Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 27


            Suraya menghirup kopi di cawannya sebelum meletakkannya kembali di atas meja kecil. Matanya masih memandang ke arah wanita yang sedang berbual dalam telefon. Sesekali ketawa wanita itu meletus, membuatkan Suraya sedikit gugup. Keyakinan wanita itu entah mengapa membuatkan dia pula kurang keyakinan diri. Apatah lagi wanita di hadapannya itu bukan calang-calang orangnya. Wanita itu adalah pemilik empayar Mega Timur warisan Tuan Zainal Ikram yang dihormati ramai.

            Sebaik Engku Latifah menyudahkan perbualannya, mata wanita itu pantas mencari wajah Suraya. Anak gadis itu sekadar tersenyum.

            “Maaf, tadi tu panggilan dari rakan niaga auntie.” Ujar Engku Latifah.

            “Tak apa auntie, saya faham.” Balasnya lembut.

            “Sue betul-betul dah sihat ni? Auntie bukannya apa, auntie takut kalau beban kerja Sue bertambah, sakit Sue boleh datang semula.” Ujar Engku Latifah.

            “Taklah auntie, saya tak kisah. Lagipun saya betul-betul dah sihat sekarang ni. Maaf sebab kerana saya, buat auntie dan Nashriq risau.” Ucap Suraya serba salah.

            “Tak apa-apa Sue. Auntie yang patut minta maaf sebab kerana Nashriq, Sue jatuh sakit. Tapi auntie nak Sue tahu yang Naz tu tak pandai meluahkan perasaan. Apa yang dia ucapkan selalunya tak sama dengan apa yang difikirkannya. Auntie harap Sue boleh memahaminya.”

            Suraya terdiam. Kata-kata Engku Latifah ditelan dengan perasaan gembira. Memang hasrat hatinya ingin mendekati Nashriq, memahami lelaki itu. Namun dia sendiri tidak tahu bagaimana caranya. Nashriq sukar didekati, sukar diajak berbual, sukar juga meluahkan perasaan hati. Sikap lelaki itu benar-benar sukar dibaca.

            “Sue tentu dah maklum kan dengan hasrat auntie?” Engku Latifah bertanya.

            “Hasrat apa auntie?” Dia mengerutkan dahinya. Hairan.

            “Sebenarnya auntie berkenan benar dengan Sue. Niat hati auntie, kalau boleh auntie nak Sue dan Nashriq berkenalan dengan lebih rapat. Kenal hati budi masing-masing. Dan selepas itu, kita boleh bincangkan soal pertunangan kalian berdua.”

            Suraya tersentak. Pertunangan? Jadi betullah kata-kata Nashriq tempohari tentang soal pertunangan yang dibangkitkan oleh wanita itu? Patutlah wajah Nashriq ketika itu marah benar. Dia pula langsung tidak tahu apa-apa.

            “Kenapa Sue diam? Sue tak sukakan Nashriq?” Duga Engku Latifah, agak bimbang.

            “Bukan begitu auntie. Sebenarnya saya memang sukakan Nashriq, hanya…hanya Nashriq yang tak mungkin menyukai saya. Lebih-lebih lagi sekarang, bila dia tahu yang badan saya tak sihat sejak kecil.” Ujar Suraya perlahan.

            “Siapa kata Naz tak sukakan Sue. Auntie tengok bila Sue tak sedarkan diri dulu, hampir tiap-tiap hari dia datang melawat. Kalau bukan tandanya suka, apa pula?” Engku Latifah tertawa.

            Suraya terdiam. Dia memang maklum dengan kedatangan Nashriq. Malah abangnya Sachary tak habis-habis bercerita tentang Nashriq yang kerap mengunjunginya ketika dia dalam koma. Sedikit-sebanyak hatinya rasa terhibur dengan berita itu. Malah jauh di sudut hati, meskipun  cerita-cerita abangnya itu hanya satu dusta, sekadar untuk menyedapkan hatinya, maka dia juga akan menerimanya dengan senang hati. Baginya tiada yang lebih bahagia dari sedikit perhatian yang Nashriq berikan padanya.

