Followers

Tuesday, August 24, 2010

Hujan Rindu - Bab 3

Pagi-pagi lagi Anum Dahlia sudah bangun. Segar sedikit tubuhnya apabila disirami air hangat. Dulu dia sering berendam air suam di dalam tab mandi. Tapi pagi itu, dia masih ada urusan penting. Setelah siap berpakaian dan mengenakan sedikit lipstick, Anum Dahlia terus bergegas keluar. Tempat pertama yang dituju ialah kafeteria di hotel itu. Apa-apapun dia harus bersarapan dulu. Jika tidak, dia pasti mudah terkena gastrik.

Melihat nasi lemak yang terhidang secara ‘buffet’ di salah satu meja di situ, selera Anum Dahlia bangkit tiba-tiba. Aroma nasi lemak bersama kacang goreng dan sambal udang, ayam dan paru, membuatkan dia teringatkan nasi lemak yang pernah dimasak oleh mama.

Mana mungkin dia boleh melupakan rasa nasi lemak kukus buatan tangan mama yang agak lazat. Malah babanya juga menggemari nasi lemak, hanya bila bersama baba, mamanya terpaksa menyediakan dua jenis sambal. Satu sambal pedas dan satu lagi pula sambal yang kurang pedas. Maklumlah lidah mat saleh tidak sama dengan lidah orang melayu. Dia pula lebih kepada ibunya, sukakan makanan yang pedas-pedas. Jika tidak masakan sambal belacan buatan mama sering menjadi santapannya setiap kali makan malam.

Bersungguh-sungguh Anum Dahlia makan sehingga tidak ingat orang keliling. Sebaik menghabiskan suapan terakhirnya, matanya tiba-tiba terpandang seorang pemuda yang sedang duduk di salah satu meja yang tidak jauh darinya. Mata pemuda itu asyik melekat di wajahnya membuatkan Anum Dahlia dihimpit kegelisahan.

Dia cepat-cepat menghirup tehnya yang masih berbaki. Dia ingin cepat-cepat kembali ke biliknya. Cara lelaki itu memandangnya membuatkan dia tidak betah lama-lama di situ. Risau berkunjung dalam hati, takut kalau-kalau lelaki muda itu berniat jahat.

“Anum kena hati-hati di sini. Di sini, kalau kita tak kenal siapa-siapa…. apa-apa yang buruk pun boleh berlaku,” pesanan Emir masih melekat kuat di ingatannya.

Namun sebelum sempat Anum Dahlia hendak beredar, pemuda itu terlebih dahulu melangkah ke arahnya. Anum Dahlia gugup. Terasa dadanya berdebar-debar berhadapan dengan pemuda itu.

“Anum?” Soal pemuda itu.

Anum Dahlia memandang lelaki itu tidak berkelip. Hairan apabila mendengar namanya lancar disebut oleh pemuda itu.

“Awak ni siapa?”

Pemuda itu tersenyum, sebelum mengambil tempat duduk di hadapannya. Lama matanya terpaku ke arah Anum Dahlia yang semakin hairan dengan sikap pemuda itu. Siapa dia ni?

“Awak ni siapa?” Anum Dahlia mengulang pertanyaan.

“Mama hantar saya cari awak.” Ujar pemuda itu selamba.

“Mama?” Anum Dahlia mengerutkan dahinya. Matanya terpaku lama ke arah pemuda yang tinggi lampai dan berperawakan menarik itu. Otaknya berjalan ligat. Mungkinkah ini anak auntie Linda yang dimaksudkan oleh auntie Marion?

“Kimi. Hakimi Zainal. Saya disuruh mencari awak di sini.”

“Awak anak auntie Linda?” Soal Anum Dahlia.

Pemuda itu mengangguk.

“Mama saya terpaksa berangkat ke Australia dua hari yang lalu, ada hal mustahak katanya. Tapi dia suruh saya bawa awak ke Kedah, sebab kebetulan saya nak balik ke kampus saya di sana.”

