Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 18


            Selepas waktu pejabat, Nashriq bergerak semula ke hospital. Dia ingin melawat gadis itu. Dua hari sudah dia tidak sempat melawat Suraya yang kian pulih. Ini disebabkan dia terdengar ura-ura kakitangan pejabat itu yang merancang mahu melawat gadis itu diketuai oleh Katrina, setiusaha ibunya.

            Nashriq sempat membeli sejambak bunga ros segar di Florist berdekatan sebelum memandu ke arah kawasan hospital. Setelah dia meletak kereta di parking bersebelahan bangunan hopsital, dia segera melangkah masuk ke hospital swasta itu.

            Sementara menunggu pintu lift terbuka, mata Nashriq ralit memerhatikan ke arah orang ramai yang berpusu-pusu keluar dari lift yang satu lagi. Lama matanya terpaku di situ. Sekali lagi dia terkejut melihat wajah itu sedang berbual-bual dengan seorang lelaki berpakaian serba putih, sambil beriringan keluar dari lift.     

Dahi Nashriq berkerut. Kedua-duanya nampak mesra. Sesekali jemari lelaki itu menguis rambut si gadis. Gadis itu hanya membiarkan. Nashriq tersengih. Amboi, mesra nampaknya. Entah mengapa Nashriq tiba-tiba teringat peristiwa di Blue Ocean minggu sudah, bagaimana gadis itu menolak tubuhnya.

            Dia mula terfikirkan sesuatu. Apakah gadis itu sengaja berpura-pura suci di hadapannya? Mungkin dia sengaja mahu menjerat aku. Malah lelaki-lelaki yang dikatakan mahu mengejarnya hanya satu pembohongan yang sengaja direka untuk mengelabui mataku. Mungkin juga semua ini sudah dirancang sejak awal-awal lagi.

            Mata Nashriq masih mengawasi kelibat gadis itu dan pasangannya. Memandang wajah doktor yang bersama gadis itu, dahi Nashriq berkerut. Dia baru teringat, itulah doktor muda yang merawat Suraya kali pertama dahulu. Tapi apa hubungan doktor itu dengan gadis itu? Pasangan kekasihkah? Tak mungkin seorang doktor akan tertarik dengan pelayan kelab seperti itu. Atau mungkinkah dia sama seperti aku? Tertipu dengan wajah ‘innocent’, dengan sepasang mata yang memukau sesiapa sahaja yang memandang.

            Tanpa dia sedar, kakinya terus mengekori pasangan itu. Sampai di hadapan pintu utama, pasangan itu berhenti. Nashriq melihat doktor itu berbisik sesuatu di telinga gadis itu, sebelum langkah kaki gadis itu mula diatur. Kedua-duanya sempat berbalas senyuman sebelum berpisah di hadapan lobi hospital.

*  *  *  *

            Dari jauh, dia melihat gadis itu memasuki sebuah kedai buku. Dia diterpa rasa hairan. Apa gadis itu buat di situ. Hendak membeli bukukah? Bibirnya mula menguntum senyum. Agaknya hendak mencari buku bagaimana mahu memikat hati lelaki barangkali, bisik Nashriq nakal.

Dia sendiri tidak tahu, kenapa tiba-tiba sahaja dia tergerak hati mahu mengekori gadis itu. Asalnya dia mahu bertemu Suraya, tapi tiba-tiba sahaja dia melencong ke arah lain. Bunga untuk Suraya tadi entah di mana dicampakkannya. Baginya, dia tidak mahu melepaskan peluang mengekori gadis itu. Dia benar-benar ingin tahu helah gadis itu sebenarnya.

“Saya penyanyi encik dan bukannya pelayan di sini.” Kata-kata gadis itu tergiang-giang di telinganya. Nashriq tersenyum. Bodohnya dia kerana sedikit sebanyak, dia terpedaya juga dengan tutur kata lembut itu. Sedangkan sepatutnya dia tahu, gadis seperti itu selalunya pandai menjerat mangsa. Mujur aku tidak jauh terperangkap, bisik hati kecilnya.

