Followers

Wednesday, December 19, 2018

Spy Hati Dari Chantilly (Bab 9)

BUNYI riuh rendah di luar mengejutkan dirinya dari tidur. Dia memasang telinga. Suara yang sedang menyanyi-nyanyi itu didengari dengan teliti. Siapa pula suara sumbang yang sedang berlatih pitching ni? Menganggu betul!
Dia memakai pijamanya lalu melangkah ke muka pintu. Pintu di hadapannya dikuak berhati-hati sebelum dia mengintai keluar.  Dan pemandangan yang sama malam semalam muncul lagi.
Suri Imani mendengus kasar. Not again! Really?
Dia merenung ke arah Mikey Mikhail yang masih melalut tidak tentu fasal.  Kadangkala terfikir juga dia, ada 5 buah pintu apartmen di sepanjang aras itu, tetapi selama ini dia tidak pernah nampak atau bertembung dengan jiran-jiran lain kecuali Mikey Mikhail. Aneh! Mereka yang lain tak pernah terganggu ke dengan bunyi bising dari lelaki itu? Mustahil langsung tak!
Dia bercadang mahu menghubungi pihak sekuriti Desa Villa, melaporkan gangguan dari lelaki pemabuk itu. Tetapi baru dia hendak mendail ke pejabat sekuriti, ingatannya tiba-tiba terperosok pada peristiwa lelaki itu membantunya di Nusa Jaya siang tadi.  Dia baru berbudi dengan kau siang tadi Suri,  sekarang kau nak laporkan dia pada sekuriti?
Suri Imani melepaskan keluhan. Dia keluar semula dari rumahnya, lalu terpandang sesusuk tubuh itu yang sudah tidur. Hmm..baguslah, kau dah tidur. Aman damai sedikit hidup aku! Lepas ni tak payah lagi telinga ni naik berbirat mendengar benda-benda mengarut itu keluar dari mulut kau! Getus Suri Imani lega.

SELESAI mengangkat lelaki itu ke atas sofa, Suri Imani terduduk sebentar menghilangkan lelahnya. Gila! Aku sahajakah gadis yang gila kerana membantu lelaki mabuk itu buat kali kedua berturut-turut? Malah seperti tahu-tahu sahaja, dia mencari kad kunci rumah lelaki itu di poket yang betul.
Melihat ke arah deretan arak-arak yang tersusun di atas kabinet dapur itu, entah kenapa dia semakin benci melihat pemandangan itu. Macamanalah malaikat nak masuk kalau brandi, bir dan champagne itu tertenggek megah di situ?  Dia bingkas bangun dari sofa lalu berjalan ke arah botol-botol arak itu. Bawah bibirnya digigit, kebiasaan yang sering dilakukannya jika dia sedang berfikir panjang.
Matanya menjeling ke arah Mikey Mikhail yang masih tertidur pulas tidak sedarkan diri. Bagus! Dengan tahap alkohol lelaki itu, mungkin lelaki itu hanya akan bangun keesokan harinya.
Dia membawa botol-botol arak lelaki itu ke arah sinki lalu menuangkannya sehingga habis ke bawah sinki. Setiap satu botol yang ada di rak itu dikosongkan. Botol-botol itu kemudian dikumpul ke dalam karung plastik untuk dibuang.
Ketika dia asyik dengan kerjanya, telinganya tiba-tiba menangkap suatu bunyi.  Suri Imani segera menoleh ke arah Mikey Mikhail. Tubuh lelaki itu bergerak-gerak sedikit, membuatkan jantungnya hampir terhenti. Aduh! Macamana ni? Macamana kalau lelaki itu terjaga dan melihatnya di situ? Apa yang patut diberikannya sebagai alasan?
Namun melihat Mikey Mikhail berhenti bergerak, barulah lega sedikit hatinya. Dia harus cepat-cepat menyelesaikan kerjanya sebelum tertangkap.
Namun sebaik daun pintu di hadapannya dikuak, muncul seraut wajah sedang memandang ke arahnya. Suri Imani tergaman. Lelaki di hadapannya ikut terperanjat. Wajah Suri Imani ditatap tidak berkelip.
“You ni siapa?” Tanya lelaki itu dengan dahi berkerut seribu.
“Err..sa..saya orang gaji.” Jawab Suri Imani tanpa berfikir panjang.
“Orang gaji? Sejak bila Mikey ambil orang gaji?” Suara lelaki itu semakin hairan.
Dia segera bergegas keluar dari situ. Sasarannya ialah apartmennya sendiri. Cepat-cepat dia masuk ke dalam rumahnya lalu mengunci pintu dengan dada berdebar-debar. Sejurus menyedari karung sampah berisi botol-botol arak itu turut dibawanya masuk, Suri Imani mengeluh panjang. Alamak!

