Followers

Tuesday, November 23, 2010

Blue Sunset : Bab 9

ZAHAR menyentak-yentak dinding di belakang tempatnya bersandar dengan bahagian tumit kasut. Hampir sepuluh minit dia menanti di luar. Sesekali matanya berpaling ke arah bilik di hadapannya. Dari luar dia nampak sayup-sayup kelibat neneknya sedang bercakap-cakap dengan Aqi di dalam bilik tersebut.

Sebentar tadi dia masuk ke dalam bilik tersebut untuk menjengah ibu gadis itu. Itupun kerana neneknya yang memaksa. Tapi lima minit kemudian, dia sudah beredar terlebih dahulu. Bukan niatnya mahu berbuat begitu, tapi entah kenapa sebaik dia melihat ibu Aqi yang sedang terlantar, perasaannya tiba-tiba berbelah bagi. Ada rasa simpati, juga perasaan serba-salah. Malah ketika neneknya mengucapkan kata-kata berbaur pujukan untuk gadis itu, dia hanya mampu berteleku di suatu sudut. Sebaik matanya menangkap kilasan airmata di pipi Aqi, dia terus beredar dari situ. Sememangnya dia benci menghadap airmata seorang perempuan. Sebagaimana dia membenci dirinya sendiri yang lemah melihat tangisan seorang perempuan.

Tiba-tiba mata Zahar terpandang kelibat neneknya sudah bergerak ke arah muka pintu. Dia segera membetulkan posisi tubuhnya. Rukiyah keluar dari bilik itu dituruti Aqi di belakangnya. Zahar melarikan matanya ke arah Aqi yang kelihatan muram bagaikan baru sahaja dimarahi.

“Zahar, kamu balik dulu. Nenek ada hal dengan Aqi lepas ni.” Ujar Rukiyah seraya memandang cucunya. Dahi Zahar berkerut sebaik mendengar kata-kata wanita itu.

“Nenek nak ke mana? Zahar hantarkan? Lagipun kaki nenek tu kan masih sakit.” Ujarnya sambil cuba mengingatkan wanita itu tentang kakinya.

“Tak payah, aku balik dengan teksi aje.” Balas Rukiyah.

Zahar terdiam. Dia masih musykil dengan sikap neneknya yang dirasakan aneh kali ini. Dia merenung Aqi yang seakan-akan mengelak dari memandangnya. Serta-merta Zahar melepaskan keluhan. Mesti ada apa-apa ni! Mahu tak mahu dia terpaksa beralah. Lagipun dia tahu dia takkan berjaya mencungkil apa-apa pun dari neneknya itu.

“Kalau macam tu tak apalah, Zahar nak ke pejabat dulu. Kalau nenek perlukan apa-apa, jangan lupa call Zahar kat pejabat.” Pesan Zahar sebelum mula beredar dari situ.

* * * *

Pelbagai tanda-tanya terus menyerang Zahar biarpun selepas dia berada di Sri Anjung Design. Dia asyik termenung serba tidak kena di mejanya. Bukan sahaja soal neneknya yang difikirkannya, malah dia turut terkenangkan keadaan Aqi serta ibunya. Timbul rasa simpatinya apabila melihat gadis itu yang kelihatan sedih ketika di wad ibunya tadi.

Sendirian di biliknya, entah kenapa Zahar tiba-tiba terkenangkan peristiwa ketika dia dan Iman berada di rumah Aqi dua hari yang lalu. Ketika itu dia dapat menyaksikan sendiri betapa gadis itu kelihatan cukup akrab dengan ibunya. Kedua-duanya bergurau-senda dan ketawa tidak henti-henti ketika berbual-bual dengan Iman tempohari. Tentu gadis itu sedih dengan apa yang menimpa ibunya.

Ah! Yang aku sibuk-sibuk fikirkan fasal dia ni kenapa? Siapa dia pada aku? Zahar tiba-tiba mengguman sendiri lantas menggelengkan kepalanya. Dia menepuk dahinya beberapa kali, bagaikan cuba menghapuskan bayangan wajah Aqi di kotak fikirannya.