Anum Dahlia terdiam. Dia rasa serba-salah mahu mengikut pemuda itu. Lagipun dia tidak berapa kenal dengan Hakimi. Meskipun Hakimi kelihatan lebih muda darinya, namun lelaki tetap lelaki. Bagaimana kalau Hakimi sama dengan lelaki-lelaki lain yang suka mengambil kesempatan terhadapnya? Ah! Kenapa pula aku fikirkan perkara yang bukan-bukan? Dia cepat-cepat membuang sangkaan buruk yang mula bersarang.

* * * *

Emir hampa tatkala diberitahu oleh pekerja hotel bahawa Anum Dahlia sudah check out dari hotel itu sejak awal-awal pagi lagi. Hajat hatinya untuk mengajak Anum Dahlia keluar, berakhir dengan kekecewaan. Menyesal pula rasanya dia tidak mengambil nombor telefon gadis itu pada pertemuan kali pertama mereka. Bodohnya kau ni, tak fasal-fasal Anum Dahlia lepas dari genggaman, keluh Emir sedikit berang kerana hasrat hatinya tidak kesampaian.

Dia tiba-tiba teringat kepada lenggok dan tutur kata gadis itu tempohari. Tiba-tiba kerutan di wajahnya bertukar drastik. Dia mula tersenyum apabila membayangkan sikap Anum Dahlia yang peramah dan tulus. Entah kenapa dia benar-benar tertarik dengan gadis itu. Selama ini bukan dia tidak pernah kenal mana-mana gadis sebaik Anum Dahlia. Malah ada antaranya yang lebih cantik dari gadis itu. Tapi entah kenapa, kali ini hatinya tiba-tiba terbuka pula. Anum Dahlia! Emir menyebut nama itu berkali-kali. Nama yang seindah orangnya. Apakah kita akan bertemu lagi? Namun bisikan itu hanya terdengar dalam lubuk hatinya.

* * * *

Anum Dahlia diam sahaja apabila berdua-duaan dengan Hakimi di dalam kereta. Bukan dia tidak ingin berbicara, tapi entah kenapa dia rasa kekok pula bila bersama pemuda itu. Sesekali dia mendengar Hakimi bersiul mengikut irama muzik Inggeris di radio. Kadangkala pula lelaki itu turut sama menyanyi, mengikut lirik yang terhafal di kepalanya. Anum Dahlia terpegun memerhatikan pemuda itu. Suara Hakimi boleh tahan sedapnya, kalah penyanyi yang ada sekarang.

Melihat Hakimi tiba-tiba berpaling ke arahnya, Anum Dahlia tidak dapat menahan diri dari tersenyum. Mata pemuda itu mencerut apabila melihat senyuman yang terukir di wajahnya.

“Kenapa?” Soalnya.

Anum Dahlia menggelengkan kepala. Tapi bibirnya masih mengorak senyum. Membuatkan pemuda itu tidak puas hati.

“Kenapa? Suara saya tak sedapkah?” Soal Hakimi seraya tersengih.

“Tak, siapa kata? Suara awak memang sedap.”

“Habis kenapa awak ketawa?”

Anum Dahlia tidak menjawab. Pandangan matanya dialihkan ke luar jendela kereta. Menghirup pemandangan luar yang menyegarkan mata memandang. Dalam diam-diam Hakimi melirik gadis di sebelahnya. Orangnya cantik tapi entah kenapa, pandangan mata Anum Dahlia kelihatan sayu. Tawa gadis itu meskipun lancar tapi kelihatan hambar. Dia sendiri tidak pasti kenapa dia merasakan begitu.

Dalam kepalanya bukan tidak ada persoalan mengenai Anum Dahlia. Malah ketika ibunya memberitahu tentang kedatangan Anum Dahlia, dia acuh tak acuh mendengarnya. Sebaik disuruh membawa gadis itu ke Kedah, dia jadi hairan dengan permintaan ibunya.

“Tak bolehlah mama, Kimi ada hal di Baling. Kimi kena ambil Intan sebelum ke kampus.” Dia membuat alasan.