AMSYAR melirik ke arah si gadis yang bergegas memasuki apartmen 7D itu. Telinganya masih belum pekak mendengar si gadis menyebut dia orang gaji. Habis kalau betul Mikey Mikhail baru mengupah orang gaji, apa yang perempuan itu buat di rumah sebelah pula? Pelik!
Dia melangkah masuk ke dalam, lalu menemukan Mikey Mikhail yang sedang tertidur pulas di atas sofa. Badan lelaki itu kuat berbau arak. Amsyar menggeleng. Dia duduk di hadapan sahabatnya itu seraya mengeluh panjang. Bilalah Mikey ni nak berubah? Tiap-tiap malam mabuk begini, sahabatnya itu hanya akan merosakkan diri sendiri. Dahulu dia juga seperti Mikey Mikhail, sering mabuk-mabuk setiap hujung minggu. Malah dia boleh dikatakan teman rapat Mikey Mikhail jika diajak berpoya-poya di luar. Tetapi setelah ibunya jatuh sakit hampir setahun yang lalu, rutin mabuk bersama Mikey Mikhail sudah ditinggalkannya sama sekali.
Teringat tujuan kedatangannya, Amsyar segera menyeluk saku seluarnya. Mengeluarkan seutas rantai lalu merenung rantai itu dengan senyuman. Kerana Mikey Mikhail, rantai cantik itu tak lama lagi akan menjadi milik Shira, tunangnya. Thanks Mikey, I owe you! Bisiknya seraya merenung wajah di hadapannya yang masih lagi tidak sedarkan diri.
Mikey….wake up.” Usik Amsyar, cuba mengejutkan sahabatnya itu.
“Hmm…” suara sahutan lelaki itu kedengaran. Tetapi mata lelaki itu masih terpejam rapat. Amsyar mengeluh panjang. Dia beredar ke arah sinki, lalu mengisi air pili ke dalam gelas kosong yang ditemukannya di atas para.  Air itu kemudian direnjis ke muka Mikey. Masih tidak ada reaksi. Amsyar mengigit bibirnya. Tanpa berfikir panjang,  air di dalam gelas itu segera dicurah begitu sahaja ke muka Mikey.
What the….” Suara Mikey Mikhail singgah. Lelaki itu terpisat-pisat cuba membuka matanya.
“Bro, bangunlah. Aku singgah sini bukan nak hadap muka kau sedang tidur.” Amsyar menolak-nolak tubuh Mikey Mikhail dari atas sofa. Sengaja!
Mikey Mikhail memandang layu ke arah Amsyar. Dia masih mamai dan pusing. Kepalanya terasa amat sakit menyengat.
“Bila kau sampai?”
“Baru lagi. Aku singgah nak jenguk keadaan kau,” ujar Amsyar.
“Kau dari mana?”
“Aku baru balik dinner. Kau lupa hari ni aku ada makan malam dengan bakal mertua aku? Mak ayah aku pun ada sekali. Aku ingat nak ajak kau, tapi kau off telefon sepanjang malam ni. Aku risaukan kau, sebab tu aku datang. Tapi rupa-rupanya kau dah ada program lain.” Senyum Amsyar penuh bermakna.
“Oh ya aku lupa, sorry Am. Lagipun kalau aku ada pun, tak mungkin aku turut serta. Aku tak nak kena bunuh dengan Shira. Kau tahulah girlfriend kau tu tak sukakan aku.” Sahut Mikey Mikhail.
Amsyar ketawa kecil mendengarnya. Shira bukan tidak sukakan Mikey Mikhail, cuma takut dia terpengaruh dengan gaya hidup Mikey Mikhail, itu sahaja. Melihat Mikey Mikhail terhuyung hayang cuba bangun dari sofa itu, dia terpinga-pinga.
“Nak ke mana tu?”
“Aku haus, nak cari minuman,” ujar Mikey Mikhail. Dia berjalan ke arah kaunter barnya, tetapi sebaik melihat kaunter bar itu kosong sahaja, dia tercengang-cengang. Aku salah tengokkah? Dia menggosok-gosokkan matanya beberapa kali.
“Kau cari apa tu?” Dahi Amsyar berkerut. Hairan melihat gerak-geri temannya yang seperti anak ayam kehilangan ibu. Apa yang dicari Mikey Mikhail sebenarnya?
“Pelik! Mana perginya botol-botol arak aku?” Suara Mikey Mikhail membuahkan pertanyaan.
Amsyar terpinga-pinga.
Mata Mikey Mikhail mencerun ke arah sahabatnya. “Kau ada ambil arak-arak aku ya? Mana kau alihkan?” Tanyanya ingin tahu.
“Gila kau! Aku nak buat apa dengan arak-arak tu. Aku dah nak kahwin, aku tak nak sentuh benda haram tu lagi.” Getus Amsyar.
“Baru pagi tadi aku nampak botol-botol arak tu masih tersusun kat situ. Alih-alih kau datang hari ni, hilang pulak. Kalau bukan kau, siapa lagi?” Mikey Mikhail tidak berniat menuduh, tetapi itu hakikatnya.
Amsyar terdiam. Tiba-tiba dia teringatkan gadis yang ditemuinya sebentar tadi. Semasa hendak keluar tadi, gadis itu memegang karung sampah yang berbunyi seperti kaca berlaga di dalamnya.
“Aku rasa kau kena tanya pembantu rumah kau. Aku nampak dia yang  bawa keluar botol-botol kesayangan kau tu,” ujar Amsyar yakin.
Mikey Mikhail berpaling. Sepasang matanya tajam mengulit wajah Amsyar agak lama. Pembantu rumah? Apa yang Amsyar merepek ni?
 “Listen here Am, seriously aku langsung tak tahu apa yang kau cakapkan ni? Pembantu rumah apa yang kau merepek ni? Aku tak pernah ambil mana-mana maid tahu. Lagi-lagi perempuan,” Ujar Mikey Mikhail cuba menyakinkan sahabatnya.
“Tapi aku baru je nampak dia tadi.” Amsyar sudah keliru dibuatnya.
“Kat mana kau nampak dia?” Tanya Mikey Mikhail ingin tahu.
“Masa aku sampai, dia baru keluar dari rumah kau ni. Aku nampak dia pegang plastik sampah berisi botol-botol arak kau tu. Bila aku tanya, dia kata dia pembantu rumah kau.” Jelas Amsyar.
Mikey Mikhail terdiam. Perempuan? Pembantu rumah? Tak mungkin!
“Kenapa kau tak tahan dia? Kau tak fikir ke yang dia mungkin pencuri yang nak mencuri di rumah aku ni?” Getus Mikey Mikhail kesal.
“Aku tak fikir dia mencuri.” Amsyar tersengih lebar.
“Mana kau tahu? Well Mr. Am, siapa yang bawa lari arak-arak mahal aku kalau bukan perempuan tu?” Jegil Mikey Mikhail.
“Entahlah, kau terpaksa la tanya dia sendiri apa yang dia nak buat dengan arak-arak kau tu. Kalau nampak dari wajahnya, dia bukan kaki mabuk macam kau.” Senyum Amsyar lagi. Entah kenapa isu tentang ‘pembantu rumah’ Mikey Mikhail itu kedengaran kelakar pula.
“Macamana aku nak tanya dia? Entah ke mana dia lari. Jangan-jangan dia juga bawa lari semua barang-barang berharga lain dalam rumah ni.” Getus Mikey Mikhail seraya matanya liar mengawasi ruang persekitaran apartmennya, mencari-cari apa yang hilang agar tersuluh segala syak wasangkanya.
Amsyar tersengih gelihati. Nampaknya memang Mikey Mikhail langsung tak tahu apa-apa tentang pembantu rumahnya. Tapi siapa perempuan itu agaknya? Entah kenapa Amsyar juga berminat ingin tahu.
 “Mikey, kalau kau nak cari dia, kau pergi ajelah. Lagipun dia tinggal dekat je.” Sambung Amsyar selamba.
Mikey Mikhail terkulat-kulat dibuatnya. Apa maksud temannya itu?
“Aku nampak dia masuk rumah sebelah tadi. Rasanya dia tinggal sebelah rumah kau je,” ujar Amsyar.
Mikey Mikhail tercengang-cengang. Pembantu rumahnya jiran sebelah rumahnya? What? Really?

