Followers

Saturday, October 6, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 1


         BUNYI burung-burung berkicauan saling bertingkah di luar jendela, membuatkan dia terjaga dari lena. Lantas dia terpisat-pisat membuka mata. Cahaya matahari yang mencelah dari ruang-ruang kecil di selnya, memancarkan cahaya yang menyilaukan pandangan.

         Siling di atas bilik kecilnya diperhatikan. Pandangannya singgah kosong pada siling yang tidak pernah berubah sejak enam tahun yang lalu. Setiap malam merenung pada siling yang sama, dirinya seperti sudah lali. Lali pada kesepian dan kekecewaan yang membalut dirinya saban malam.

Menyedari di mana dia berada, perlahan-lahan dia bingkas bangun lalu mencuci muka dan mengambil wuduk di sinki kecil di tepi sudut selnya yang dikongsi bersama seorang teman.

            Ya ALLAH! KepadaMU aku berserah dan hanya kepadaMU jua aku menyerahkan nasibku! Dia mendakap kebesaran ILAHI, mengucap syukur pada RABBUL-RAHIM kerana diberi peluang bernafas dan menghirup udara sebebasnya layak manusia lain.

            “Awak akan bebas Nira. Awak akan melangkah keluar dari bilik bergeriji besi itu buat selama-lamanya. Dan percayalah, awak akan keluar sebagai manusia yang bersih, manusia yang suci.” Kata-kata Joshua beberapa bulan yang lalu diterima antara percaya dengan tidak. Malah sepanjang tempoh itu, dia masih meragui kata-kata lelaki berketurunan Cina yang sangat fasih berbahasa melayu itu.

            “Saya baru temui saksi baru yang boleh membantu kes Danira ni. Saya boleh buktikan yang Danira bukan pembunuh, dan Danira berada di tempat kejadian itu hanya kebetulan. Atau lebih tepat lagi kerana seseorang. Seseorang yang cuba Danira lindungi selama ini. ”Keluh Joshua, peguam belanya sejak enam tahun yang lalu.

            Tubuhnya bergetar mendengar kata-kata Joshua. Saksi? Aneh! Kenapa dengan tiba-tiba sahaja ada saksi yang nampak apa yang telah berlaku enam tahun dahulu? Bagaimana kalau saksi itu membongkar semuanya? Tidak! Aku tak boleh benarkan ia berlaku, lebih-lebih lagi sekarang!

            “Apa yang Nira fikirkan tu?” Satu suara tiba-tiba menegurnya.

            Dia berpaling. Teman satu selnya yang baru bangun dari tempat tidur, segera dipandang. Mata wanita itu asyik merenungnya dari tepi katil.

            “Takkan dah nak keluar dari tempat ni, masih tak happy? Nira bimbangkan apa?” Salmi wanita berusia lewat 40-an itu menegurnya.

            “Tak ada apa-apa Kak Sal. Nira cuma terfikir, boleh ke Nira biasakan diri kat luar sana selepas dah lama terkurung kat sini? Lagipun orang macam Nira ni kelulusan tak ada, tempat tinggal pun tak ada. Kat mana Nira nak pergi selepas keluar dari tempat ni nanti?” Keluh Danira.

            Salmi terdiam. Dia bingkas bangun lalu menghampiri Danira. Gadis itu sudah dianggap adiknya sendiri. Sudah enam tahun mereka berkongsi satu sel. Setiap cerita dan kisah gadis itu tersimpan rapi di dalam poketnya. Sedikit sebanyak dia mengerti apa yang dirisaukan gadis itu sebenarnya.

            “Kenapa Nira tak cari je adik Nira tu?” Usul Salmi.

            Mendengar kata-kata Salmi, Danira termenung panjang. Perasaannya sebak apabila diungkit soal adiknya. Memang itu sebab terbesar kenapa dia bersetuju bekerjasama dengan Joshua agar dirinya dapat dibebaskan. Semuanya kerana adiknya! Dia harus mencari Naufal dengan apa cara sekalipun!