“Apa susahnya. Mama bukan minta Kimi temankan Anum berhari-hari ke sana. Hantar dia ke sana cukuplah. Ini alamatnya.” Wanita itu menghulurkan sekeping kertas ke arahnya.

Mahu tak mahu dia terpaksa mengambilnya. Matanya membaca sepintas lalu. Sesaat kemudian dia merenung ibunya.

“Ini dah dekat Kuala Muda ni mama. Jauh dari kampus Kimi.” Rungutnya tanpa sedar.

“Kimi, mama benar-benar perlukan pertolongan Kimi. Kalau mama tak kena pergi ke Australia, dah lama mama temankan Anum ke sana. Please sayang, tolong mama.” Rayu Linda pada anak muda itu.

Hakimi termenung panjang. Sesaat kemudian dia kembali mengintai gerak geri Anum Dahlia yang kelihatan begitu asyik membuai wajahnya dengan bayu dari luar jendela kereta.

“Anum, saya nak tanya satu perkara boleh tak?” Hakimi tiba-tiba bersuara. Entah kenapa, persoalan yang bermain di fikirannya sudah tidak mampu dibendung lagi.

Anum Dahlia tercengang. Dia memandang Hakimi seketika. Matanya sabar menanti butir bicara yang bakal disuarakan oleh lelaki itu.

“Kenapa Anum beria-ria sangat nak ke Kuala Kedah? Apa yang ada dekat sana?”

“Mama awak tak beritahu?” Anum Dahlia tersenyum kecil.

Hakimi menggelengkan kepala. Sememangnya mamanya enggan memberitahu apa-apa padanya.

“Saya nak siapkan tesis saya tentang silat melayu.” Beritahu Anum Dahlia ringkas.

“Tesis? Tentang silat?” Hakimi terpegun.

Anum Dahlia mengangguk. “Kata orang silat cekak sedang berkembang di kampung itu. Saya nak ke sana, melihat sendiri dengan mata saya.” Ucap Anum Dahlia, sekaligus menjawab persoalan yang bermain di kepala Hakimi.

“Wah bagus tu, saya pun pernah belajar silat dulu waktu belajar. Tapi sekarang dah lama berhenti.” Hakimi tergelak besar.

“Kenapa?” Tak disangka-sangka Anum Dahlia menyambung pertanyaan. Hakimi menoleh. Nafasnya dihela perlahan. Otaknya sedang menyusun bait-bait kata yang sesuai dilontarkan pada gadis itu.

“Entahlah, bukan tak minat. Tapi latihan dia terlalu strict. Saya tak ada masa banyak kerana sibuk dengan study dan band.” Jawab Hakimi jujur.

“Awak ada band sendiri?” Anum Dahlia tertarik.

Lelaki itu ketawa kecil. “Band kecil-kecil aje Anum. Saya dan kawan-kawan selalu buat persembahan gig seminggu sekali di kelab. Anum pernah tengok persembahan gig?” Tanya Hakimi.

“Maksud Hakimi, macam Montley Crue?”

“Haa tahu jugak Anum ni ya.” Hakimi tergelak kecil apabila gadis itu tiba-tiba sahaja menyebut kumpulan Montley Crue yang memang terkenal dengan penyanyi utamanya Steve Tyler.

“Tahu…dekat US sana kumpulan gig memang banyak. Kadang-kadang mereka buat persembahan kat jalanan saja. Hakimi tentu pandai buat aksi ‘headbanging’ dengan ‘slam ’ ni.” Duga Anum Dahlia. Hakimi tersenyum simpul.

“Kumpulan gig kami ni kumpulan biasa aje. Bukan macam kumpulan metal lain yang ‘overdose’. Lagipun mama dah buat syarat, kalau saya nak ikuti gig band, sy tak boleh terlalu ‘extreme’ macam kumpulan-kumpulan lain. Lagipun kami kan masih belajar.” Ujar Hakimi. Anum Dahlia hanya tersenyum. Dia tidak sangka, pemikiran Hakimi menyerlahkan kematangan biarpun masih muda.

