orang gila?

            “Lepaslah,” herdik Dina Azura agak kasar.

            “Tak. Saya takkan lepaskan awak kalau awak terus buat gila macam ni. Kalau ada masalah sekalipun, bukan begini caranya. Masih ada banyak cara untuk selesaikan masalah. Tapi bunuh diri bukan salah satu darinya.” Ujar lelaki itu tetap berdegil.

            Dina Azura tercengang. Dia memandang wajah lelaki itu lama-lama. Mata itu masih mengawasi setiap inci gerak gerinya. Buat seketika dia terkedu. Entah kenapa wajah lelaki yang berkumis nipis itu seakan-akan pernah dilihatnya sebelum ini. Tapi kat mana agaknya? Puas dia memikirkannya, tapi tahap kelembapan otaknya saat ini membuatkan dia gagal menelah.

            “Kenapa awak pandang saya macam tu?” Giliran lelaki itu pula bertanya. Hairan apabila menyedari mata Dina Azura tidak berganjak dari wajahnya..

            Dina Azura mengalihkan anak matanya lalu menoleh ke arah air tasik. Matanya sibuk mencari-cari sesuatu, membuatkan lelaki itu terus dihimpit rasa hairan.

            “Awak cari apa sebenarnya ni?” Soal lelaki itu ingin tahu.

            Dina Azura acuh tak acuh. Matanya terus memerhatikan ke arah permukaan tasik. Sehelai saputangan berwarna coklat muda, yang tersangkut di sebuah ranting kayu kecil yang terapung mula menarik perhatiannya. Bibirnya segera mengorak senyum. Dadanya segera lapang dengan tiba-tiba. Mujurlah saputangan itu masih ada. Tanpa berlengah dia terus mara ke arah saputangan itu, menyebabkan pegangan lelaki itu terlerai jua akhirnya.

            Terkelip-kelip mata lelaki itu memerhatikan tingkahlaku Dina Azura, mencapai saputangan tersebut sebelum naik ke tebing. Dia ingin membantu, namun Dina Azura tidak mempedulikannya lalu mengagahi diri mendaki tebing itu sendirian.

            Awak bukan nak bunuh diri ke?” Lelaki itu bertanya kepadanya. Seakan-akan keliru dengan apa yang sedang berlaku.

            Dina Azura menoleh ke arah lelaki itu dengan nafas semput. Dia ketawa kecil, tidak mampu menahan rasa lucu. Kelakar kerana dikatakan cuba membunuh diri. Apatah lagi apabila melihat wajah lelaki itu seperti kebingungan.

            “Muka saya ni macam muka orang yang nak bunuh diri ke?” Tanya Dina Azura.

            “Saya sangkakan tadi, awak….”

            Selalu ke awak macam ni? Tiba-tiba muncul, lepas tu fikir yang bukan-bukan. Kalau ada sepuluh lagi orang macam awak kat sini. Sampai bila-bila pun saya takkan dapat balik saputangan saya.” Pantas Dina Azura memintas kata-kata lelaki itu. Dia malas mahu mendengar apa-apa lagi dari lelaki itu, asalkan saputangannya masih selamat dalam simpanannya. Namun dia mengeluh kecil apabila terpandang kesan koyak di saputangan itu.

            Lelaki itu merenung saputangan di tangannya. Wajahnya berkerut, seolah-olah memikirkan sesuatu. Sayang betul gadis itu pada saputangannya nampaknya! Canda hati si lelaki.

“Sayang sungguh awak kat saputangan tu? Siapa kasi? Pakwe kasi ya?”

            Dina Azura terkedu. Pertanyaan lelaki yang tidak dikenali itu mengundang rasa tidak senang di hatinya.

            Maaf kalau saya banyak bertanya. Saya Johan, Johan Herman.” Lelaki itu menghulurkan tangannya.

Dina Azura tersentak. Johan Herman? Dia memandang lelaki berkumis tipis itu agak lama. Matanya dikecilkan. Cuba mengecam wajah itu baik-baik. Johan Herman yang samakah?

