Followers

Friday, July 30, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 25

SYAZANA asyik memerhatikan Aliya yang sibuk berkemas. Dia menawarkan diri mahu membantu tapi gadis itu menolak. Sudahnya dia macam tunggul kayu duduk diam memerhatikan Aliya sedari tadi. Sedih juga hatinya kerana selepas ini, agak lama juga dia takkan bertemu gadis itu.

Aliya yang sibuk menyimpan kotak-kotak hadiah untuk adik-adik angkatnya, sesekali menjeling Syazana dengan ekor mata. Dia tahu hati temannya itu sebak untuk berpisah. Dia juga begitu. Bukan dia tidak sedih untuk berpisah setelah sekian lama bersama. Tapi itu semua adat kehidupan. Ada pertemuan maka tentu ada perpisahan.

“Sya, bukannya lama sangat cuti ni. Tiga bulan aje. Lagipun dua minggu lagi aku turun KL balik untuk praktikal aku Kalau ada masa kita jumpa. Kau pun bukanlah duduk jauh, kat sini jugak.” Pujuk Aliya.

“Itu aku tahu tapi tentu susah kita nak jumpa macam selalu. Kau tentu sibuk dengan latihan industri Menyesal aku tak daftar nama awal-awal untuk latihan industri tu.” Keluh Syazana.

“Ala kalau ikutkan hati aku, aku pun malas nak ikuti latihan industri tu. Tapi dah terpaksa nak buat macamana. Kalau tak disebabkan Doktor Aidit yang beria-ria sangat, baik aku balik tinggal dengan ibu Fatimah lagi baik.”

“Tempat tinggal macamana?” Tanya Syazana.

“Hari tu aku ada contact sorang kakak yang kerja di Perkasa Budi. Katanya teman serumahnya nak pindah jadi ada satu bilik kosong.”

“Kalau kau tinggal kat rumah aku macamana?” Cadang Syazana.

“Sya, aku perlukan rumah yang dekat dengan syarikat tu. Senang nak berulangalik. Rumah kau kan jauh dari tempat kerja aku. Dahlah jangan sedih-sedih lagi. Buruk tau.” Aliya mengusik. Syazana tergelak kecil.

“Pukul berapa teksi kau sampai?”

“Aku janji dengan pakcik teksi tu pukul sepuluh.” Aliya mengerling pergelangan tangannya. Sudah sampai waktu!

“Dah dekat dah ni Lia. Biar aku tolong angkatkan barang kau.”

Terkial-kial Syazana mengangkat dua buah beg Aliya yang sarat.

Aliya hanya tersenyum memerhatikan gadis itu. Sampainya di hadapan foyer, dia sibuk mengintai teksi sapu yang telah ditempahnya sejak beberapa hari yang lalu.

“Dah sampai Lia?” Soal Syazana yang turut sama menjengah. Sesekali matanya jatuh ke arah sekumpulan pelajar perempuan yang membimbit beg masing-masing. Ramai juga pelajar yang menunggu keluarga masing-masing di hadapan foyer. Maklumlah final exam dah habis, semuanya seronok nak balik kampung. Hanya dia saja yang terpaksa menunggu sehingga esok kerana peperiksaannya masih belum selesai.

Dari jauh kelihatan sebuah kereta Proton Perdana berwarna hitam metalik meluncur laju lalu berhenti di kawasan parkir berhampiran foyer. Aliya menoleh. Sejurus dia memandang kereta itu, dahinya berkerut. Kereta itu seolah-olah dikenalinya. Pak Kassim? Dia mengecilkan matanya, cuba memastikan agar pandangannya tidak kabur. Apa Pak Kassim buat kat sini?

“Siapa tu Lia?” Tanya Syazana.

“Pak Kassim,” Dia membalas sepatah.

“Pak Kassim?” Syazana tercengang.

“Pak Kassim buat apa kat sini?” Tanya Aliya sebaik sahaja orang tua itu menghampirinya. Kasihan juga dia melihat Pak Kassim yang termengah-mengah keletihan.

“Nak hantar Aliya.”

