Followers

Wednesday, November 3, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 39

SUDAH beberapa kali dia asyik berulang-alik di hadapan bilik Hazril. Hana yang sedang menjawab panggilan telefon sesekali memandang ke arah Syed Rahim. Hairan melihat wajah yang nampak resah itu. Kenapa agaknya orang tua ni?

“Bos masih bermesyuarat. Kalau Tuan Syed tunggu kat sini, saya tak pasti bila bos selesai. Apa kata kalau Tuan Syed balik dulu, selesai nanti saya call Tuan Syed.” Hana memberi cadangan. Bukan apa, sebenarnya dia rimas melihat lelaki itu mundar-mandi di hadapannya.

Tanpa berkata sepatah pun, Syed Rahim segera berlalu ke biliknya. Dia keresahan sehingga terlepas pandang Julia yang kebetulan baru keluar dari restroom. Anak gadis itu mengerutkan dahinya.

“Apa daddy I nak Hana?” Dia bertanyakan Hana yang masih memandang kelibat Syed Rahim.

“Tuan Syed nak jumpa bos.”

“Jumpa Hazril? Tapi kenapa?” Julia semakin hairan. Hendak apa lelaki itu dengan Hazril waktu-waktu begini?

“Entahlah, saya tak tahu Cik Julia. Tuan Syed menunggu sejak pagi tadi, tapi bos masih belum selesai mesyuarat. Sebab itu saya minta Tuan Syed balik ke pejabatnya dulu.” Hana memberitahu.

Lama juga Julia tercegat di situ. Dia asyik memikirkan sesuatu. Entah kenapa, sikap ayahnya hari ini agak ganjil. Sejak di meja makan pagi tadi, lelaki itu juga tidak banyak berbual seperti selalu.

Syed Rahim keresahan menanti di biliknya. Dia harus berjumpa Hazril secepat yang mungkin. Dia mahu melihat keadaan lelaki itu. Sebaik dia menjejakkan kaki di pejabat pagi tadi, banyak desas-desus yang didengarnya mengenai peristiwa yang berlaku di Perkasa Budi beberapa hari yang lalu. Malah dia tambah terkejut apabila mengetahui Hazril turut tercedera kerana bergelut dengan penceroboh yang tak dikenali. Nalurinya segera mengesyaki penceroboh itu adalah orang suruhan isterinya yang dihantar untuk mendapatkan sebut harga Megah Corps.

Seburuk-buruk dia pun, dia masih kenangkan anak saudaranya itu. Dan dia tidak sanggup melakukan sesuatu sehingga mencederakan Hazril. Dia mungkin tamak, tapi dia tidak sejahat itu. Mengenangkan keadaan Hazril sekarang, Syed Rahim dihimpit kekesalan yang berpanjangan. Dayusnya dia kerana asyik mengikut telunjuk isteri. Kerana kelemahannya itulah, Syarifah Asmah sampai berani melakukan sesuatu sesuka hatinya.

* * * *

Aliya asyik termenung sehingga tidak sedar masa berlalu begitu pantas. Dia risau sebenarnya. Sudah beberapa hari dia tidak nampak batang hidung Hazril di pejabat. Hatinya teramat ingin tahu keadaan lelaki itu. Harap-harap kecederaan lelaki itu tidak serius.

Sejak kejadian yang menimpa dirinya tempohari, dia sering mendengar cerita-cerita itu dijadikan topik perbualan hangat pekerja-pekerja di Perkasa Budi. Semuanya membuat pelbagai andaian dan mereka-reka cerita yang pelbagai versi dari sudut pandangan masing-masing.

Dia merasa lega kerana namanya tidak dikaitkan dengan cerita-cerita itu. Malah sejak awal-awal lagi, Hazril berpesan agar dia tidak mendedahkan kehadirannya di Perkasa Budi malam itu. Aliya tahu semua yang dilakukan oleh Hazril adalah untuk menjaga nama baiknya. Dan dia amat terhutang budi kepada lelaki itu.