            “Awak anak Datuk Herman kan?” Tanya Dina Azura seraya mengetap bibirnya.

            Mendengar gadis itu menyebut nama ayahnya, Johan tercengang. Mana dia tahu? Dia memerhatikan wajah Dina Azura dengan teliti. Siapa agaknya perempuan ni? Cantik orangnya. Jika mereka pernah bertemu sebelum ini, mustahil dia akan lupakan wajah secantik itu.

            Maaf, saya tak ingat.” Johan mengakui kelemahannya.

            Dina Azura terdiam. Tak ingat? Hmm..bagus juga. Tak payahlah dia susah-susah nak perkenalkan dirinya lagi.

            “Kalau tak ingat tak apalah.“ Ujar Dina Azura selamba. Dia mahu beredar dari situ, membuatkan Johan tercengang-cengang dibuatnya.

            “Nanti kejap..“ Johan menghalang. Hendak tergelak pula dia melihat respon anak gadis itu. Ada ke macam tu caranya! Bersusah payah dia memperkenalkan dirinya dengan cara terhormat, alih-alih gadis itu nak blah macam itu sahaja? Mana aci begini!

            “Awak belum beritahu nama awak lagi.“ Desak Johan.

            Dina terdiam. Perlukah dia menyebut namanya? Macamlah mereka akan bertemu sekali lagi. Ah! Sekalipun dia menyebut namanya, mungkin lelaki itu takkan mengecam dirinya langsung!

Saya Dina Azura.” Dia memperkenalkan dirinya. Selamba!

            “Dina Azura?” Johan terpanar. Dahinya dikerutkan. Macam pernah dengar nama itu sebelum ini. Tiba-tiba singgah seraut wajah masam mencuka di fikirannya. Johan menarik nafas panjang. Dia segera memerhatikan gadis di hadapannya.

            “Awak Dina Azura, anak uncle Hisyam?” Johan meneka dalam kesamaran.

            Dina Azura menelan liur. Tidak menyangka lelaki itu dapat juga mengecam dirinya. Bagaimanapun dia tidak menyalahkan Johan kerana tidak mengingatinya pada awalnya, kerana dia juga begitu pada mulanya. Patutlah wajah Johan seperti pernah dilihatnya sebelum ini. Ketika itu Johan memakai kacamata hitam pada malam itu. Mungkin juga itu sebabnya dia tidak dapat mengecam wajah Johan pada mulanya.

            “Maaf sebab ingat awak nak bunuh diri tadi.” Johan ketawa kecil. Segan juga dia pada gadis itu, kerana bertindak bodoh memikirkan perkara yang bukan-bukan. Mujurlah Dina Azura tidak marah.

            “Tak apalah, saya cuma nak ambil saputangan saya saja. Maaf kalau membuatkan awak salah sangka.” Ujar Dina Azura.

            “Bukan. Salah saya sebenarnya, suka mengambil keputusan terburu-buru. Awak tak kerja hari ni?” Soal Johan. Hairan juga melihat Dina Azura berada di situ pada awal-awal petang begini.

            “Awak?” Balas Dina Azura tanpa menjawab soalan itu. Tanya orang pulak! Dia pula apa yang dibuatnya di tempat ini pada ketika ini?

            “Saya jalan-jalan saja.”

            “Waktu macam ni?” Kerut di dahi Dina Azura melebar.

            “Baru jam 3.30 petang, apa yang tak kena dengan sekarang?” Soal Johan ingin tahu, sengaja mahu mengusik gadis itu.

            “Awak memang pekerja yang tak ada etika.” Dina Azura tersengih.

            “Awak pun.” Johan ketawa besar. Lucu mendengar Dina Azura menganggap dia tidak ada etika kerja.

Dina Azura turut ketawa. Ya, kalau Johan tidak ada etika, dia pun sama sahaja. Dua kali lima! Mereka sama-sama sedang membuang masa di Tasik Titiwangsa pada waktu-waktu sepatutnya mereka berada di pejabat.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!