Followers

Thursday, November 14, 2013

Alamak! Lagi-Lagi Dia : Bab 21


DUA pasang mata saling berlaga Dua cawan kopi di atas meja mengeluarkan asap dan aroma yang harum, namun tidak dikisahkan kedua-duanya. Baru sebentar tadi juga ada pelayan meletakkan sepotong kek rose velvet yang sama untuk lelaki itu seperti dihantar Ebit sebentar tadi.

            Cika resah. Kalau itu yang mahu ditanya. Kenapa resah? Untuk apa? Yalah, dia gadis yang mula terpesona dengan sisi lelaki itu yang lebih adorable. Lelaki super poyo itu seorang pemain piano. Selalunya pemain piano mempunyai aura dan tarikan tersendiri. Begitu juga dia melihat sisi baru Nadim Ammar kini. Dengan sut hitam itu, lelaki itu benar-benar seperti Prince Charming. Perawakan yang menarik perhatian sesiapa sahaja pada malam itu.

            Nadim berwajah serius. Merenung gadis itu kerana dia tahu wajahnya digeruni, Jika tidak masakan tangan gadis itu terketar-ketar. Dia menggunakan segala kelebihannya kali ini dengan berlagak macho dan terhormat. Tapi sebenarnya di dalam hati sudah seladung gelak ketawa cuba ditahan dari terhambur keluar.

            Dia sendiri sebenarnya tidak menduga Cika akan datang mencarinya. Pelik! Baru sahaja dia berniat mahu mencari gadis itu dan memulangkan buku milik gadis itu, tiba-tiba sahaja Syafika Nordin yang kerap bertembung dengannya sejak akhir-akhir ini kini sudah terpacul di hadapan mata. Muncul di Jumbo Jeep tempatnya mencari rezeki secara sambilan.

            “Kenapa awak nak jumpa saya?” Tanya Nadim ingin tahu.

            Cika menarik nafas panjang. Gementar hatinya cuba ditahan sedaya upaya.

            “Sa..saya nak ucapkan terima kasih.” Ujar Cika. Mukadimah pertama haruslah lebih sopan. Itu yang berada di petak fikirannya saat ini.

            “Terima kasih untuk apa?”

            Cika mengetap bibir. Dia ni pura-pura sahajakah? Mustahil lelaki itu tidak ingat setiap inci peristiwa di firma guaman tempohari. Semua stesyen televisyen membuat liputan tentang kisahnya, takkan lelaki itu tak ingat pulak.

            “Saya nak ucapkan terima kasih sebab awak selamatkan saya tempohari.” Ujar Cika berterus terang. Budi kena bayar dulu!

            “Itu sahaja?” Nadim menyoal dengan wajah bosan. Dia segera bingkas bangun, bersedia untuk beredar. Cika tercengang. Tidak menyangka kalau bicaranya dengan lelaki bernama Nadim itu hanya sesingkat ini sahaja.

            “Tunggu sekejap.” Tahan Cika sambil ikut bangun.

            Nadim menoleh.

            “Kalau setakat nak ucapkan terima kasih, benda itu bukan apa-apa bagi saya. Menyelamatkan gadis yang buat kerja bodoh macam awak was my pleasure Cik Syafika.” Sindir Nadim tersenyum sinis.

            Wajah Cika berubah. Berdesing telinganya mendengar nada bicara mengusik kalbu lelaki itu. Cis langsung tak boleh buat baik!

            “Sebenarnya saya datang ke mari bukan nak hadap sangat muka awak tu. Saya datang sebab nak tanya, ada tak awak ternampak atau terambil planner saya?” Cika terus ke pokok persoalan. Tak payah mukadimah atau intro lagi. Buang masa!

            Planner? Kenapa awak tanya saya? Awak ingat saya ambil barang awak?” Soal Nadim semula. Sengaja pura-pura tidak tahu apa yang Cika maksudkan. Hatinya entah kenapa seronok dapat mempermainkan gadis itu. Macam menang piala sumbangsih pulak!

            “Saya ada duduk berdekatan dengan kereta Toyota Prius awak tempohari. Saya hilangkan buku tu di situ. Sebab tu saya cari awak, kalau-kalau awak ada nampak atau terambil.” Ujar Cika lagi dengan wajah masam mencuka.

