Followers

Saturday, December 26, 2009

Sayangku Casper : Bab 13

Malam itu dia sendirian di rumah sewanya. Serba tidak kena dia dibuatnya. Rasa seram sejuk terus bermaharajela dalam hati. Hendak masuk bilik dia seram, hendak masuk ke tandas pula dia geli-geleman. Sudahnya dia hanya terpaku di ruang tamu tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Jika diikutkan hatinya, mahu sahaja dia balik ke bilik hotel. Tapi tentu timbul masalah besar kalau pengawal-pengawal peribadi ayahnya sedang menantinya di situ.

Relaks Rafique, malam ni saja kau tidur kat sini. Hati kecilnya cuba memujuk. Perlahan-lahan dia menarik nafas lalu menghembusnya perlahan-lahan. Tapi bunyi-bunyian aneh yang didengarinya tidak mampu lagi membuatkan dia bertenang. Relaks kepala hotak kau Raff! Rumah ni sebiji macam cerita The Haunted Mansion yang dipenuhi dengan perkakas-perkakas usang yang bisa membuatkan bulu roma meremang. Takkan kau sanggup nak tidur kat sini sampai esok pagi? Itupun kalau kau boleh bangun pagi dengan nyawa yang masih dikandung badan!

Rafique merapatkan badannya ke atas sofa empuk. Dia memasang telinga. Macam-macam bunyi pelik ada kat luar tu. Jangan-jangan Pak Mud! Apakata kalau dia membayar lebihan RM50 lagi untuk menumpang tidur di rumah orang tua itu, agak-agak Pak Mud setuju tak? Secepat kilat, Rafique berlari ke arah pintu. Dengan tenaga baru, dia menguak daun pintu seluas-luasnya.

“Pak M...” Rafique terlopong. Melihat sepasang mata terbeliak memandang ke arahnya, dia terus bertindak. Pintu di hadapannya ditutup kembali. Dengan langkah longlai dia kembali ke arah sofa lalu duduk diam-diam di situ dengan bulu romanya sudah mencacak naik.

* * * *

Tepat seperti yang diduga, sebaik dia sampai ke rumah petang itu, Halijah sudah siap menantinya dengan seribu satu omelan yang terus disumbat-sumbat ke dalam telinganya. Berdesing juga telinganya mendengar Halijah tak habis-habis mengulang ayat yang sama. Telinganya sengaja dikatup rapat-rapat. Pura-pura tak mendengar bebelan wanita itu.

“Kamu ni nak jadi apa Tia? Balik lambat macam ni. Nanti kalau ayah kamu balik, kamu pulak macam ni, dikatanya aku tak reti jaga kamu di rumah ni.” Herdik Halijah. Dia hanya tersenyum simpul. Macam la dia jaga aku sangat! “Makcik nak makan apa malam ni?” Tanyanya selamba. Cuba mengalihkan topik perbualan wanita itu. Naik berkematu telinganya mendengar leteran Halijah yang tidak mahu habis.

“Tak payah! Malam ni aku dengan Karin dapat jemputan makan dekat rumah Datin Kalthom.” Ujar Halijah.

Wajah Tia berseri-seri mendengar kata-kata wanita itu. Wah ini sudah bagus! Malam ini kedua-duanya tidak ada, bermakna bertambah satu malam yang akan membuatkan dia tenang seketika.

“Bestnya makcik, Tia ikut boleh?” Pintanya selamba.

Halijah terpanar. Matanya sengaja dijegil besar-besar ke arah anak gadis itu. “Kamu nak ikut buat apa Tia? Majlis ni majlis orang-orang besar, tak sesuai dengan kamu. Lagipun kalau kamu ada, buat malu aku aje. Dah jangan nak mengada-ngada. Aku dengan Karin nak keluar sekejap lagi. Kalau kamu nak masak, jangan masak banyak-banyak sangat. Masak untuk kamu aje cukup. Tak pun kamu masak mee maggie je,” Panjang lebar Halijah memberi arahan.

Tia sekadar tersenyum. “Baik makcik, malam ni Tia makan maggie aje.” Ujarnya lalu mengangguk. Pura-pura patuh pada arahan wanita itu.

Halijah sempat mendengus lalu menghilang ke arah biliknya. Tia pula berjalan ke biliknya sendiri dengan wajah riang. Yes! Ada peluang nak bersuka ria malam ni. Ini yang ditunggu-tunggunya selama ini.

Malam itu selepas Halijah dan Karin meninggalkan rumah itu, Tia terus menelefon Pizza Hut. Malam itu dia merancang mahu melantak Pizza Hut sahaja sambil menonton filem. Hampir hendak ketawa dia mendengar pesanan Halijah yang kononnya tidak mahu dia masak banyak-banyak. Entah siapalah yang nak bersusah-payah memasak sekadar untuk mengenyangkan perut sendiri. Baik order pizza aje, lagi best!

Sementara menantikan Pizza Hut tiba, dia mengambil kesempatan mencari-cari saluran HBO untuk ditonton. Sesekali perutnya berdendang lapar. Dia tersenyum kecil! Sabarlah wahai perut, kejap lagi kita melantak pizza panas-panas!

Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Wajah Rafique melintas di ruang fikirannya. Dia baru teringat lelaki itu berpindah masuk dengan tangan kosong. Entah apa Rafique makan malam ini? Walaupun ada gerai mamak tidak jauh dari bangunan apartment Pak Mud itu, tapi malam-malam macam ni buka ke? Kasihan pula dia melihat lelaki itu. Tak sangka, muka handsome tapi hidup melarat!

Tapi peliklah! Wajah dan pakaian lelaki itu langsung tidak menunjukkan wajah orang yang sedang berada di dalam kesusahan. Sebaliknya wajah itu kelihatan selamba. Biasanya wajah orang yang terdesak, airmukanya merusuh dan muram. Pakaian lelaki itu pula nampak kemas. Kemeja yang dipakainya kelihatan baru dan mahal. Nampak segak sekali dipadankan dengan slack hitamnya.

Tia tersengih. Ni yang aku melalut ni kenapa? Lantak dialah nak pakai apa pun. Bukankah ada pepatah menyebut, biar papa asal bergaya. Hah mamat tu pun mesti spesies sama macam pepatah tu gambarkan. Tia ketawa sendiri. Belum sempat dia mahu melamun panjang, tiba-tiba dia terdengar loceng pintu pagar dibunyikan. Tia lekas-lekas berlari ke arah pintu. Melihat lelaki bertopi membawa sekotak pizza kesukaannya, hatinya terus melonjak riang. Dia sudah tidak peduli dengan lelaki yang ditolongnya sebentar tadi. Perut yang kelaparan harus dilayan terlebih dahulu.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!