Followers

Tuesday, July 27, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 24

DIA baru selesai berurusan di pejabat Ketua Jabatan menguruskan hal praktikalnya. Setelah peperiksaan akhir, dia akan bercuti selama dua minggu sebelum memulakan praktikal di Perkasa Budi. Beberapa hari yang lalu, dia sempat melayari laman web mencari beberapa maklumat yang berguna mengenai syarikat itu. Beberapa maklumat telah dikumpul dan disimpan dalam laptopnya, hanya dia belum berkesempatan membacanya.

Sejak akhir-akhir ini, tak banyak masanya dihabiskan bersama Syazana. Masing-masing sibuk menelaah pelajaran sebagai persiapan akhir menghadapi peperiksaan. Syazana sendiri jarang menghabiskan masanya di bilik. Kadang-kala apabila Syazana balik ke bilik, dia sudah pun tertidur. Dan apabila dia terjaga dan bersiap-siap ke library, Syazana pula masih dibuai mimpi. Begitulah selalunya rentak hidup mereka pada minggu peperiksaan.

Aliya akui semester ini dia tidak banyak kelas dengan Syazana. Kerana itu Syazana lebih banyak menghabiskan masa dengan kumpulan studynya dan dia pula lebih suka mengulangkaji sendirian di library.

Sejak akhir-akhir ini, dia kerap bertembung dengan Haikal di perpustakaan. Ke mana saja dia pergi, wajah anak muda itu akan kelihatan. Kadang-kala dia terfikir, apakah Haikal sengaja menunggunya di situ? Bukan dia tidak suka dengan kehadiran Haikal, cuma kadang-kala dia lebih senang mengulangkaji sendirian. Lebih selesa. Mujurlah anak muda itu serius semasa belajar. Sepatah perkataan pun tidak keluar dari mulut lelaki itu sewaktu mengulangkaji. Mungkin Haikal tidak mahu menganggunya barangkali!

Sebaik sahaja mengambil beg sandangnya yang tersimpan dalam lokar, Aliya pantas berjalan kaki menyusuri kawasan parkir kereta di kawasan perpustakaan menuju ke kolejnya. Perutnya asyik berkeroncong sedari tadi, kerana itu dia keluar dari perpustakaan agak awal. Cadangnya dia mahu mengajak Syazana makan malam bersama, tapi entah temannya itu sudah pulang atau belum ke bilik agaknya!

Sedang dia berjalan sendirian di laluan menuju ke asramanya, matanya tiba-tiba terpandang satu kelibat tubuh sedang bersandar di sebalik pokok-pokok besar tidak jauh dari situ. Darah Aliya tiba-tiba berderau. Keadaan yang agak gelap menyebabkan dia tidak dapat melihat wajah lembaga yang berada di sebalik pohon ketapang besar itu. Hatinya mulai digasak rasa cemas. Dia memandang di belakangnya. Entah di mana agaknya dua gadis berbangsa Cina yang berjalan di belakangnya tadi?

Bunyi berdehem dari arah pokok itu tambah menyeramkan Aliya. Perlahan-lahan dia mundur. Tidak pasti apakah yang harus dilakukannya. Dia berkira-kira mahu berpatah balik ke library, menunggu sehingga ada pelajar kolejnya yang selesai mengulangkaji. Sekurang-kurangnya pulangnya berteman.

“Aliya,” Kedengaran namanya dipanggil. Sayup-sayup kedengaran.

Aliya semakin kecut perut. Betulkah apa yang didengarnya? Suara yang memanggilnya datang dari arah pokok itu. Lembaga yang tidak jelas wajahnya itu seolah-olah sedang melambainya. Debaran di dadanya semakin kencang. Dia ingin menjerit namun suaranya bagai tersekat di kerongkong.

“Aliya!” Suara itu memanggilnya lagi.

Perlahan-lahan dia mengundur. Bersedia mahu berpatah balik. Melihat dia beredar, lembaga itu tiba-tiba bergerak.

“Aliya, sayalah ni. Haikal.”

Haikal? Perlahan-lahan Aliya menoleh. Dilihatnya Haikal sedang berdiri di hadapannya sambil tersenyum meleret. Aliya menarik nafas. Aduh! Mahu putus urat darahnya diusik Haikal begitu. Mujur bukan hantu betul. Jika tidak, dia pasti sudah lama pengsan di situ.