            “Sepatutnya saya yang tanya awak dulu, apakah awak yang tercalarkan kereta saya tempohari?” Soal Nadim dengan wajah serius.

            Cika terkesima. Saat ini tuhan sahaja yang tahu berapa sakitnya hatinya. Dia yang bertanya tapi lelaki itu pula yang menyoalnya.

            “Saya tak calarkan pun kereta awak. Tapi soalan saya awak tak jawab lagi. Jadi saya andaikan awak tak tahu apa-apa fasal buku saya tu. Terima kasih banyak-banyak sebab luangkan masa awak yang sangat berharga tu.” Ujar Cika benar-benar sakit hati. Dia sudah mengemaskan beg tangannya ke bahu, bersedia untuk beredar sahaja dari tempat itu.

            Namun belum sempat dia melangkah pergi, suara Nadim kembali bergema.

            “Kalau saya jumpa buku awak tu macamana pulak?” Soal lelaki itu. Cika terpempan. Dia mengetap bibir, cuba menahan sabar. Perlahan-lahan dia berpaling ke arah Nadim yang sedang menghadap ke arahnya bersama sekalung senyuman sinis.

            Tiba-tiba lelaki itu mengeluarkan sesuatu dari sisipan saku bajunya. Buku hitam itu dilayang-layangkan ke udara. Cika terkejut. Buku miliknya benar-benar ada di tangan lelaki itu.  Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. YA ALLAH! Gambar!

Dia meluru mahu mendapatkan buku itu, tapi Nadim lebih pantas melarikannya. Cika hampir mahu menangis dibuatnya.

“Pulangkan semula buku saya tu.” Pinta Cika berkeras.

“Buku ni bukan milik awak lagi.”

“Awak memang melampau!” Herdik Cika.

Nadim terdiam. Dia segera menyelak helaian mukasurat buku hitam itu lalu menayangkannya di hadapan Cika. Senyumannya berlegar di bibir. Senyuman kemenangan!

“Ini buktinya kenapa saya kata buku ini bukan lagi milik awak. Gambar ini, boleh awak jelaskan kenapa gambar saya boleh ada dalam buku awak ni?” Soal Nadim.

Wajah Cika sudah merah padam. Dia benar-benar malu. Salahnya juga kerana melukis gambar lelaki itu di dalam planner miliknya. Dan sekali lagi kebodohannya membuatkan airmukanya jatuh di hadapan lelaki kerek itu. Josh Duhamel yang kerek! Menyampah!

Don’t say to me that you are in love with me Cik Syafika.”

Cika tersentak.

Is it?” Nadim semakin galak mengusik. Perlahan-lahan dia mendekati gadis itu. Merenung wajah Cika yang sedang kaku. Namun sebaik dia melihat ada air jernih bertakung di kelopak mata gadis itu, Nadim tiba-tiba hilang punca. Terbit pula rasa bersalah. Dia menangiskah?

Tiba-tiba sahaja Cika menolak tubuh Nadim lalu segera berlari keluar dari tempat itu. Dia tidak ingin terus dimalukan lelaki itu seperti ini. Sejarah lamanya dengan Idham Hariz takkan dibiarkannya berulang lagi.

Tinggal Nadim sendirian mematung dalam keadaan bingung. Hendak dikejar gadis itu, namun egonya melarang. Sudahnya dia hanya terkebil-kebil merenung planner di tangannya yang tidak sempat diambil gadis itu. Kenapa dengan gadis itu? Bahagian manakah dari kata-katanya yang menikam hati Cika? Nadim tertanya-tanya separuh nanar.

*  *  *  *

ARE you in love with me Cik Syafika?” Suara itu bergema. Nadanya sinis diiringi gelak ketawa ramai di kantin sekolah. Dia hanya mampu tunduk sambil merenung tray makanannya yang masih belum sempat disentuh.

            “Selama ini dia mana ada teman lelaki lain. Kau aje yang dia suka.” Sokong yang lain pula sambil ketawa terbahak-bahak.

            “Tapi aku tak suka dia. Jatuh standard aku kalau berkawan dengan budak nerd, kaki bangku, cermin mata tebal sehingga ke leher.” Suara Idham muncul lagi. Seperti biasa dengan ayat menghinanya.

