Followers

Thursday, May 13, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 7

“BOS dah masuk pejabat Hana?” Tanya Ikram pada setiausaha Hazril, Hana. Gadis manis berlesung pipit itu hanya menggelengkan kepalanya.

“Belum lagi Encik Ikram. Saya pun hairan sejak dua tiga hari ni bos selalu masuk office lambat. Kadang-kadang langsung tak masuk.” Keluh Hana.

“Adalah halnya tu.” Acuh tak acuh jawapan Ikram sambil sibuk membaca isi kandungan fail yang dipegangnya. Matanya berkerut sedikit menatap kandungan fail yang sedang ditelitinya.

“Jangan-jangan bos dating dengan Cik Irina tak?” Hana tersengih.

Kata-kata Hana membuatkan perhatian Ikram beralih arah. Bulat biji matanya memandang ke arah Hana yang serkap jarang. Sesaat dua ketawa Ikram mula meletus.

“Ada-ada ajelah awak ni Hana. Dengar dek bos nanti, diberhentikan awak kerja baru tahu.” Usik Ikram. Sengaja mahu menyakat gadis itu.

“Hai Ikram.” Suatu suara tiba-tiba muncul dari suatu arah. Serentak Ikram dan Hana berpaling. Seorang gadis yang agak bergaya, tersenyum memandang ke arah mereka. Melihat gadis itu terpacul di situ, keluhan Ikram meletus keluar. Hana sempat menjeling lelaki itu sambil tersenyum simpul. Dia faham benar tahap alergik Ikram pada gadis itu.

“Apa kau buat kat sini Julia?” Soal Ikram sedikit bosan.

“Hai ini kan pejabat abang sepupu aku. Takkan aku tak boleh datang sini.” Julia tergelak kecil. Lelaki itu dihampiri lebih rapat.

“Kau datang nak jumpa Hazril atau ayah kau?”

“Dua-dua aku nak jumpa.”

“Ayah kau ada kat biliknya. Hazril pula tak masuk office lagi hari ni.” Ujar Ikram selamba seraya berpaling. Namun sebelum sempat dia beredar, Julia tiba-tiba menyentap tangannya.

“Kenapa kau sombong sangat dengan aku Ikram?” Bulat mata Julia memandang wajah lelaki itu. Ikram ketawa besar mendengar kata-kata yang meniti dari bibir gadis itu.

“Sombong? Aku sombong? Sejak bila kau pandai guna istilah macam tu Julia?”

“Kau tahu maksud aku kan. Tak boleh ke kau layan aku baik-baik sikit?” Keluh Julia. Sebal dia dengan sikap Ikram yang selalu menyindir-yindirnya setiap kali dia datang bertandang ke situ. Macamlah dia ada salah besar dengan Ikram!

“Cik Julia, aku dah layan kau sewajarnya yang kau patut terima. Kau nak macamana lagi? Nak suruh aku layan macam puteri raja?” Ikram mula meradang.

“Sekurang-kurangnya kau tolong hormati aku sikit. Lagipun tak lama lagi kita akan jadi rakan sekerja.” Bidas Julia.

Ikram terpempan. Kata-kata Julia mengejutkannya. Rakan sekerja? Dia memandang ke arah Hana, namun gadis itu hanya mengangkat bahunya. Tanda dia tidak tahu apa-apa. Seingatnya Hazril tidak pernah menyebut tentang perkara itu.

“Who told you this? Hazril?” Soal Ikram.

“Bukan. Tapi aku kan salah seorang anak pemegang saham kat syarikat ni. Rasanya aku ada hak untuk bekerja di sini.” Selar Julia bangga. Kata-kata gadis itu membuatkan Ikram tergelak kecil.

“Julia, saham ayah kau tak sampai pun lima peratus. Apa-apa pun kau kena tanya Hazril dulu. Selagi Hazril tak beri persetujuan, aku tak mahu tengok muka kau merayau-rayau kat sini kacau staf-staf lain buat kerja. Faham?” Selar Ikram tegas, sebelum beredar meninggalkan Julia yang sudah merah padam mukanya.

Hana yang mendengar kata-kata Ikram cuba menahan senyum. Satu pejabat sudah tahu perang dingin antara Ikram dan Julia yang tidak pernah habis.

* * * *

KAKINYA dihentak kuat sebaik memasuki pejabat Syed Rahim. Terkejut orang tua itu melihat anak tunggalnya berkelakuan begitu. Wajah Julia masam mencuka.

“Hai kenapa pulak ni? Moyok semacam aje.” Tegur Syed Rahim hairan.

Julia segera menghempas tubuh ke sofa lembut di bilik ayahnya. Marahnya masih bersisa terhadap Ikram. Kata-kata Ikram dan sikap lelaki itu terhadapnya tidak pernah berubah sejak sebelum dia keluar negara sehinggalah sekarang.