* * * *

Mata Anum Dahlia bersinar-sinar tatkala kereta Wira Aeroback yang dipandu oleh Hakimi meredah beberapa petak sawah yang menghijau. Dia sempat merakamkan pemandangan yang dilihatnya dengan digicam yang dipegangnya. Apa yang menariknya, ‘orang-orang’ yang pernah diceritakan oleh mama suatu ketika dulu, kini tegak berdiri di hadapannya.

“Orang-orang’ itu gunanya untuk menghalau burung dan unggas yang mampu merosakkan batang padi. Dengan cara itu, petani boleh menyelamatkan anak-anak padinya dari dimakan.” Tanpa sedar, Anum Dahlia bersuara entah pada siapa. Dia sekadar mengulang kata-kata mamanya yang masih segar di ingatannya satu persatu.

Hakimi berpaling sejenak. Tahu pula dia tentang ‘orang-orang’. Sejurus kemudian, Hakimi tersengih.

“Awak belajar di mana Kimi?” Soal Anum Dahlia tiba-tiba.

“Matrikulasi di Changlun.”

“Matrikulasi? Apa tu?” Anum Dahlia tidak mengerti.

“Macam pra-universiti. Belajar di situ dua tahun sebelum ke universiti,” jelas Hakimi ringkas.

Jadi awak lebih muda dari saya?”Anum Dahlia mengerutkan dahinya. Wajah Hakimi menampakkan kematangan, tidak mengambarkan usia sebenarnya.

Hakimi tersengih. Dia mengerling Anum Dahlia yang kelihatan hairan.

“Berapa umur awak?” Soal Hakimi pula.

“Dua puluh empat. Awak?”

“Hampir 19 tahun.”

“Jadi betullah, awak lebih muda dari saya Kimi. Awak patut panggil saya kakak.” Sahut Anum Dahlia.

Hakimi tertawa panjang. “Tak payahlah Anum, negara kita dah lama merdeka. Perbezaan umur bukan lagi satu masalah. Panggil apa pun sama saja. Lagipun awak suka ke kalau saya panggil awak kakak?” Soal Hakimi nakal.

Anum Dahlia terdiam.

“Kata mama saya, panggilan nama di Malaysia ni terlahir dari perasaan hormat dari yang muda kepada yang tua. Bukankah itu yang sepatutnya awak panggil pada orang yang lebih tua dari awak?”

“Iya betul tu. Tapi awak dengan saya bukannya jauh sangat perbezaan usia. Tolonglah, saya tak mahu panggil awak Kak Anum. Macam orang dulu-dulu pulak.” Hakimi tak putus-putus tergelak.

“Suka hati awak lah Kimi. Lambat lagi ke kita sampai?” Tanya Anum Dahlia seraya mengalihkan pandangannya ke luar tingkap kereta.

“Dah tak jauh dah. Selepas simpang tu tu lebih kurang dalam 10 km lagi, jumpalah kita nanti dengan papan tanda ke kampung yang awak nak pergi tu.” Balas Hakimi seraya memusingkan stereng kereta ke kanan.

Sebaik kereta Hakimi melewati sebuah warung kecil di simpang jalan, dia memberhentikan keretanya. Anum Dahlia terpinga-pinga sebaik melihat Hakimi membuka pintu kereta lalu turun.

“Kimi, nak ke mana tu?”

“Sabarlah sekejap. Saya nak tanyakan orang-orang kat warung tu kalau-kalau mereka kenal rumah ketua kampung. Sebelum awak nak buat research, lebih baik awak jumpa ketua kampung dulu.”

“Ketua kampung tu siapa?”

Hakimi mengeluh. Banyak pula soal minah ni, rungut hati kecilnya. Dia memandang Anum Dahlia tidak berkelip.