*  *  *  *

            Suraya memandang bakul sederhana besar di tangannya. Entah kenapa saat dia memilih roti di Big Bunny tadi, hatinya seakan tidak keruan. Rindunya terhadap Nashriq melepasi sempadan. Hampir seminggu tidak bersua muka, dia jadi seperti orang mabuk kepayang, rindukan lelaki itu.

            “Pergilah jenguk dia, ini alamat apartment dia.” Usul Engku Latifah itu tadi, membuatkan hatinya lebih merasa bahagia. Tanpa berfikir panjang, dia terus bergegas ke apartment lelaki itu dari Big Bunny. Tujuannya hanya satu. Bertemu dan melepas rindu pada lelaki itu. Juga ingin dikhabarkan perasaan hatinya yang kian hari semakin menyukai Nashriq. Malah dia juga ingin mengucapkan terima kasih kerana lelaki itu masih sanggup membawanya ke hospital ketika itu.

            Sebaik kakinya melewati pintu apartment itu, dadanya tiba-tiba sebal. Langkah kakinya tiba-tiba jadi kaku. Dia mula terfikir, mungkin kedatangannya sebenarnya tidak tepat. Entah apa fikiran Nashriq jika melihatnya tiba-tiba terpacul di situ. Dia berpaling ingin pergi. Serentak itu juga pintu lift di belakangnya tiba-tiba terbuka.

            Suraya berpaling. Dia tergaman melihat Nashriq melangkah keluar dari pintu lift dengan wajah kusam. Melihat Suraya yang tercegat memandangnya, langkah lelaki itu terhenti. Dia memandang anak gadis itu. Suraya melemparkan kuntum senyuman.

            “Baru balik?” Tegur gadis itu.

            Nashriq tidak menjawab. Dia melangkah selamba di hadapan Suraya. Kad kuncinya dikeluarkan dari saku seluar, lalu dimasukkan dalam lubang kunci. Sesaat kemudian, pintu di hadapannya terbuka. Dia memandang ke arah Suraya sebentar.

            “Masuklah,” ujar Nashriq perlahan.

            Suraya tersenyum. Tadi disangkanya, lelaki itu tidak sudi menjemputnya masuk. Dia pantas membawa masuk bakul roti, mengekori langkah Nashriq.

            Erman yang sedang santai menonton televisyen turut terkejut dengan kehadiran Suraya. Pantas dia bangun.

            “Cik Suraya?” Tegur Erman tersengih.

            “Abang Erman apa khabar?” Sapa Suraya pula membahasakan ‘abang’ pada lelaki itu. Lagipun dia sering mendengar Nashriq memanggil Erman dengan panggilan abang.

            “Baik. Duduklah,” ucap Erman mempelawa. Dia mengerling Nashriq yang turut memandangnya. Seakan mengerti sesuatu, Erman tiba-tiba sahaja meminta diri masuk ke biliknya. Malah lelaki itu sempat mengenyitkan mata ke arah Nashriq.

            “You nak minum apa-apa?” Tanya Nashriq.

            “Hmm, apa-apa saja. I tak kisah.” Jawab Suraya. “Oh ya, I ada belikan you dengan abang Erman roti di Big Bunny tadi. Hope you will like it.” Tiba-tiba sahaja Suraya teringat bakul roti yang dibawanya tadi. Dia pantas membawa bakul roti itu lalu diletakkan di atas meja makan. Nashriq sekadar melirik ke arah bakul roti itu tapi tidak berkata apa-apa.

            “You rancang nak tinggal di apartment ni sampai bila?” Tanya Suraya sambil meneliti ruang sekitar apartment lelaki itu yang nampak simple.