* * * *

Haikal tak putus-putus ketawa. Kelakar rasanya apabila teringatkan wajah Aliya yang pucat lesi. Beberapa orang pelajar yang duduk di meja berdekatan sesekali menoleh ke arah mereka. Barangkali hairan melihat Haikal yang asyik tergelak sejak sampai tadi.

“Sudahlah tu Haikal, it’s not funny anymore okay.” Aliya turut tersenyum. Lucu juga dirasakan perisiwa yang baru berlaku sebentar tadi. Tapi dia betul-betul akui, pengalaman tadi memang agak menyeramkan.

“Tak sangka Aliya ni penakut juga orangnya.” Usik Haikal.

“Awak pun satu, apa awak buat kat tepi pokok ketapang tu?”

“Saya tunggu Aliya lah, saja nak ajak makan malam sama-sama. Aliya kan asyik mengadu lapar sejak kita study sama-sama tadi.” Balas Haikal.

“Kalau ya pun, tak reti-reti nak tunggu kat depan library? Awak memang sengaja nak takut-takutkan saya kan?” Duga Aliya. Haikal hanya tersengih, membayangkan memang itulah niat sebenarnya.

“Haikal tahu tak, orang-orang tua selalu cakap pokok ketapang tu tempat kesukaan hantu-hantu langsuir dan pontianak. Haikal tak takut?” Pancing Aliya. Dia sengaja mahu mengenakan Haikal. Anak muda itu tercengang sejenak.

“Ye ke? Patutlah saya rasa seram sejuk masa saya tunggu Aliya tadi.” Haikal tercengang.

Melihatkan riak wajah Haikal, Aliya tidak mampu menahan tawanya lagi. Terpinga-pinga anak muda itu memandang ke arah Aliya. Lama kemudian barulah Haikal dapat menangkap maksud sebenar gadis itu. Dia tergelak besar.

“Oh diam-diam Aliya kenakan saya balik ya.”

“Mestilah, siapa yang mulakan dulu?” Aliya tak mahu mengalah.

“Okeylah saya kalah. Malam ni Aliya cakap aje nak makan apa, saya belanja.” ujar Haikal.

“Apa saja?” Aliya menjeling nakal.

“Ya apa saja, tolak batu dengan kayu.” Gelak Haikal.

Sambil menikmati hidangan nasi goreng kampung dan air tembikai, diam-diam Aliya leka memerhatikan ke arah Haikal. Wajah anak muda itu tampak girang. Ada iras-iras dengan Doktor Badrul, cuma kulitnya agak keperangan berbanding ayahnya yang berkulit putih bersih. Mungkin kerana kerap berjemur di tengah panas agaknya, fikir Aliya. Mana taknya, kulit pemain ragbi universiti bukan macam kulit doktor yang asyik berkurung dalam bilik berhawa dingin.

Sesekali Haikal mengangkat muka lalu menatapnya. Dia hanya tersenyum. Bagaimana agaknya reaksi Haikal kalau diketahuinya, dia anak angkat ayahnya? Marahkah anak muda itu nanti?

Entah mengapa, tiba-tiba Aliya teringatkan wajah budak lelaki belasan tahun yang ditemuinya bersama Doktor Badrul lima belas tahun yang lalu. Siapakah dia? Abang kepada Haikalkah? Tapi seingatnya Haikal tidak pernah menyebut yang dia mempunyai seorang abang. Dia hanya kerap bercerita tentang kakaknya.

“Kenapa Aliya diam aje ni? Tak sedap ke makanan tu?” Tegur Haikal sebaik dilihatnya Aliya hanya membisu. Gadis itu cepat-cepat mengelengkan kepala sambil tersenyum hambar.

“Papa awak apa khabar? Hari tu saya tak sempat nak ucapkan terima kasih pada papa awak sebab dah tolong saya.” Aliya bersuara perlahan. Sebenarnya berat mulutnya ingin bertanya perihal keluarga Haikal, meskipun hatinya begitu mendesak ingin tahu.

“Itu kan dah memang kewajipan seorang doktor. Dia pun pernah tanyakan fasal Aliya dengan saya.” Balas Haikal.

“Ye ke? Tentang apa?” Pantas Aliya bertanya, teruja ingin tahu.

“Tentang kehidupan Aliya kat kampus, pelajaran, kawan-kawan, keluarga.”

“Keluarga?”Aliya jadi kelu. Bukankah lelaki itu tahu yang selama ini dia tidak punyai keluarga. Tidak punyai siapa-siapa. Jadi siapakah yang lelaki itu ingin tipu? Dia atau Haikal?