“Ketua kampung tu orang yang bertanggungjawab menguruskan sesebuah kampung. Biasanya orang-orang tua atau mereka yang paling dihormati di kampung ni. Awak tunggu sini, sekejap lagi saya datang balik.” Ujar Hakimi seraya bergegas turun.

Terpinga-pinga Anum Dahlia memerhatikan kelibat Hakimi sudah menuju ke warung kecil itu. Dari jauh dia melihat Hakimi menghulurkan salam sambil bercakap dengan beberapa orang yang berada di situ. Sesekali tangan Hakimi kelihatan menunjuk-nunjuk ke arahnya. Anum Dahlia mengerutkan dahinya. Apakah yang dikatakan oleh anak muda itu agaknya!

Apabila Hakimi kembali ke kereta, wajah pemuda itu tersenyum lebar.

“Macamana?” Soal Anum Dahlia.

“Beres. Rumah ketua kampung Lebai Dollah kat depan sekolah, hujung simpang tu aje,” sahut Hakimi. Dia terus memecut keretanya menuju ke suatu arah.

Tak lama kemudian, kereta Hakimi memasuki sebuah rumah kampung sederhana besar serta berpagar cantik. Seorang lelaki menjenguk keluar dari dalam rumah sebaik terdengar bunyi enjin kereta mereka.

Dengan perasaan ragu-ragu, Anum Dahlia mengekori Hakimi keluar dari kereta. Matanya tertinjau-tinjau kelibat lelaki separuh usia yang sedang menuju ke arah mereka.

“Assaalamualaikum?” Sapa Hakimi terlebih dahulu.

“Waalaikumussalam. Anak ni nak cari siapa?”

“Kami nak jumpa dengan Lebai Dollah. Apa betul ini rumahnya?”

“Ya, pakciklah Lebai Dollah. Tapi anak ni siapa dan apa hajat ke mari?” Soal lelaki itu lagi. Lama matanya memandang wajah Hakimi. Apabila matanya dialih ke arah Anum Dahlia, wajah lelaki tua itu berkerut.

“Begini pakcik, nama saya Hakimi dan ini Anum Dahlia. Tujuan kami datang ni sebab nak minta keizinan pakcik, supaya kawan saya ni Anum Dahlia dapat buat penyelidikan di kampung ni.”

“Penyelidikan? Tentang apa?”

“Maaf pakcik, saya datang nak buat penyelidikan tentang silat cekak untuk tesis akhir saya. Saya difahamkan, di kampung ni ada guru silat yang mengajar silat pada anak-anak muda kampung. Kalau pakcik tak kisah, saya nak menetap di kampung ni buat seketika untuk menulis tentang salasilah silat cekak.” Terang Anum Dahlia lancar. Namun dia serba-salah jadinya apabila Lebai Dollah memandangnya tidak berkelip. Mata orang tua itu asyik tertumpu ke arahnya.

“Pakcik?” tegur Anum Dahlia perlahan. Dia memandang Hakimi yang hanya mengangkat bahu. Apabila dia memandang Lebai Dollah semula, orang tua itu tersenyum ke arahnya.

“Tak jadi masalah. Maaf rupa kamu ni......” Kata-kata Lebai Dollah terhenti seketika. Anum Dahlia dapat merasakan dadanya berdebar kencang.

“Hmm..tak apalah, naiklah dulu. Kita berbual-bual,” pelawa lelaki tua itu. Kedua-duanya segera mendaki tangga batu di hadapan rumah itu.

* * * *

Matanya asyik memerhatikan rumah kampung yang nampak unik seni binaannya. Rumah satu lapis yang sebahagiannya kayu, sebahagiannya pula diperbuat dari batu nampak luas. Tapi apa yang menjadi santapan mata Anum Dahlia ialah pagar rumah itu yang kelihatan cantik. Tentu si tukangnya mahir, kerana hasilnya nampak menarik.

“Apa yang dimenungkan tu?” Tegur Lebai Dollah yang tiba-tiba muncul bersama isterinya Makcik Senah yang menatang sedulang kopi pekat panas berasap bersama sepiring ubi kayu bergaul dengan kelapa parut bergula. Anum Dahlia tersenyum memandang wanita itu.