Bunyi ketukan singgah di pintu biliknya. Zahar kelam kabut membuka laptopnya yang belum terusik sejak dia datang tadi. Malulah kalau orang tengok dia berangan panjang macam baru lepas mati bini!

Wajah Iman menjenguk masuk dari celah pintu yang terbuka separuh. “Hai macam kena sampuk hantu aje,” Usik Iman apabila dilihatnya lelaki itu kelam kabut sedikit. Zahar tersenyum nipis, cuba menutup gugup yang datang bagai angin lalu.

“Takde maknanya aku nak kena sampuk hantu. Ni apasal tiba-tiba masuk bilik aku ni? Kalau kau nak design baru tu, aku belum buat final decision lagi dengan budak-budak aku.” Ujar Zahar.

“Tak adalah, saja nak jenguk kau. Ingat nak ajak kau keluar malam ni. Dah lama kita tak lepak-lepak kat kedai mamak kat Bangsar tu.” Sahut Iman seraya menarik sebuah kerusi lalu duduk di hadapan Zahar.

“Malam ni ya? Hmm..tengok dululah macam mana. Aku kena balik jenguk nenek aku kejap lagi.” Ujar Zahar.

“Apasal dengan nenek kau?” Iman tercengang.

“Kakinya terseliuh. Sebab tu aku lambat sikit sampai office tadi, aku pergi hantar dia ke hospital buat pemeriksaan.” Ujar Zahar.

“Amboi baiknya cucu nenek ni. Sayang betul kau kat nenek kau tu.” Iman tersengih-sengih memuji.

“Biasalah, dah tanggungjawab.” Balas Zahar selamba. Malas dia mahu memanjangkan kisah tentang neneknya yang cedera kerana nyaris dilanggar mat rempit. Tiba-tiba ingatannya kembali tertumpu pada Aqi. Dia memandang ke arah Iman. Ringan mulutnya mahu bertanya soal Aqi dengan Iman. Tahukah lelaki itu apa sebenarnya yang berlaku pada ibu Aqi?

“Iman, perempuan yang baru masuk kerja tu tak datang ke hari ni?” Soal Zahar, pura-pura tidak tahu. Dahi Iman segera berkerut sebaik mendengar pertanyaan Zahar. “Siapa yang kau maksudkan?”

Zahar mendengus. La dia ni, takkan tak faham kut siapa yang aku maksudkan. Getus Zahar separuh bengang. “Perempuan yang kau baru ambil kerja tu la, entah apa namanya.” Tukas Zahar.

Iman tersengih. Sebenarnya bukan dia tidak faham dengan kata-kata Zahar. Sengaja dia berpura-pura tidak faham untuk menduga hati lelaki itu. Lagipun dia sedar Zahar prejudis terhadap Aqi. Itu yang dia malas mahu mengungkit soal Aqi di hadapan lelaki itu.

“Dia minta cuti hari ni.” Jawab Iman akhirnya.

Zahar terdiam. Dia sudah tahu butiran itu. Yang dia mahu tahu apakah Iman juga tahu apa sebenarnya berlaku pada ibu gadis itu.

“Kenapa dia cuti?”

“Mak Aqi sakit, jadi aku rasa tak salah aku bagi dia cuti beberapa hari untuk temankan mak dia kat hospital tu.” Ujar Iman.

“Ada aku kata salah?” Jerkah Zahar tiba-tiba. Panas hati.

Terkelip-kelip mata Iman memerhatikan ke arah temannya. Wajah Zahar yang mencuka kelihatan lucu di matanya.

“Manalah tahu kut-kut kau nak salahkan aku sebab ambil pekerja yang belum mula kerja dah ambil cuti.” Ujar Iman, bagaikan faham benar apa yang terpeta di kepala Zahar sebelum ini. Senyuman kecil mula meleret di bibirnya.