            “Entahlah, tapi I suka tinggal di sini. Waktu mula-mula sampai, I tinggal di hotel. Seminggu selepas itu baru kami pindah ke mari. Apartment ni milik ayah I. Kebanyakan dekorasi dalam apartment ni, dia yang pilihkan.” Jelas Nashriq sambil membawa dua gelas jus oren ke ruang tamu. Segelas jus dihulurkan ke arah Suraya.

            Gadis itu menghirup sedikit minumannya, sebelum meletakkannya kembali ke atas meja. Dia memandang Nashriq yang kelihatan tenang. Wajah itu sama macam dulu. Tidak banyak reaksi. Tapi kerana sifat lelaki itu begitulah, maka hatinya tertarik. Suraya tahu, mungkin sukar untuk dia mencairkan sekeping hati yang beku itu, tapi demi Nashriq dia rela bersabar.

            “Naz, I nak minta maaf pada you.” Ucap Suraya perlahan.

            Nashriq terpana. Pantas matanya dilarikan ke wajah Suraya. Kata-kata gadis itu membuatkan fikirannya bercambah.

            “I nak minta maaf sebab kerana I, you susah hati. I tak bermaksud nak buat hati you bimbang.”

            “You tak ada salah apa-apa pun. I yang sepatutnya minta maaf sebab terlalu banyak sakitkan hati you. Tapi ini perangai I yang memang I tak boleh ubah. Kalau ada cakap-cakap I yang menyakitkan hati you, I nak you lupakan saja.”

            “Jadi you tak bencikan I?” Hati Suraya bersorak gembira.

            “Benci you? Kenapa I nak bencikan you pula?” Giliran Nashriq bertanya sambil tergelak kecil.

            “Yalah, tempohari kan you kata I suka permainkan lelaki. Gadis nakal. Tapi sebenarnya, itu bukan sikap sebenar I. I buat semua tu sebab…” Kata-kata Suraya terhenti. Dia menggigit bibir. Berat hatinya mahu meluahkan segalanya.

            Nashriq tersenyum tenang. Dia tahu apa yang mahu diucapkan oleh gadis itu. Malah dia sudah mengerti sebabnya sejak awal-awal lagi.

            “You tak perlu jelaskan apa-apa Sue. I faham semuanya. Tapi lepas ni I harap, you kena berhenti buat semua ini. Bukan semua lelaki itu sanggup terima permainan you tu. Lambat laun, you yang akan terkena.” Nasihat Nashriq. Suraya hanya mengangguk. Lega rasanya dapat berbual dengan lelaki itu. Nashriq ternyata tidak seperti apa yang digambarkan dalam kotak fikirannya. Diam-diam dia akui lelaki itu memang baik hati. Zahirnya sahaja yang nampak sombong.

       “So, kita berkawan mulai sekarang?” Suraya menghulurkan tangannya.

       Lama anak mata Nashriq tertancap pada huluran tangan anak gadis itu. Akhirnya perlahan-lahan, tangannya turut dihulurkan. Kedua-duanya saling berjabat tangan, tanpa menyedari sepasang mata asyik mengintai dari celah bilik. Erman tersenyum simpul. Senang hatinya melihat  kedua-duanya tidak lagi berlaku salah faham seperti sebelumnya.

*  *  *  *

            “Mami bukan tak mahu tolong kau Duha, tapi Mami tak ada duit sebanyak tu. Lagipun Bustaman nak buat apa dengan duit sebanyak tu?” Soal Mami Jun. Dia memandang ke arah Duha Maisara yang nampak muram.

            “Kau pun satu Duha, ikut sangat apa yang dia hendak. Entah-entah dia mahukan dia tu untuk berjudi sana sini.” Duga Mami Jun, separuh geram.

            “Duha nak tolong ayah selesaikan hutang Mami. Duha perlu sangat duit tu, tak banyak pun sedikit.” Rayu Duha Maisara. Dia benar-benar buntu sekarang. Tempoh untuk dia mengumpul duit hanya tinggal satu hari saja lagi. Sebelum berjumpa Mami Jun, sudah puas dia ke sana ke mari meminjam wang dari kenalannya. Namun tak ada sesiapapun yang mahu memberinya pinjam.