Hampir sejam menanti di luar, Nashriq mulai bosan. Kenapa dia tidak keluar-keluar lagi? Perlukah aku masuk dan mencari gadis itu? Nashriq mengeluh panjang. Dia keluar dari keretanya lalu melangkah ke arah sebuah kedai buku yang boleh tahan besarnya.

Seorang wanita sedang asyik membaca di kaunter ketika dia menjengah masuk. Kedai itu kelihatan tidak ramai pengunjung waktu-waktu begitu. Mata Nashriq leka memerhatikan di setiap penjuru kedai, namun wajah yang dicari tak kunjung tiba. Dia mula hairan. Mustahil dia boleh hilang begitu saja. Rasanya matanya masih belum rabun jauh. Dia yakin dan pasti, gadis itu memang masuk ke kedai buku itu.

“Encik nak cari buku apa?” Tegur wanita yang berada di kaunter. Hairan kerana melihat dia tercegat serba tidak kena.

Nashriq segera menghampiri wanita itu. “Kak, tumpang tanya. Kakak ada nampak tak seorang perempuan, badannya kecil-kecil saja masuk ke sini tadi. Kalau tak salah, dah hampir sejam dia masuk ke mari.” Soal Nashriq.

Wanita itu tergaman. Entah kenapa pertanyaan Nashriq dirasakan agak pelik. Dia memandang lelaki itu agak lama.

“Tak perasan pula saya. Cuba encik cari di tingkat atas, mungkin ada kot.” Ujar wanita itu. Nashriq tercengang. Tingkat atas? Pantas kepalanya didongakkan memandang ke arah anak tangga yang dia sendiri tidak sedar wujud.

Perlahan-lahan kakinya diatur melangkah naik. Kagum juga dia dengan pemilik kedai buku itu yang pandai menyusun atur ruang kedai itu yang nampak luas.

            Sebaik kaki Nashriq sampai ke tingkat atas, dia masih mencari-cari kelibat gadis itu. Tak ramai pengunjung di tingkat itu, hanya beberapa orang sahaja. Dia segera melewati setiap penjuru rak. Matanya tajam mengawasi setiap wajah yang dilewatinya. Sampai di rak ke tiga, Nashriq menghentikan langkah.

            Seorang gadis duduk berlunjur kaki sambil membaca sebuah buku. Matanya ralit membaca sehingga tidak sedar perlakuannya diintai sepasang mata. Nashriq tidak berniat mahu menyapa. Lama matanya menatap ke arah gadis itu.

            Gadis itu tiba-tiba menguap. Rambut yang terjuntai di dahinya disisir dengan satu anak jari. Nashriq terpegun sejenak. Entah kenapa perlakuan gadis itu membuatkan dadanya berdebar-debar. Dia keliru sekaligus bingung. Kenapa aku seringkali merasakan sesuatu yang aneh setiap kali memandangnya? Wajah gadis itu mengingatkan dia pada seseorang. Malah gerak gerinya juga sama. Dulu Raihana juga begitu setiap kali membaca. Sudah lekat tabiatnya akan mengusik rambut yang terjatuh di dahi dengan anak jari telunjuk. Tak mungkin dia….ah kenapa dia berfikir yang bukan-bukan. Sudah dua kali dia menduga begitu. Tak mungkin gadis itu Raihana.

            “Duha!” Jeritan seorang wanita singgah di telinganya. Nashriq menoleh. Wanita yang berada di kaunter tadi terkedek-kedek mendapatkan gadis itu. Gadis itu tergelak kecil.

            “Kenapa kak Syafa tak panggil Duha turun? Berat tak kotak tu?”

            Wanita itu tertawa. “Berat apanya. Duha tak nampak badan kak Syafa ni berapa kilo. Setakat kotak macam ni, sepuluh pun kakak boleh angkat.”

            Gadis itu tertawa, menampakkan lesung pipit yang terukir indah. Sekali lagi hati Nashriq terusik. Namun dia masih leka memerhatikan keduanya.