“Kenapa dengan kamu ni Julia? Apa yang kamu buat kat pejabat daddy ni waktu-waktu macam ni?” Soal Syed Rahim. Bulat biji matanya menatap telatah anak gadisnya.

“Ikram tu daddy, selalu layan Julia macamlah Julia ni orang asing kat pejabat ni. Ada ke dihalaunya Julia tadi.” Terkeluar juga luahan hati Julia pada ayahnya.

“Melampau betul si Ikram ni. Makin menjadi-jadi dia ni.” Marah Syed Rahim. “Kamu pun satu, yang kamu datang ke mari apasal? Apa yang kamu hendak dengan daddy pagi-pagi macam ni?” Soal Syed Rahim bertubi-tubi.

“Mummy suruh Julia datang jumpa daddy dan abang Ril.” Sahut Julia.

“Dah gila ke mummy kamu tu? Nak buat apa?” Syed Rahim tercengang mendengar penjelasan anaknya.

“Manalah Julia tahu, daddy tanyalah mummy sendiri.”

‘Hai, macam-macam lah mummy kamu tu.” Keluh Syed Rahim. Pantas tangannya mengangkat gagang telefon lalu mula mendail.

“Hello As, kenapa awak suruh Julia datang office saya ni? Hari tu lepas dia habis belajar saya suruh dia datang bekerja kat sini, awak beria-ria sokong dia masuk modelling agency. Hah sekarang ni apa pulak?”

Syed Rahim terdiam seketika.

“Awak biar betul, nak suruh dia jadi pengintip awak kat syarikat ni pulak? Malaslah saya nak layan awak ni As, buat serabut kepala otak saya saja. Lepas ni entah apa pulak awak nak suruh si Julia ni buat.” Rungut Syed Rahim.

Julia buat endah tak endah saja dengan perbualan ayahnya di talian. Dia sibuk membelek beberapa bingkai gambar yang tergantung di dinding bilik itu. Apa yang menarik minatnya ialah gambar abang sepupunya Hazril, sedang duduk sebaris dengan staf-staf Perkasa Budi, termasuklah ayahnya Syed Rahim yang duduk selang dua kerusi dari Hazril. Hazril kelihatan segak dengan kot hitam yang sedondon dengan tali leher bertanah kuning bercorak hitam.

Dalam usia mencecah hampir 30 tahun, lelaki itu cukup dikenali sebagai salah seorang ahli perniagaan yang cukup disegani. Masih bujang pula. Jadi apa lagi yang diidamkan oleh seorang perempuan, kerana segala kriteria yang diperlukan terdapat dalam diri Hazril. Begitulah yang dicanang oleh mummynya beberapa hari yang lalu.

Asalnya Julia tidak pernah bercita-cita utuk mendekati abang sepupunya itu. Ini disebabkan sikap Hazril sendiri yang agak serius dan old fashion baginya. Walaupun bertahun di luar negara, Hazril dilihatnya tetap seperti dulu. Pendiam dan tidak suka bersosial. Sedangkan dirinya memang kaki clubbing. Sebut sahaja nama-nama kelab elit di Kuala Lumpur ini, tidak ada satu pun yang tidak pernah dikunjunginya. Itulah lifestyle yang cukup digemari Julia sejak bertahun-tahun yang lalu.

“Ingat Ju, senang hidup kau nanti kalau bersuamikan Hazril. Kau tak mahu kecapi kemewahan? Hidup dikelilingi wang, permata dan pakaian-pakaian cantik?” Dia tiba-tiba teringat kembali kata-kata mummynya dua hari yang lalu.

“Tapi Ril tak sukakan Ju mummy.”

“Bodoh! Dia tak suka, kau pujuklah biar dia suka. Takkan itu pun mummy nak ajar. Pikat dia dengan kecantikan kau. Lelaki mana yang tak tergoda dengan kecantikan perempuan? Daddy kau dulu pun sukakan mummy sebab mummy cantik.” Canang Syarifah Asmah.

Julia tersenyum lebar sebaik mendengar kata-kata ibunya. Dia akui mummynya masa muda-muda dulu memang cantik. Sebab itu tak ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Dan dengan kecantikan yang dimilikinya, dia menceburi bidang modelling dan kini menduduki antara tangga teratas peragawati-peragawati tanahair. Sebut saja nama Syarifah Julia Wirda siapa tak kenal? Satu Malaysia mengenalinya. Malah dia sering dikejar lelaki-lelaki berstatus, semuanya terpesona dengan kejelitaan yang dimilikinya.

“Kamu mesti bekerja di Perkasa Budi. Lebih dekat dengan Hazril, lebih mudah kamu pikat dia. Faham?”

“Tapi mummy, jadual show Ju ketat sangat. Susahlah macam ni,” rungutnya.

“Mummy tak kira, kamu mesti dengar cakap mummy kalau nak hidup senang. Kalau kamu senang, mummy pun boleh tumpang senang. Nak harapkan daddy kamu, sampai langit runtuhlah jawabnya.” Cebik Syarifah Asmah. Dia langsung tidak rasa malu merendah-rendahkan suaminya sendiri di hadapan anak gadisnya.