“Hantar saya?” Aliya mengerutkan dahinya. Dia memandang Syazana. Anak gadis itu hanya menjungkitkan bahunya.

“Aliya kan nak balik ke rumah Seri Kenangan hari ni. Sebab tu Pak Kassim datang sini nak hantar Aliya.” Beritahu orang tua itu.

“Tapi macamana Pak Kassim tahu saya nak balik hari ni?”

“Tuan yang bagitahu.”

“Daddy?”

Pak Kassim hanya mengangguk. Tanpa berlengah, dia terus mengangkat beg-beg Aliya dan membawanya ke kereta. Aliya pula masih terpaku di situ. Fikirannya menerawang jauh. Timbul satu persoalan di fikirannya. Bagaimana daddynya tahu dia akan pulang ke rumah anak-anak yatim itu hari ini? Mungkinkah Haikal yang beritahu? Dia teringat beberapa hari yang lalu, Haikal ada bertanya bila dia akan pulang.

“Kau nak ikut pakcik tu balik ke?” Syazana bertanya. Aliya menoleh. Baru menyedari Syazana masih berada di sisinya. Dia memandang gadis itu.

“Sya, kalau teksi datang, beritahu pakcik tu aku dah pergi dulu. Dan tolong bagi duit ni pada pakcik teksi tu ya.” Not dua puluh ringgit dihulurkan pada Syazana. Dia memandang gadis itu. Tubuh kecil Syazana segera dirangkulnya. Kedengaran esakan kecil Syazana bergema di telinganya. Dia hanya tersenyum. Syazana masih tak berubah-ubah perangainya. Cengeng!

“Dahlah tu. Jaga diri kau baik-baik.”

“Kirim salam kat adik beradik kau. Jangan lupa call aku tau,” pesan Syazana. Aliya tergelak kecil. Ada kelucuan pada kata-kata temannya itu.

Aliya berdiam diri sahaja sepanjang perjalanan. Fikirannya melayang jauh. Dia asyik merenung ke luar tingkap kereta. Sesekali Pak Kassim menjeling gadis di sebelahnya.

“Kalau Aliya lapar, kita boleh berhenti makan dulu kat mana-mana. Mahu?” Tanya Pak Kassim lembut. Aliya tersenyum. Memandang Pak Kassim sekilas sebelum menggelengkan kepalanya. Perutnya masih terasa kenyang dengan sarapan pagi tadi.

“Kenapa Pak Kassim tengok Lia diam saja? Tak suka Pak Kassim datang ambil Lia ke?” Duga Pak Kassim.

“Eh taklah Pak Kassim. Kalau Pak Kassim datang, Lia lagi untung kan. Jimat tambang teksi.” Ujar gadis itu. Pak Kassim tergelak besar.

“Cuma….” Kata-kata Aliya terhenti.

“Cuma apa?” Pak Kassim menumpukan perhatiannya pada kata-kata gadis itu seterusnya. Aliya dilihatnya seolah-olah cukup sukar untuk mengutarakan apa yang bermain di fikirannya. Gadis itu bagaikan ragu-ragu untuk meneruskan kata-katanya.

“Cuma apa Lia?” Pak Kassim mengulangi pertanyaannya.

“Pak Kassim, boleh tak Lia tanya Pak Kassim satu perkara?”

Pak Kassim tergaman dengan kata-kata Aliya. Hendak berjanji dia tidak tahu hujung pangkal perkara yang mahu ditanyakan gadis itu. Silap berjanji takut pula dia tidak mampu menunaikannya. Sudahnya Pak Kassim hanya mampu berdiam diri.

Aliya menarik nafas panjang. Cuba mengumpul kekuatan untuk mengatakan kebenaran yang telah lama dicarinya.

“Pak Kassim, ayah angkat Lia tu, Doktor Badrul Haimin ke?” Dia memandang tepat ke wajah tua Pak Kassim. Cuba mencari jawapan yang diinginkannya di wajah tua itu. Namun anehnya Pak Kassim diam sahaja. Dan seperti selalu, pertanyaannya kali ini juga terbiar tanpa jawapan. Aliya tunduk hampa. Terasa pipinya tiba-tiba hangat.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!