Entah mengapa, dia dapat merasakan Hazril seperti sedang mengalami masalah. Semalam tak disangka-sangka, Ikram berjumpanya di pejabat. Banyak yang ditanyakan lelaki itu mengenai fail Megah Corps. Tapi apabila dia memberitahu Ikram, fail itu tersimpan rapi di dalam peti besi di biliknya, Ikram kelihatan lega. Lelaki itu segera membuka peti simpanannya dan mengeluarkan fail tersebut. Tapi apabila helaian demi helaian dokumen di dalam fail itu disemak, mereka dapati ada yang tidak lengkap dengan fail itu. Beberapa helai kertas dari dalam fail didapati hilang.

Apabila dia bertanyakan hal itu, Ikram hanya mengelengkan kepala. Lelaki itu menyuruhnya supaya tidak usah bimbang. Tapi hati kecil Aliya tetap mengatakan ada yang tidak kena dengan fail tersebut. Tapi apa dia? Apakah ia ada kaitan dengan lelaki yang menceroboh syarikat itu dan mengugut dirinya?

* * * *

“Macamana Aliya? Agak-agak, sesuai tak jambangan bunga ni diletakkan di sini?” Irina bertanyakan pendapat gadis itu. Matanya asyik memerhatikan jambangan bunga yang baru dihantar dari kedai Aneka Flora sebentar tadi. Dia yang meminta kedai itu menghantar contoh jambangan bunga itu untuk melihat, adakah ia sesuai diletakkan di ruang kosong di tengah dewan.

“Nampak macam serabut sikit, sebab duduknya di tengah-tengah.” Aliya memberi pandangan sejujurnya.

“You think so?”

“Cik Irina, kenapa kita tak buat satu landskap air terjun kecil kat situ. Letak lampu-lampu kecil di sekeliling landskap, tentu cantik.”

“Hmm bagus juga idea tu. Kenapalah saya tak terfikir nak buat macam tu. Mana Aliya dapat idea?”

“Saya banyak tengok majalah. Banyak landskap macam tu orang buat. Tak rugi kalau kita cuba. Sekurang-kurangnya kita boleh jimatkan ruang di tengah-tengah dewan. Tapi sempat lagi ke Cik Irina?”

“Sempat, kita ada dua hari lagi. Esok pun boleh siap.” Irina tersenyum. Puas hatinya kerana hiasan dewan itu nampak cantik. Lusa tentu lebih berseri-seri kerana bunga-bunga hidup dari ‘Aneka Flora’ akan memenuhi ruang di sekitar dewan utama. Awal-awal lagi dia memilih serangkaian mawar putih untuk dijadikan hiasan meja tetamu.

“Lusa bunga-bunga dari Aneka Flora akan sampai. Masa tu kerja kita akan bertambah. Boleh tak Aliya datang awal sikit bantu saya hari tu? Masa tu mungkin saya sibuk uruskan hal-hal lain, jadi boleh saya harapkan Aliya untuk tugas-tugas decoration? Apa sahaja perubahan yang Aliya rasa baik, Aliya buatlah. Saya bagi kuasa penuh, macamana?” Irina memandangnya sambil tersenyum. Dia tahu, gadis itu pasti tidak akan menghampakannya.

Aliya terdiam. Kelu lidahnya mahu bersetuju. Berat tangungjawab yang diberikan Irina padanya. Bagaimana kalau dia gagal memikulnya? Bagaimana kalau hasil yang diharapkan tidak dapat memuaskan hati para tetamu? Lagipun bukan calang-calang orang yang akan hadir malam itu. Kebanyakan tetamu yang bakal hadir semuanya orang-orang berpangkat, VVIP serta dengar khabarnya ada menteri yang akan merasmikan. Aduh…macamana ni?

Irina tergelak kecil melihat wajah Aliya yang kebingungan. Dia tahu, anak gadis itu pastinya berat hati dan tidak berkeyakinan untuk mengambilalih tugasnya menguruskan persiapan majlis.