Zahar terdiam. Tanpa sebarang suara, dia membuka paparan dokumen di hadapannya. Pura-pura memandang ke arah skrin laptopnya.

“Dahlah tu, aku nak siapkan kerja sikit ni. Jadi jangan ganggu aku buat kerja okey.” Ujar Zahar tanpa memandang ke arah Iman. Namun telinganya sempat menangkap bunyi gelak ketawa Iman.

“So malam ni confirm ya aku ambil kau kat rumah.” Pesan Iman sebelum beredar ke muka pintu. Zahar tercengang.

“Fasal ?”

“La kau ni, baru je cakap takkan dah lupa? Kan aku ajak kau keluar malam ni.” Tukas Iman beserta keluhan.

“Ya…ya, sorry aku lupa.” Zahar tersengih. Menyedari kesilapan sendiri. Apa sebenarnya yang aku fikirkan ni? Kenapa aku macam ni? Tiba-tiba sahaja wajah Aqi muncul di fikirannya. Dia menggelengkan kepala, bagaikan cuba menghapuskan wajah gadis itu yang terus bertamu di fikirannya. Dah gila agaknya aku ni! Rungut Zahar sendirian. Asyik-asyik muka budak perempuan yang lurus macam kayu itu juga yang muncul dalam kepala aku ni! Ni kena mandi air bunga ni, keluh Zahar seraya menyandarkan tubuhnya ke dada kerusi.

* * * *

Zahar terburu-buru mencapai tuala sebaik dia pulang petang itu. Janjinya mahu keluar bersama-sama Iman malam itu masih terpahat kukuh dalam ingatan. Dia harus cepat bersiap kerana Iman jenis lelaki yang tepat pada waktunya. Itu memang sikap Iman sejak mereka sama-sama belajar di universiti lagi.

Selalunya kalau mereka keluar bersama, mereka akan menghabiskan sepanjang malam melepak di warung mamak di Bangsar sambil menonton siaran bola sepak melalui pancaran skrin LCD. Selepas itu mereka akan singgah di uptown untuk mencuci mata melihat pakaian bundle yang banyak terjual di situ sehingga ke pagi.

Setelah selesai mandi, Zahar terus membuka almari pakaiannya. Niat di hatinya mahu memilih pakaian yang akan disarung malam nanti. Tapi sebaik dia menjengah isi almarinya, dia terpempan. Bulat biji masanya melihat ruang almari pakaiannya yang kosong. Aikk! Mana pergi pakaian-pakaiannya yang berlambak dalam almari ni? Takkan nenek lelong kut!

“Nenek! Nenek!” Lantang suaranya memanggil-manggil wanita itu. Tak lama kemudian, kedengaran bunyi tapak kaki wanita tua itu terkocoh-kocoh menghampiri kamarnya yang terbuka luas. Rukiyah menjenguk masuk dengan wajah kelat.

“Kenapa menjerit-jerit ni?” Soal Rukiyah separuh merungut. Dia sekadar berdiri di tepi penjuru pintu.

“Nek, mana baju-baju Zahar? Apasal semua baju dalam almari ni hilang? Nenek buang ya?” Mata Zahar mencerun tajam ke arah neneknya.

“Isk kamu ni Zahar. Apa kamu ingat nenek ni dah takde kerja lain ke sampai nak membuang baju-baju kamu tu? Ada baju-baju tu semua. Nenek dah pindahkan ke bilik bawah.” Sahut Rukiyah selamba.

“Apasal pulak?” Zahar tercengang.

“Mulai malam ni, kamu kena pindah ke bilik bawah. Nenek dah pindahkan semua barang-barang kamu ke bilik tamu di bawah.” Ujar Rukiyah tanpa menjelaskan maksudnya dengan lebih terperinci.

Zahar terduduk lemah di birai katilnya. Kepalanya dipanggung ke arah neneknya yang tersengih-sengih di hadapan muka pintu.