DIA masih terfikirkan kebenaran kata-kata Amsyar itu. Pelik! Macamana perempuan itu boleh masuk ke rumahnya? Dan ironinya perempuan itu hanya dekat sahaja dengannya. Patutlah semalam ada sisa-sisa makanan di dalam bakul sampah di rumahnya. Dan hari ini arak-araknya pula hilang. Pasti perempuan itu punya angkara.
Sebentar tadi dia sengaja melihat rakaman CCTV yang dipasang di bilik tidurnya. Tetapi tidak ada tanda-tanda perempuan yang Amsyar maksudkan. Ini bermakna perempuan itu tidak pernah masuk ke bilik tidurnya sebaliknya hanya berlegar di sekitar ruang tamu dan dapur sahaja. Ah! Nampaknya lepas ni dia kena pasang CCTV di bahagian ruang tamu juga. Menyesal rasanya dia tidak melakukannya lebih awal! Keluhnya.
Mikey Mikhail bingkas bangun. Dia mahu membersihkan tubuhnya dahulu sebelum dia berfikir apa yang patut dilakukannya. Dan sudah pasti dia berhajat mahu bersemuka dengan perempuan jiran sebelah. Dia tahu ada jiran baru yang berpindah masuk di apartmen 7D itu Cuma dia gagal melihat wajah perempuan itu selama ini. Tak apa, esok masih ada. Aku akan pastikan kau jatuh dalam perangkap aku! Getus hati kecil Mikey Mikhail, tersengih lebar.


No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!