“Aliya jangan bimbang, saya percayakan Aliya. Aliya boleh buat.” Pujuknya. Belum sempat dia mahu berkata lagi, telefon bimbitnya berbunyi.

“Hello! Ya, kakak ni. Alamak, kakak lupalah. Okey, kejap lagi kakak datang.” Panggilan segera diputuskan. Irina memandang ke arah Aliya.

“Aliya, maaf. Saya ada temujanji kejap lagi. Boleh kita berhenti sampai sini dulu hari ni?” Irina tersenyum.

“Tak apa. Tak ada masalah.” Gadis itu mengangguk.

“Lepas ni Aliya nak ke mana? Saya hantarkan?” Irina mempelawa. Dia merasa bersalah meninggalkan Aliya begitu sahaja di kawasan hotel itu.

“Tak apalah Cik Irina, saya balik naik teksi aje. Lagipun nanti lewat pula temujanji Cik Irina.” Balas Aliya.

“Tak eloklah macam tu Aliya. Hmm..apa kata Aliya ikut saya pergi minum petang sama-sama? Lagipun Aliya dah banyak bantu saya, biar saya belanja Aliya makan hari ni.” Cadang Irina.

“Tak payahlah Cik Irina, saya tak nak ganggu Cik Irina.” Cepat-cepat Aliya menolak. Segan dia hendak kacau daun. Irina tergelak kecil.

“Aliya, saya ada temujanji dengan adik saya, bukan dengan boyfriend. Marilah, nanti saya boleh kenalkan Aliya dengan adik saya.” Beria-ria Irina memujuk, sehingga tak terdaya Aliya hendak berkata tidak. Mahu tak mahu dia terpaksa mengikut gadis itu.

Apabila kereta Irina memasuki perkarangan kawasan restoran, Aliya baru perasan yang dia pernah ke situ dulu bersama Hazril. Irina dilihatnya kelihatan sudah agak biasa dengan restoran itu. Tentu dia dan Hazril kerap makan-makan di situ.

Entah mengapa, Aliya tiba-tiba dihujani perasaan cemburu. Serapat manakah sebenarnya hubungan antara Irina dan Hazril? Teman-teman sepejabatnya kecoh mengatakan kedua-duanya pasangan kekasih. Tapi dia tidak pernah mendengar, baik Irina mahupun Hazril sendiri bercerita tentang pasangan masing-masing. Benarkah mereka bercinta?

“Kenapa Aliya diam saja ni?” Irina menegur gadis itu.

Aliya tersenyum. “Selalu ke Cik Irina makan kat sini?”

“Kerap juga. Makanan kat sini sedap, kawan saya yang perkenalkan.” Jawab gadis itu. Aliya terfikir, apakah kawan yang dimaksudkan itu Hazril?

“Aliya, perkenalkan ini adik saya, Haikal Farhan.”

Aliya berpaling. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat Haikal berada di situ. Malah anak muda itu juga memberi reaksi yang sama. Kedua-duanya saling bertatapan sesama sendiri.

“Boy, kenapa ni?” Tegur Irina. Dia agak hairan melihat kedua-duanya terpaku seperti patung. Seketika kemudian, kedua-duanya serentak ketawa membuatkan Irina terpinga-pinga tidak mengerti.

“Macam dah kenal aje?” Tegur Irina. Matanya tak putus-putus memandang Haikal dan Aliya silih berganti. Haikal ketawa kecil, manakala Aliya pula hanya mampu tersenyum. Lucu mengenangkan betapa kecilnya dunia ini.

* * * *

Haikal tidak putus-putus tersengih. Dia benar-benar tidak menyangka, temujanji makan bersama kakaknya mendatangkan satu kenangan indah buatnya. Pada mulanya dia terkejut besar melihat Aliya datang bersama Irina. Tapi sebaik teringat Aliya sedang menjalani praktikal di Perkasa Budi, maka tak mustahillah Aliya dan Irina saling mengenali antara satu sama lain.