“Okey, sekarang ni nenek kena beritahu Zahar apa sebab nenek pindahkan semua baju-baju dan barang-barang Zahar ke bawah? Ini kan bilik Zahar.” Wajahnya merah padam. Dia inginkan penjelasan dan harap-harap penjelasan neneknya itu rasional dan munasabah kerana ketika ini, dia hampir naik gila.

“Sebab bilik ni akan jadi bilik untuk tetamu istimewa nenek. Dia akan tinggal kat sini dengan kita.” Balas wanita itu.

“Kalau ada tetamu sekalipun, nenek suruhlah dia tidur kat bilik tetamu kat tingkat bawah. Yang nak pakai bilik Zahar ni kenapa?” Bantah Zahar tidak puas hati.

“Tak boleh, bahaya. Nenek nak dia tidur dekat dengan bilik nenek.” Rukiyah tersenyum-senyum. Zahar semakin bingung. Semacam aje nenek aku ni. Takkan nenek ada skandal pulak?

Matanya mencerlung tajam ke arah Rukiyah yang asyik tersengih memanjang sedari tadi. Timbul rasa syak wasangka dalam dirinya. Entah kenapa sangkaan yang bertamu di fikirannya semakin menyala-nyala seiring dengan perasaan ingin tahu yang semakin membuak-buak.

“Sebenarnya siapa yang nak datang tinggal dengan kita ni? Nek Ma ke?” Tanya Zahar merujuk kepada adik neneknya yang tinggal di kampung mereka di Melaka.

“Bukan. Nanti dia datang kamu tahulah.” Rukiyah seakan berahsia.

Zahar mendengus keras. “Zahar tak peduli nek. Siapa yang nak datang pun tak apa, tapi janganlah pakai bilik Zahar. Banyak benda-benda penting ada dalam bilik Zahar ni.” Rungut Zahar tidak puas hati.

“Bukan lama sangat pun, sekejap aje. Lagipun aircond bilik bawah tu dah rosak, lupa nenek nak suruh ayah kamu baiki.”

“Oh sebab aircond rosak baru nenek nak suruh Zahar pindah ke bawah? Nenek lebih rela tengok Zahar kepanasan?” Tukas Zahar dengan wajah bengang.

“Ala kamu jangan bimbang, nenek dah taruk kipas angin besar kat bilik bawah tu. Gerenti kamu takkan panas. Cepat pindah bawah, kejap lagi tetamu nenek tu sampai.” Gesa Rukiyah.

“Tak mahu. Zahar takkan pindah walau macamana sekalipun.” Zahar berdegil. Suaranya tegas dan keras.

“Zahar…” Rukiyah sudah menjeling tajam.

“Kalau nenek paksa Zahar sekalipun, Zahar takkan setuju.” Getus anak muda itu lagi.

Rukiyah mengetap bibir bawah berulangkali. Geram dengan sikap Zahar yang tidak pernah mahu bertoleransi dengannya. Entah apa ikhtiarnya mahu membuatkan anak muda itu bersetuju? Lama Rukiyah berfikir, akhirnya dia tersenyum lebar. Jangan salahkan nenek sebab kamu yang paksa nenek, Zahar! Getus hati kecil Rukiyah.

“Takpe kalau kamu tak nak pindah ke bilik bawah tu. Tapi nenek akan bagitahu ayah kamu apa yang kamu buat masa kamu kat MRSM dulu.” Ujar Rukiyah.

Kata-kata Rukiyah memancing perhatian Zahar. Dia memandang neneknya dengan wajah bingung. Rukiyah sekadar tersengih!

“Kamu ingat nenek tak tahu yang kamu menipu kami masa kamu kata nak ke ikut rombongan sekolah kamu? Padahal sebenarnya kamu tak ikut pun rombongan tu. Kamu ingat nenek tak tahu kamu ke mana?”

Wajah Zahar terus berubah. Dia benar-benar tidak menyangka wanita itu tahu gerak gerinya selama ini. Siapa yang cerita?

“Kamu diam-diam jumpa dia tanpa pengetahuan kami kan?” Tanya Rukiyah sambil melirik ke arah cucunya yang semakin berubah rona wajahnya.