            “Nira ni baik hati sayang. Sebab tu ALLAH berikan ujian yang cukup besar untuk Nira. Kak Sal percaya suatu hari nanti, semua penderitaan Nira akan ALLAH balas dengan kebahagiaan. Percayalah pada DIA.” Pujuk Salmi.

            Danira mengangguk. Airmata yang meluruh di pipi diseka dengan jari-jemarinya. Dia mahu belajar untuk terus kuat menghadapi segala duri-duri hidup. Dia ingin kembali seperti dulu. Tapi mampukah semua itu dipenuhi?

*  *  *  *

            Sebaik pintu tembok besar itu dibuka, dia segera melangkah keluar. Kepalanya didongak ke arah langit cerah yang sudah enam tahun tidak ditatapnya. Hukuman 15 tahun penjara yang dibeban di atas kepalanya, dipendekkan kerana usaha Joshua serta kerana saksi baru yang dikatakan lelaki itu.

Menurut Joshua, saksi itu tampil memberi keterangan yang menafikan penglibatannya. Tapi siapa orangnya? Dan kenapa selepas enam tahun, baru saksi itu muncul? Dan yang paling dibimbanginya, apakah saksi itu tahu setiap perkara yang berlaku pada malam musibah itu? Malam yang telah menghancurkan hidupnya?

            “Betul awak tak tahu siapa yang turut berada tempat kejadian?”

            “Saya dah kata saya tak tahu Joshua.”  Nada suaranya dikeraskan sedikit.

            Lelaki itu memandangnya seperti kurang yakin dengan kata-katanya. Sedikit sebanyak dia jadi gugup dengan renungan Joshua. Biarlah Joshua terus meneka dalam kesamaran siapakah orangnya. Dia tidak mahu membuka mulutnya. Lagipun semuanya telah berlalu! Apa gunanya dia mengulang kisah silam jika ia tidak akan mengubah apa-apa pun.

            “Apa Nira nak buat lepas keluar nanti?” Pertanyaan Salmi beberapa hari yang lalu menggantikan ingatannya terhadap Joshua. Wanita berbadan besar berasal dari Kuala Selangor itu memang prihatin orangnya. Sejak dia mula-mula dipenjarakan dahulu, Salmi lah yang sering membantu dan melindunginya dari menjadi mangsa buli ‘Sister Kojak’. Wanita berwajah garang dan bekas anggota penyeludup itu sering menganggunya sejak dia mula-mula menjejakkan kakinya ke pusat tahanan wanita Kajang. Mujur ada Salmi yang sentiasa mempertahankannya. Sejak hari itu dia menganggap Salmi kakaknya sendiri. Tempat dia meluahkan segala cerita pahit yang menyelubungi hidupnya.

            “Kalau Nira bimbangkan tentang kerja, kakak akan tolong Nira. Lagipun kakak masih ada ramai kawan di luar sana. Kalau Nira dah keluar nanti, carilah anak saudara kakak. Dia boleh tolong Nira.” Pesan Salmi.

            Dia mengangguk dengan wajah lesu. Saat ini, bukan kerja atau tempat tinggal yang difikirkannya, tapi perkara pertama yang melintas di kepalanya adalah Naufal. Jauh di sudut hati, dia amat merindui Naufal. Dahulu sewaktu dia berpisah dengan Naufal, anak muda itu baru berusia 16 tahun. Sekarang sudah pasti usia Naufal mencecah 22 tahun. Sudah dewasa! Entah bagaimana dengan adiknya itu? Apakah hidup Naufal baik-baik sahaja?

            Sepasang kakinya, diheret menjejak bumi ALLAH yang masih mengizinkan kakinya berlabuh. Fikirannya terus melayang, sehingga dia tidak sedar kakinya tersasar sehingga ke tengah jalan.

Bunyi hon yang agak kuat dan bingit singgah di gegendang telinga. Dia terkejut besar. Wajah Naufal segera menghilang dari kelopak fikiran. Matanya ditala ke suatu arah. Menyedari terdapat sebuah Audi Cope berhenti hanya selang beberapa puluh meter jaraknya dari tempatnya berdiri, wajahnya segera memucat. Dia memandang ke arah kereta bercermin gelap itu.