“Kak Rina macamana mummy? Dia dengan Ril kan....”

Bulat mata Syarifah Asmah memandang Julia. “Kamu ni kenapa Ju? Yang kamu susahkan si Irina tu kenapa? Jaga diri kamu tu dulu....” Getus Syarifah Asmah.

Julia terdiam. Sebenarnya dia serba salah mahu mengikut rancangan ibunya. Lagipun hubungan Irina dan Hazril bukan lagi satu rahsia. Malah sudah terdengar desas desus yang mereka akan bertunang. Lagipun dia bernaung dengan agensi modelling kepunyaan Irina. Ini bermakna Irina adalah bosnya. Rancangan mummynya kali ini silap-silap boleh membuatkan kerjayanya sebagai model boleh terjejas.

* * * *

“KAU dah tahu Julia nak kerja di sini?” Soal Ikram pada Hazril sewaktu mereka keluar minum bersama malam itu. Destinasi mereka hanyalah kedai mamak di kawasan Petaling Jaya.

“Kerja?” Hazril mengerutkan dahinya. Hairan dengan berita yang dicanang oleh Ikram.

“Pak Ngah kau tu bawa resume Julia jumpa Encik Bakri hari ni. Katanya kau dah luluskan permohonan anaknya tu untuk jawatan eksekutif pemasaran. Tapi aku suruh Encik Bakri hold dulu sebab aku nak tanya kau dulu.” Ujar Ikram.

“Ikram, aku tak tahu apa-apa pun fasal hal ni.” Akui Hazril.

Ikram mengeluh. “Aku dah agak dah Macam selalu dia memandai buat keputusan sendiri. Lagipun kelulusan apa yang si Julia tu ada hingga dia layak dilantik sebagai eksekutif pemasaran kita? Setahu aku, dia belajar pun tak habis kan?”

Hazril ketawa kecil. Sejak bila anak manja pakciknya tu mahu bekerja? Seingatnya Julia lebih gemar menghabiskan masa berhibur di luar dari bersusah payah bekerja di pejabat.

“So apa keputusan kau Ril?”

“Kalau dia betul-betul mahu bekerja, aku tak ada halangan.” Balas Hazril selamba. Capati di hadapannya dicecah dengan kuah kari lalu disuap ke mulut.

“Kau biar betul..” Ikram bagaikan tidak setuju.

Hazril tersenyum. Dia sedar Ikram seratus peratus tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuatnya. Tapi dia malas mahu mencari gaduh dengan pakciknya. Baginya Julia hanya satu masalah kecil yang takkan meninggalkan apa-apa kudis pada syarikat.

“Kau tahu apa masalah kau Ril? Kau ni baik sangat, selalu bagi muka pada diaorang. Sebab itu diaorang suka ambil kesempatan, pijak atas kepala kau!” Luah Ikram tidak puas hati.

“Itu satu pujian ke atau satu sindiran?” Gurau Hazril. Dia tahu Ikram sedang marah.

“Aku serius ni Ril. Pakcik kau umpama duri dalam daging. Meskipun duri tu kecil, tapi lama kelamaan sakit tu tetap akan terasa. Kau seharusnya buang duri tu sejak awal-awal lagi.” Ujar Ikram memperingatkannya.

“Ram, aku tahu kau ambil berat fasal Perkasa Budi. Malah aku tahu sejak awal-awal lagi yang aku tak salah memilih orang. Kau bukan setakat pembantu kanan aku, malah kau adalah teman baik aku. Hal pakcik aku dan Julia, biarlah aku uruskan. Aku tahu Julia tu tak serius sangat nak bekerja. Aku kan sepupu dia, aku masak benar sikap dia. Lambat laun nanti, bila dia dah puas dia akan berhenti sendiri, percayalah.” Pujuk Hazril lembut.

“Kalau kau dah cakap begitu, terpaksalah aku percaya. Tapi aku harap kau berhati-hati sikit dengan Julia tu. Aku takut dia ada niat lain bekerja di Perkasa Budi.” Sahut Ikram separuh mengeluh.

“Aku akan berhati-hati. Thanks atas ingatan kau tu.”

Ikram terdiam. Wajah Hazril yang bersahaja ditenung agak lama. Kadang-kala timbul rasa kasihannya pada Hazril yang dirasakannya memiliki terlalu banyak beban dalam hidup. Dalam usia yang masih muda, lelaki itu terpaksa menjadi matang sebelum usianya. Menerajui Perkasa Budi tinggalan arwah Syed Radzi bukan satu perkara mudah. Tapi Hazril berusaha mempertahankan syarikat ayahnya dengan cara dan gayanya tersendiri. Memang dia kagum pada sahabat baiknya itu. Tapi dalam kekaguman, sebenarnya dia lebih merasakan simpati. Entah kenapa!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!