“Buat susah-susah saja makcik.”

“Apa pulak susahnya, bukan selalu rumah makcik ni dikunjungi tetamu dari jauh. Minumlah Anum, jangan malu-malu.” Jemput wanita berbadan gempal itu.

Anum Dahlia mencapai cawan kopi sebelum dihirup perlahan. Tindak tanduknya menjemput dua pasang mata itu memandang ke arahnya. Dia tahu tapi pura-pura tidak perasan. Sejak dari tadi mata pasangan itu tidak putus-putus memandangnya.

“Anum, pakcik nak tanya sikit boleh tak?” Lebai Dollah bersuara. Anum Dahlia mengangkat wajahnya.

“Apa dia pakcik?”

Lebai Dollah tidak terus bersuara sebaliknya dia asyik mengerling ke arah isterinya Hasnah. Wanita itu mengisyaratkan sesuatu, menyebabkan hendak tak hendak dia terpaksa meneruskan kata-kata. “Apa Anum ada keluarga di kampung ni?” Tanya Lebai Dollah tiba-tiba.

Anum Dahlia tergaman. Dia memandang Lebai Dollah yang masih menanti jawapan. Apa agaknya yang harus dikatakannya pada lelaki itu?

“Tak ada pakcik. Mama Anum asal orang sini juga, tapi orang Sungai Petani. Kami semua menginap di Detroit.” Ujar Anum Dahlia.

“Tapi pakcik yakin macam pernah tengok kamu ni.”

“Sudahlah tu bang, kasihan budak ni datang dari jauh-jauh. Tentu penat dia.” Sampuk Makcik Senah yang tersenyum ramah. Sedikit sebanyak hati Anum Dahlia senang melihat layanan mesra Makcik Senah terhadapnya. Hilang rasa gugup dan takut yang bertandang di hatinya.

“Tak apalah Anum. Malam ni kamu tidur dulu rumah pakcik, esok pakcik bawa kamu jumpa dengan Tok Anjang kamu. Apa-apa tentang silat yang kamu nak tahu, kamu tanyalah dia. Dia guru silat di kampung ni.” Ucap Lebai Dollah akhirnya.

Anum Dahlia jadi lega kerana Lebai Dollah tidak lagi bertanya. Bukan apa, dia bimbang jika lelaki itu terus menggorek cerita darinya…rahsia yang cuba disembunyikannya akan terbongkar. Lagipun belum masanya dia berterus terang tentang kedudukan dirinya pada pasangan suami isteri itu.

* * * *

Malam itu buat pertama kali, dia bermalam di kampung itu. Kampung yang menjadi tempat lahir mamanya. Kampung di mana mamanya pernah membesar dan bersekolah. Alangkah indahnya kalau mamanya turut ada bersamanya di situ. Tentu lebih banyak yang boleh ditunjukkan oleh mama padanya. Tempat mama selalu jatuh basikal, tempat mama selalu bermain sorok-sorok ketika kecil dulu, semuanya menggamit kenangan indah yang tak pernah dilaluinya. Cukup sekadar mama bercerita, dia akan tersenyum mendengarnya. Hatinya terasa riang, bagaikan dia turut berada di situ… mengalami detik-detik manis kehidupan di desa yang sering dirindui ibunya selama ini.

Jauh dia melamun sehingga tidak sedar Makcik Senah menjenguk masuk ke biliknya sambil mengendong selimut tebal di tangan.

“Makcik….” Sapa Anum Dahlia sambil bingkas bangun. Segan dia bila menyedari mata Makcik Senah asyik tertumpu ke arahnya. Bibir wanita itu tidak putus-putus tersenyum.

“Makcik ingatkan Anum dah tidur tadi. Lupa nak beri selimut ni pada Anum. Rumah kampung macam nilah. Mula-mula je panas, dah dekat subuh nanti sejuknya mencengkam sehingga ke tulang.” Ujar Makcik Senah.