            “Budak nerd macam ni la yang pandai tulis surat cinta sampai meleleh. Jiwang karat beb.” Sambung teman Idham yang lain. Sekali lagi suara ketawa ramai bergema, sekaligus merancakkan waktu rehat di kantin tersebut.

            Dia cuba berlagak selamba. Walhal mukanya sudah merah dan telinganya sudah perit mendengar celoteh percuma Idham dan teman-temannya.

 

Buat Idham tersayang,

            Saya sudah lama memerhatikan awak secara diam-diam. Hati saya sudah terpaut pada awak sejak kali pertama melihat awak di padang. Kalau boleh saya ingin bertemankan awak sehingga ke tua. Merebut bintang-bintang di langit, memetik bunga-bunga di taman dan menyaksikan World Cup bersama-sama di televisyen. Kalau awak sudi, saya ingin menjadikan awak teman istimewa.My soulmate yang sejati. Forever and happily ever after.

 

            Surat itu dibacakan semula entah untuk kali ke berapa. Idham dan teman-temannya tak sudah-sudah menginjak-injak maruahnya. Dan dia hanya mampu berdiam diri tanpa ada peluang untuk membela diri.

            Semuanya kerana Gina. Surat itu milik Gina, diminta gadis itu untuk disampaikan kepada Idham. Dia cuba menolak tapi Gina tetap berkeras. Entah sejak bila Gina meletakkan surat itu di dalam failnya. Dan ketika dia di dalam dewan sekolah, surat itu tercicir dari fail yang dipegangnya dan kebetulan dikutip oleh Alissa, budak perempuan paling penyibuk di sekolah mereka. Kerana Alissa satu sekolah mula mengetahuinya dan menganggap dirinya jenaka yang tidak pernah lapuk untuk berbulan-bulan lamanya.

            Cika mengesat kelopak matanya. Zaman persekolahannya benar-benar buruk sehingga dia enggan mengingati walau pun satu kenangan. Tetapi malam ini, dengan hanya satu ayat, Nadim Ammar  telah mengingatkan dia tentang Idham Hariz. Tentang apa yang dilaluinya selama ini. Seolah-olah dia perempuan yang tidak layak untuk dicintai dan dikasihi.

            Dua belas tahun lamanya dia cuba bangkit. Dua belas tahun juga dia belajar untuk mengubah diri dan penampilannya agar tidak dilihat sebagai Cika The Loser lagi. Namun kata-kata lelaki di Restoran Jumbo Jeep itu juga tidak ada bezanya dengan kata-kata Idham Hariz sendiri. Kedua-dua lelaki itu memang memandang rendah pada dirinya.

            Bunyi getaran telefon bimbitnya membuatkan dia tersedar. Cika cepat-cepat mengesat airmatanya. Dia mengambil telefon bimbitnya lalu memeriksa panggilan yang baru masuk. Umi! Dia tersentak. Jarum jam di tangannya sudah menginjak pukul 10 malam. Patutlah uminya menelefon. Cika ragu-ragu mahu menjawab panggilan wanita itu, lagi-lagi dalam keadaannya sekarang. Dia tidak ingin ibunya yang pintar itu dapat membaca bahasa suaranya yang pastinya berbeza.

            Sebentar kemudian Ubek pula menghantar pesanan ringkas. Abangnya sekadar bertanya dia ke mana sehingga belum pulang. Cika segera membalas mesej abangnya. Memberitahu dia ada di rumah Gina, padahal dia masih duduk di bangku kecil di sebuah taman perumahan berdekatan Jalan Semarak.

            Mengenangkan jarum jam semakin berputar, Cika tahu tidak ada gunanya dia duduk merintih diri di situ. Kedua ibu bapanya pasti risau. Ubek yang selalu nampak tidak kisah itu juga pasti risau kalau dia masih belum pulang-pulang lagi ke rumah.

            Perlahan-lahan dia bangkit dari bangku di taman itu. Keretanya diparkir tidak jauh dari situ. Ketika dia mahu melangkah ke arah keretanya, matanya tiba-tiba terpandang sesuatu. Seorang tua yang sedang memakai topi lebar sedang tertunduk-tunduk mengutip sampah sarap lalu memasukkannya ke dalam karung plastik berrwana hitam.