“Tapi saya cakap yang saya tak banyak tahu tentang Aliya. Kita kan baru lagi berkenalan. Saya cakap Aliya gadis yang baik hati, bijak, aktif di kampus dan ramai peminat.” Haikal terus-terusan bercerita sambil tergelak Namun entah kenapa Aliya tidak berminat mahu ikut ketawa. Dia masih ingin tahu tentang sesuatu.

“Haikal ada abang?”

“Abang? Aliya…Aliya, bukankah saya pernah cerita yang saya hanya berdua dengan kakak. Mungkin suatu hari nanti saya boleh perkenalkan Aliya dengan kakak saya.” Ujar Haikal.

“Ya, Insya Allah.” Aliya cuba tersenyum, meskipun kepalanya ligat memikirkan kata-kata Haikal sebentar tadi. Mustahil dia tersilap. Dia ingat lagi budak lelaki berusia belasan tahun itu tidak pernah berenggang langsung dari sisi Doktor Badrul. Malah Doktor Badrul juga mengakui bahawa budak lelaki itu adalah anaknya. Kalau bukan abang Haikal, siapa pula budak lelaki itu?

* * * *

“Bila habis final exam?” Tanya Adam pada Aliya apabila gadis itu singgah ke pejabatnya menyerahkan tesis yang telah siap berjilid.

“Esok.” Jawab Aliya ringkas.

“Apa rancangan Aliya sebelum mula buat praktikal? Tak pergi bercuti ke mana-mana?” Soalnya lagi.

“Entahlah, saya belum fikir. Tapi saya ingat saya nak balik sekejap jumpa Ibu Fatimah. Dah lama saya tak jumpa ibu. Rindu benar rasanya nak jumpa adik-adik kat sana.” Aliya tersenyum. Sudah terbayang-bayang di matanya riak wajah adik-adiknya yang seronok dan gembira setiap kali dia pulang bercuti.

Adam terdiam. Sebenarnya dia bercadang mahu mengajak gadis itu pergi berekspedisi ke Pulau Tioman bersama rakan-rakan sekampusnya dulu. Memang setiap tahun jika berkesempatan, mereka akan berkumpul beramai-ramai melakukan aktiviti bersama-sama. Walaupun rakan-rakannya semasa belajar di luar negara dulu tidak ramai, tapi setiap kali berkumpul, ada sahaja rakan baru yang diperkenalkan.

“Bila Aliya bercadang nak balik?”

“Hmm entahlah, mungkin lusa agaknya. Barang-barang pun belum kemas lagi.” jawab Aliya sejujurnya.

“Saya ikut?” Pinta Adam secara tiba-tiba.

Kata-kata lelaki itu membuatkan Aliya tergaman. Dia memandang tepat ke wajah lelaki itu, mengharapkan yang lelaki itu hanya bergurau. Nanti apa pula kata Ibu Fatimah kalau dia membawa pulang lelaki itu bersama-samanya? Tentu kecoh jadinya di rumah anak-anak yatim Seri Kenangan.

“Saya bergurau saja Aliya.” Ujar Adam seraya tertawa. Tak disangkanya Aliya mengambil serius kata-katanya sebentar tadi. Anak gadis itu nampak lega mendengar penjelasannya.

“Hmm lama juga cuti kali ni, entah bila agaknya saya boleh jumpa Aliya lagi?” Keluh Adam selamba. Aliya hanya tersenyum mendengar omelan pensyarah itu.

“Kalau saya sambung semester baru nanti, Encik Adam bukannya ada kat sini pun. Habis Doktor Aidit tu nak letak kat mana?” Aliya mengingatkan lelaki itu.

“Ya tak ya jugak.” Adam menepuk dahinya perlahan. Tergelak dia apabila menyedari kealpaannya. Dia lupa seketika yang dia hanya mengambilalih tugas Aidit buat sementara.

“Encik Adam, saya nak jumpa sekejap boleh tak? ” Seorang pelajar perempuan menyapa dari balik pintu. Serentak kedua-duanya berpaling. Aliya tahu dia tak boleh lama-lama di situ. Dia segera bingkas bangun sambil mengepit failnya.

“Tak apalah Encik Adam, saya minta diri dulu.”

“Okey, selamat bercuti Aliya.” Lelaki itu tersenyum. Matanya asyik mengekori langkah anak gadis itu sehingga kelibat gadis itu menghilang dari biliknya.

link

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!