            “Duha dah habis kemas buku-buku yang kakak bagi kelmarin? Hari ni sampai lagi sekotak. Kalau tak muat kat sini, Duha susun dekat rak yang satu lagi ok.” Suruh wanita itu.

            “Ini semua buku-buku baru ya kak? Tadi Duha baru baca separuh novel Sidney Sheldon. Novel baru dia best! Kakak patut cuba.”

            “Nantilah Duha. Kakak tak ada masa nak membaca. Kalau kakak dah mula membaca, baby kat rumah tu tak terjaga pulak nanti.” Syafa tertawa. Duha Maisara turut tergelak. Lucu dengan alasan yang diberi Syafa.

            “Duha minta maaf sebab dah beberapa hari tak datang kerja. Kasihan kakak kena uruskan kedai ni seorang diri.” Keluh Duha Maisara.

            “Kakak tak kisah. Lagipun si Ezad dengan Rina boleh bantu kakak. Apa yang kakak mahu, Duha selesaikanlah masalah Duha tu dulu. Jangan bawa masalah tu masuk dalam kedai buku ni. Dekat dalam ni, yang Duha perlu buat adalah bergembira setiap masa dengan semua buku-buku yang ada di kedai ni.” Ujar Syafa.

            Duha Maisara tersenyum. Dia benar-benar terharu dengan kata-kata Syafa. Majikannya itu memang terlalu baik buatnya. Dia beruntung memiliki Syafa bukan sahaja sebagai bosnya, malah juga sebagai teman. Sebaik Syafa beredar, Duha Maisara meneruskan kerjanya. Novel Sidney Sheldon ditolak ketepi buat sementara. Dia hanya akan membaca setelah kerjanya selesai. Tanpa Duha Maisara sedar, sepasang mata begitu asyik mengintip gerak gerinya sedari tadi.

*  *  *  *

            Erman sedikit terkejut apabila mendengar Nashriq menghempas pintu agak kuat. Dia menoleh. Anak muda itu melewatinya lalu langsung beredar ke biliknya. Wajah Erman berkerut. Apahal pulak kali ni? Dia tertanya-tanya sendiri. Ingin dijenguk lelaki itu, dia bimbang mood Nashriq dalam keadaan tidak baik. Sudahnya Erman membatalkan hasrat hati. Jangan diganggu orang yang tak mahu diganggu. Itu prinsip hidup Erman sejak dulu.

            Nashriq merungkaikan tali leher yang dipakainya. Dia menghempaskan tubuhnya ke arah tilam empuk. Selesa rasanya dapat pulang ke rumah. Matanya dipejamkan, sambil sebelah tangan memegang dahinya.

            Wajah gadis itu bermain semula di fikirannya. Dia sendiri tidak tahu kenapa sejak akhir-akhir ini, wajah itu kerap hadir dalam ingatannya. Fragmen-fragmen wajah gadis itu kian hari bercantum jadi satu. Meskipun hatinya sering mengingatkan dirinya sendiri siapa gadis itu, tapi entah kenapa matanya tidak mahu lepas dari wajah itu.

            Duha Maisara. Namanya indah seperti orangnya. Ketika mendekati kaunter di kedai buku tadi, dia sengaja menjenguk ke arah buku log pekerja. Nama Duha Maisara tercatit di situ. Mujur wanita yang sering menjaga kaunter tidak perasan dengan perbuatannya.

            Nashriq mengeluh panjang. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia berbuat begitu. Kenapa dia begitu ingin tahu nama gadis yang membuatkan hatinya jadi resah. Berulangkali dia melarang dirinya dari menyebut atau mengingati wajah itu, tapi hatinya seakan engkar.

            Siapa dia sebenarnya? Kenapa dia bekerja di kedai buku itu pada siang hari dan malamnya pula berada di Blue Ocean? Apakah dia benar-benar GRO di kelab itu? Pelbagai pertanyaan mengasak perasaan ingin tahu Nashriq. Dia teringat doktor muda yang ditemuinya bersama Duha Maisara. Siapa pula lelaki itu?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!