            Mulanya Cika berniat mahu terus beredar, tapi melihat orang tua itu, entah kenapa dia tidak sampai hati pula. Dah pukul berapa ni sampai orang tua itu masih mengutip sampah di sekitar kawasan ini? Dia berpaling, memerhatikan wajah yang terlindung oleh topi lebar itu.

            “Nak tengok aje ke? Kalau nak tolong lagi bagus.” Muncul suatu suara dari sebalik topi lebar itu. Cika terpempan. Pantas matanya merenung wajah di sebalik topi besar dan lebar itu. Seorang wanita tua mendongak wajah seraya tersengih memandangnya.

            “Err.. nenek buat apa tu sebenarnya?” Cika memberanikan diri bertanya.

            “Aku tengah jogging ni ha.” Balas wanita tua itu.

            Cika tercengang. Jogging? Sasau ke apa orang tua ni?

            “Aku tengah kutip sampahlah, takkan jogging pulak. Orang melayu memang suka bertanya apa yang mereka dah tahu. Takkanlah kamu yang masih muda tak boleh nampak.” Ada senyuman meleret di sebalik kata-kata itu. Cika menarik nafas panjang. Loyar buruk pula perempuan ni!

            “Nenek tak takut ke kutip sampah sorang-sorang kat tempat ni?”

            “Nak takut apa? Mati pun sorang juga nanti.”

            “Ya saya tahu tu. Tapi tempat ni kan sunyi aje malam-malam macam ni.  Nanti kalau terserempak orang jahat macamana?”

            “Orang jahat ke hantu ke..aku bukan kacau diaorang pun. Kamu tu pulak buat apa sorang-sorang kat taman ni?” Giliran wanita tua itu pula bertanya.

            Cika terdiam. Menanya orang pandai tapi dia sendiri masih merambu di kawasan itu malam-malam buta begini.

            “Tak ada apa-apa nenek. Saya cuma nak bersendirian.”

            “Orang yang hendak duduk bersendirian biasanya ada masalah. Kamu ada masalah apa? Masalah negara? Masalah duit? Ke masalah sengugut?”

            “Eh nenek ni, ada ke pulak masalah sengugut.” Dia hendak ketawa mendengarnya.

            “Habis? Yang muka tu macam tikus mondok apasal?’

            Cika terdiam. Percuma sahaja mahu bercerita pada perempuan tua bertopi lebar itu. Kalau dia bercerita pun, bukan perempuan itu boleh membantu. Buat membazir air liur sahaja.

            “Masalah cinta? Kamu tak ada teman lelaki pun, mana datangnya masalah cinta tu?” Ujar wanita tua itu.

            Cika tersentak. Aneh! Macamana orang tua itu tahu bahawa dia tidak ada teman lelaki? Ada iklan kat suratkhabar ke? Jangan-jangan ibunya dah mendaftar dirinya dalam agensi pencari jodoh!

            “Err..macamana nenek tahu saya ni tak ada teman lelaki? Nenek ni siapa?” Tanya Cika ingin tahu. Langkahnya dihela lebih dekat ke arah wanita tua bertopi itu.

            Wanita tua itu ketawa kecil lalu menanggalkan topi yang dipakainya, menyerlahkan seraut wajah berusia dalam lingkungan 50an yang lebih jelas kelihatan. Pakaiannya buruk dan lusuh tapi ada seutas rantai emas tebal di leher itu.

            “Aku dah selalu sangat jumpa orang macam kamu ni. Termenung sana sini kerana macam-macam masalah. Tapi masalah tak selesai-selasai jugak. Habis nak selesai macamana kalau asyik termenung aje.” Rungut orang tua itu.

            “Kamu ni cantik, tapi lack of confident. Kamu kena lepaskan masa silam kamu kalau kamu nak cari kebahagiaan diri sendiri.” Ujar wanita tua itu siap berbahasa Inggeris. Terpegun sebentar Cika mendengar kata-kata wanita itu. Masa silam? Untuk bahagia dia harus melupakan masa silamnya? Kenapa bunyinya begitu dekat di hati? Macam tau-tau aje orang tua ni!