“Terima kasih makcik,” ucap Anum Dahlia.

“Makcik tengok Anum asyik termenung saja, kenapa? Teringatkan orang jauh ke?” Duga Makcik Senah seraya melabuhkan punggungnya di birai katil.

“Tak adalah makcik, ingatkan orang jauh apa pulak. Anum penat aje, maklumlah berjalan jauh siang tadi.” Balas Anum Dahlia sambil ketawa kecil.

“Budak yang bersama Anum tadi siapa?” Soal Makcik Senah ingin tahu.

“Siapa? Hakimi?”

“Ya Hakimi, siapa dia tu?”

“Oh Hakimi tu anak kawan teman baik makcik Anum. Makcik tahulah Anum tak ada sesiapa pun di sini. Terpaksalah minta Hakimi bantu carikan Anum tempat ni.” Ujar Anum Dahlia. Teringat dia pada Hakimi yang mungkin sudah tiba ke kampusnya. Sebaik menghantarnya, Hakimi terus beredar pergi. Katanya mahu menjemput salah seorang temannya di Baling sebelum pulang ke kampus.

“Betul Anum tak ada keluarga di sini? Di kampung ni?” Wajah Makcik Senah seperti kurang percaya.

Anum Dahlia kembali terpaku. Pertanyaan demi pertanyaan yang tak pernah habis itu sedikit sebanyak merimaskannya. Namun dia tidak berhak marah sebagaimana mereka berhak untuk bertanya. Apakah wanita di hadapannya itu menyedari sesuatu?

“Tak ada, kenapa makcik tanya?”

Makcik Senah terdiam. Lama matanya menatap ke arah anak gadis itu. Kata-kata suaminya ternyata benar. Anum Dahlia mirip dengan seseorang yang mereka kenali dulu. Ah! Mungkin pelanduk dua serupa. Dia cepat-cepat membuang setiap sangkaan yang mula bersarang di fikirannya.

“Tak apalah Anum, makcik keluar dulu. Anum tentu nak rehat kan. Makcik tak nak ganggu Anum lagi,” ujar wanita itu lalu bingkas bangun. Kakinya diatur menuju ke arah pintu. Anum Dahlia hanya mampu memerhatikan kelibat Makcik Senah yang menghilang di situ.

Dia memejamkan matanya, cuba bernafas tenang. Lega rasanya kerana wanita itu tidak lagi melanjutkan pertanyaan.

* * * *

“Dah tidur budak tu?” Tanya Lebai Dollah tatkala isterinya Hasnah melangkah masuk. Makcik Senah tersenyum tipis.

“Belum. Agaknya dia tak biasa tidur dalam pondok buruk kita ni.”

“Tak apalah, lama-lama nanti biasalah dia tu. Esok, saya bawa dia jumpa dengan Anjang.” Putus Lebai Dollah.

“Nak ke si Anjang tu membantu? Lagipun si Anum tu kan separuh melayu separuh orang putih. Awak kan tahu sikap Anjang tu keras kalau jumpa orang asing.” Tukas Makcik Senah.

“Insya Allah, dia mahu. Lagipun budak Anum tu nak memartabatkan silat melayu kita ke mata dunia. Sepatutnya usahanya tu kita kena sokong, kena bantu mana yang terdaya. Biarpun budak Anum tu datang dari luar negara, tapi saya tengok budak tu okey aje. Lemah lembut, tahu bersopan bila bercakap dengan orang yang lebih tua. Mukanya tak pulak nampak macam anak orang putih. Hidung saja yang mancung terletak. Kulit pun macam orang melayu kita, tak hitam tak putih.” Komen Lebai Dollah.

Makcik Senah terdiam. Kata-kata suaminya ada benarnya juga. Dia sendiri senang bila berhadapan dengan Anum Dahlia. Orangnya sopan santun, berbudi bahasa. Sejuk perut mana-mana ibu yang mengandungkan Anum Dahlia. Biarpun dibesarkan di luar negara, tapi sikapnya tidak kebaratan.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!