“Nenek jangan cerita hal ni pada ayah. Please.” Pinta Zahar. Nada suaranya rendah dan merayu. Wajahnya muram.

“Kenapa kamu rahsiakan hal ni Zahar?” Tanya Rukiyah ingin tahu.

Zahar terdiam. Tidak terucap apa yang ada dalam fikirannya ketika ini. Dia jadi serba-salah. Ketika itu dia memang di dalam emosi yang kritikal.

“Kenapa Zahar? Kenapa tipu kami?” Rukiyah masih inginkan jawapan dari cucunya. Zahar memandang neneknya. Deru nafasnya mendesah.

“Sebab Zahar teringin nak tengok dia nek.”

Rukiyah terdiam. Wajah cucunya ditatap lama.

“Zahar mahu tengok dengan mata kepala Zahar sendiri, sejauh mana dia bahagia dengan menghancurkan hati kita semua.” Sambung Zahar perlahan.

Rukiyah terkedu. Kata-kata anak muda itu ditelan dengan wajah gundah-gulana. Perlahan-lahan dia merapati cucunya. Merenung tepat ke dalam anak mata Zahar yang dilitupi mendung. Zahar membalas tatapan mata neneknya dengan pandangan berkaca.

“Semakin Zahar tengok dia bahagia, semakin Zahar membencinya nek. Sehingga Zahar pernah terfikir mahu menghancurkan kebahagiannya. Zahar mahu membuatkan dia menderita sama seperti yang Zahar dan ayah rasakan. Tapi hati Zahar tidak cukup kejam nek. Zahar dah cuba, tapi Zahar gagal.” Bisik Zahar sebak. Rukiyah mengeluh panjang. Bahu anak muda itu ditepuk perlahan.

“Dia dah ada anak lain nek. Zahar tidak bererti apa-apa lagi padanya.”

“Kamu tetap anaknya sampai bila-bila pun Zahar.” Sahut Rukiyah perlahan.

Zahar berpaling ke arah neneknya. Seperti dirinya, wanita itu turut muram mengenang kisah lampau yang membangkitkan kenangan pahit dalam keluarga mereka.

“Nenek masih membencinya?” Tanya Zahar ingin tahu.

Wanita itu berpaling. Secebis senyuman menghiasi wajah itu. “Bohonglah kalau nenek kata nenek tak pernah merasa apa-apa. Ya, nenek benci dengan apa yang dia buat pada anak nenek, pada cucu nenek yang masih kecil ketika itu. Sebab dia, kamu membesar tanpa seorang ibu. Itu yang buat nenek marah. Tapi kerana dia juga, nenek berpeluang jaga kamu. Itu pengalaman yang cukup indah bagi nenek, tengok kamu membesar depan mata nenek.”

Zahar terdiam. Kata-kata neneknya meruntun emosinya tanpa sedar. Dia memeluk tubuh wanita itu dengan mata terpejam rapat. Dia tahu wanita itu sedang mententeramkan perasaannya.

Rukiyah tersenyum. Hati tuanya tersentuh jua dengan tindakan Zahar malam ini. Gembira pun ada kerana malam ini Zahar sanggup berterus terang dengannya. Sudah lama dia mahukan anak itu berterus terang melepaskan sengsara dalam diri. Tapi selama ini sikap Zahar sering tertutup ketika berbicara soal ibunya. Hanya malam ini anak muda itu sudi melepaskan segala-galanya yang membelenggu dirinya.

“Jadi macamana?” Tanya Rukiyah tiba-tiba.

Zahar membuka kelopak mata. Rangkulan di tubuh neneknya dilepaskan. Dia merenung wajah di hadapannya dengan airmuka bingung.

“Macamana apa?”

“Boleh tak kamu pindah ke bilik bawah?”

Zahar terpempan. “Nenek!” Jerit Zahar dengan wajah mencuka. Rukiyah hanya mampu ketawa terbahak-bahak melihat reaksi cucunya yang kembali memanas.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!