            “Nenek ni sebenarnya siapa?” Cika benar-benar ingin tahu siapakah gerangan wanita tua itu.

            “Panggil aku Nenek Puteh aje. Bukan sebab aku ni putih, tapi sebab nama aku memang Puteh. Muka kamu ni aku tengok betul-betul muka banyak masalah. Kamu sepatutnya pergi bercuti, rehatkan otak dan fikiran kamu tu.” Usul nenek tersebut.

            Cika hanya mampu tersenyum. Alangkah bagusnya kalau dia boleh melakukannya begitu sahaja tanpa perlu berfikir tentang syarikatnya.

            “Kamu suka kapal?” Tanya nenek tua itu seraya merenung ke wajahnya.

            “Maksud nenek?” Cika tercengang.

            “Kalau kamu ada peluang naik kapal besar dan bersiar-siar, pergi sahaja jangan berfikir panjang. Itu peluang kamu!” Ujar nenek tua itu.

            Dahi Cika berkerut mendengar kata-kata wanita tua itu. Pelik bunyinya! Sama pelik dengan orang yang menuturkan kata-kata itu. Entah siapalah yang hendak beri peluang pada aku pergi bersiar-siar menaiki cruise! Kalau ada pun, urusan di syarikatnya bukan boleh ditinggal-tinggalkan. Mengarut sungguh nenek ini! Cika ketawa kecil seraya menggeleng-gelengkan kepalanya.

            “Nah, ambil ni. Aku ada sebotol sahaja tapi sebab masalah kamu, aku rela beri pada kamu sahaja.” Ujar nenek tua itu seraya menyerahkan sesuatu ke tangannya.

            Cika terkedu. Botol kecil yang sudah berpindah ke tangannya direnung sejenak. Apa benda ni? Lain macam sahaja!

            “Aku ada sebotol sahaja, tapi sebab masalah kamu…”

            Kata-kata wanita tua itu melekat di fikirannya. Dia mendongak memandang ke arah wanita tua yang kelihatan selamba sahaja. Biar betul! Takkan botol ini berisi…

            “Tak mahulah nenek, nenek ambil semulalah. Saya tak nak minyak ni. Walaupun saya tak ada teman lelaki, tapi saya takkan gunakan minyak pengasih ni. Berdosa guna benda ni nenek.” Cika menggeleng-gelengkan kepalanya. Enggan menerima pemberian wanita tua itu.

            Nenek tua itu tiba-tiba tergelak besar. Bagaikan lucu mendengar kata-katanya sebentar tadi. Cika terkelip-kelip memandang wanita tua itu. Entah apa yang lucu sangat dia pun tidak tahu.

            “Kamu ingat, benda ni minyak pengasih ke? Kalau aku ada minyak pengasih, buat apa aku nak bagi kamu? Baik aku pakai sendiri saja, lagipun aku ni pun dah lama menjanda.” Gelak nenek tua itu lagi seraya menekan-nekan perutnya. Lawak sangat agaknya!

            “Habis minyak apa ni?” Cika tercengang-cengang.

            “Minyak angin lah. Sapu kat kepala kamu tu biar hilang sakit kepala tu, hilang masalah kamu. Lepas tu balik rumah dan tidur.”

            Cika terkedu. Serentak dia menghidu botol kecil tersebut. Eh betullah, ini memang minyak angin. Aiseh, apasal minyak angin cap kapak ni duduk dalam botol berbeza? Sejak bila syarikat Cap Kapak tukar botol ni?

            “Botol asalnya pecah, aku terpaksa bubuh saki bakinya dalam botol minyak urat. Itu sebab botol tu lain.” Jelas nenek tua itu bagaikan tahu apa yang sedang difikirkannya.

            Cika menggaru kepala tidak gatal. Mujur bukan minyak pengasih! Kalau tidak haru-biru jadinya!

            “Dik, kereta tu adik punya ke?” Tiba-tiba muncul satu suara tak diduga dari arah belakangnya. Cika berpaling, lalu terpandang kelibat seorang pakcik berkopiah bulat sedang memandangnya.

            “Ya kereta saya. Kenapa pakcik?”