Ketukan di muka pintu mengejutkannya dari lamunan. Haikal mendongak. Terjengul kepala Irina di sebalik pintu. Gadis itu tersenyum-senyum memandangnya. Haikal buat endah tak endah. Dia sudah tahu apa yang mahu ditanyakan oleh Irina.

“Amboi, sombongnya. Mentang-mentanglah dah ada kawan baru, terus lupa kakak ya.” Rungut Irina.

Haikal tidak dapat menahan diri dari tersenyum. Irina terus masuk tanpa dipelawa. Dia menghempaskan diri di bucu katil lalu merenung ke arah Haikal.

“So tell me something about her.” Irina mengusik nakal.

“Tak ada. Nak beritahu apa?” Selamba anak muda itu membalas. Irina tidak puas hati. Dia bangun menuju ke arah Haikal. Kerusi yang diduduki Haikal, dipusing mengadap ke arahnya. Terkejut Haikal dibuatnya.

“Cakap betul-betul Boy. Kenapa selama ni Boy tak pernah beritahu kakak tentang Aliya?” Wajah Haikal ditenung agak lama.

Haikal mengeluh. Dia tahu selagi dia tidak bercerita, Irina pasti tidak akan puas hati. Dan jika gadis itu tidak puas hati, maka dia tidak akan terlepas begitu sahaja.

“What do you want to know?”

“Betul Aliya tu kawan satu universiti dengan Boy?”

Haikal mengangguk.

“Dah berapa lama Boy kenal dia?”

“Baru lagi. Kenapa?”

“Dia cantik kan?”

Haikal tergelak besar. Ini mahu bertanya ke, atau mengujinya? Bukan dia tidak tahu perangai Irina.

“Hei kenapa ketawa? Kakak serius ni, dia cantik kan?” Irina menjeling nakal.

“Cantik..cantik sangat. Tapi kakak Boy yang seorang ni lagi cantik. Bukan saja cantik, bijak pulak tu.” Haikal mencanang satu persatu. Tergelak besar Irina dipermainkan adik sendiri.

“Tapi adik kakak ni pun tak kurang hebat. Asyik merenung gadis cantik tak henti-henti sampai nak terkeluar biji mata tadi. Mujur biji mata tak jatuh atas lantai, kalau tidak jenuh nak kutip nanti.” Sindir Irina pula. Bukan dia tidak perasan tingkah laku Haikal semasa makan tengahari tadi.

Anak muda itu hanya ketawa. Apa nak buat, setiap kali dia memandang Aliya dia bagai hilang arah. Bagaikan orang buta yang kehilangan tongkat. Dan setiap kali Aliya berada di hadapannya, dia akan segera mabuk kepayang. Tuhan! Cinta itu memang indah. Seindah cahaya malam diterangi bulan.

“Boy sukakan Aliya?” Irina bertanya lembut. Dia faham perasaan Haikal. Tingkah laku adiknya sudah cukup untuk membuktikan apa yang bermain di fikiran anak muda itu. Dan jika benar Haikal menyukai gadis itu, dia akan seratus peratus menyokong. Baginya Aliya gadis yang baik, malah terbaik untuk Haikal.

Haikal memandang Irina sejenak. “Dia masih tak tahu kak.” Ujar Haikal hambar.

“So what are you waiting for? Tell her.” Provok Irina.

“Kakak ingat senang ke?”

“Kakak tolong Boy, mahu?” Irina menawar diri. Tercengang anak muda itu mendengar kata-kata Irina. Biar betul! Nanti tak fasal-fasal dia cuba dekat, Aliya makin jauh larinya. Baik tak payah!

“I’m damn serious about this Haikal Farhan.” Getus Irina dengan wajah bersungguh-sungguh. Haikal ketawa kecil. Kata-kata Irina dianggap lelucon yang begitu menggelikan hati.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!