            “Mami bukan tak mahu pinjamkan Duha, tapi hutang yang dulu belum habis berbayar. Mami ni berniaga Duha, duit sebanyak tu boleh menghidupkan kelab ni untuk beberapa bulan tau.”

            “Tolonglah Mami, Duha dah habis ikhtiar.” Rayu gadis itu tak putus-putus.

            Mami Jun terdiam. Dia bukan tak kasihankan gadis itu, tapi berniaga macam dia ada peraturan. Duit kelab tak boleh digunakan sesuka hati. Lagipun Duha Maisara sendiri yang tidak mahu terikat dengan kelab itu.

            “Duha, Mami hanya menguruskan kelab ni. Kelab ni milik bos mami. Kalau dia tahu mami guna duit kelab untuk bantu Duha, tentu dia paksa Duha bekerja di sini sampai bila-bila untuk langsaikan hutang. Dah ramai gadis-gadis yang bekerja di sini sebab berhutang dengan bos mami tu. Mami sukakan Duha. Mami tahu Duha budak baik, sebab tu mami tak mahu Duha terjebak terus di sini secara paksa.” Ujar Mami Jun.

            Duha Maisara terkedu. Tutur kata wanita itu membuatkan hatinya terharu.

            “Mami masa muda dulu terpaksa bekerja dalam kancah maksiat semata-mata nak sekolahkan adik-adik mami. Tapi sampai sekarang mami tak pernah beritahu mereka kerja mami yang sebenar. Mami takut mereka malu mengaku mami ni kakak. Tapi jauh di sudut hati mami, kalaulah waktu itu mami ada peluang kedua, mami akan tinggalkan terus dunia kelab. Sebab tu mami tak mahu Duha jadi macam mami. Sekali kita terjerumus Duha, sampai bila-bila pun kita takkan dapat cari jalan keluar.” Nasihat wanita itu lagi.

            Duha Maisara menarik nafas berulangkali. Namun nafas yang dihelanya terasa  berat. Dia sudah habis ikhtiar. Tapi dia tidak salahkan Mami Jun. Wanita itu ikhlas membantunya. Kadangkala dia terfikir, kata-kata wanita itu memang ada benarnya. Sekali dia terjebak, maka selama-lamanya dirinya akan terus terperangkap.

            “Ala dah namanya bekerja di kelab malam, biar sesuci mana pun kau, orang tetap akan memandang serong.” Dia teringat kata-kata Mimi, salah seorang GRO di kelab itu beberapa bulan yang lalu.

            Tapi itu kata Mimi. Tapi baginya pula, mempertahankan kesucian adalah perkara utama yang harus dilakukannya di tempat seperti Blue Ocean. Biar ramai orang memandang serong padanya, namun selagi dia tahu dirinya masih suci dan bersih seperti sebutir kapas, maka dia turut yakin, Allah juga akan mengasihaninya.

            Terburu-buru Duha Maisara meredah orang ramai. Dia hendak segera mengambil barang-barangnya di bilik persalinan. Hari sudah semakin lewat. Dia harus bergegas pulang.

            “Duha, kak Ina nak jumpa kau,” jerit salah seorang pelayan di situ. Duha Maisara mengangguk seraya melangkah ke suatu arah. Tiba-tiba tubuh Duha Maisara hampir tersembam ke hadapan. Muncul suatu tangan yang entah dari mana menariknya. Dia tergaman. Serentak dia berpaling.

            Seorang lelaki separuh usia tersengih memandangnya. Di sisi lelaki itu, seorang wanita berketurunan Cina memandang tajam ke arahnya. Melihat kedua-duanya, darahnya tiba-tiba menyirap. Kakinya seolah-olah dipaku ke lantai. Dia resah tiba-tiba.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!