Followers

Wednesday, February 10, 2010

Sayangku Casper : Bab 14

BUNYI jam berdenting beberapa kali mengejutkan Rafique yang terlelap di atas sofa. Dia bingkas bangun. Untuk seketika dia mamai sebentar. Wajahnya bingung memerhatikan ruang di bilik itu yang diterpa cahaya dari luar jendela. Lampu di ruang tamu dan di dapur masih terpasang sejak malam semalam.

Mengenangkan apa yang berlaku semalam, Rafique baru teringat di mana dia berada. Dia segera mencapai jam tangannya. Aduh! Dah masuk pukul 10 pagi. Subuh pun dah lepas! Macamana aku boleh tidur nyenyak sangat ni? Dia menggaru kepala dengan wajah bingung.

Dia tunduk memikirkan sesuatu. Ada sesuatu yang bermain-main di fikiran. Wajah yang dilihatnya semalam sewaktu dia membuka pintu benar-benar menggerunkan. Nyaris dia hendak terpengsan di situ juga. Dengan rambut panjang mengurai sehingga ke pinggang dan menutupi sebahagian wajah, dia hanya mampu melihat sepasang mata yang terbeliak memandangnya dari juntaian rambut itu.

Memang benar bangunan ni berhantu! Patutlah sewa macam tak logik! Desis hati kecil Rafique. Kalau aku tahu macam ni baik aku duduk budget hotel aje! Rungut Rafique lalu bingkas bangun. Dia mahu segera mandi untuk bertemu dengan Davian.

Ketika dia mahu mengunci pintu rumahnya, matanya terpandang kelibat seorang wanita tua sedang menyapu sampah di beranda tingkat itu.

“Sapu sampah makcik?” Tegur Rafique sekadar berbasa-basi.

Wanita itu diam sahaja.

“Dah lama makcik tinggal kat sini?” Tegur Rafique lagi.

Namun seperti tadi, sapaannya langsung tidak bersambut. Dahi Rafique sudah berkerut. Apasal pulak la perempuan ni? Tak dengar ke aku menegur? Belum sempat dia menjelaskan keraguan yang berputik di fikirannya, telefon bimbitnya tiba-tiba berdering. Cepat-cepat dia menjawab panggilan telefon itu.

“Ya, aku dah nak pergi ni. Kau tunggu saja kat situ, kejap lagi aku sampai.” Dia berbalas bicara dengan suara di hujung talian. Sebaik dia menamatkan perbualan, matanya berpaling ke arah makcik tukang sapu itu. Tapi anehnya, kelibat wanita itu hilang entah ke mana.

Rafique mula seriau. Darahnya tiba-tiba berderau. Bulu romanya sudah mencacak naik. Cepat-cepat dia bergegas meninggalkan kawasan apartment itu.

* * * *

Davian ketawa besar sebaik dia menghabiskan ceritanya. Setiap mata yang berpaling ke arah mereka langsung tidak berupaya menghentikan ketawa Davian yang terbahak-bahak.

Rafique menjeling panjang ke arah teman baiknya. Melihat lelaki itu begitu seronok mengetawakannya, dengan gaya mafia dia menendang pangkal peha Davian. Mulut Davian segera tertutup. Terpisat-pisat dia memandang Rafique dengan wajah berkerut.

“Sakitlah Raff, aku gurau aje. Takkan itu pun tak boleh.”

“Gurau? Semalaman aku duduk di rumah hantu tu, kau masih nak gelakkan aku?” Jegil Rafique.

Davian cuba menyembunyikan senyuman. “Itulah, yang kau susah-susah nak lari dari bodyguard daddy kau tu kenapa? Kan tak fasal-fasal kau sendiri yang cari penyakit.” Leter Davian.

“Entah macamanalah dia boleh tahu aku berada kat sini?” Selar Rafique dengan dahi berkerut. Geram benar dia sebaik mengingatkan pengawal-pengawal peribadi yang diupah ayahnya sering mengejarnya ke serata ceruk macamlah dia budak terencat akal.

Davian ketawa kecil. “Dia buat begitu sebab dia bimbang dengan keselamatan kau kut.” Duga lelaki itu.

Rafique menggeleng. “Tak. Dia buat begitu sebab dia tahu apa tujuan aku datang ke mari. Daddy aku tu banyak pasang spy di syarikat tu. Aku rasa dia tahu fasal Adelie. Kalau Adelie boleh jatuhkan dia dalam syarikat tu, dia akan sanggup buat apa sahaja dan halang Adelie dari pulang ke mari.” Getus Rafique.

“Hish tak baik kau cakap macam tu. Dia kan daddy kau.”

Rafique terdiam. Keluhan kecil terlontar keluar dari bibirnya. Resah hatinya mengenangkan lelaki itu.

“Kau belum kenal siapa daddy aku Davian. Dia manusia paling rumit yang sukar dijangka tindakannya. Malah aku langsung tak tahu apa yang difikirkannya atau apa yang dirancangkannya selama ini. Tapi aku tahu dia hantar aku tinggal dengan granny lima belas tahun dahulu ada sebabnya.”

“Maksud kau?” Dahi Davian berkerut.

“Cuba kau fikir Davy, Adelie tinggalkan rumah tu lima belas tahun dahulu. Dan aku datang ke situ juga lima belas tahun dahulu. Secara teknikal, aku sudah merebut tempat Adelie dalam rumah tu. Aku rasa itu yang daddy aku mahukan. Dia hanya mahu mempergunakan aku untuk mendapatkan Fleur de Casper untuk kepentingan dirinya sendiri.”

Giliran Davian pula terdiam. Wajah serius Rafique ditatap agak lama.

“Sebab tu kau nak cari budak perempuan tu?” Soal Davian.

Dia memandang tepat ke wajah Davian. Kepalanya diangguk.

“Itu sahaja jalannya untuk menghalang ayah aku dari terus berkuasa di Fleur de Casper. Aku mesti cari cucu granny dan bawa dia pulang ke Paris.” Tekad Rafique.

1 comment:

Anonymous said...

thanks gak kak nita...terubat gak rindu kat tia
-nella-

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!