            Pintu kereta itu tiba-tiba dikuak. Sepasang kaki melangkah turun. Danira memalingkan wajahnya. Hatinya gementar bimbang dimarahi si pemilik kereta itu. Bagaimana kalau pemilik kenderaan itu marah dan mengugut mahu menyelesaikan insiden itu di balai polis? Dalam keadaan sekarang, dia tidak ingin lagi kembali ke sana. Dia sudah letih berurusan dengan undang-undang. Cukuplah!

            “Awak tak apa-apa?” Suara lelaki itu kedengaran. Tidak lantang sebaliknya berbaur kebimbangan. Danira cepat-cepat menggelengkan kepalanya. Dia tidak berani langsung memandang wajah lelaki itu.

            “Maaf, saya tak nampak awak lalu tadi. Awak tak cedera kan?” Lelaki itu tak sudah-sudah bertanya. Sekali lagi Danira menggelengkan kepala. Memang dia tidak apa-apa. Malah tidak ada sedikitpun cacat cela di tubuhnya. Hanya jantungnya sahaja yang berdegup kencang seperti mahu melompat keluar dari injapnya.

            “Kalau awak nak ke mana-mana, saya boleh hantarkan.” Pelawa lelaki itu tak disangka-sangka.

Kata-kata lelaki itu membuatkan dia terpaku. Matanya segera mencuri pandang ke arah lelaki segak berkaca mata hitam di hadapannya. Meskipun sebahagian wajah itu terselindung di sebalik cermin mata hitam yang dipakainya, namun dia dapat merasakan pelawaan lelaki itu ikhlas bukan dibuat-buat.

            “Tak apalah encik, saya boleh jalan sendiri. Maaf sebab buat kereta encik nyaris berlanggar tadi.” Ujar Danira resah. Dia mahu meneruskan langkah, namun lelaki itu cepat-cepat menahannya.

            “Tunggu sekejap.” Pinta lelaki itu. Cermin mata yang dipakainya ditanggalkan menyerlahkan seraut wajah kacak dengan rambut pendek yang kemas. Danira terpaku sejenak memerhatikan lelaki itu apabila mata mereka berlaga.

Melihat lelaki itu mengeluarkan sesuatu dari dalam dompetnya, dia tercengang. Namun hatinya jadi lega sebaik menyedari lelaki itu memegang sekeping kad. Kad itu dihulurkan ke arahnya. Dengan hati separuh ragu-ragu, dia memaksa diri menerima jua pemberian lelaki itu.

            “Kalau ada kecederaan atau apa-apa masalah, awak contact saya ya. Nombor saya ada kat dalam kad tu.” Ujar lelaki itu lagi.

            Melihat Danira hanya berdiam diri, lelaki itu segera meminta diri. Sekejap sahaja lelaki itu menghilang ke dalam perut keretanya. Tidak lama kemudian, Audi Cope berwarna hitam berkilat itu dipecut agak laju sebelum menghilang dari pandangan.

            Danira  segera melirik isi kad tersebut. Nama lelaki itu jelas terpapar di situ. Dia mengeluh kecil. Entah apa gunanya kad itu padanya? Tak mungkin dia akan menghubungi lelaki itu lagi selepas ini. Lagipun dia bukannya cedera teruk atau patah riuk di sana-sini. Lelaki itu entah akan ditemuinya lagi atau mungkin tidak. Namun kad pemberian lelaki itu disimpan jua di dalam begnya. Sedikit pun dia tidak menyedari dirinya diekori sebuah kenderaan yang berhenti di seberang jalan.

1 comment:

Unknown said...

sian nye kat nira..dapat ke nira bertemu ngan naufal,dah enam tahun tk jumpa?n ade ke adik nye leh terima diri nye!alahai sape lah pemuda yg berhemah tu yer!!!

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!