            “Dah lewat malam ni. Pakcik nak beritahu aje, kawasan ni tengah-tengah malam begini banyak mat rempit yang suka merewang tak tentu fasal. Keras pulak tu. Adik tu perempuan, eloklah balik ke rumah sekarang. Kalau terserempak mat-mat rempit tu tak apa, boleh kami datang menolong. Tapi kalau dah jumpa macam-macam benda, minta maaf pakcik pun takut.” Monolog pakcik berkopiah bulat itu seraya tersengih.

            “Err sebenarnya pakcik, saya…” Cika berpaling. Tapi nenek tua itu sudah lesap entah ke mana. Dia tercengang. Mana pulak la orang tua ni pergi?

            “Pakcik ada nampak tak nenek tua yang bercakap-cakap dengan saya tadi?” Soal Cika ingin tahu. Hairan memikirkan ke mana perginya nenek tua itu.

            Pakcik berkopiah bulat itu terpisat-pisat memandang ke arah Cika.

            “Nenek tua mana?”

            “Yang bercakap-cakap dengan saya tadi. Baru sekejap tadi.”

            “Eh  mengarut adik ni, mana ada.” Pakcik berkopiah itu mula memeluk kedua-dua tangannya. Tiba-tiba gerun mendengar kata-kata anak gadis di hadapannya.

            Cika terkedu, sekaligus mula merasa seram sejuk. Teringat pula dia akan kata-kata pakcik berkopiah bulat itu tentang kekerasan tempat itu. Jangan-jangan nenek tua yang dilihatnya sebentar tadi bukan manusia. Aduh! Nak menyebutnya sahaja dia sudah seram sejuk.

            “Tak apalah pakcik, saya balik dulu.” Ujar Cika lalu cepat-cepat memasuki perut keretanya untuk beredar. Pakcik berkopiah bulat itu masih tercegat memerhatikan ke arah Cika sehinggalah kereta anak gadis itu menghilang ke arah selekoh jalan besar.

            Mata pakcik berkopiah bulat kemudiannya meliar memerhatikan kawasan taman itu. Tiba-tiba sahaja dia teringat kata-kata anak gadis itu tentang seorang nenek tua. Hai nenek tua mana pulak la yang dimaksudkan gadis itu?

Bulu romanya sudah meremang tapi dia berlagak tenang dan cool. Maklumlah sebagai AJK Rela yang bertanggungjawab menjaga keselamatan di kawasan perumahan itu dari mat-mat rempit yang berkeliaran, dia tidak boleh takut. Hati mesti seteguh karang. Jiwa mesti rock beb!

            Dia sudah hendak pergi apabila telinganya tiba-tiba menangkap bunyi gemersik di tepi telinganya. Ada campuran bunyi desahan nafas dan bunyi suara seperti merengek kesakitan. Entah mengapa, tubuhnya mula mengigil.

Tiba-tiba sepasang tangan dirasakan menjalar di pergelangan kakinya. Dia tersentak. Tubuhnya sudah seram sejuk menahan gigilan yang semakin melumat-lumat dirinya. Perlahan-lahan dia memberanikan dirinya lalu tunduk ke bawah. Di bawah kakinya, matanya terpandang sesuatu yang menyeramkan. Muncul satu kepala dengan muka menakutkan sedang menyelinap di bawah kakinya. Lembaga itu menyeringai memandangnya dengan wajah hitam legam yang berlendir. Dia sudah tidak dapat menahan diri. Dengan suara yang lebih nyaring, dia menjerit lebih kuat sebelum terjelepuk tidak sedarkan diri.

            Nenek tua yang ditemui Cika sebentar tadi tercengang-cengang melihat seorang lelaki berkopiah bulat yang pengsan berhampiran tepi longkang besar tempatnya baru sahaja jatuh. Bersusah payah dia cuba merangkak naik dari longkang tersebut, akhirnya berjaya juga. Tapi mukanya habis kotor dibasahi air longkang dan lumpur tanah.

Dia mencari-cari Cika tapi gadis itu sudah tidak ada. Matanya beredar ke arah lelaki tua yang pengsan sebentar tadi. Wajahnya berkerut. Dia langsung tidak faham apa yang sudah terjadi dengan lelaki tua berkopiah itu. Ada hantu ke kat tempat ni?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!